Thursday, May 12, 2022

Terowong Menora pembunuh, mengapa X prihatin?

 

Keadaan kereta yang dinaiki empat pelajar universiti dalam kemalangan ngeri di Kilometer 245.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, Perak

1. Sampai bila jiwa terkorban di laluan Terowong Menora?

Kematian lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dalam kemalangan ngeri di Kilometer 245.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, Perak, membangkitkan persoalan mengenai kekerapan kemalangan di kawasan yang digelar laluan maut.

Hampir setiap tahun, kemalangan yang berlaku bukan biasa-biasa, tetapi membabitkan bilangan mangsa yang ramai, sama ada maut atau cedera, selain kekerapan membabitkan kenderaan berat seperti lori, treler dan bas ekspres.

Dalam tempoh sehari dua ini, pelbagai pihak akan memberi pelbagai pandangan mengenai kemalangan ini dan selepas itu akan berlalu begitu saja.

Hakikatnya, tragedi kemalangan seperti kereta terbakar dan mangsa rentung bukan kali pertama berlaku di laluan Terowong Menora.

Pada tahun 2018, tragedi yang lebih kurang sama juga membabitkan lima mangsa, termasuk seorang bayi mati rentung dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori.

Laluan maut ini sebenarnya adalah sebahagian pakej Projek Lebuh Raya Utara -Selatan (PLUS) antara Ipoh ke Changkat Jering sepanjang 55 kilometer yang merupakan lebuh raya kedua dikenakan bayaran tol di Perak selepas laluan antara Slim River ke Tanjung Malim.

Mercu tanda laluan yang dibuka pada 1987 ialah Terowong Menora dengan kebanyakan kemalangan berlaku sebelum dan selepas dua terowong sepanjang 880 meter dan 830 meter.

Memandu di laluan ini bagi sesetengah pengguna menggerunkan kerana kecerunan, keadaan jalan raya serta struktur muka bumi, menyebabkan risiko berlaku kemalangan lebih tinggi. Perkara ini sukar dinafikan dengan kebanyakan kemalangan berlaku antara Kilometer 255 hingga 269 laluan itu.

Ini diburukkan dengan sikap sesetengah pemandu, terutama kenderaan berat yang masih mengamalkan budaya pemanduan tidak berhemah termasuk memandu secara berbahaya seperti terlalu laju ketika menuruni cerun dan rapat dengan kenderaan lain.

Tidak dapat dinafikan bahawa Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS) sebagai pengendali lebuh raya melakukan penambahbaikan aspek kejuruteraan di laluan Terowong Menora seperti pemasangan pengadang jalan konkrit, ‘rumble strips’ dan sebagainya untuk meningkatkan tahap keselamatan. 

Kenderaan sesak sebelum memasuki Terowong Menora

Namun, kemalangan terus berlaku dan tindakan yang lebih drastik perlu dilakukan untuk mengelakkan laluan ini terus meragut nyawa setiap tahun.

Tahun lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, membuat kenyataan bahawa jajaran lebuh raya baharu bakal dibina menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sebagai laluan alternatif tanpa melalui Terowong Menora.

Beliau dilaporkan berkata, cadangan yang dikemukakan oleh sebuah syarikat pembinaan itu sedang dipertimbangkan sebagai langkah mengurangkan kesesakan, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan yang sering berlaku berhampiran Terowong Menora.

“Pembinaan jalan yang dicadangkan itu tidak membabitkan pembiayaan perbelanjaan kerajaan negeri dalam bentuk inisiatif pembiayaan swasta (PFI). Kita memang memerlukan dan bersetuju untuk membina jajaran lebuh raya baharu yang menjadi jalan pintas ke Kuala Kangsar tanpa melalui Terowong Menora,” katanya.

Sudah sampai masa Kerajaan Pusat turut terbabit untuk menjadikan projek ini suatu kenyataan, sekali gus memberi pilihan kepada pengguna.

Pada masa sama, tindakan penguatkuasaan perlu diperhebatkan secara konsisten, terutama terhadap bas dan lori berikutan kekerapan kemalangan membabitkan kenderaan berat.

Begitu juga dengan empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) iaitu masing-masing dua unit sebelum dan selepas Terowong Menora yang setakat Februari lalu, masih belum dipasang.

Media sebelum ini melaporkan mengenai pemasangan empat kamera AWAS bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan berkenaan. 

Lima maut dalam kemalangan ini yang berlaku selepas Terowong Menora pada 6 Oktober 2018

Operasi pemasangan kamera berkenaan di laluan panas itu dikatakan, diluluskan Kementerian Pengangkutan dengan had laju ditetapkan 70 kilometer sejam (km/j) berbanding kamera AWAS lain yang menetapkan had laju 110km/j.

Tanpa komitmen semua pihak, kemalangan ngeri di laluan Terowong Menora akan terus berlaku. Malangnya berita begini, bukan sesuatu menarik untuk dibaca.

Kemalangan besar di laluan Terowong Menora

2 orang maut dan 2 parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 263.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Terowong Menora, pada 2 Mei 2021.

15 penumpang, termasuk pemandu cedera apabila bas ekspres yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan di KM 265 Lebuh Raya Utara-Selatan, berdekatan Terowong Menora arah selatan, pada 4 April 2021.

2 orang maut dan 2 parah apabila kereta dinaiki dihempap muatan tiang konkrit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan tiga kereta lain di KM 256.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora pada 31 Oktober 2019.

5 orang rentung, termasuk seorang bayi dalam kemalangan membabitkan lori muatan bijih besi dan kereta yang terbakar di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora pada 6 Oktober 2018.

Sebuah bas merempuh 10 kereta menyebabkan 2 cedera di Kilometer 265.8 Lebuh Raya PLUS arah selatan selepas Terowong Menora pada 10 Julai 2016.

4 anggota keluarga rentung dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori yang terbabas di Kilometer 265.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan selepas Terowong Menora, pada 4 Mac 2016.

2 orang maut dan 1 cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta, sebuah lori dan sebuah treler di KM 256.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora pada 4 Oktober 2014.

Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan lori dan sebuah treler di KM 256.1 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Terowong Menora, pada 4 April 2011. – HARAKAHDAILY 12/5/22

2. Sayu hati membaca insiden maut lima pelajar USAS 

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sayu hati membaca insiden maut melibatkan lima orang pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berhampiran Terowong Menora, malam tadi.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum yang terkorban, para kenalan dan warga USAS.

“Marilah kita mendoakan agar semua almarhum diampuni, dirahmati, dikasihi dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff turut menyampaikan ucapan takziah.

“Mendapat perkhabaran duka atas pemergian lima orang mahasiswa USAS yang terlibat dalam satu kemalangan berhampiran Terowong Menora, Perak pada awal pagi ini 12 Mei 2022 bersamaan 11 Syawal 1443H.

“Salam takziah saya ucapkan buat keluarga Allahyarham. Didoakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau.

Bagi Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bertambah sedih apabila melihat video yang diviralkan.

“Menerima perkhabaran mengenai lima sahabat yang kemalangan di Perak dan salah seorang dari mangsa merupakan rakyat Terengganu menyebabkan saya terkejut dan tersentuh.

“Apatah lagi apabila melihat video yang diviralkan, tambah sedih dengan kisah ini,” katanya dalam hantaran di laman sosial beliau.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat iaitu Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, berasal dari Chukai Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak. – HARAKAHDAILY 12//5//2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apakah tragedi  korban di laluan Terowong Menora, puluhan tahun sebelum ini menggambarkan ke'tidak prihatinan rakyat' di kalangan kepimpinan terdahulu?

No comments:

Post a Comment