Wednesday, July 06, 2022

Haji: Berjalan kaki dari UK ke A/Saudi & Polimik puasa sunat.



Warga Britain, Adam Mohammed berjalan sejauh 6,500 kilometer bagi memenuhi impiannya untuk pergi ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji yang juga Rukun Islam kelima. - Foto ArabNews

1. Berjalan kaki dari UK ke Arab Saudi untuk tunai haji

JEDDAH: Warga Britain, Adam Mohammed berjalan sejauh 6,500 kilometer bagi memenuhi impiannya untuk pergi ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji yang juga Rukun Islam kelima.

Adam berusia 52 tahun itu berjalan kaki merentasi Belanda, Jerman, Republik Czech, Hungary, Romania, Bulgaria, Turki, Lubnan, Syria, dan Jordan untuk sampai ke Arab Saudi, menempuh jarak hampir 6,500 kilometer dalam 11 bulan dan 26 hari.

Secara purata, beliau berjalan kaki sejauh 17.8 km sehari dan sampai ke Masjid Ayesha di Makkah pada 26 Jun lalu.

Sekumpulan besar jemaah haji, penduduk tempatan, dan dua anak perempuannya dari UK menaiki kapal terbang menyambutnya di kota suci itu.

Warga Britain, Adam Mohammed berjalan sejauh 6,500 kilometer bagi memenuhi impiannya untuk pergi ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji yang juga Rukun Islam kelima. - Foto ArabNews

"Syukur dan saya sangat gembira dapat memenuhi impian dan menamatkan perjalanan ini...saya terharu dengan sambutan yang diberi oleh jemaah haji daripada pelbagai negara. Saya sangat bersemangat untuk menunaikan haji kerana ibadah ini adalah impian terbesar saya.

"Saya berterima kasih kepada Allah kerana menjadikan perjalanan ini dan impian sejak dulu sebagai kenyataan. Ini bukanlah satu perjalanan yang mudah bagi saya tetapi saya terpaksa mengorbankan segala-galanya demi Allah dan manusia.

"Saya sibuk membaca Al-Quran sejak sekatan dikenakan berikutan pandemik COVID-19. Tiba-tiba, saya terjaga pada suatu hari dan sesuatu dalam diri saya menyuruh saya pergi ke Makkah dengan berjalan kaki dan saya putuskan untuk melakukannya," katanya.

Adam mengambil masa dua bulan untuk mempersiapkan perjalanan yang sukar itu dengan bantuan dan sumbangan daripada pelbagai organisasi dan rakan.

Adam yang berdarah Iraq-Kurdish, memulakan perjalanannya pada 1 Ogos 2021 dari rumahnya di Wolverhampton dan membawa bersama sebuah troli seberat sehingga 250 kilogram untuk barangan peribadinya.

Beliau turut memberitahu Arab News bahawa, kecuali cuaca dan perjalanan, dia tidak menghadapi sebarang cabaran lain dalam perjalanan ke Makkah.

"Sepanjang perjalanan tiada berdepan masalah besar kecuali ditahan pihak berkuasa polis di beberapa negara yang bertanyakan tujuannya dan mereka terkejut apabila mereka mengetahui mengenai perjalanan unik saya," katanya. - AGENSI


2. Isu perbezaan Hari Arafah dan Hari Aidil Adha di Makkah    

POLEMIK penetapan puasa sunat Arafah sering kali menjadi isu. Antara persoalannya ialah adakah Hari Arafah mengikut perkiraan hari anak bulan di sesebuah negara atau mengikut hari wukuf di Arafah. Ditambah kekeliruan dengan isu larangan berpuasa pada hari raya, kerana bertembung hari Arafah di Malaysia dengan hari raya di Makkah.

Perlu difahami bahawa matla’ negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi. Kedudukan Arab Saudi yang berada pada kedudukan yang lebih Barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara itu adalah lebih tinggi berbanding di negara kita. 

Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dengan berkata: “Dan apabila dilihat anak bulan di sesuatu negara, maka hukumnya adalah sama seperti negara yang berhampiran dengannya, sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah kerana kedua-duanya seolah-olah seperti satu negeri, bukannya (hukum yang berbeza) bagi negeri yang jauh seperti Hijaz dan ‘Iraq pada pendapat yang lebih tepat”. [Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Alfaz al-Minhaj, 2/144-145].

Jadi, tiada masalah untuk berbeza tarikh mula dan akhir berpuasa. Begitu juga tiada masalah berlakunya perbezaan pada ketetapan hari Arafah dan hari raya Haji selama mana penilaian awal bulan mereka berbeza. Ini kerana penetapan bermulanya bulan itu adalah berdasarkan cerapan anak bulan atau sempurnanya 30 hari, lalu boleh sahaja ketetapan hari Arafah dan hari raya bagi orang di Makkah berbeza dengan hari Arafah dan hari raya bagi orang lain yang berbeza penilaian awal bulannya.

Kesimpulannya, ikutlah hasil cerapan anak bulan di negara kita bagi menentukan masuknya bulan-bulan Islam. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

‎الصوم يوم تصومون، والإفطار يوم تفطرون، والأضحى يوم تضحون.

Puasa itu bermula pada hari kalian bersama-sama berpuasa. Berbuka (Aidilfitri) itu pada hari kalian bersama-sama berbuka. Berkorban (Aidiladha) itu pada hari kalian bersama-sama berkorban.”

[Riwayat al-Tirmizi (697). Hadis Hasan]

Semoga ada manfaatnya.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 4/7/2022

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

3 comments:

Anonymous said...

Kat britain kecintaan pada Islam di negara bukan Islam sangat tinggi. Tapi kat sini walaun dap asyik membantai Islam dan para Islamik politisyen. Kerana kuasa peduli apa dengan agama. Nilah jenis perosak agama kerana nafsu serakah.

Anonymous said...

Material ngan aqidah.

Anonymous said...

Material dugaan. Aqidah iman.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails