Saturday, June 04, 2022

S'gor lagi: Air hitam & sampah haram. JAS terus terjun siasat!

 

1. Air hitam: JAS Selangor siasat aduan viral

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengajukan aduan yang dilaporkan oleh Fb page Oh! Media, dua hari lalu kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Alhamdulillah, pihak JAS Selangor telah turun ke lokasi dan membuat siasatan pada 2 Jun sekitar pukul 1 petang,” ujarnya menerusi laman sosial beliau, hari ini, mengenai kemas kini aduan tular air hitam.

Menurutnya, lokasi siasatan adalah di kawasan Pulau Indah Industrial Park (Phase 3).

Tambahnya, lokasi merupakan kolam takungan seluas 900 meter dan telah dijadikan tempat pembuangan sampah haram.

“Kolam takungan ini adalah receptor saliran longkang hujan dari kawasan perindustrian Pulau Indah Fasa 3 dan dikawal oleh pintu kunci air utama sebelum memasuki muara Sungai Chandong,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Menurut beliau lagi, JAS Selangor telah merujuk kes ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Klang untuk tindakan susulan di bawah bidang kuasa masing-masing. – HARAKAHDAILY 4/6/2022

2. Black Lake tidak busuk: MPKj tahan lori cuba buang sampah haram  

Anggota penguatkuasa, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menahan sebuah lori yang disyaki cuba membuang sampah secara haram di Black Lake berhampiran Seksyen 5, Bandar Mahkota Cheras, Selangor pada 2 Jun 2022. (Foto HARAKAHDAILY/SYAHIRAH SALLEH)

KAJANG: Sebuah lori membawa sampah sarap ditahan anggota penguatkuasa, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada jam 12.45 tengah hari berhampiran Seksyen 5, Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini.

Kenderaan itu ditahan MPKj kerana disyaki cuba membuang sampah secara haram di tanah milik persendirian dikenali sebagai Black Water Lake (Black Lake) yang tular di media sosial pada Selasa lalu.

MPKj yang datang dengan tiga kenderaan berjaya mengepung lori berkenaan sebelum ia sempat beredar dari lokasi kejadian.  

Keadaan terkini pada 2 Jun 2022 yang dirakam di sekutar Black Lake, Bandar Mahkota Cheras yang dipenuhi sampah sarap dalam air berwarna hitam pekat. (FOTO HARAKAHDAILY/SYAHIRAH SALLEH)

Kejadian berlaku selepas MPKj terserempak dengan lori berkenaan selepas membuat tinjauan di Black Lake yang didapati penuh dengan sampah sarap dengan air berwarna hitam pekat.

Sementara itu, tinjauan kru HarakahDaily di Black Lake di sini mendapati sampah sarap termasuk sofa memenuhi hampir keseluruhan tasik tersebut yang dipenuhi ai berwarna hitam pekat.

Cuma yang anehnya, tiada bau busuk dihidu di Black Lake, tidak seperti yang didakwa penduduk di kawasan petempatan berhampiran lokasi tersebut yang mengadu diganggu bau busuk daripada aliran air yang mengalir dari Black Lake.

Justeru, ia segera menimbulkan persoalan adakah bau busuk itu yang didakwa penduduk bukan berasal dari Black Lake, ataupun ada pihak lain yang membuang bahan yang berbau busuk berkemungkinan bahan kimia tertentu ke dalam Blake Lake sebelum ia mengalir ke kawasan penempatan penduduk? – HARAKAHDAILY 2/6/2022

Berita lanjut menyusul.

No comments:

Post a Comment