Saturday, June 04, 2022

X perlu PRU awal, tumpu penyatuan & gerakkan Islam.

 

1. Negeri diterajui PAS habis penggal ke-14 sehingga 2023

POKOK SENA: Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diterajui PAS akan meneruskan pentadbiran sehingga akhir penggal ke-14 pada Julai tahun hadapan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berpendirian serupa turut diambil Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor yang ditadbir di bawah Pakatan Harapan.

“Tidak perlu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal, sebaiknya tunggu sehingga tamat penggal ke-14 penghujung Julai 2023.

“Tidak perlu spekulasi atau mencetuskan ketegangan mendesak PRU. Perlu habis penggal sehingga penghujung penggal ke-14,” kata beliau pada sidang media di Pokok Sena hari ini.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan PRU tidak akan diadakan ketika negara menghadapi inflasi ekoran kenaikan harga barang keperluan harian.

Malah pandangan itu senada dengan pendapat Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sebelum ini.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, adalah lebih baik tempoh yang berbaki sekarang diisi dengan menyelesaikan masalah rakyat, ditambah pula keadaan cuaca tak menentu serta kesan peperangan negara luar sekarang.

“Menyalah atau mendakwa orang ini salah, orang itu salah tidak mendatangkan faedah kepada negara,” tambahnya.

Menurutnya jangan kerana disebabkan dua tiga orang mencari pasal dengan mendesak pilihan raya diadakan segera, habis satu negara menanggungnya.

“Saya pun hairan kenapa dok pulun nak pilihan raya sangat. Boleh menangkah? Takut kalah teruk lagi ja. Baik tunggu sampai cukup penggal. Sekarang buat kerja masing-masing,” kata beliau lagi.

2. ‘Cukuplah terperangkap dalam kepompong pergaduhan’ 

BANGI: Kesemua agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu menjadi ejen penyatuan ummah, kata Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad.

“Di mana-mana pun kita berucap, kita laksanakan agenda ini. Di kementerian, jabatan, masjid, surau, bawalah agenda ini ke mana-mana. Oleh kerana itu, saya mahu TV Alhijrah dan Radio IKIM sentiasa membawa mesej ini kepada rakyat.

“Asas penyatuan kita adalah Islam dan iman. Cukup-cukuplah kita terperangkap dalam kepompong pergaduhan yang tiada kesudahan. Ia merugikan,” katanya ketika merasmikan Program Training of Trainers (TOT) Pasukan Jurucakap Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera Peringkat Agensi YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) di sini, malam tadi.

Menurutnya, musuh-musuh Islam sentiasa menanti masa mengambil kesempatan atas kekhilafan umat Islam.

Maka, katanya itulah tugas dan tanggungjawab jurucakap iaitu para peserta untuk menyampaikan dakwah kepada ummah.

Beliau juga menyatakan bahawa kerangka gagasan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera bukan kerangka baru.

Katanya lagi, kerangka ini telah sedia ada dalam al-Quran dan sunnah.

“Tetapi kita mencungkil dan menggunakan konsep yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri supaya ia mudah diterima oleh masyarakat.

“Ini tidak bermakna kita mengadun ayat al-Quran dan hadis mengikut fahaman sempit kita. Sebaliknya, kita menyediakan acuan terbaik bagi konsep Keluarga Malaysia agar ia tidak dimanipulasi mengikut kepentingan yang bertentangan dengan ajaran Islam,” ujarnya.

Baginya, gagasan Keluarga Malaysia merupakan wadah yang perlu digunakan semaksimum mungkin sementara dasar dan polisi perlu dibangunkan untuk memenuhi keperluan semasa.

Tambahnya, dasar dan polisi itu perlu dipastikan agar ia selari dengan tuntutan Islam demi mencapai maqasid syariah.

Oleh yang demikian, ujar beliau selama mana para peserta menggalas tanggungjawab sebagai penjawat awam, selama itulah usaha untuk meninggikan syiar Islam perlu dilaksanakan.

Idris turut menegaskan bahawa agenda utama menyuburkan Islam di Malaysia bukan agenda politik.

“Ini merupakan agenda Islam untuk kita martabatkannya demi mendapat keredaan Allah SWT. Objektif yang lebih besar daripada itu ialah untuk melaksanakan perintah Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

3. ‘Kita menggerakkan agenda Islam dalam kerajaan’ 

BANGI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, apabila seseorang atau sesuatu pihak itu diberikan kuasa untuk memerintah, Islam memberikan beberapa keutamaan yang perlu dilaksanakan.

Menurut beliau, antaranya firman Allah dalam Surah Al-Hajj ayat 41 yang bermaksud: Iaitu mereka yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, serta menunaikan zakat (sumbangan harta dan ekonomi) dan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, dan bagi Allah jualah keseluruhan segala urusan.

Katanya, pedoman wahyu itu meletakkan lima keutamaan yang perlu diambil oleh seseorang pemimpin dalam siasah Islam iaitu kepatuhan kepada Allah (melalui ibadah solat), sistem ekonomi yang adil (melalui ibadah zakat), negara berkebajikan (amar makruf), mencegah dan menyekat kemungkaran (nahi mungkar) dan wawasan dunia dan akhirat.

“Di atas asas inilah, apabila saya dan YB Datuk Ahmad Marzuk diberikan amanah untuk mengetuai Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita menggerakkan agenda Islam dalam kerajaan.

“Jika sebelum ini, di pentas-pentas forum termasuk di sidang Parlimen, kami berdua banyak menyentuh isu-isu pentadbiran Islam dan umat Islam, sekarang apabila diberikan amanah di dalam kerajaan, saya fikir inilah masanya kita mengemukakan blue-print ataupun pendekatan yang mampu menyerlahkan keunggulan Islam apabila memerintah.

“Apabila memerintah, kami mengangkat gagasan politik matang dan sejahtera sebagai asas siasah mengikut lunas Islam,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Program Training of Trainers (TOT) Pasukan Jurucakap Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera Peringkat Agensi YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) di sini, malam tadi.

Menurutnya, menjaga Islam dan umat Islam adalah tanggungjawab utama, mengakar umbi semangat penyatuan ummah serta menjunjung nilai integriti dan amanah.

Maka dengan sebab itu, katanya bermula September 2021, pihaknya mengangkat pendekatan “5 Inisiatif Mantap” melalui Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM C-19) yang menyentuh secara terus kehidupan masyarakat yang ketika itu terjejas terus dengan pandemik itu.

“Alhamdulillah, selepas 100 hari pentadbiran Islam di bawah kerajaan pasca 1 September 2021, sebanyak 208 program telah berjaya dilaksanakan.

“Tentunya ini bukanlah soal kami berdua, tetapi apa yang lebih penting ialah wajah Islam itu sendiri dan sudah tentulah 14 buah agensi hal ehwal Islam Persekutuan,” katanya lagi.

Idris menambah, beliau dan timbalannya berasa amat bertuah kerana mempunyai pasukan yang mantap di semua 14 buah agensi sebagai “pasukan Menteri Agama”.

“Saya secara peribadi amat selesa bekerja dengan Datuk-Datuk dan Datin-Datin semua, anggota penjawat awam yang sentiasa menyokong dan mendukung hala tuju government of the day.

“Tanpa ada sedikit pun prejudis, saya meletakkan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kepada tuan puan semua,” ujarnya.

Beliau berkata, untuk melengkapkan pelantar hala tuju pentadbiran Islam, pihaknya mengetengahkan pendekatan “Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera” iaitu blue-print agensi Islam kepada rakyat.

Beliau amat gembira apabila usaha, idea dan sumbang saran yang diwacanakan bersama di peringkat ahli panel, pegawai-pegawai agensi dan juga ketua-ketua agensi telah diterima oleh Perdana Menteri melalui program Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang telah diurussetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 22 April lalu.

Ini, katanya menunjukkan bahawa Perdana Menteri sendiri telah memberi kepercayaan untuk mencorakkan gagasan Keluarga Malaysia dalam kerangka syariat Islam.

Beliau difahamkan buku yang telah dilancarkan telah diedarkan kepada semua kementerian, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri sebagai rujukan awal untuk pembuat dasar dan polisi peringkat persekutuan dan negeri.

Seterusnya, ujar beliau sebulan selepas itu Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) juga telah mengadakan Kongres Nasional Islam, Keluarga Malaysia dan Keharmonian dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Dalam tempoh tersebut, katanya TV Alhijrah, Radio IKIM bersama Penyiaran JAKIM turut memainkan peranan penting mewar-warkan pendekatan itu agar ia dapat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Idris melahirkan keyakinan banyak lagi program yang bakal menyusul selepas ini.

Sehubungan itu, beliau harap agensi-agensi di bawahnya dan timbalannya akan lebih agresif mempromosikan agenda ‘Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera’.

“Malah, program pada hari ini adalah program penting sebagai penanda aras sejauh mana program-program akan datang akan memberi impak besar untuk membina dan mengukuhkan kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Blog ini bersetuju cadangan Dato’ Seri Muhammad Sanusi tidak perlu PRU awal, tunggu hingga habis penggal 2023. 

Cukuplah, jangan terperangkap dalam kepompong pergaduhan, tumpu ke arah penyatuan umah. Berilah peluang menteri JPM kita Datuk Idris Ahmad  menggerakkan agenda Islam dalam kerajaan. Insya Allah.

Undi PAS dan rakan kumpulannya!


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails