Friday, June 10, 2022

Bon Odori unsur Buddha, Jepun & bukan Muslim.

 

Penari berpakaian kimono dalam tarian festival Bon Odori. - Foto hiasan NSTP/Osman Adnan 
Festival Bon Odori ada upacara agama Buddha. - Foto hiasan NSTP/FARHANY RAHMAN

1. Bon Odori ada unsur ritual Buddha

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS menggesa umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori kerana ada unsur agama Buddha dalam festival berkenaan.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya, berkata ada pandangan menyatakan pesta itu berkaitan kebudayaan Jepun, namun itu tidak mengetepikan pandangan ada unsur ritual agama Buddha.

"Dewan Ulama PAS Pusat menggesa supaya umat Islam mengambil perhatian terhadap perbahasan berkenaan dengan Festival Bon Odori ini serta tidak mengambil bahagian dalam festival berkenaan.

"Nasihat yang disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad jelas berpandukan maslahah orang ramai.

"Prinsip itu selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti, pengkaji agama serta kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

"Semua pendirian ini dinyatakan berdasarkan maslahah awam supaya tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pelanggaran akidah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gesaan itu dibuat sehari selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menyekat program kebudayaan Jepun itu yang akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai ini.

Sebelum ini, Idris menasihatkan umat Islam di negara ini tidak menyertai program Festival Bon Odori kerana ia mengandungi unsur agama lain.

Katanya, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Ahmad berkata, alasan kebudayaan Jepun semata-mata tidak cukup merit untuk dipertimbang bersama.

Beliau berkata, nasihat yang sama sudah dinyatakan Dewan Ulama PAS kepada Kerajaan Kelantan dan negeri itu tidak lagi menyenaraikan tarian Bon Odori sebagai acara persembahan kebudayaan di dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022 yang diadakan Mei lalu.

"Nasihat itu diberikan selepas dikenal pasti acara itu mempunyai unsur-unsur keagamaan yang boleh merosakkan akidah dan ia wajar dicontohi semua pihak," katanya

Beliau menegaskan Dewan Ulama PAS Pusat juga menggesa umat Islam mengambil perhatian perbahasan mengenai Festival Bon Odori.

Katanya, pihak berkuasa agama di negara ini sewajarnya membahaskan semula bentuk perayaan dan festival dari dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan agama lain.

"Ia perlu dibendung secara konstruktif bagi menjaga maslahah ummah di negara ini," katanya.

2. Bagaimana menghargai peradaban Jepun 

SAYA mula mengenali peradaban Jepun semasa menjadi salah seorang petugas dalam Jawatankuasa Penganjur Inter-Civilisational Dialogue: Islam, Japan and The West. Persidangan tersebut dianjurkan oleh Universiti Malaya yang dikemudikan secara khusus oleh Prof Dr Osman Bakar, salah seorang pelopor Dialog Peradaban di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ketika persidangan tersebut saya ditugaskan untuk mengiringi Dr Surin Pitsuan dan Dr Nurcholis Majid dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang sehingga ke tempat persidangan. Salah seorang tokoh jemputan dari Jepun yang sempat saya kenali ialah Prof Dr Kosugi Yashushi, seorang lepasan Universiti al-Azhar yang ketika itu mengajar di Universiti Kyoto.

Dalam persidangan tersebut, secara tidak langsung Jepun telah diangkat sebagai sebuah peradaban dunia hari ini, bukan sekadar budaya. Bagi mereka yang mengkaji bidang peradaban, terdapat perbezaan antara peradaban dan budaya, meskipun banyak persamaan antara keduanya. Ruang pengaruh peradaban lebih luas berbanding dengan pengaruh budaya, manakala tempoh pengaruh peradaban terhadap sesuatu komuniti pula lebih berkekalan. Secara realitinya ketika itu dan juga hari ini, Jepun sememangnya layak dihargai sebagai sebuah peradaban berdasarkan kepada pengaruhnya luas terhadap masyarakat global, seiring dengan peradaban Islam, Barat dan Konfusianisme.

Pada September 2002 saya berpeluang menjejakkan kaki ke Jepun menjadi Sarjana Pelawat di Universiti Kyoto di bawah tajaan Japanese Society for Promotion of Science (JSPS). Prof Dr Saburo Matsui dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kyoto, menjadi tuan rumah kepada lawatan tersebut. Di situ saya melihat dengan mata kepala sendiri sebuah masyarakat yang dikatakan sebagai masyarakat berperadaban (civilised society) yang menjadi teladan dunia ketika ini. Nilai-nilai peradaban yang terpuji wujud pada masyarakat Jepun seperti kebersihan, kerajinan, kejujuran dan lain-lain. Oleh sebab itu, tidak hairan jika Jepun merupakan kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia ketika ini.

Jepun juga mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat Islam Asia Tenggara. Hubungan tersebut telah bermula sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Menurut laporan kajian ‘Hang Tuah: Catatan Okinawa‘ oleh Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin, Hang Tuah pernah menjejakkan kaki di Okinawa dalam usaha mempereratkan hubungan dengan Kesultanan Melaka. Sehingga hari ini, hubungan antara masyarakat Islam di Asia Tenggara dengan Jepun masih sangat erat. Kebangkitan ekonomi Malaysia sebagai salah sebuah negara Harimau Asia bermula awal 1980-an banyak disumbangkan oleh pelaburan dari Jepun sama ada dalam bidang elektronik atau lain-lain.

Secara khusus, hubungan Jepun dan Malaysia semakin erat sejak Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur. Semenjak itu, bukan sahaja Teknologi Jepun dibawa masuk ke Malaysia, bahkan budaya masyarakat Jepun juga dibawa ke sini. Demikian juga, sebelum gelombang Hallyu melanda Malaysia, gelombang budaya popular Jepun juga pernah melanda Malaysia. Siri Drama Jepun ‘Oshin’ menjadi buah mulut penonton drama di Malaysia. Cerita animasi kanak-kanak seperti Doraemon dan cerita fiksyen kanak-kanak seperti Ultraman juga menempati peti-peti televisyen masyarakat Malaysia. Oleh sebab itu budaya Jepun bukan asing di negara ini.

Bagaimanapun, sehari dua ini, timbul polemik berkaitan dengan satu perayaan keagamaan yang dirayakan oleh masyarakat Jepun iaitu Bon atau O-Bon. Perayaan tersebut jelas sekali adalah perayaan keagamaan khususnya bagi masyarakat Buddha di Jepun, memuja ruh orang-orang tua mereka yang telah mati. Perayaan tersebut sama dengan Perayaan Hantu yang disambut oleh masyarakat sebelah Asia Timur yang lain. Ia juga hampir sama dengan Pesta Puja Pantai yang pernah dilakukan di negara ini satu ketika dahulu. Berkaitan dengan Pesta Puja Pantai ini, pihak berkuasa agama dan para ulamak di Malaysia secara tegas telah mengharamkan penganjuran pesta tersebut.

Sebagaimana Pesta Puja Pantai, Perayaan Bon juga mengandungi amalan-amalan budaya sebagai acara menyambut pesta atau perayaan tersebut. Amalan budaya tersebut seperti acara jamuan, acara berpakaian, acara permainan, acara tarian dan seumpamanya. Secara ringkasnya bagi memudahkan kefahaman, Perayaan Bon ini adalah perayaan keagamaan yang terkandung acara berkaitan budaya di dalamnya. Oleh sebab ia adalah perayaan keagamaan, maka orang Islam tidak dibenarkan menganjurkannya. Adapun bagi masyarakat bukan Islam mereka berhak menganjurkan perayaan itu, tetapi tidak menjemput masyarakat Islam merayakannya bersama-sama, walaupun dengan menghadiri acara budaya di dalamnya.

Sesuatu yang sangat menarik telah dilakukan oleh masyarakat Pantai Timur Malaysia, mereka telah mengubah Pesta Puja Pantai kepada Pesta Pantai yang tidak melibatkan lagi amalan-amalan ritual dan sebaliknya mengekalkan amalan-amalan budaya. Maka perubahan tersebut menjadikan pesta itu bukan lagi perayaan keagamaan sebaliknya menjadi perayaan kebudayaan. Katakanlah, ada masyarakat peribumi berkepercayaan animisme memohon untuk dimasukkan satu acara ritual mereka dalam pesta tersebut, tetapi tertutup untuk dirayakan oleh mereka sahaja, maka Pesta Pantai itu tetap perayaan kebudayaan, yang boleh dihadiri oleh masyarakat Islam kecuali acara ritual tertutup yang dibuat oleh masyarakat peribumi tersebut.

Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri Kelantan pernah menganjurkan Pesta Budaya Kelantan-Jepun, dan turut dianjurkan pada tahun ini. Jelas sekali, pesta tersebut adalah perayaan kebudayaan bukannya perayaan keagamaan. Berbanding tahun 2019, pada tahun ini pesta tersebut tiada lagi acara Tarian Bon atau Bon Dori. Acara Bon Dori sebenarnya adalah acara ritual berkaitan dengan Perayaan Bon. Pada pandangan saya, sekiranya masyarakat Jepun atau masyarakat bukan-Islam di Kelantan mahu menyelitkan acara itu di dalam Pesta Budaya Kelantan-Jepun, ia dibolehkan dengan syarat ia tertutup tidak disertai oleh masyarakat Islam. Walaupun diselitkan acara ritual tertutup, ia tidak mengubah status pesta keseluruhan sebagai perayaan kebudayaan.

Kesimpulannya, menghargai sesuatu peradaban ialah dengan sikap saling berkongsi perkara yang ada titik persamaan dan menghormati perkara yang kita tidak boleh tidak berbeza. Islam dan peradaban lain mempunyai banyak titik persamaan dalam perkara moral dan manusiawi. Manakala Islam dan peradaban lain, tidak mungkin boleh berkongsi dalam perkara kepercayaan dan ukhrawi. Walaupun tidak boleh berkongsi, tetapi masyarakat Islam diajar menghormati penganut agama lain, tidak menghina sembahan mereka dan memberi hak untuk mereka beramal dengan kerpercayaan mereka. Tahniah Kerajaan Negeri Kelantan berjaya berunding bagaimana penganjuran Pesta Budaya Kelantan-Jepun boleh dilangsungkan.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI 
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/6/2022

3. Umat Islam jangan sertai festival berunsur agama lain 


DEWAN Ulamak PAS Pusat menegaskan agar umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori kerana unsur-unsur keagamaan yang terdapat dalam festival berkenaan. Meskipun terdapat pandangan yang menjelaskan festival tersebut turut berkait dengan kebudayaan Jepun, namun ia tidak sesekali mengenepikan pandangan bahawa ia tetap mengandungi unsur ritual keagamaan Buddha.

Prinsip ini selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti, pengkaji agama serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Kesemua pendirian ini dinyatakan berdasarkan maslahah awam supaya tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pelanggaran aqidah. 

Dalam hal ini, alasan kebudayaan Jepun semata-mata tidak cukup merit untuk dipertimbangkan bersama. Dewan Ulamak PAS Pusat mencadangkan agar langkah Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak lagi menyenaraikan tarian Bon Odori sebagai acara persembahan kebudayaan di dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022 yang telah diadakan pada Mei lalu, setelah dikenalpasti mempunyai unsur-unsur keagamaan yang boleh merosakkan akidah, dicontohi oleh semua pihak. 

Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa supaya umat Islam mengambil perhatian terhadap perbahasan berkenaan dengan Festival Bon Odori ini serta tidak mengambil bahagian dalam festival berkenaan. Nasihat yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama tersebut jelas berpandukan maslahah orang ramai. 

Di samping itu, badan-badan autoritatif agama di negara ini sewajarnya mewacanakan semula bentuk-bentuk perayaan dan festival dari dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan unsur keagamaan lain. Ia perlu dibendung secara konstruktif bagi menjaga maslahah ammah di negara ini

YB SENATOR USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/6/2022

4. Bon Odori: Membezakan budaya dan agama 

BON ODORI

Perkataan ‘Odori’ dalam bahasa Jepun adalah bermaksud tarian tradisional Jepun. Manakala ‘Bon’ pula adalah nama kepada Perayaan Hantu Lapar iaitu satu amalan dalam keagamaan Buddha. Falsafah dan sejarah di sebalik perayaan Bon ini adalah berasaskan kepada kepercayaan agama yang wujud di dalam agama Buddha.

Masyarakat Jepun yang beragama Buddha percaya pada hari Bon tersebut roh nenek moyang akan berkeliaran menziarahi kembali ke rumah. Perayaan Bon ini telah dirayakan di Jepun selama lebih dari 500 tahun dan secara tradisional termasuk tarian, yang dikenali sebagai Bon Odori.

Jadi secara jelas, Bon Odori ini adalah berkaitan kepercayaan (agama) Buddha Jepun, yang di mana festival ini diadakan di 3 buah negeri di dalam Malaysia yakni Selangor, Pulau Pinang dan Sabah.

Budaya bagaimana?

Islam dalam memandang suatu budaya mempunyai 3 prinsip dalam menilai akan ia:

1) tidak melanggar syariat (hukum syarak).

2) mendatangkan kemaslahatan.

3) tidak menimbulkan mafsadat (kerosakan) pada kerukunan.

Ianya sesuai dengan prinsip Al-Wala’ dan Al- Bara’. Maka cara bacaan prinsip juga mestilah diutamakan yang pertama dahulu (yakni tidak melanggar syariat), meskipun nombor 2 (maslahat) dan nombor 3 (mafsadat) ada dalam sesuatu perkara atau budaya.

30 tahun dah raikan

Namun di sana ada dalam kalangan mereka yang masih jahil murakkab mempersoalkan mengenai ketidakwajaran Muslim untuk sama-sama hadir dan meraikan upacara Bon Odori dengan alasan:

1) Dah 30 tahun negara ini raikan Bon Odori, kenapa baru hari ini nak bersuara?

2) Ianya memupuk semangat kekeluargaan.

3) Ianya akan merangsang ekonomi.

4) Ianya hanya budaya dan festival menari.

Jika yang berkata ini adalah dalam kalangan non-Muslim, maka kita tidak ada masalah, namun jika ianya datang dari mulut Muslim sendiri maka ianya sesuatu yang pelik sedangkan kajian-kajian juga telah menunjukkan bahawa Bon Odori ini adalah menyentuh perihal keagamaan.

Jika mahu kata sudah 30 tahun diraikan oleh semua kaum dan agama, maka Alhamdulillah dengan ada kerajaan yang sedia ada ini melalui Menteri Agama, YB Senator Ustaz Idris Ahmad, telah bersuara agar Muslim tidak hadir ke upacara tersebut. Takkan nak teruskan kejahilan-kejahilan itu seperti 30 tahun lamanya sebelum ini?

Namun jika masih berkeras, maka apa yang boleh dikhabarkan kepada ‘mereka’:

لَكُمْ دِيْنُكُمْ وَلِيَ دِيْنِ ࣖ

“Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.”

(Al Kafiruun: 6)

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum (dalam urusan agama), maka ia termasuk golongan mereka”

(Hadis Riwayat al-Bazzar, Abu Daud Ibn Abi Syaibah)

**Perkara paling menarik dalam poster adalah karakter yang memakai tudung di hadapan sekali, cantik ‘permainan’ dia

LUJNAH DAKWAH DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG – HARAKAHDAILY 9/6/2022

Sila lihat..
Kaitan Industri cendawan 


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

  1. Saya pelajar Universiti Malaya dan saya ada membuat kajian berkenaan sambutan festival bon-odori ini. Jadi berdasarkan penulisan tuan saya berminat untuk mengetahui unsur-unsur buddha yang dikatakan wujud dalam sambutan ini. Saya ingin mewujudkan kejelasan dalam penulisan saya berkenaan konteks sambutan bon odori di Malaysia.

    ReplyDelete