Tuesday, June 21, 2022

Patuh syariah, warisan budaya, sukan & alam sekitar..

 


1. Kelantan pertahan warisan, budaya patuhi prinsip syariah 

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak menolak warisan dan budaya tradisi termasuk makyong, dikir barat dan wayang kulit selagi ia mematuhi prinsip-prinsip syariah.


Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, persembahan tradisional tersebut dibenarkan selepas pembaikan dibuat dan memenuhi dasar-dasar yang berteraskan Islam.

Katanya, warisan sejarah dan budaya yang terdapat di Kelantan diiktiraf sehingga sambutan Hari Muzium Antarabangsa diadakan di Kota Bharu tahun ini.

“Ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap Kelantan sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan budaya dan warisan,” katanya perasmian Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2022, di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.

Menurutnya juga persidangan terbesar tentang sejarah dan warisan budaya pernah diadakan di Kota Bharu pada April 1980.

Kata beliau seminar Sejarah dan Budaya Wilayah Kelantan tersebut dianjurkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Menteri Besar juga berkata, muzium bukan hanya berperanan untuk memperbaiki dan menyimpan artifak-artifak, sebaliknya khazanah ilmu dan maklumat disimpan mampu membina jati diri anak bangsa kita.

“Tahniah saya rakamkan kepada Muzium Negara dan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan atas penganjuran tersebut.

“Semoga seluruh institusi muzium di negara kita akan terus maju dalam mempertahanan warisan dan kebudayaan negara demi kepentingan generasi akan datang,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, Kelantan cukup bertuah kerana julung kali terpilih menjadi tuan rumah sambutan HMA tahun ini. – HARAKAHDAILY 19/6/2022

2. Sokong aktiviti sukan selagi tidak bercanggah syariat 

PASIR MAS: Penganjuran sukan lasak motocross di Kampung Teluk Kerengga mampu memberi suntikan semangat kepada golongan belia untuk terlibat dalam aktiviti tersebut.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan terhadap apa sahaja program selagi tidak bercanggah syariat.

Menurut beliau, Islam mengalakkan umatnya mengamalkan gaya hidup sihat serta menjauhi perbuatan yang dilarang sekaligus merosakkan badan.

“Semoga penganjuran program motorcross selama dua hari dapat memberi suntikan semangat kepada anak muda untuk melibatkan diri dalam sukan yang mencabar.

“Terima kasih kepada kepada penganjur, petani dan penternak yang memberi kerjasama baik pada program dan sokongan untuk menjayakan kejohanan ini,” katanya pada majlis penutup Kejohanan Motorcross Terbuka 2022 di Litar Telok Kerengga Kampung Paloh Tendong di sini semalam.

Hadir sama anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, Adun Tendong Rozi Muhammad dan Adun Chetok Zuraidin Abdullah.

Lebih 400 peserta dari seluruh negara termasuk Thailand menyertai kejohanan tersebut yang bermula Sabtu lepas. Kawasan itu mempunyai litar sejauh satu kilometer.

Sementara itu Ahmad Fadhli berkata lokasi di tepi Sungai Kelantan itu sering dijadikan tempat pemuda tempatan bermain motorcross.

Malah beliau berkata memandangkan kawasan seluas dua ekar tanah itu berpotensi untuk dijadikan litar motorcross, sebanyak RM40,000 diperuntukkan bagi menambahbaik litar.

“Litar ini dibuka setiap hujung minggu untuk pemuda tempatan bermain motorcross dan kawasan ini dikenali sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi.

“Saya harap kerajaan negeri dapat mewartakan kawasan ini sebagai tempat penganjuran motorcross untuk memperkenalkan nama Kelantan di persada nasional dan antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

3. Selepas huru-hara politik: India teruk dilanda malapetaka alam, Covid-19  

Keadaan dua buah kereta api yang membawa 2,800 penumpang akibat kejadian tanah runtuh dan banjir susulan hujan lebat berterusan di Bukit Bukit Lumding-Badarpur, Assam pada 20 Jun 2022 (FOTO onmanorama.com)

NEW DELHI: Selepas huru-hara melanda India sepanjang minggu lepas angkara amukan rakyat yang bertindak membakar koc kereta api dan pejabat kerajaan pemerintah, Bharathyia Janata Party (BJP), India kini dilanda malapetaka susulan banjir besar yang sehingga Ahad (19 Jun) telah mengorbankan 71 nyawa di Assam, manakala jangkitan wabak Covid-19 kembali meningkat di India, dengan hampir 80,000 kes baharu direkodkan sejak seminggu lalu.

Tiga kanak-kanak merupakan antara sembilan mangsa yang terbunuh dalam banjir di Assam, timur laut India sepanjang 24 jam lepas.

Menurut laporan The Indian Express, banjir yang telah melanda 33 daerah di negeri itu turut menyebabkan tiga lagi maut akibat tanah runtuh yang mana ketiga-tiga kematian tersebut adalah di daerah Cachar.

Sementara sehingga Ahad juga, daerah Barpeta melaporkan dua kematian, diikuti satu kematian masing-masing di daerah Bajali, Kamrup, Karimganj dan Udalguri. 

Sejumlah 18 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan korban di India setakat ini mencecah 524,873 kes. (FOTO Anadolu Agency)

Sementara onmanorama melaporkan, kesemua kira-kira 2,800 penumpang dua kereta api yang terkandas di Bukit Lumding-Badarpur, Assam sejak dua hari lepas akibat tanah runtuh dan air yang membanjiri landasan akibat hujan yang turun berterusan, telah berjaya diselamatkan pada Isnin (20 Jun) termasuk oleh pasukan tentera udara dan  pihak berkuasa kereta api, Northeast Frontier Railway (NFR).

Bukan itu sahaja malapetaka yang kini menghantui India apabila negara yang kacau-bilau akibat kekejaman BJP di bawah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi khususnya terhadap penganut agama Islam, dilaporkan mengalami peningkatan jumlah kes aktif Covid-19 menghampiri sebanyak 60 peratus dalam tempoh tujuh hari lepas. 

Banjir yang melanda Assam di timur laut India kini dikategorikan sebagai malapetaka teruk dialami di negara itu. (FOTO Morung Express)

Setakat ini, terdapat 76,700 kes aktif dengan peningkatan sebanyak 4,226 kes dalam tempoh 24 jam lalu.

Namun, kementerian kesihatan India  bagaimanapun menolak kemungkinan mengenai gelombang Covid-19 keempat telah melanda negara itu.

Menurut angka rasmi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Persekutuan India  sebagaimana dilaporkan BusinessToday.In, pada Isnin (20 Jun), sebanyak 12,781 kes  jangkitan baharu telah direkodkan di seluruh negara itu, menjadikan jumlah kes setakat ini mencecah 43,309,473.   

Di sebalik peningkatan semula jumlah kes jangkitan baharu Covid-19, kerajaan India bagaimanapun menafikan ia merupakan gelombang keempat pandemik berkenaan dialami di negara itu. (FOTO CNBC)

Delhi sekali lagi kekal menjadi antara negara paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19, dengan 1,530 jangkitan baharu direkodkan pada petang Ahad.

Ia  merupakan hari keempat berturut-turut kes baharu melebihi 12,000 setiap hari, dengan 18 kematian direkodkan akibat wabak itu, menjadikan jumlah korban setakat ini mencecah 524,873.

Daripada 18 kematian baharu tersebut, 11 kes dilaporkan di Kerala, tiga dari Delhi dan masing-masing satu dari Karnataka, Maharashtra, Punjab dan Bengal Barat. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Fikir-fikir dan renunglah ayat-ayat ini, kaitkn dengan patuh syariah se dunia..

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah ash-Shura, ayat 30) 

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails