Sunday, July 10, 2022

Haji kandas, siasat terperinci. Tuntut RM50,000? & korban..

 


1. Siasatan terperinci kes jemaah haji terkandas

SAYA mengambil maklum berkenaan isu bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA dan Hotel Movenpick KLIA melibatkan hampir 400 orang. Saya juga telah dimaklumkan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap perkara ini dan tindakan pihak berkuasa juga telah dimulakan bagi proses siasatan. 

Saya melahirkan rasa kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ianya melibatkan urusan Rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji. 

Saya juga meminta siasatan terperinci dapat dilakukan oleh pihak berkuasa. Sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak yang terbabit perlulah dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal. Ia sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak berulang lagi kes sedemikian.

Saya meminta agar rakyat Malaysia terutamanya umat Islam perlu berwaspada dan berhati-hati dalam kes seperti ini dan sentiasa mendapatkan nasihat yang tepat daripada pihak Tabung Haji walaupun menggunakan khidmat agensi luar untuk mengerjakan haji.

Saya memohon kepada pihak yang teraniaya dan seluruh keluarga yang terlibat agar tabah dan terus mengambil peluang pada Hari Arafah untuk bermunajat dan memanjatkan doa bagi mendapatkan keredaan Allah, walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Makkah. 
Sekian.

YB SENATOR DATUK USTAZ IDRIS AHMAD
8 Julai 2022
Makkah Al-Mukarramah – HARAKAHDAILY 8/7/2022


2. Bakal haji terkandas di KLIA boleh tuntut RM50,000  

Seramai 380 bakal haji yang terkandas di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA pada 7 Julai 2022 dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji.

PUTRAJAYA: Jemaah haji seramai 380 orang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan tempatan digesa boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), masing-masing tidak melebihi RM50,000 setiap seorang.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan pada hari ini berkata, tuntutan tebus rugi bagi jumlah tersebut boleh dibuat di mana-mana pejabat KPDNHEP seluruh Malaysia.

“Kesemua 380 jemaah haji yang terkandas di KLIA tersebut juga diminta membuat laporan polis dan jika tuntutan itu melebihi RM50,000, bakal haji terbabit boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil,” ujar kenyataan itu lagi.

Kenyataan juga berkata, semua tuntutan perlu disertai dengan bahan bukti yang lengkap termasuk iklan, resit bayaran, segala transaksi termasuk rekod perhubungan antara bakal haji dengan syarikat agensi haji terbabit

“Tindakan segera dari bakal haji berkenaan sangat penting supaya tiada lagi syarikat agensi haji dan umrah sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk memperdaya atau tidak memenuhi tanggungjawab mereka terhadap bakal haji dan umrah di Malaysia,” tambah  kenyataan KPDNHEP itu.

Untuk maklumat lanjut berkenaan tuntutan tebus rugi dan TTPM, boleh menggunakan hotline TTPM di 1 800 88 9811, atau 03-8882 5822 atau e-mel kepada ttpmputrajaya@kpdnhep.gov.my.

Sehubungan itu, KPDNHEP juga meminta supaya syarikat agensi haji terbabit mengadakan perbincangan dan berunding dengan seberapa segera dengan 380 jemaah haji yang terkandas itu supaya jalan penyelesaian dapat dicapai demi kepentingan kedua-dua belah pihak, terutama 380 bakal haji berkenaan.

“KPDNHEP begitu prihatin dengan nasib 380 orang bakal haji yang terkandas di KLIA akibat syarikat agensi haji yang menguruskan haji mereka tidak dapat menyediakan visa furada dan tiket penerbangan tepat pada waktunya sebagaimana yang dijanjikan.

“Kementerian ini juga memandang serius terhadap isu ini yang sering berlaku setiap musim haji yang menunjukkan ketidakpekaan bakal jemaah terhadap kewujudan pihak yang mengambil kesempatan untuk memperdayakan mereka,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, 380 jemaah haji Malaysia terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan tempatan.

Kesemua mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA sejak pagi semalam dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

3. Menjawab persoalan korban di Mekah, sebuah penipuan 

SABAN tahun, setiap kali hampir sahaja musim korban, mulalah beberapa individu, tokoh, dan sebagainya mengeluarkan kenyataan tentang isu ibadah korban di Mekah. Antara isu-isu yang sering didengar adalah:

“Mana ada harga kambing di Mekah serendah RM400 seekor”
“Akad apa yang mereka pakai ya?”
“Korban di Mekah hanyalah sia-sia sahaja”
“Hilang roh Qurban buat dekat Mekah”
“Berhati-hati dengan syarikat yang tawarkan khidmat ibadah korban di Mekah”
“Kalau aqiqah dapat video satu-satu, kenapa korban tak dapat?”
 “Agihan kepada siapa ya di Mekah? Bukan negara kaya ke?”

Yang memberi kenyataan-kenyataan di atas mungkin tak pernah pergi sampai ke ladang-ladang kambing di Mekah semasa hari korban yang dijalankan pada hari-hari Tasyrik, yang mendakwa juga tidak pernah menetap di Mekah bertahun-tahun dan mempunyai ilmu secukupnya tentang keadaan dan situasi di Mekah.

Dalam kaedah islam, yang menuduh dengan dakwaan sesuatu tuduhan perlu memberikan bukti. البينة على المدعي

Kami di Aqiqah4u menghormati pandangan beberapa pihak dan individu yang melontarkan kenyataan kerana inginkan masyarakat berhati-hati. Kami hormati pandangan mereka kerana tidak yakin dengan perkhidmatan ini. Itu hak anda, tetapi, janganlah sehingga memukul rata semua pihak yang menjalankan perniagaan qurban di Mekah adalah penipu.

Sebelum itu, kami ingin tegaskan ini adalah kenyataan dan apa yang dilakukan oleh pihak AQIQAH4u sahaja, dan tidak bertanggungjawab terhadap pihak syarikat lain yang melaksanakan khidmat yang sama kecuali syarikat-syarikat yang berdaftar bersama kami serta ejen-ejen rasmi kami di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Harga kambing yang murah di Mekah

“…Mana ada harga kambing di Mekah serendah RM400-500 seekor, Tabung Haji pun jual RM900 lebih…” 

Harga kambing di Mekah adalah pelbagai, mengikut jenis dan juga saiz seekor kambing tersebut. Ada kambing yang kecil sahaja, tapi harga mencecah SAR1,300 seekor. Ada kambing besar dan gemuk, tapi harga sekitar SAR300- SAR350 seekor. Jenis kambing yang kami beli pula adalah kambing seberat 25 – 40kg. Arab panggil kambing jenis Harri. Kambing Harri ini juga ada yang mencecah sehingga SR 1,000, contohnya seperti sub-baka “Balady”

Kami memilih kambing jenis Harri adalah kerana ianya adalah sempurna dari segi syarak, cukup umur, sihat dan berat yang melepasi syarat.

Sebahagian pihak menafikan fakta ini kerana bersandarkan kepada harga rasmi Arab Saudi yang dijual untuk mereka yang membeli melalui syarikat Islamic Development Bank (IDB). Di Mekah, setengah orang yang sibuk atau tiada masa nak ke kandang sembelihan pada hari raya haji, mereka boleh terus ke kaunter-kaunter pembayaran korban yang dibuka di sekitar Mekah. 

IDB adalah pihak yang diamanahkan untuk menguruskan ibadah qurban secara rasmi di Mekah melalui projek Adahi. Harga yang mereka jual adalah sekitar SAR750 untuk seekor Kambing melalui Akad Wakalah & Salam, sama seperti yang dipraktiskan oleh Aqiqah4u. Anda bayar, dapat resit dan terus balik. Tetapi tiada sebarang laporan, tiada video mahupun gambar untuk dijadikan sebagai bukti perlaksanaan Qurban itu telah dilaksanakan dengan sempurna.

Maka, disebabkan itulah berlakukanya tuduhan mengapa harga syarikat-syarikat qurban di Mekah murah berbanding yang dijual sendiri oleh kerajaan Arab Saudi, tambahan pula tahun 2022 ini, Tabung Haji juga menjual qurban di Mekah dengan harga hampir mencecah RM1,000 untuk seekor kambing.

Seperti yang djelaskan pada perenggan di atas, harga kambing adalah bergantung kepada jenis kambing. Jika anda terus ke kandang kambing, anda akan mendapati harganya adalah jauh lebih murah dari yang dijual oleh pihak IDB mahupun TH. Ramai yang keluarkan kenyataan bersandarkan andaian semata-mata sahaja.

Isu mengenai akad korban

“Akad apa yang mereka pakai?” 

Ibadah korban di Mekah adalah secara akad wakalah, atau bermaksud anda mewakilkan ibadah qurban anda kepada pihak kedua dan ketiga. Di mana untuk khidmat korban mekah ini, pihak Aqiqah4u akan menyatakan secara rasmi dan terperinci secara bertulis di dalam resit pembayaran berkenaan khidmat yang anda perolehi dengan bayaran yang dibuat dan jumlah peratus ambilan syarikat untuk pengurusan, upah dan tugas-tugas berkaitan. 

Dengan pembelian serta pembayaran untuk khidmat ini, bermakna anda telah bersetuju dengan akad dan pembayaran yang dilakukan, berdasarkan syarat dan terma yang dinyatakan.

Pengertian Wakalah menurut Bahasa Arab adalah “menyerahkan” atau “menjaga” (Taqiyuddin al-Husaini, Kifayatul Akhyar 1/238) manakalah menurut Syarak pula, Wakalah adalah tindakan seseorang menyerahkan urusannya kepada orang lain pada urusan yang dapat diwakilkan, agar orang lain itu mengerjakan urusan yang diwakilkan itu (Zakariya al-Anshari, Fathul Wahhab 1/253)

Antara dalil yang disandarkan untuk Akad Wakalah ini adalah: “Jabir Bin Abdullah RA, dia berkata, “Saya bermaksud keluar ke Khaibar, lalu aku mendatangi Rasullulah SAW dan berkata kepada beliau, “Sesungguhnya aku keluar ke Khaibar,”, kemudian, Rasullulah SAW telah berkata, “Datangilah wakilku dan ambillah darinya 15 wasaq, kalau dia meminta sesuatu tanda darimu, letakkanlah tangan pada pundaknya”. (HR Abu Daud)

Rukun Wakalah mempunyai 4, iaitu

  1. Muwakil (Orang yang diwakilkan)
  2. Wakil (Orang yang mewakilkan)
  3. Muwakkal Fiihi (Urusan yang diwakilkan)
  4. Sighah (Ijab dan Kabul)

Rujukan al-Fiqh al-Wadhi, (2/34)

Untuk urusan Wakalah ini dizahirkan, seseorang yang diwakilkan itu perlulah mempunyai hak ke atas barang tersebut dan di Aqiqah4u, kami membeli kambing, lembu dan unta sebelum dijual bagi memastikan hak dan wakil ke atas kambing-kambing tersebut adalah sempurna mengikut rukun dan syarak. 

Qurban di Mekah atau di tempat sendiri?

“Korban di Mekah hanyalah sia-sia”

Begitu juga mereka yang ingin laksanakan qurban, tetapi tidak boleh atas faktor-faktor persekitaran, pandemik dan sebagainya. Tidak bermakna, jika kita tidak melihat sendiri di depan mata sembelihan korban, korban kita tidak akan dinilai oleh Allah.

Antara dalil mengenai korban ini ialah:

“Apa yang aku perintahkan, maka laksanakanlah mengikut kemampuan kamu”. Rasulullah SAW juga telah bersabda: “Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari Nahar (Hari Aidil Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang qurban), kerana ia (binatang qurban) itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah qurban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang qurban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi”.

Di Aqiqah4u, kami komited mengatakan bahawa Qurban di Mekah itu adalah satu pilihan, pilihan yang lebih mudah dan murah. 

Lambakan syarikat yang menawarkan korban di Mekah

 “Berhati-hati dengan syarikat yang tawarkan khidmat ibadah korban di Mekah”

Ya! Anda perlu berhati-hati. Dalam banyak-banyak syarikat yang menguruskan khidmat aqiqah dan korban, sudah pasti akan ada pihak yang mengambil kesempatan. Tidak kira kesempatan untuk menipu pelanggan, mahupun kesempatan untuk menjatuhkan perniagaan yang dijalankan oleh pihak pesaing

Sedikit sejarah perjalanan Aqiqah4u untuk informasi anda, Pihak Aqiqah4u telah menjalankan perniagaan khidmat aqiqah dan korban di Mekah lebih dari 10 tahun, yang bermula atas kapasiti individu (pengasas Aqiqah4u) yang diberi peluang oleh Allah untuk menetap di Mekah sejak 2012. Kemudian berkahwin dengan wanita kelahiran Mekah pada tahun 2014. Kesempatan ini memberi peluang kepada pengasas aqiqah4u untuk lebih belajar tentang selok belok pengurusan korban dan aqiqah di Tanah Suci Mekah.

Setiap tahun beliau turun sendiri ke medan perjuangan (tempat sembelihan) di pagi hari raya bermula 10 Zulhijjah seawal jam 6.30 pagi (6.30 pagi di saudi macam 8.30 pagi di Malaysia ya).

Pada pagi raya, hampir kesemua sahabat-sahabat lain masih menunaikan haji yang mana ada yang bergerak ke Mina, dan ada juga telah selesai melaksanakan tawaf di Masjid al-Haram untuk pulang ke rumah masing-masing. Alhamdulillah sepanjang di Mekah, sebanyak 3 kali haji telah dilaksanakan. Adapun tahun-tahun yang lain, fokus kepada pengurusan ibadah korban.

Begitulah rutin tahunan pengasas Aqiqah4u untuk memastikan perjalanan korban anda di Tanah Suci Mekah dilaksanakan dengan baik. Orang lain sibuk untuk memperbanyakkan haji mereka atau melakukan badal haji, tetapi kami di Aqiqah4u komited memastikan semua amanah berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancang. Pelanggan kami sebelum pandemik adalah dari kalangan jemaah-jemaah haji Malaysia, wakil-wakil agensi pelancongan dan juga penduduk-penduduk di Arab Saudi dari kalangan warga Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, USA, Nepal, dan Kemboja.

Adapun untuk menjawab isu viral sebelum ini mengenai qurban yang bertindih antara banyak nama di Mekah adalah kerana syarikat-syarikat ini mengambil orang tengah dari kalangan ejen Afrika, Bangladesh dan Indonesia yang tidak bertanggungjawab, yang tidak menjalankan amanah yang diberi dengan sesungguhnya, setiap pelanggan perlu untuk menyelidik terlebih agar tidak menjadi mangsa yang seterusnya. 

Bukti laporan pelaksanaan korban

“Kalau aqiqah dapat video satu-satu, kenapa korban tak dapat?”

Pihak yang menguruskan korban di Tanah Suci Mekah adalah terlampau banyak. Tidak kira sama ada ianya adalah sebuah syarikat, individu, mahupun pelajar-pelajar Universiti Ummul Qura sendiri. Perlaksanaan penyembelihan adalah berbeza mengikut kapasiti pihak yang menguruskan korban anda. 

Ada pihak yang menyembelih ibadah korban dengan kuantiti yang sedikit, dan ada pihak yang sembelih dalam kuantiti yang banyak. Sudah tentu terdapat perbezaan perlaksanaan penyembelihan untuk 5 ekor kambing dan 5,000 ekor kambing dalam tempoh 4 hari sahaja waktu korban. Secara purata, pihak kami melaksanakan korban sekitar 4,000 hingga 5,000 ekor kambing setiap tahun. 

Ianya tidak termasuk pendaftaran korban unta dan lembu yang mana pendaftaran mencecah sekitar 60 ekor setiap tahun. Jadi, perlaksanaan yang banyak yang diWAKILKAN kepada pihak Aqiqah4u akan dilaksanakan dengan sebaiknya dalam tempoh 3 hingga 4 hari sahaja pada Hari Tasyrik. 

Korban tidak sama seperti ibadah aqiqah yang mempunyai waktu yang lebih luas. Untuk aqiqah, keupayaan kami adalah melakukan sembelihan sekitar 150 hingga 300 ekor sehari, termasuk mengambil video (merakam) dan gambar bagi setiap penama peserta. Ianya akan mengambil masa dan melambatkan proses sembelihan, disamping ramai lagi pihak-pihak lain yang memerlukan ruang yang sama untuk penyembelihan. 

Berbeza dengan korban yang mana kami akan laksanakan secara pembahagian lokaliti dan proses perlu dijalankan dengan lebih cepat. Kenapa? Kerana penggunaan tempat sembelihan adalah 10 kali ganda dari luar musim haji. Kalau aqiqah ianya lebih fleksibal, tetapi qurban tempohnya hanya 4 hari sahaja. 

Sebab itulah kami tidak memberikan anda video dan gambar untuk setiap sembelihan, tetapi hanya laporan umum perlaksanaan dalam bentuk video dan gambar sahaja. Apa yang penting amanah anda adalah tanggungjawab kami.

Ianya sama seperti perlaksanaan bersama IDB yang telah dinyatakan di atas. Pihak Arab Saudi sendiri tidak memberi anda video dan gambar setiap ekor yang disembelih, apatah lagi laporan perlaksanaan seperti yang kami sediakan. Melalui pihak rasmi Arab Saudi, anda hanya bayar dan dapat resit, kemudian tawakkal, akan tetapi bersama kami, kami sediakan anda laporan sepanjang proses perlaksanaan. Ianya terpulang kepada kepercayaan masing-masing.

Laporan korban 2021 Aqiqah4u – https://aqiqah4u.my/laporan-qurban-2021/ 

Penerima daging-daging korban di Mekah

“Agihan kepada siapa ya di Mekah? Bukan Saudi negara kaya ke?”

Arab Saudi adalah sebuah negara yang kaya, tapi bukan semua penduduknya kaya. Ramai penduduk tetap di Mekah adalah berasal dari Afrika, Burma, Bangladesh, Pattani, Indonesia dan pelbagai warga negara miskin yang lain.

Kos sara hidup amat tinggi untuk orang-orang bukan warganegara Saudi, lebih-lebih lagi pada zaman pandemik ini. Ada yang kata, di Malaysia pun banyak orang susah. Ya, kami tak nafikan, tetapi, adakah anda telah membantu di Malaysia, anda tidak boleh membantu saudara Islam kita di luar Malaysia? Semoga penerima-penerima daging agihan ini mendoakan kebaikan buat semua yang melaksanakan korban di Mekah.

Untuk agihan daging, pihak Aqiqah4u akan membahagikan lokaliti sembelihan mengikut tempat. Perlu difahami bahawa di Mekah ada 3 kategori tempat sembelihan. Tempat sembelihan rasmi Arab Saudi untuk kerajaan, untuk syarikat-syarikat swasta, dan yang ketiga adalah tempat sembelihan persendirian yang disewa seperti tanah lapang.

Untuk haiwan korban yang disembelih di tempat sembelihan rasmi bagi syarikat-syarikat swasta, kebiasaannya daging korban tidak dibenarkan di bawa keluar dalam kuantiti yang banyak. Pihak berkuasa Mekah akan menyediakan beberapa buah lori ais bagi urusan pengedaran daging-daging qurban tersebut sebelum diagihkan kepada rumah-rumah anak yatim dan pusat-pusat kebajikan yang berdaftar.

Di Aqiqah4u, kami akan mengagihkan daging-daging korban ke penduduk miskin dan memerlukan di lokaliti Mekah yang telah dikenal pasti, dan sebahagian daging-daging korban ini akan dihantar terus ke pusat-pusat kebajikan di sekitar Mekah.

Wallahu a’lam. Diharap penjelasan ini dapat menjawab persoalan-persoalan yang berada di fikiran anda semua.

Terus daftar Qurban di Mekah bersama kami di: https://aqiqah4u.my/daftar-qurban

atau hubungi kami di: 011-24272787/ 010-4335631 – HARAKAHDAILY 12/6/2022

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment