1. 'Lebih baik bubar Parlimen'
KUALA LUMPUR: Pilihan memohon pembubaran Parlimen dilihat sebagai antara jalan penyelesaian terbaik sekiranya BERSATU terus mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam isu pelantikan timbalan perdana menteri (TPM) daripada parti itu.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, berkata Perdana Menteri juga boleh mengetepikan permintaan itu kerana sokongan BERSATU masih bersama kerajaan.
"Saya tak faham kenapa BERSATU menimbulkan isu itu kerana ini bukan masa paling sesuai membuat tuntutan jawatan.
"Bagaimanapun, saya berpandangan BERSATU menimbulkan perkara ini berdasarkan dua sebab iaitu pertama, kecewa dengan sikap Perdana Menteri melengah-lengahkan keputusan berhubung kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.
"Kedua, BERSATU mahu memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya tunduk dengan tuntutan terbabit apenting menunjukkan parti itu mempunyai pengaruh dalam kerajaan," katanya kepada BH, hari ini.
Isu jawatan TPM terus menjadi polemik selepas bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa perjanjian di antara Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail Sabri memang wujud.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pula dilaporkan berkata, partinya berpegang kepada keputusan awal penubuhan kerajaan pimpinan PN iaitu tiada pelantikan TPM dilakukan dan tiada sebarang perjanjian dibuat.
Malah, beberapa pemimpin UMNO termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, memaklumkan perjanjian pelantikan TPM antara parti itu dan PN tidak dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta pemimpin lima jawatan tertinggi atau 'Top Five' UMNO, selain ada yang meminta Perdana Menteri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya.
Azmi berkata, strategi BERSATU yang membuat tuntutan terbabit ibarat memberi 'bola tanggung' kepada UMNO yang menuduh parti pimpinan Muhyiddin itu lebih mementingkan agenda politik berbanding rakyat.
Sementara itu, Penganalisis Politik dan Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah, berkongsi pandangan sama iaitu Ismail Sabri boleh memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen memandangkan tempoh penggalnya hampir tamat tahun depan.
"Dalam konteks Perdana Menteri, pelantikan TPM hanya akan menambah jumlah anggota Kabinet yang sedia besar ketika ini.
"Isu ini tidak perlu dibangkitkan dalam keadaan rakyat yang terus tertekan. Kelangsungan rakyat lebih utama berbanding ahli politik.
"Kalau ikut perkiraan untuk kuasa, wajar bubar Parlimen namun perlu fikir juga apakah kita mampu mengadakan pilihan raya yang membabitkan kos tinggi," katanya. (BH)
2. Tak pernah bincang jawatan TPM untuk BERSATU Julai 11, 2022 @ 2:56pm
PONTIAN: UMNO mendakwa tidak pernah wujud perbincangan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu juga tidak pernah mengetahui atau dimaklumkan adanya perbincangan cadangan untuk jawatan TPM berkenaan dengan BERSATU.
Berikutan MKT UMNO tidak pernah dimaklumkan perkara itu, maka katanya, parti menganggap sebarang dakwaan perbincangan mengenai jawatan TPM itu sebagai tidak wujud.
"Jawatan TPM itu, ia tidak pernah kami Ahli MKT UMNO ketahui ada perbincangan mengenai cadangan untuk melantik BERSATU sebagai TPM. MKT juga tidak pernah dimaklumkan perkara itu, oleh kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan, maka kami berpendapat isu itu tidak wujud pada kami.
"Apa yang kita lihat penerusan kesinambungan jawatan menteri-menteri kanan sahaja di Kabinet. Itulah yang kami faham tidak ada jawatan TPM dan yang ada hanya empat menteri kanan.
"Jadi dia (BERSATU) sudah ada dua menteri kanan apahal dia hendak jawatan TPM lagi. Pada ketika ini, sudah ada empat menteri kanan, dua daripada BERSATU, satu daripada UMNO dan satu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"Oleh kerana dia (BERSATU) sudah ada dua menteri kanan saya kira tidak wajar dia tuntut sorang lagi TPM, saya kira tuntutan jawatan TPM itu tidak wajar. Seperkara lagi, ahli MKT tidak pernah dimaklumkan jawatan TPM ketika Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penyerahan daging korban di Benut, di sini, hari ini.
Kelmarin, media ada melaporkan, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU itu menjadi Perdana Menteri, mendakwa perjanjian di antara PN dengan Datuk Seri Ismail Sabri mengenai jawatan TPM memang wujud.
Malah, Datuk Dr Marzuki Mohamad dilaporkan mendakwa, beliau sendiri terbabit dalam penyediaan perjanjian di antara PN yang dianggotai Bersatu, PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) itu dengan Perdana Menteri.
Dr Marzuki juga dilaporkan mengesahkan perjanjian itu wujud dan beliau terbabit secara langsung dalam penyediaan perjanjian ini.
Perjanjian itu dilaporkan ditandatangani oleh Tan Sri Muhyiddin dan Perdana Menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri dari BERSATU dan seorang menteri dari UMNO.
Marzuki juga mendakwa, satu fasal dalam perjanjian berkenaan menyebut bahawa dokumen perjanjian yang dipersetujui itu, tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk, sebaliknya hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak.
Tamat.
From: Farid
Nona Singapura - R.Azmi
PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015
No comments:
Post a Comment