Wednesday, May 11, 2022

Zahid Hmidi bina semula UMNO? & Apa bahaya menimpa umat -PAS?

 

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

1. 'UMNO sedang bina semula kebangkitan' - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: UMNO berjaya mengharungi cubaan pihak tertentu cuba memecahbelahkan parti itu yang kini sedang berusaha membina semula kebangkitannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa anasir perpecahan yang cuba disuntik gagal menggoyahkan kemuafakatan dan kesatuan pendokongnya.

Sebaliknya kata beliau, cubaan itu menjadikan UMNO lebih memahami betapa penting parti keramat agama, bangsa dan negara ini dipertahankan.

"Ujian dan pancaroba baharu membuatkan UMNO lebih berketerampilan dan ke hadapan.

"Insya Allah, selagi ada kudrat dan upaya izin Allah SWT, Presiden UMNO akan memastikan kebangkitan ini tidak sesekali terpadam," katanya menerusi di Facebook sempena ulang tahun UMNO ke-76 hari ini.

Ahmad Zahid berkata, menjangkau usia itu, UMNO masih kekal dalam semangat dan jati diri parti politik terbesar orang Melayu, berpaksi demi rakyat dan negara.

Katanya, UMNO mara tanpa mengheret rakyat ke kancah kekalutan dan huru hara, sebaliknya bergerak seiring menjulang erti sebenar demokrasi.

"Masih diingati selepas 9 Mei 2018, UMNO cuba dikhabarkan sudah tiada, tidak lagi relevan, malah UMNO dituduh tiada hala tuju. Presiden barunya ditekan membubarkan parti, pimpinan dan ahlinya yang setia diasak supaya menyerah berpaling tadah.

"Berkat ketentuan Yang Maha Esa bersama kita bertahan, kita menentang dan kita bangkit dengan penuh hikmah serta bijaksana. Mendepani usia 76 tahun menjadikan UMNO semakin matang dan hebat penuh pengalaman dan pengetahuan," katanya.

Dalam satu lagi entri di Facebooknya, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan kembali berjuang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

"Amalan kita bermuafakat dan tidak berpecah belah. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh. Perjuangan UMNO pada PRU ke-15 jauh lebih murni. Demi sebuah kebenaran dan kewajipan," katanya.

Katanya, mereka yang menyatakan UMNO sudah tidak relevan adalah suatu kesilapan besar.

"Mereka itu sedang bermimpi di siang hari. Mengandaikan yang mustahil dan bukan-bukan. UMNO sebaliknya umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah.

"Meskipun pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat. Pohon UMNO nan luhur tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya," katanya. (BH)

2. Meninggalkan politik, bahaya menimpa umat 

FIRMAN Allah SWT:
﴿إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡ‍ٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾
“Jika kalian tidak berangkat secara beramai-ramai untuk berjuang pada jalan Allah (meninggikan Islam), maka Allah akan menyeksa kalian dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kalian dengan kaum yang lain, dan kalian tidak akan dapat mendatangkan kemudaratan sedikit pun kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Tawbah: 39)

Berdasarkan ayat di atas, sekiranya umat Islam tidak mahu berjuang untuk agamanya, maka Allah akan menggantikan mereka dengan kaum yang lain. Mereka akan digantikan sama ada oleh kaum yang memeluk Islam dan berjuang menegakkannya atau kaum bukan Islam yang melenyapkan umat Islam dengan penjajahan yang menghinakan. Walau bagaimanapun, Islam tetap bangkit di tempat yang lain.

Allah SWT menetapkan kejadian manusia supaya beribadat, berkhilafah (berpolitik) dan beramanah (melaksanakan syariat Allah). Maka, politik adalah sebahagian daripada kewajipan manusia di alam dunia.

Berjuang dengan segala pengorbanan harta dan jiwa raga bagi meninggikan Islam sehingga mampu berkuasa (politik) adalah perjuangan para Rasul yang disebutkan oleh al-Quran.

Ada Rasul yang dapat menyaksikan kejayaan sehingga dapat memimpin negara seperti Nabi Nuh AS, Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan Nabi Muhammad SAW. Malah, mereka sendiri menjadi ketua negara. Ramai dalam kalangan para rasul yang wafat sebelum menyaksikan kemenangan bernegara seperti Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan nabi-nabi lain.

Tindakan yang membiarkan Islam tanpa berkuasa politik memerintah akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Sehinggakan, mereka itu akan diseksa di dunia dan juga di akhirat.

Cabang politik diwajibkan dalam Islam berpandukan kenyataan nas al-Quran, Sunnah Nabawiyyah dan ijma‘ para ulama’ (khususnya ulama’ para sahabat RA).

Perkara ini lebih nyata selepas kewafatan Rasulullah SAW, apabila mereka bermesyuarat (mengadakan syura) bagi melantik seorang ketua negara. Sehinggakan, pelantikan pemimpin itu lebih diutamakan daripada mengebumikan jasad Rasulullah SAW yang sebelum itu telah ditugaskan kepada beberapa orang sahabat tertentu sahaja untuk menyempurnakannya. 

Khalifah pertama Abu Bakar RA memberikan suatu amaran dalam ucapannya:

لَا يَدْعُ قَوْمٌ الجِهَادَ فِيْ سَبِيْلِ اللّهِ إِلَّا ضَرَّبَهُمُ اللهُ بِالذُّلِّ.

“Bahawa kaum yang meninggalkan kewajipan jihad (menegakkan Islam sebagai agama yang tinggi dengan berkuasa) akan ditimpa kehinaan dan keburukan ke atas mereka.” (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 5, ms. 248)

Dalam pada itu, khalifah kedua Islam, Saidina ‘Umar bin al-Khattab RA turut memberikan amaran. Katanya:

‌نَحنُ ‌قَوْمٌ ‌أَعَزَّنَا ‌اللهُ ‌بِالإِسْلَامِ، فَمَهمَا ابتَغَينَا العِزَّةَ بِغَيرِ مَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ.

“Kita ialah kaum yang Allah kurniakan kemuliaan dan keperkasaan dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, nescaya kita akan ditimpa dengan kehinaan.” (Al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, jld. 1, ms. 61)

Fahaman yang meninggalkan politik dan memisahkannya daripada agama adalah berasal daripada ajaran Kitab Injil yang telah diselewengkan daripada kitab Allah yang asal. Keadaan sedemikian berlaku, apabila kerajaan di Eropah menyingkirkan peranan agama Kristian yang dianggap mengganggu agenda pihak berkuasa dalam mengejar kemewahan dunia yang bertarung dengan pihak gereja.

Di samping itu, mereka juga menganggap agama itu menolak kemajuan sains yang diambil daripada tamadun Islam. Justeru, ditulis dalam kitab Injil yang sesat dengan ayat sebagaimana berikut:

“Serahkan urusan kerajaan (politik) kepada raja atau pemimpin yang memerintah, manakala urusan agama kepada Allah (Tuhan).”

“Then give to Caesar the things that are Caesar’s, and to God the things that are God’s.” (Luke 20: 25).

Teks asal ini juga ada dinyatakan seperti berikut yang membawa maksud yang sama:

“Render unto Caesar the things which are Caesar’s, and unto God the things that are God’s.” (Matthew 22: 21)

Ajaran sesat yang memisahkan politik daripada agama ini dimasukkan ke dalam negara kita berserta pelaksanaannya pada zaman penjajah berkuasa menakluk tanah air kita dahulu.

Asalnya, para pendakwah yang membawa Islam telah melaksanakan Islam yang sempurna. Khususnya, apabila raja-raja yang memeluk Islam bergabung dengan para ulama’ memerintah negara (berkuasa politik), sehingga Islam yang adil kepada semua berjaya menarik seluruh rakyat memeluk Islam tanpa paksaan.

Ketika Islam yang mempunyai kuasa politik bernegara dilaksanakan dengan sempurna dan betul, ia telah berjaya menegakkan sebuah Tamadun Islam-Melayu di Nusantara bersama kerajaan-kerajaan Islam yang berkuasa politik. Sehinggakan, Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi menjadi bahasa ilmu.

Kelemahan umat mulai melanda, apabila petunjuk Islam ditinggalkan oleh pihak yang memerintah dalam urusan negara. Lantas, penjajah yang gagal mengalahkan umat Islam beberapa abad terdahulu, akhirnya berjaya menakluk tanah air umat Islam di seluruh dunia, khususnya selepas kejatuhan politik Islam yang dilakukan oleh Kamal Ataturk di Turki.

Adapun di tanah air kita, pihak penjajah merampas kuasa politik daripada raja-raja dan para ulama’ dengan cara yang sangat licik. Pendekatannya adalah dengan menyerahkan perkara agama yang berkaitan urusan ibadat, keluarga dan adat kepada raja-raja. Sebaliknya, urusan mentadbir negara (politik) telah dianggap bukan urusan agama berada di bawah kuasa penjajah melalui pegawai-pegawai daripada kalangan mereka yang ditugaskan atas nama penasihat.

Seterusnya, ajaran sesat yang memisahkan politik daripada agama itu dilaksanakan melalui program, pendidikan, media, pentadbiran, ekonomi, kebudayaan dan lain-lain. Perkara ini sekali gus, melemahkan kefahaman terhadap agama Islam dan juga pelaksanaannya.

Snouck Hurgronje (seorang tokoh orientalis Belanda) menyeru agar dibiarkan sahaja penganut Islam yang hanya beribadat semata-mata. Namun, umat Islam mestilah dihalang daripada berpolitik sehingga kembali berjaya memerintah negara.

Selain itu, Lord Cromer (seorang tokoh orientalis British) pula menyatakan supaya mengekalkan cara pemerintahan sekular (memisahkan politik daripada agama) selepas tanah jajahan diberikan kemerdekaan.

Kita menyaksikan betapa umat Islam hari ini ditimpa kehinaan dalam tanah air mereka sendiri, apabila berpolitik tetapi meninggalkan agama walaupun menganut berbagai-bagai ideologi.   

Apabila kaum pendatang yang dibawa oleh penjajah, pada mulanya sekadar menjadi buruh yang diperhambakan dan juga pengangkut najis di rumah-rumah, tiba-tiba bertukar menguasai ekonomi dan melonjak ke arah mempunyai kuasa politik. Adapun Melayu Islam pula sebaliknya ramai yang bertukar menjadi buruh dan dipermainkan, sehingga ada dalam kalangan mereka menjadi pengangkut najis.

Lebih malang lagi, apabila terdapat kelompok yang tidak mempedulikan politik dan membiarkan Islam dihina dan dipijak. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah SAW:

لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Demi sesungguhnya akan berlaku, dirombak ikatan ajaran Islam (yang teguh) satu demi satu. Maka, apabila setiap satunya dirombak, maka ia menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya (yang masih ada). Simpulan pertama yang dirombak ialah (pelaksanaan) hukum Islam dan simpulan terakhir yang dirombak ialah (pelaksanaan) solat.” (Riwayat Ahmad 22160, Ibn Hibban 6715 dan lain-lain dengan sanad yang baik)

Hadis di atas menunjukkan Islam itu disingkirkan sedikit demi sedikit dalam keadaan umatnya leka. Apabila mereka tidak mempunyai kuasa politik, perkara pertama yang disingkirkan ialah hukum-hukum yang menjaga jati diri umat kerana tiada naungan yang kuat daripada kuasa politik khususnya dalam perkara amar ma‘ruf dan nahi munkar. Imam al-Ghazali RH pernah menegaskan:

‌الدِّينُ ‌أَسٌّ ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama itu asas, sultan (kuasa pemerintah dalam politik) itu pula yang mengawasinya. Apa yang tidak mempunyai asas, akan runtuh; dan apa yang tiada pengawas, akan hilang.” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, ms. 128)

Pelindung kepada hukum-hukum ialah kuasa politik. Apabila dihilangkan kuasa tersebut, maka disaksikan undang-undang ciptaan manusia mengambil tempat hukum Islam. Pada masa yang sama, undang-undang Islam dihilangkan satu demi satu.

Lalu, dakwah Islam itu tidak terkawal dan tiada pelindung. Akibatnya umat Islam diseksa di dunia dengan berbagai-bagai penyakit jasad dan rohani, serta berlaku masalah rumah tangga dan masyarakat.

Sehinggakan, negara dijajah olah kaum lain dan menjadi kaum yang hina. Kemudiannya, mereka itu terseksa sebelum mati dan mendapat kecelakaan di alam akhirat pula sekiranya tidak bertaubat.

Allah SWT menyebutkan kepada kaum Yahudi pada zaman dahulu supaya ia menjadi iktibar juga kepada umat Islam, sebagaimana firman-Nya:

﴿…أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ٨٥ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا بِٱلۡأٓخِرَةِۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنصَرُونَ٨٦﴾

“…Apakah kalian hanya beriman kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka, tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu antara kalian, melainkan mendapat kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat mereka dijatuhkan dengan azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kalian lakukan. (85); Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada Hari Kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan. (86)” (Surah al-Baqarah: 85-86)

Politik merupakan tugas yang paling mulia, sehingga pemimpin yang adil yang berada di lapangannya adalah golongan pertama yang mendapat perlindungan Allah di padang mahsyar kelak. Kedudukan mereka itu mendahului kedudukan semata-mata ahli ibadat dan kebajikan yang lain.

Perkara tersebut dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW:

‌سَبْعَةٌ ‌يُظِلُّهُمُ ‌اللَّهُ ‌فِي ‌ظِلِّهِ، ‌يَوْمَ ‌لَا ‌ظِلَّ ‌إِلَّا ‌ظِلُّهُ: الإِمَامُ العَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي المَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ، فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ، أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ.

“Terdapat tujuh golongan manusia yang mendapat naungan Allah pada Hari Kiamat kelak, saat tiada perlindungan selain perlindungan-Nya. Pertama, pemimpin yang adil. Kedua, seorang pemuda yang membesar dalam melakukan ibadat kepada Allah. Ketiga, seorang lelaku yang hatinya selalu terpaut dengan masjid. Keempat, dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah; bertemu dan berpisah kerana-Nya. Kelima, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita cantik untuk berzina, lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut akan Allah’. Keenam, seorang lelaki yang bersedekah secara sembunyi hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya. Ketujuh, seorang lelaki yang mengingati Allah dalam keheningan malam, kemudian menitiskan air mata.” (Riwayat al-Bukhari 660, Muslim 1031 dan lain-lain)

Setelah politik dipisahkan daripada agama, maka tugas yang mulia akan dikotori tanpa sempadan. Sekali gus, menjadi punca berlakunya kezaliman, malah juga keruntuhan akhlak dan keruntuhan umat. Akhirnya, umat Islam dijajah dan diperhambakan.

Kaum Yahudi Bani Isra’il menjadi contoh kaum yang paling dimurkai Allah SWT, apabila mereka mempermainkan hukum-Nya, membunuh para anbiya’ dan ulama’, mengamalkan politik wang, rasuah dan lain-lain. Allah menyatakannya melalui firman-Nya:

﴿ضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَيۡنَ مَا ثُقِفُوٓاْ إِلَّا بِحَبۡلٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبۡلٖ مِّنَ ٱلنَّاسِ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلۡمَسۡكَنَةُۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلۡأَنۢبِيَآءَ بِغَيۡرِ حَقّٖۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ١١٢﴾

“Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia. Dan mereka kembali beroleh kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan. Oleh yang demikian, disebabkan mereka kufur (mengingkari) akan ayat-ayat Allah (segala perintah-Nya), dan mereka membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa melampaui batas (hukum-hukum Allah).” (Surah Ali ‘Imran: 112)

Mereka ialah kaum dimurkai Allah SWT yang dimasukkan sebagai doa dalam Surah al-Fatihah yang dibaca pada setiap rakaat solat.

Umat Islam yang pernah berkuasa di Andalusia (Sepanyol dan Portugal) runtuh semuanya, apabila tiada lagi kuasa politik akibat berpecah dan leka. Sekalipun mereka telah bertapak hampir lapan abad (800 tahun) lamanya di sana. Keadaan sedemikian menyebabkan masjid-masjid ditinggalkan tanpa ada orang yang bersolat, bahkan ada sebahagiannya yang menjadi gereja dan lain-lain.

Allah SWT meletakkan kewajipan besar yang akan dipersoalkan pada Hari Akhirat nanti berkenaan kepimpinan negara. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾

“(Ingatlah) pada hari (Hari Kiamat) Kami menyeru tiap-tiap umat manusia dengan pemimpin mereka; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak akan dianiayai sedikit pun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka ia juga akan buta di akhirat dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

Buta al-Quran itu lebih bahaya daripada buta huruf. Buta huruf mungkin sesat di dunia sahaja, tetapi mereka yang buta al-Quran akan mendapat kehinaan di dunia dan merana di akhirat kelak.

Al-Quran ialah petunjuk ke arah jalan kebenaran, berbeza sama sekali dengan media yang tidak istiqamah tanpa sempadan iman, ilmu dan akhlak. Penyakit yang sedang merebak dalam dunia terkini yang laris mendapat sambutan.

Situasi ini telah diberikan amaran oleh Allah SWT dan Rasullullah SAW akan merebak pada akhir zaman ke seluruh ufuk dunia. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ١٩﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar dalam kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara), sedangkan kalian tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur: 19)

Allah SWT juga memberikan peringatan kepada orang-orang yang beriman melalui firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian seorang fasiq membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kalian tidak menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum disebabkan kejahilan kalian (mengenainya); sehingga menyebabkan kalian menyesali apa yang kalian telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)

Kini, kita sedang menyaksikan wabak tidak peduli akan politik atau politik mengejar kemewahan dunia tanpa petunjuk Allah SWT sedang merebak ke dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda yang paling leka. Bahayanya lebih besar daripada dilanda wabak taun dan Covid-19.

Hal ini demikian kerana, wabak Covid itu hanyalah penyakit jasad di alam dunia, kerana mati ditimpa wabak sekadar merana di dunia sahaja. Sebaliknya, jika bersabar akan mendapat kebahagiaan di akhirat.

Adapun mereka yang mati dengan meninggalkan petunjuk agama akan merana dunia dan akhirat. Allah SWT memberikan suatu peringatan kepada mereka yang beriman dengan firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kalian dan keluarga kalian dari neraka yang bahan-bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula sentiasa melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim: 6)

Firman Allah SWT:

﴿إِذۡ تَبَرَّأَ ٱلَّذِينَ ٱتُّبِعُواْ مِنَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُواْ وَرَأَوُاْ ٱلۡعَذَابَ وَتَقَطَّعَتۡ بِهِمُ ٱلۡأَسۡبَابُ١٦٦ وَقَالَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُواْ لَوۡ أَنَّ لَنَا كَرَّةٗ فَنَتَبَرَّأَ مِنۡهُمۡ كَمَا تَبَرَّءُواْ مِنَّاۗ كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ ٱللَّهُ أَعۡمَٰلَهُمۡ حَسَرَٰتٍ عَلَيۡهِمۡۖ وَمَا هُم بِخَٰرِجِينَ مِنَ ٱلنَّارِ١٦٧﴾

“(Iaitu) ketika para pemimpin yang menjadi ikutan itu berlepas diri daripada orang-orang yang mengikutinya, sedangkan kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan antara mereka. (166); Dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut itu, ‘Alangkah baiknya jika kami dapat berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!’ Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal-amal mereka sebagai suatu penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka. (167)” (Surah al-Baqarah: 166-167)

Jadikan al-Quran sebagai petunjuk sepanjang jalan bagi mencari kebenaran sekiranya kita masih beriman. Dalam pada itu, biarkan sahaja mereka yang tidak beriman bebas mengikut kehendak mereka.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Syawwal 1443 / 9 Mei 2022 – HARAKAHDAILY 9/5/2022

Komen Weblog Ibnu Hsyim: UMNO dikatakan berjaya mengharungi cubaan pihak tertentu cuba memecahbelahkan parti itu yang kini sedang berusaha membina semula kebangkitannya. Presidennya mendakwa anasir perpecahan yang cuba disuntik gagal menggoyahkan kemuafakatan dan kesatuan pendokongnya.

Sedangkan presiden PAS pula menyebutkan  'meninggalkan politik', adalah bahaya yang menimpa umat. Yakni meninggalkan politik cara Islam. Lihat amaran Allah SWT..

“Jika kalian tidak berangkat secara beramai-ramai untuk berjuang pada jalan Allah (meninggikan Islam), maka Allah akan menyeksa kalian dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kalian dengan kaum yang lain, dan kalian tidak akan dapat mendatangkan kemudaratan sedikit pun kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Tawbah: 39)

Berdasarkan ayat di atas, sekiranya umat Islam tidak mahu berjuang untuk agamanya, maka Allah akan menggantikan mereka dengan kaum yang lain. Mereka akan digantikan sama ada oleh kaum yang memeluk Islam dan berjuang menegakkannya atau kaum bukan Islam yang melenyapkan umat Islam dengan penjajahan yang menghinakan. 

Walau bagaimanapun, Islam tetap bangkit di tempat yang lain. Kerana Allah SWT menetapkan kejadian manusia supaya beribadat, berkhilafah (berpolitik) dan beramanah (melaksanakan syariat Allah). Maka, politik adalah sebahagian daripada kewajipan manusia di alam dunia.

Allahu Akbar!

2 comments:

Anonymous said...

Wak kena jadi ahli biasa. Parti kena cuci. Biar muka baru yang bebas mahkamah jadi pemimpin. Baru kelas.

Anonymous said...

Kat barat atau jepun, bila dah ada skandal, tak ragu ragu lepaskan jawatan. Tapi presiden kat malaysia makin kuat hipokrasinya. Logik ker kalau dah jadi presiden, tapi tak boleh kawal yayasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails