Tuesday, July 05, 2022

KDNK: PAS tunjuk prestasi baik & memanah berkuda..


1. KDNK: Pemerintahan PAS tunjuk prestasi baik 

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu di bawah pemerintahan PAS telah menunjukan prestasi yang baik pada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ini sekali gus membuktikan tahap kemampuan PAS dalam urustadbir kerajaan negeri.

“Ini terbukti apabila pertumbuhan KDNK bagi Kerajaan Negeri Terengganu sebanyak 3.6 peratus bagi tahun 2021 telah melepasi target sasaran awal iaitu antara 2.0 hingga 2.2,” ujarnya.

Tambahnya, dengan angka perolehan itu, menjadikan Terengganu dalam senarai antara lima negeri yang menunjuk pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

“Pencapaian ini juga merealisasikan kecekapan dan kemampuan kerajaan negeri memulih dan menjana ekonomi negeri melalui potensi pelaburan sebagaimana yang dirancang,” katanya yang juga Adun Alur Limbat.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan dukungan dan sokongan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri serta rakyat negeri ini.

Ahmad Samsuri pada Jumaat lalu berkata, pertumbuhan KDNK yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi negeri ini mencatatkan prestasi pertumbuhan yang melepasi unjuran awal kerajaan.

Katanya, pertumbuhan yang dicapai jauh melepasi unjuran yang disasarkan sekitar 2.0 hingga 2.2 peratus.

Menurutnya, pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus berbanding -5.7 peratus pada tahun lepas mencerminkan hasil daripada pelbagai usaha banyak pihak.

Beliau menambah, pada masa yang sama, Terengganu juga berjaya merekodkan pencapaian yang baik bagi beberapa indikator dalam lima bidang tumpuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). – HARAKAHDAILY 3/7/2022

2. Sukan memanah berkuda hidupkan sunnah Rasulullah Oleh ZULHAIDI MANSOR

Aksi memukau Erina Emelina Ismail yang bergelar wanita pertama meraih juara dunia untuk sukan memanah berkuda. (FOTO YouTube)

SUKAN

Memanah dan berkuda merupakan salah satu daripada teknik dalam peperangan yang sepatutnya dikuasai oleh umat Islam. (FOTO IHSAN FAIZAH LATIFF)

Riwayat sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, “Ajarilah anak-anak kalian berkuda, bermain pedang, berenang dan memanah.

”Setiap perkara yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W  pasti ada hikmahnya kerana baginda lebih mengetahui tentang apa yang akan berlaku di kemudian hari.

Setiap perbuatan kita biarlah menjadi ibadah termasuk beriadah dan bersukan agar mendapat ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T.

Justeru, sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W, kita mestilah mengikut segala perkataan, perbuatan, kehidupan dan akhlaknya.

“Memanah dan berkuda merupakan salah satu daripada teknik atau ‘kaedah’ dalam peperangan yang sepatutnya dikuasai oleh umat Islam. 

“Namun sekarang ini, ia lebih dikuasai oleh orang bukan Islam seperti masyarakat di negara Eropah, Jepun dan Korea sedangkan sukan ini pada asalnya merupakan anjuran Islam.”

“Sedangkan sukan ekstrem ini mengajar seseorang tentang ilmu kepimpinan. Setiap penunggang kuda perlu memastikan dirinya menjelma menjadi pemimpin untuk memimpin kuda yang ditungganginya itu. Menunggang kuda dan memanah selain berenang adalah sunnah Nabi Muhammad S.A.W.” 

Faizah Latiff sudah sembilan tahun melibatkan diri secara aktif dalam sukan memanah berkuda. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Itulah kata-kata penuh bersemangat dilontarkan oleh Faizah Latiff yang mula menceburkan diri dalam sukan memanah  berkuda sejak tahun 2013 sehingga kini ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, memanah dan berkuda merupakan amalan sunnah nabi dan setiap perkara sunnah yang dilakukan dikira pahala ibadah kerana niat kerana sunnah. 

“Oleh itu, setiap perkara yang Rasulullah S.A.W suruh pastinya ada hikmah yang sangat banyak,” tuturnya. 

Emosi, perangai kuda

Sepanjang berkecimpung dalam sukan ekstrem ini, menurut Faizah dia kini memahami bahawa setiap kuda, sepertimana juga manusia,  bukan sahaja berlainan fizikal tetapi juga emosi dan perangai masing-masing. 

“Kalau kita sudah biasa dengan kuda, maka ia memudahkan kita ketika menyertai pertandingan.

Sukan memanah berkuda sebelum ini dikuasai golongan lelaki. (FOTO IHSAN FAIZAH LATIFF)

“Kuda mempunyai emosi dan ia mengetahui perasaan kita yang menungganginya sama ada kita takut, cemas, ego atau berdebar. Ia bergantung kepada jenis individu yang menunggang kuda itu. Bagi orang yang dominan, ia amat memudahkan penunggang itu kerana penunggan berjaya mengawal dan menguasai kuda itu.

 “Namun sekiranya individu tersebut baru berjinak-jinak dalam menunggang kuda, ataupun tidak mampu mengawal kuda tersebut, maka kuda tersebut akan ‘membuli’ individu tersebut,” jelasnya. 

Penunggang akan ‘dibuli’ oleh kuda yang ditungganinya sekiranya tiada keyakinan yang tinggi dalam diri. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA) 
Semakin ramai golongan wanita yang menunjukkan minat dalam sukan memanah berkuda. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Saiz badan bukan masalah

Ketika ditanya adakah saiz badan seseorang menjadi faktor dalam penglibatan untuk sukan ekstrem ini, Faizah berkata, sesiapa sahaja boleh menyertainya tanpa mengira apakah saiz badan mereka.

“Bagi mereka yang bersaiz badan agak besar, kuda yang lebih besar akan diberikan untuk mereka jalani latihan,” ujarnya.

“Kita perlu menguasai sukan berkuda terlebih dahulu bagi menyeimbangkan badan ketika memanah.

“Terdapat langkah demi langkah yang perlu diikuti bermula dari memahirkan diri dalam berkuda, kemudian barulah belajar kuasai teknik memanah.

“Ketangkasan dan kelajuan amat diperlukan dalam sukan memanah berkuda. Kita harus sentiasa bersedia mental dan fizikal,” jelasnya sambil mengakui disebabkan dikategorikan sebagai sukan ekstrem, maka sudah tentu ia berisiko. 

Sebelum berkecimpung dalam sukan memanah berkuda, seseorang itu perlu menguasai teknik menunggang kuda dengan betul sehingga mampu mengawal kuda yang ditungganinya. (FOTO IHSAN FAIZAH LATIFF)  
Saiz badan seseorang bukan faktor penghalang untuk bergiat aktif dalam sukan memanah berkuda. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA) 
Setiap seekor kuda, sepertimana juga manusia, bukan sahaja berlainan fizikal tetapi begitu juga berbeza emosi dan perangai masing-masing. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Dominasi lelaki

Faizah turut menceritakan bahawa penglibatan wanita dalam sukan memanah berkuda di Malaysia sejak kebelakangan ini semakin mendapat sambutan kerana sebelum ini hanya golongan lelaki yang kelihatan mendominasi sukan ekstrem ini. 

Katanya, pelbagai kelab menganjurkan bengkel-bengkel yang boleh disertai oleh ramai golongan wanita dan bagi  tahun hadapan, dia yakin penyertaan pastinya lebih banyak dari kalangan wanita dalam sukan ini. 

“Alhamdulillah, sukan memanah berkuda ini semakin meningkat naik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perkembangannya menjadi lebih bagus khususnya dari segi penglibatan wanita,”ujarnya. 

Apa yang membanggakan, ujar Faizah, bagi pertandingan terbaharu di liga memanah berkuda ini juara keseluruhan dimenangi oleh peserta wanita, Erina Emelina Ismail yang telah mengalahkan 30 orang peserta senior lelaki dan perempuan.

“Erina juga bergelar juara dunia apabila meraih pingat emas Kejohanan Memanah Berkuda Dunia Ke-15 di Chungju, Korea Selatan, pada September, 2019,” katanya sambil menjelaskan bahawa pertandingan sukan memanah berkuda menyaksikan peserta lelaki dan wanita bertanding antara satu sama lain.

Tambah Faizah, secara umumnya, aktiviti memanah berkuda atau dalam istilah bahasa Inggeris, horseback archery ini semakin mula meningkat naik di negara ini.

“Ramai peserta yang mewakili Malaysia di luar negara sebenarnya sudah terkenal, cuma di Malaysia sahaja orang ramai baru sedar dan tahu tentang sukan ini,” tuturnya.

MHAF satukan pemanah berkuda 

Menurut Faizah, sebelum terdapat banyak kelab-kelab di Malaysia bagi persatuan memanah berkuda. 

“Namun, ia bergerak secara berasingan, dan apabila menyertai pertandingan terutama di luar negara, kelab-kelab tersebut bergerak secara berasingan,” jelasnya.

Namun katanya, kini dengan kewujudan Malaysia Horseback Archery Federation (MHAF) yang didaftarkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan, yang berdaftar di peringkat dunia  melalui World Horseback Archery Federation (WHAF), ia ternyata telah menyatukan kelab-kelab sukan memanah berkuda di negara ini.

“Ia suatu langkah yang baik kerana kesemua kelab-kelab sukan memanah berkuda kini dipayungi MHAF, jadi ia telah menyatukan golongan yang terbabit dalam sukan ekstrem ini, terutamanya bagi melibatkan diri dalam pertandingan dalam dan luar negara secara lebih profesional,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/7/2022.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

  1. Jadikan tidak ambil rasuah sebagai salah satu kayu ukur kecemerlangan kerja. Jika ada kes mahkama berkaitan rasuah dan salah guna kuasa, prestasi kerja negetive lima bintang.

    ReplyDelete