KOTA BHARU: Kerajaan negeri menganggap kemunculan NGO yang dikenali sebagai ‘Save Kelantan’ didalangi parti pembangkang semata-mata untuk mencari kelemahan kerajaan kepimpinan ulama.
Anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, keghairahan mereka mencari kesalahan kerajaan PAS Kelantan, jangan pula sampai menimbulkan fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Biarpun begitu kita akan terus bekerja bagi memastikan kebajikan rakyat terbela. Biarpun mereka mahu bertindak sebagai pemantau jangan pula isu berbaur fitnah dilempar semata-mata untuk menghentam kerajaan.
“Sepatutnya kalau boleh kita bersama-sama merapatkan persaudaraan. Ini kerana apa yang kita pertahankan di Kelantan dasar Islam yang tidak banyak dapat dilaksanakan di negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Demit yang diadakan di perkarangan Pasar Tok Kenali di Cabang Binjai di sini semalam.
Hadir sama Adun Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus dan Setiausaha PAS Kubang Kerian, Mohd Nuri Yaacob.
Mumtaz yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian menjelaskan Pasar Tok Kenali tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Jun atau Julai hadapan.
Menurutnya lokasi terbabit akan dijadikan sebagai pusat aktiviti masyarakat di Dun Demit selain memperkasakan lagi sosio ekonomi penduduk tempatan dalam usaha menempuh fasa endemik Covid-19.
“Alhamdulillah kerajaan negeri dapat menyiapkan pasar ini yang menyediakan kemudahan lebih selesa kepada peniaga dan orang ramai bagi membeli keperluan harian,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2022
2. Sinikal ‘Isley’ hanya akan memakan diri
No comments:
Post a Comment