Hidangan nasi ayam di sebuah gerai nasi ayam di medan selera di Singapura, yang bergantung kepada bekalan 3.6 juta ayam sebulan dari Malaysia. - Foto AFP
SINGAPURA: Tindakan Malaysia menghentikan eksport 3.6 juta ayam sebulan ke Singapura bermula hari ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat republik ini.
Ia adalah kesan salah satu langkah perlindungan terbaru di Asia yang bertujuan untuk menangani kekurangan domestik dan meredakan kenaikan inflasi di negara masing-masing.
Singapura bergantung kepada Malaysia bagi sebahagian besar import makanan negara itu termasuk satu pertiga bekalan ayam.
Salah satu kebimbangan adalah kesan ke atas jualan nasi ayam, yang menjadi juadah popular dan sering dijual di medan selera.
Pengasas Nasi Ayam Tian Tian Hainanese, salah satu gerai nasi ayam terkenal di Singapura, Foo Kui Lian, berkata harga ayam sudah pasti meningkat selepas tindakan Malaysia itu.
"Sekiranya pembekal menaikkan harga terlalu tinggi, maka kami terpaksa menaikkan harga hidangan kami sedikit.
"Jika tidak susah untuk kami bertahan," katanya.
Sehari sebelum larangan eksport dikuatkuasa, barisan panjang mula dilihat di sebahagian besar gerai nasi ayam di negara pulau itu.
Kebanyakan pembeli ingin merasai juadah itu sebelum harga dinaikkan selain khuatir bekalan ayam akan terjejas.
Antara yang turut beratur adalah pekerja pejabat, Meilan Lim, yang membeli juadah itu sebelum kehabisan stok.
"Walaupun saya bukan penggemar nasi ayam, kadang kala rasa kempunan itu ada.
"Sekiranya larangan eksport itu berlarutan untuk jangka masa yang lama, ia akan menjadi masalah kepada saya," katanya.
Sesetengah penjual sudah mula menaikkan harga dan pihak berkuasa memberi amaran mengenai gangguan bekalan ayam.
Agensi makanannya, menasihatkan pengguna supaya membeli mengikut keperluan, selain menimbangkan membeli ayam sejuk beku atau bertukar kepada daging berbeza.
Kebanyakan ayam dari Malaysia diimport secara hidup-hidup, sebelum disembelih dan disejukkan di sana.
Ayam beku kebiasaannya diimport dari negara lain termasuk Brazil.
Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia sedang berperang dengan kenaikan inflasi, terutama membabitkan harga makanan, yang mendorongnya untuk mengenakan sekatan eksport.
Bagaimanapun, Singapura turut berdepan kenaikan harga dengan inflasi tertinggi dalam tempoh sedekad.
Negara lain turut mengambil langkah perlindungan termasuk India, yang mengharamkan eksport gandum dan Indonesia menghentikan sementara eksport minyak kelapa sawit.
Tindakan itu diambil berikutan kebimbangan meningkat di seluruh dunia mengenai kekurangan makanan yang disebabkan oleh masalah rantaian bekalan, perubahan iklim dan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, yang juga pengeluar bijirin utama. - AFP
PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015
Adat niaga. Malaysia pun kena sekat gandum oleh india. Atau amerika larang import minyak sawit. Katak bawah tempurong pun bijak sikit dari saje tanya.
ReplyDelete