Wednesday, May 25, 2022

Telatah Rosmah, Najib, Ahmad Zahid & 'hantu raya'.

 

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto fail NSTP

1. Rosmah nak gelang berlian, Najib mahu jam tangan 

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor dan syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan menuntut seutas gelang berlian emas putih bernilai AS$220,000, manakala suami Rosmah yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menuntut tujuh jam tangan masing-masing disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).

Gelang dan jam tangan itu antara barang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Rosmah, Azamuddin Abd Aziz, berkata anak guam juga perlu mengesahkan gelang itu menerusi gambar yang akan diserahkan pihak pendakwaan hari ini.

"Saya menerima arahan anak guam mengenai isu gelang yang turut dituntut Global Royalty Trading SAL. Saya memohon tiga, empat hari atau paling lama seminggu untuk arahan selanjutnya daripada Rosmah," katanya pada pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin, hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, manakala Global Royalty dan Najib masing-masing diwakili peguam, Datuk David Gurupatham serta Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Sementara itu, Gurupatham mengesahkan Rosmah tidak pernah memeriksa gelang itu sebelum ini yang disimpan dalam bilik kebal berkenaan.

"Untuk rekod, Rosmah mengetepikan hak untuk periksa barang kemas terbabit. Pegawai penyiasat yang bertugas juga sudah periksa setiap barang dalam bilik itu pada tahun lalu.

"Pegawai dikenali Superintendan Foo (Wei Min) kemudian mengesahkan gelang berkenaan milik Global Property," katanya.

Muhammad Shafee pula memohon kepada mahkamah untuk pengurusan kes tuntutan barang berkenaan diadakan secara berasingan.

"Ada dua perkara berlainan iaitu satu kes Najib dan satu lagi Rosmah.

Berkenaan gelang itu, kita dapat arahan jelas daripada Najib bahawa beliau tidak akan membuat sebarang tuntutan dan Rosmah akan membuat keputusan mengenainya," katanya.

Susulan itu, Faten Hadni menolak cadangan Muhammad Shafee itu kerana kedua-kedua kes saling berkait dengan isu 1MDB.

"Oleh demikian, kes itu perlu kekal didengar secara serentak. Namun di pihak pendakwaan, kami memerlukan masa untuk meminda notis usul," katanya.

Selepas mendengar hujahan semua pihak, hakim menetapkan 8 Jun ini untuk pengurusan kes itu secara serentak. (BH)


2. 'Baki wang akaun bank saya lebih daripada cukup' 

(Gambar fail) Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, baki wang dalam akaun bank beliau adalah lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit peribadinya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, bagaimanapun bekas setiausaha eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, melakukan kecuaian dengan menggunakan cek Yayasan Akalbudi yang diasaskan beliau, untuk membayar kad kredit berkenaan.

"Mazlina sendiri mengaku melakukan kecuaian ketika membuat pembayaran itu," katanya ketika menjawab soalan peguam beliau, Hamidi Mohd Noh, berhubung 12 pertuduhan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dirujuk dengan baki wang dalam akaun Maybank milik beliau antara 2014 dan 2015 yang menunjukkan baki minimum sebanyak RM100,000 serta baki maksimum RM600,000.

Penyata kad kredit pula menunjukkan bil kad kredit beliau dalam tempoh sama adalah minimum RM600 dan maksimum RM215,000.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi dan polisi insurans serta lesen kenderaan peribadi beliau, pemindahan wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, Mazlina yang diamanahkan menjaga akaun yayasan dan akaun peribadi beliau, melakukan kecuaian ketika membuat transaksi pembayaran kad kredit miliknya.

Beliau berkata, kecuaian dilakukan Mazlina itu membabitkan transaksi yang menunjukkan terdapat lebihan dan kekurangan pembayaran kad kredit yang dibuat menggunakan duit yayasan terbabit.

Katanya, Mazlina sendiri melalui keterangan di mahkamah mengaku cuai ketika mengendalikan perbelanjaan kad kredit berkenaan. (BH)


3. Kalau ‘bela hantu raya’, rakyat akan kebuluran 

PAKAR Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, lambakan penawaran bahan makanan dalam pasaran bukanlah sesuatu yang negatif memandangkan ia sememangnya perkara diperlukan bagi menampung permintaan pengguna.

Ya, bahan makanan kita kena banyak tidak bermaksud membazir, tetapi memenuhi kecukupan dan dapat dimiliki setiap rakyat. Ini soal keperluan asasi harian untuk kelangsungan kehidupan yang fitrah dan bukannya kehendak atau pilihan. Bayangkan kita dari begitu mewah makanan hingga dibuang-buang, kini serba tak cukup. 

Malangnya, di negara kita bahkan peringkat global juga, makanan asasi telah menjadi mangsa ‘spekulasi’ yang diambil kesempatan oleh sekelompok manusia durjana. Mereka pentingkan diri, hendak mengaut wang dengan banyak secara cepat dan gelojoh. Mereka jadikan makanan hingga tidak mampu dibeli orang ramai, ini barulah patut dikatakan membazir, semuanya mahu dikayangankan. 

Benar, mereka itu di sektor perniagaan, tetapi maaf saya katakan, kian lama semakin melampau, melampau dan melampau. Dunia kita sudah cukup sengsara dengan perubahan iklim dunia, wabak penyakit, konflik politik dan peperangan, kini mereka pemegang pasaran pula cuba mencengkam.

Semua itu kerana nafsu dan sikap yang penuh tamak haloba. Kini semua kita dalam keadaan terancam gugat tidak cukup makanan kerana wujud kegiatan monopoli, menyorok, mengawal, memanipulasi dan pelbagai bentuk sabotaj lainnya ala-ala perangai Komunis. Langsung tidak ada belas kasihan. 

Sedangkan sebahagian besar warga dunia bangun bergelut untuk bangkit semula memulihkan kehidupan. 

Kerajaan di pihak rakyat

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Dr Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menyuruh supaya ‘permainan dan percaturan’ harga dihentikan. Tanpa beliau menyebut secara spesifik kepada siapa ditujukan, ia sudah cukup mengisyaratkan satu peringatan dan amaran bahawa pihak kerajaan sedar segala helah pihak berkepentingan terbabit.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pula setelah itu bersuara lebih tegas dengan mengisytiharkan perang hingga rakyat kembali mendapat bekalan yang terjamin cukup dan harga sesuai kos sara hidup. 

Seperti dinyatakan Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, inisiatif ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ diperkenalkan Ismail Sabri pada tahun 2014 dahulu mesti diperkasakan menjadi satu gerakan meluas yang didukung semua pihak.

Ahli Dewan Negara mewakili PAS itu menegaskan supaya dihapuskan semua pencatur bekalan dan harga tanpa mengira mereka itu dalang, jerung, sindiket, kartel atau apa sahaja namanya. Bidasnya, mereka inilah musang-musang yang bersembunyi di sebalik industri ternakan dan bekalan ayam.

Syukurlah sejak negara diterajui Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin diikuti Kerajaan Keluarga Malaysia oleh Ismail, banyak kepentingan rakyat dijaga, didahulukan dan dilindungi. Tak kurang juga pelbagai inisiatif dan bantuan, skim-skim dan segala pakej rangsangan ekonomi untuk setiap lapis golongan.

Kenali penindas rakyat

Semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selama 22 bulan, banyak peruntukan kepada rakyat dikurangkan dan dihapuskan. Rakyat kononnya dinasihat membuang ‘mentaliti’ bantuan dan subsidi. Malangnya senyap-senyap PH menjual banyak aset harta kepentingan rakyat dan negara. 

PH juga melanjutkan pelbagai konsesi, sedang projek-projek ke arah kehidupan rakyat untuk kemudahan asas semasa dibatalkan. Itu tidak termasuk pelbagai perundangan cuba mereka ubah atau tandatangani untuk ‘menjual negara’ ini dan merobohkan struktur asalnya.

Kegiatan ‘mendesak’ keluar isi poket rakyat ini bukan kelicikan baru. Ia telah berleluasa sekian lama hatta dalam kerajaan apabila menggunakan mandat keputusan atau kelulusan tertentu untuk yang kaya menjadi semakin kaya, tapi rakyat tercekik! Banyak rancangan pembangunan diperkenalkan selain penswastaan dan pengkorporatan, tetapi rakyat kena bayar! 

Mahal dan semakin mahal, naik, naik, naik tak pernah turun-turun atau ada pengecualian. Sekolah, hospital serta banyak perkhidmatan kerajaan yang lain kena bayar. Belum lagi kira cukai tanah, cukai pintu, cukai jalan, lesen itu dan ini. Satu kajian menyatakan, rakyat Malaysia kena bayar kepada kerajaan sekitar 20 peratus dari jumlah pendapatan setiap tahun.

Bela hantu raya

Saya tertarik bila Senator Ir Ts Khairil Nizam persoal mengenai ‘lembaga atau hantu raya’ yang sukar diusir atau dihapuskan di mana mereka mungkin’ dibela’. Ya, inilah gangsterisme yang wujud dan mencengkam mana-mana kerajaan berkepentingan mengatasi naungannya ke atas rakyat. 

Bila tunduk kepada semua pihak-pihak yang berkepentingan peribadi, lalu rakyatlah yang menjadi mangsa. Kini zaman untuk menjaga golongan tersebut telah berakhir dan mereka mesti ditundukkan dari mengugut dan menggigit kerajaan. Pembelaan sebenar adalah kepada rakyat yang menjadi tanggungjawab terpenting kepada kerajaan.

Biarlah namanya kroni hatta keluarga atau ‘sons’ sekalipun, aset dan harta serta hasil kerajaan adalah milik rakyat. Jadi kenyangkan perut rakyat, bukannya buat mereka mungkin kebuluran! 

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 25/5/2022  


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails