Friday, July 01, 2022

Keluaran ikan berganda, muncul bandar baru & permata bersinar...

 


1. Pengeluaran ikan di Danau To’ Uban meningkat berkali ganda

PASIR MAS: Dakwaan pembangkang kononnya penternak ikan dalam sangkar di Danau To’ Uban terjejas ekoran projek solar yang dilaksanakan di tasik tersebut ternyata meleset.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku apabila 77 peserta Projek Penternakan Ikan Sangkar di lokasi terbabit berpuas hati dengan pengeluaran ikan semakin meningkat.

Menurut mereka pada tahun lepas pengeluaran ikan sebanyak 110 tan metrik berbanding 49 tan metrik tahun sebelumnya.

Peningkatan jumlah pengeluaran tersebut membolehkan nelayan terbabit meraih pendapatan RM0.76 juta pada tahun 2021 berbanding RM0.39 juta tahun 2020.

Seorang penternak Mohd Rozailan Nordin, 33, dari Sungai Rasal To’ Uban berkata, pengeluaran ikan yang diternak di sangkar di Danau To’Uban antara 700 hingga 1,000 kilogram sebulan.

“Saya mewakili 77 nelayan merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh membantu kami dengan membekalkan benih, makanan ikan dan peralatan seperti pukat, bubu, unjam dan jala,” katanya.

Menurutnya juga anggota Exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan pegawai Jabatan Perikanan banyak membantu penternak di Danau To’ Uban.

Baru-baru ini ketika Forum Rakyat Ketua Pemuda Amanah Hazmi Hassan mendakwa penternak ikan di Danau To’ Uban terjejas ekoran projek solar yang dilaksanakan sekarang. – HARAKAHDAILY 29/6/2022

2. Lagi bandar baharu muncul di Kelantan  

BACHOK: Kelantan semakin rancak dilanda arus pembangunan apabila muncul banyak bandar baharu bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi tempatan.

Bandar baharu yang dibangunkan muncul tidak jauh daripada bandar lama sehingga muncul banyak bandar berkembar termasuk di Pasir Puteh, Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah.

Dan terbaru Bandar Baru Jelawat yang berkeluasan 22.7 ekar dijangka dibuka 26 Julai ini mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada 1,500 penduduk tempatan.

Penduduk tempatan berpeluang berniaga di tempat yang lebih selesa dan lengkap dengan segala kemudahan berbanding Pekan Jelawat.

Adun Jelawat Abdul Azziz Kadir berkata, Bandar Baru Jelawat bakal memacu pembangunan ekonomi dan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.

Katanya, mereka berpeluang berniaga secara kecil-kecilan, penjaja dan bekerja di gedung-gedung perniagaan serta pejabat yang akan beroperasi di situ.

“Bandar baharu tersebut terletak di lokasi lebih strategik di laluan ke Tok Bali dan saiz yang lebih luas berbanding pekan Jelawat sekarang,” katanya kepada UPKN.

Menurutnya juga Pasar Siti Aisyah di Pekan Jelawat akan dikekalkan di lokasi lama bagi memberi pilihan kepada peniaga sedia ada berniaga.

Oleh itu beliau merakam penghargaan kepada kerajaan negeri, Majlis Daerah Bachok dan pemaju yang terbabit membangunkan Bandar Baharu Jelawat.

Bandar baharu tersebut turut dilengkapi stesen bas, Pasaraya Pantai Timur, klinik, farmasi, pusat hemodialisis, surau dan pelbagai lagi.

Manakala pembinaan pasar awam dua tingkat dijangka siap September hadapan mampu menyediakan 366 gerai kepada peniaga tempatan.

Sehingga sekarang beberapa premis perniagaan beroperasi di Bandar Baharu Jelawat termasuk KB Brewster, Happy Home dan Kedai Pakaian MM.

Bachok juga mempunyai bandar baharu di Beris Kubur Besar. Manakala bandar lama Bachok berhampiran Pantai Irama juga turut berkembang dengan kemunculan banyak bangunan perniagaan dan bank. – UPKN

3. ‘Permata’ Kuala Sat kembali bersinar 

Foto daripada Facebook Kuala Sat Taman Negara.

JERANTUT: Setelah hampir dua tahun sunyi tanpa dikunjungi pelancong berikutan pandemik Covid-19, industri ekopelancongan yang  baharu ‘setahun jagung’ di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling kembali ‘bernafas’ ketika negara kini dalam fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lepas.

Kenderaan yang keluar masuk ke kampung ini yang terletak sekitar 117 kilometer dari bandar Jerantut dan kira-kira 54 kilometer dari Kuala Tahan ini, menjadi pemandangan lumrah terutama pada hujung minggu sejak industri pelancongan negara kembali bangkit pada penghujung tahun 2021.

Kampung tradisi Melayu ini yang masih mengekalkan keindahan panorama semula jadi ini semakin menjadi tumpuan pencinta alam termasuk pelancong dari luar negara yang boleh memilih sama ada untuk bermalam atau balik hari.

Kedudukan Kuala Sat yang sebahagiannya terletak di Taman Negara Pahang di Kuala Tahan tidak sekadar menjanjikan pemandangan menghijau hutan yang berusia lebih 130 tahun tetapi juga alunan bunyi alam yang mengasyikkan.

Malah,  ketenangan Sungai Hulu Tembeling dan Sungai Kuala Sat (anak sungai Hulu Tembeling) yang menjadi ‘nadi ekonomi’ buat penduduk kampung serta keramahan mereka yang menyapa mesra pelancong dalam dialek Hulu Pahang, pastinya menjadi momen yang menggamit hati untuk kembali lagi ke sini.

Benarlah kata orang, tidak sah kalau ke Taman Negara jika tidak singgah ke Kuala Sat kerana ia adalah antara satu lagi ‘permata tersembunyi’ di daerah ini yang wajib dikunjungi serta diterokai bagi pencinta alam mahupun mereka yang ingin menghirup udara segar bebas daripada hiruk-pikuk kesesakan kota.

Suasana pagi di Kuala Sat

Suasana damai inilah yang saya rasai sepanjang tiga hari perkhemahan di Kuala Sat, bercuti bersama keluarga, setelah sekian lama tidak dapat melakukan aktiviti berkenaan.

Dingin kabus pagi dari hutan terpelihara di taman negara ini bukan sahaja menggamit keasyikan kami sekeluarga tetapi juga rasa kagum melihat semangat penduduk kampung di sini yang cuba bangkit kembali memajukan ekopelancongan Kuala Sat.

Kedatangan ramai pengunjung memberikan ‘sinar harapan’ baharu buat penduduk kampung khususnya mereka yang menceburi bidang perkhidmatan yang menyokong dan mengembangkan aktiviti pelancongan di kampung ini.

Selain meneruskan tradisi keluarga menoreh getah, boleh dikatakan ramai anak muda Kuala Sat menjadi pemandu bot, jurupandu arah, pengurus chalet serta tidak kurang juga menjadi jurupandu pelancong yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan baharu kepada hampir 70 orang belia kampung ini.

Jeti Kuala Sat, kira-kira 100 meter dari kampung ini menjadi ‘lubuk’ rezeki apabila puluhan bot penambang sudah bersedia seawal pukul 10 pagi untuk membawa pelancong ke lokasi  menarik di sepanjang Sungai Hulu Tembeling dan  Sungai Kuala Sat yang bersebelahan Taman Negara.

Saya sekeluarga tidak melepaskan peluang mengambil pakej yang disediakan antaranya menyusuri Sungai Hulu Tembeling dan Sungai Sat ke perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kampung Bengoi, berkelah di Pulau Betong, dan melihat ribuan anak ikan kelah, lampam dan kerai di santuari ikan kelah di Kuala Sat.

Selain itu, terdapat juga aktiviti meredah hutan (jungle trecking), melawat Istana Seri Tembeling (istana hinggap bagi Kebawah Duli Sultan dan kerabat diraja apabila mencemar duli ke kawasan Hulu Tembeling) ataupun ke Pos Kelapah yang merupakan jalan masuk ke Gunung Milung dengan harga yang sungguh berpatutan.

Keistimewaan asam rong Kuala Sat

“Kerayan sunguh gun… (keadaan sudah berubah) ramai org datang Kampung Kuala Sat lo ni (sekarang), meriah amat tiap hujung minggu,” kata Zainuddin Yusuf, 82, dalam dialek Hulu Pahang (Kuala Sat), warga emas yang saya temui ketika kami sedang menjamu selera di kedai makannya.

Menurut beliau, setiap kampung di Hulu Pahang mempunyai dialek dengan keunikannya tersendiri dan ini yang menjadi antara modal keramahannya menyambut mahupun meraikan kedatangan pelancong ke kedai makannya.

Bersyukur perniagaannya sudah kembali rancak sepertimana sebelum berlaku pandemik Covid-19, Zainuddin mengakui hampir dua tahun kedainya sunyi dan hanya dikunjungi orang kampung berikutan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Apa yang istimewa mengenai kedai makannya ialah lauk-pauk tradisi Hulu Pahang seperti asam rong dan gulai tempoyak ikan sungai yang menjadi tumpuan kalangan mereka yang sukakan makanan tradisi tersebut.

Boleh dikatakan tidak lengkap percutian ke Kuala Sat jika tidak menikmati dua menu popular ini bahkan keunikan asam rong Jerantut adalah kerana ia berasaskan daripada biji getah yang diambil isinya lalu dikeringkan dan diproses menjadi asam rong.

Selain kedai makan, banyak kemudahan lain yang dibangunkan di kampung ini, antaranya kedai runcit, sekolah rendah, masjid dan klinik kesihatan.

Terdapat juga kedai yang menjual petrol bersubsidi untuk penduduk kampung selain kemudahan asas bekalan air, elektrik, talian telefon dan internet.

Ibarat permata yang bersinar

Ibarat ‘permata’ yang semakin bersinar, potensi ekopelancongan di sini memberi impak besar kepada ekonomi penduduk kampung yang sebelum ini hanya bergantung kepada sumber komoditi getah selain hasil kampung.

Perubahan ini berlaku apabila wujudnya jalan raya bagi menghubungkan Kuala Tahan ke Hulu Tembeling yang siap sehingga ke Kampung Kuala Sat pada 2018.

“Sebelum ini, hanya sungailah jalan utama kami ke bandar untuk mendapatkan barang keperluan dengan menaiki bot yang mengambil masa kira-kira tiga jam dari Kuala Sat ke Kuala Tahan.

“Dari Kuala Tahan ke Jerantut pula, perlu menaiki teksi atau kereta sapu yang mengambil masa lebih kurang satu jam lagi perjalanan,” kongsi penduduk kampung, Zainuddin Sam, 61, dengan Bernama.

Kemudahan infrastruktur jalan yang ada kini bukan sahaja memberi kemudahan kepada lebih kurang 700 orang penduduk di Kampung Kuala Sat tetapi juga kampung berdekatan, antaranya Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai apabila masa diambil ke Jerantut kini kurang dari dua jam.

Ia juga bagaikan ‘gerbang peluasan ekonomi’ kepada penduduk apabila kemudahan berkenaan memberi pilihan percutian kepada pencinta alam untuk menikmati pengalaman baharu di Kuala Sat yang sebelum ini lebih tertumpu di Taman Negara Kuala Tahan.

Bukan tugas mudah

Bagaimanapun, bukanlah mudah membangunkan ekopelancongan di lokasi yang sebelum ini ‘tidak ada apa-apa’, terutama meyakinkan orang kampung apa yang boleh‘dijual’ kepada pelancong.

Perkara ini dikongsi oleh Alias Abdullah Hashim, 47, antara perintis ekopelancongan di Kuala Sat.

Kembali menetap di kampung pada tahun 2018, Alias yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai jurupandu pelancong di Kuala Tahan berkata, beliau melihat Kuala Sat berpotensi luas untuk dibangunkan kerana lokasinya yang bersebelahan dengan Taman Negara Pahang.

Membuka tapak perkhemahan ‘Satlodge Campsite’ di tanah milik keluarganya yang menghadap Sungai Hulu Tembeling dan Taman Negara, beliau berkata, nama Kuala Sat semakin dikenali masyarakat luar Jerantut pada awal tahun 2019 apabila platform media sosial digunakan untuk mempromosikan pelbagai tarikan unik di sini.

“Banyak kelebihan yang ada di Kuala Sat, antaranya keadaan sungai yang berpasir dan kurang berbatu yang membolehkan banyak aktiviti sungai dijalankan selain airnya yang masih jernih serta kehidupan flora dan fauna yang masih terjaga.

“Aktiviti di sini sangat sesuai untuk seisi keluarga seperti berkelah, aktiviti rakit, naik bot ke Sungai Sat dan paling disukai pelancong adalah aktiviti tubing (menaiki perahu getah) mengikut arus sungai,” katanya.

Apabila mendapat maklum balas baik daripada pengunjung, Alias mula menggerakkan kaum belia untuk turut terlibat bagi memenuhi keperluan pelancongan di sini sehingga ada yang berani mengeluarkan modal membina chalet, bilik dan inap desa bagi menampung permintaan yang semakin bertambah.

Kini terdapat dua tapak perkhemahan selain lima jenis penginapan yang boleh disewa seperti inap desa dan chalet.

Berkongsi pengalaman kesukaran mengharungi tempoh PKP, Alias mengakui dia hampir hilang arah apabila aktiviti pelancongan yang baharu setahun usianya di sini terhenti.

“Banyak tempahan terpaksa dibatalkan dan saya kerugian ribuan ringgit. Belia kampung terpaksa kembali menoreh getah bagi mencari rezeki.

“Syukur, keadaan semakin pulih dan aktivti pelancongan di sini kembali bergerak dan saya memang tidak menang tangan memenuhi tempahan pelancong yang datang terutama hujung minggu serta cuti sekolah,” katanya.

Tambah baik pakej

Kesukaran ketika PKP turut dialami pemilik tapak perkhemahan Ilusi di Kuala Sat, Suhaidi Erwan Zainuddin, 33, yang ketika itu baharu enam bulan membangunkannya di tanah milik keluarga, berhadapan Sungai Sat dan Taman Negara.

Sepanjang hampir dua tahun PKP, dia terpaksa kembali menoreh getah di kebun milik ayahnya di Kampung Jipang, berhadapan Sungai Sat.

Namun begitu, beliau yang berpengalaman luas sebagai jurupandu pelancong di Taman Negara Kuala Tahan akan bersama Alias pada waktu terluang merangka aktiviti baharu di Kuala Sat termasuk pakej mendaki ke Gunung Milung yang baharu diperkenalkan.

 “Kami manfaatkan waktu PKP dengan memikirkan apakah pakej baharu yang boleh ditawarkan kepada pelancong dan salah satunya, pakej mendaki Gunung Milung. Harga pakej mendaki Gunung Milung sekitar RM320 seorang dengan minimun 10 orang dalam satu kumpulan.

“Saya, Alias dan beberapa rakan lain meneroka laluan masuk ke Gunung Milung yang berketinggian 691 meter dengan  jarak 12 kilometer selama tiga hari dua malam.  Perjalanan bermula dari Kuala Sat ke Pos Kelapah menaiki bos selama 45 minit, dan kemudian meneruskan perjalanan ke Pos Serdang yang memakan masa lebih kurang 5 jam. Bermalam di Pos Serdang dan kemudian meneruskan perjalanan keesokan ke Gulung Milung dan bermalam di sana,” katanya.

Pakej tiga hari dua malam ini amat berbaloi bagi peminat aktiviti mendaki kerana dari puncak akan nampak 360 darjah pemandangan di dalam Taman Negara yang menghijau serta kabus pagi yang membentuk ‘awan karpet’.

“Melihat kepada sambutan pelancong, diharapkan agar pihak berwajib seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dapat melihat potensi yang ada di Kuala Sat bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan yang secara tidak langsung dapat memberi limpahan ekonomi kepada penduduk kampung ini, ” kata Suhaidi Erwan. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pengeluaran ikan tambah berganda, muncul bandar baru dan permata yang kembali bersinar... Al-hamdulillah. Itulah tanda-tanda kebesaranMu ya Allah, bagi mereka yang mahu berfikir dan bersyukur!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment