Monday, May 30, 2022

Wartawan: Siti Zailah, Muhammad Sanusi, Iskandar, Agung ucap selamat.

 

1. Wartawan ejen utama penyebar suara kerajaan, rakyat

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, hari ini mengucapkan selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua wartawan dan pengamal media di Malaysia.

Menurutnya, wartawan dan pengamal media merupakan ejen utama penyebar suara kerajaan dan rakyat dalam menjayakan agenda pembangunan negara bangsa.

Beliau menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh pengamal media atau wartawan di atas peranan dan sumbangan dalam pembangunan negara bangsa.

Katanya, peranan dan tanggungjawab wartawan amatlah besar dan setiap apa yang ditulis atau dilaporkan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

Beliau memetik maksud surah Yassin ayat 65: Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka; dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

“Saya doakan semoga semua wartawan di seluruh Malaysia dapat terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

“Amanah dan bertanggungjawab dalam menyajikan informasi yang benar dan berkualiti demi menyatukan dan membangunkan Keluarga Malaysia dan Malaysia yang kita cintai ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional.– HARAKAHDAILY 29/5/2022

2. Wartawan mampu bentuk pemikiran masyarakat 

ALOR SETAR: Wartawan bukan sekadar pelapor bagi mendedahkan sesuatu berita biasa, sebaliknya berpotensi membentuk pemikiran masyarakat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, wartawan berperanan menyampaikan maklumat dan isu semasa kepada orang ramai.

“Dalam kepesatan era teknologi maklumat hari ini, wartawan dan pengamal media memainkan peranan penting menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Mereka (wartawan) bukan sekadar pelapor biasa sebaliknya hasil karya serta penulisannya mampu membentuk corak pemikiran rakyat,” kata beliau melalui pautan di media sosialnya sempena Hari Wartawan Nasional, hari ini.

Justeru itu, beliau berharap para wartawan dapat melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin terutama menyampaikan dasar kerajaan dengan penuh integriti.

Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang menjadi penghubung maklumat sejak Perikatan Nasional (PN) menerajui Kedah dua tahun lalu.

Katanya, kejayaan Kedah sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini menjadi paparan media milik kerajaan dan swasta di negara ini. – HARAKAHDAILY 29/5/2022

3. Wartawan kena berani, jangan jadi kaki ampu 

Iskandar bersama tetamu.

KUALA LUMPUR: Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad mengucapkan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional, hari ini kepada seluruh wartawan dan pengamal media serta mereka yang telah bersara.

Beliau berkata, peranan wartawan atau pengamal media amat penting dalam menyalurkan maklumat kerana mereka dapat mempengaruhi masyarakat.

“Wartawan kena berani menyatakan kebenaran dan jangan jadi kaki ampu. Katakanlah yang benar,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan hari raya di rumahnya, hari ini.

Beliau sangat menghargai pengorbanan para wartawan yang bekerja tidak tentu masa, pantas melaporkan berita dan sentiasa berada di lokasi kejadian.

“Dalam masa yang sama wartawan mesti mempunyai sifat amanah dan jujur dalam melaporkan berita.

“Wartawan juga terikat dengan etika undang-undang dan paling penting mereka mesti menjaga etika kewartawanan dengan baik,” katanya.

Kata beliau, peranan media atau wartawan amat penting untuk menyatupadukan antara kaum dan menjaga keharmonian dalam negara.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional.– HARAKAHDAILY 29/5/2022

4. Agong zahir ucapan selamat Hari Wartawan Nasional

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional kepada seluruh wartawan dan pengamal media serta kepada mereka yang telah bersara.

Al-Sultan Abdullah menerusi catatan di Facebook rasmi Istana Negara menghargai komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh wartawan dan pengamal media dalam menjalankan tugas menyampaikan maklumat dan melaporkan berita yang tepat dan terkini sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahupun portal-portal dalam talian.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media atas pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan keselamatan diri tanpa mengira cuaca dan situasi dalam menjalankan tugas mendapatkan maklumat.

“Dengan ledakan maklumat di Internet dan media sosial, Seri Paduka Baginda menasihati wartawan dan pengamal media sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan serta memastikan integriti dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.

“Meskipun kerajaan menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak, khususnya wartawan dan pengamal media, mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan,” menurut catatan itu.

Menyifatkan sebagai wira yang tidak didendang, Seri Paduka Baginda bertitah peranan wartawan dan pengamal media juga amat penting dalam pembangunan negara dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

Seri Paduka Baginda mendoakan semoga wartawan dan pengamal media sentiasa dilimpahi kejayaan berterusan dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dalam menjalankan tugas.

29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional. – HARAKAHDAILY 29/5/2022

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment