Alina Fazleeva (tengah) dan suaminya, Amdrei Fazleev (kiri) menghadiri sidang mediadi Denpasar sebelum mereka diusir dari Bali. - Foto AFP
Bali usir pasangan Russia bergambar bogel di pokok keramat
DENPASAR: Seorang selebriti media sosial warga Russia dan suaminya akan diusir dari Bali kerana melanggar budaya tempatan selepas berbogel ketika mahu mengambil gambar di atas sebatang pokok keramat.
Alina Fazleeva, yang mempunyai ribuan pengikut di Instagram, berbogel diatas sebatang pokok banyan berusia sekitar 700 tahun, berhampiran sebuah kuil di wilayah Tabanan.
Gambar terbabit, yang diambil oleh suaminya, Andrey Fazleev, kemudian dimuat naik di Instagram dan tular sehingga menimbulkan kemarahan penduduk Bali.
Gunung-ganang, pokok dan ciri semula jadi lain dianggap suci dalam budaya Hindu Bali, kerana dianggap sebagai rumah tuhan.
Menurut Ketua Imigresen Bali, Jamaruli Manihuruk, kedua-dua mereka dibuktikan melakukan aktiviti yang membahayakan ketenteraman awam dan tidak menghormati norma tempatan.
"Oleh itu, mereka akan dikenakan sekatan dengan diusir," katanya.
Pasangan suami isteri itu dilarang daripada memasuki Indonesia sekurang-kurangnya enam bukan, selain perlu mengambil bahagian dalam upacara pembersihan di kawasan suci mengikut kepercayaan tempatan.
Fazleeva menerusi akaun instagramnya memohon maaf dalam Bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia serta mengakui beliau membuat kesilapan besar.
"Terdapat banyak tempat suci di Bali dan tidak semuanya mempunyai tanda maklumat mengenainya, seperti dalam kes saya, adalah sangat penting untuk menghormati tempat ini dan tradisi," katanya.
Gabenor Bali, Wayan Koster, berkata pentadbirannya tidak akan bertolak ansur dengan pelancong yang biadap.
Hampir 200 orang diusir dari pulau percutian itu tahun lalu, sesetengah mereka kerana melanggar protokol COVID-19.
Bulan lalu, pelakon Kanada dan ikon kesihatan, Jeffrey Craigen, menerima kecaman selepas videonya berbogel di Gunung Batur, gunung berapi yang dianggap suci oleh penduduk Bali, ketika melakukan 'haka' iaitu tarian perang puak Maori dari New Zealand, tular di media sosial.
Pihak berkuasa mahu mengusirnya dari Bali tetapi memandangkan dia belum menerima suntikan vaksinasi COVID-19, tiada syarikat penerbangan yang sanggup membawanya keluar. - AFP
No comments:
Post a Comment