Saturday, June 11, 2022

PAS tolak ‘khemah besar’. MN-PN perlu sepakat.

 

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

1. PAS tolak ‘khemah besar’ demi perpaduan ummah

MARANG: PAS tegas menyatakan pendirian parti itu menolak cadangan menyertai ‘khemah besar’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), setelah berbincang dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan telah diadakan bersama Muhyiddin mengenai khemah besar itu dan PAS berpendirian tidak bersetuju.

Katanya, perbincangan antara PAS dan Bersatu secara berterus terang dan tiada yang disembunyikan.

“Ya, kita dimaklumkan, kita tahu dan kita bincang, dan kita buat keputusan tak setuju khemah besar ini.

“Tan Sri Muhyiddin berbincang dengan kita, dia maklum dan kita bincang bersama. Kami tak sembunyi-sembunyi. Semua yang ada hubungan dengan kita, kita lapor.

“Yang berhubung dengan PAS pun kita lapor, berhubung dengan dia pun kita lapor. Kita buat keputusan Bersama. PAS menolak khemah besar dan Muhyiddin menerima. Apa pandangan kita itu, dia menerima,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Namun, kata Tuan Guru Abdul Hadi, penolakan itu kerana PAS masih berpegang dengan prinsip perpaduan ummah.

Menurutnya, perpaduan ummah itu dengan menyatupadukan umat Islam terlebih dahulu dan orang bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Kita masih lagi berpegang kepada prinsip perpaduan ummah. Menyatupadukan umat Islam dahulu kemudian, orang bukan Islam yang tidak ekstrem. Itu konsep yang kita pegang,” tegasnya.

Ketika ditanya, jika PAS bersama PN parti itu tidak berisiko pada PRU15, kata beliau PAS telah melakukan post mortem untuk tiga pilihan raya negeri (PRN).

“Kita melakukan ‘post mortem’dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dalam pilihan raya Melaka, dalam pilihan raya negeri di Johor.

“Semua pilihan raya ini kita dapati mereka yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya yang lalu tak undi PH lagi.

“Sama ada mereka undi kita atau mereka tak mengundi. Mereka (juga) tak mengundi Barisan Nasional (BN). Jumlah sangat besar dan undi kita naik di Melaka, undi kita naik di Johor, sehingga ada kawasan naik 200 peratus undi di situ.

“Cuma, yang datang kepada kita tidak cukup lagi, masa tak cukup, terlalu singkat sangat. Dengan sebab itu ada peningkatan dan kita akan usahakan lagi,” jelasnya.

Menjawab persoalan, PAS enggan mengadakan pilihan raya awal kerana gilakan kuasa dan takut kehilangan jawatan, kata Ahli Parlimen Marang itu mereka yang mahukan pilihan awal sebenarnya yang gila kuasa.

“Biasanya orang yang nak cepat (pilihan raya) gila kuasanya, dan orang yang tangguh-tangguh ini tak gila kuasa, dia fikir panjang.

“Saya sudah sebut, kita fikir panjang kerana rakyat. Rakyat menghadapi masalah-masalah yang banyak, penyakit Covid-19 belum diisytiharkan bebas lagi, termasuklah hal-hal yang lain.

“Pilihan raya yang diadakan itu pun kerana dia paksa hendak buat cepat, bukan kita dan kita termasuk dalam terpaksa. 

“Tak, kita tak gila kuasa, biasa kita duduk bawah. Kita duduk bawah tak jatuhlah, biasa yang jatuh yang duduk atas.

“PAS pernah kalah, selalu kalah dan menang jarang-jarang sekali, yang susahnya orang yang selalu menang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/6/2022

2. MN-PN perlu disepakati sekat kemaraan PH  

KOTA BHARU: Gabungan Muafakat Nasional (MN) perlu disepakati bersama Perikatan Nasional (PN) bagi meraih kemenangan lebih mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, selain itu bagi mengelak pentadbiran negara jatuh kembali ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, perpecahan antara dua parti besar orang Melayu, Umno dan PAS akan merugikan semua pihak terutama rakyat di negara ini.

“Pada hemat saya MN perlu terus disepakati bersama PN. Malah semua pimpinan perlu mengetepikan percanggahan antara satu sama lain, dan bersatu hati untuk menghadapi PRU-15.

“Sekiranya kerajaan perpaduan hari ini antara PN, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GRS) mampu membawa kestabilan politik, kenapa kita mahu berpecah pada PRU15,” katanya ketika dihubungi di sini.

Malah kata beliau sekiranya MN gagal dipertahankan bersama PN ia boleh memberi ruang PH muncul semula kerana orang Melayu tidak bersatu padu.

Beliau berkata, kemenangan hanya boleh dicapai sekiranya semua pihak bersatu hati atas nama MN dan PN bagi mengelakkan undi orang Melayu berpecah pada PRU15.

Bagaimanapun katanya juga PH pun berpecah kerana mereka masing-masing ego sehingga wujud beberapa kumpulan iaitu PH, Pejuang, Warisan dan pelbagai lagi parti politik serpihan lain. – HARAKAHDAILY 10/6/2022

Sila lihat..
Kaitan Industri cendawan 


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment