Sunday, July 31, 2022

Mati Putik: Hidap 6 dari 10 wanita. Punca (K'tan,S'gor) cerai.

 


1. 6 daripada 10 wanita alami mati putik, hubungan intim dingin

MENGHIDAPI penyakit kronik seperti sakit jantung, diabetes yang mengakibatkan gangguan saraf di bahagian hujung anggota badan seperti jari kaki dan kemaluan serta cemas takut melakukan hubungan seksual antara gejala wanita mengalami mati putik.

Mati putik dikenali sebagai disfungsi seksual wanita (FSD) ini biasanya berkait rapat dengan masalah sakit puan seperti endometriosis dan fibroid. FSD juga disebabkan penyakit kronik atau maalah kesihatan mental lain seperti kemurungan dan kebimbangan.

Menurut Pensyarah Klinikal dan Pakar Perubatan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Serdang, Dr Maryam Sakinah Mohamad Rom, masyarakat sering didedahkan dengan masalah mati pucuk yang dialami lelaki, namun kurang pengetahuan mengenai mati putik perlu dirawat bagi mengelak kesan lebih teruk kepada wanita.

"Mati putik mendorong kepada masalah seksual wanita yang menyebabkan tiada keinginan, rasa sakit ketika melakukan hubungan intim dan sukar mencapai klimaks ketika bersama pasangan.  

"Dalam enam bulan pertama, jika wanita mengalami masalah seperti sukar menjalinkan hubungan intim ia dianggap FSD.

"Situasi itu juga menyebabkan antara punca wanita sukar hamil, selain berisiko menghidapi masalah tekanan akibat mati putik," katanya.

Jejaskan hubungan intim

Mengulas lanjut, FSD juga disebabkan gangguan melakukan hubungan seks dalam keadaan kering dan tidak selesa.

Selain itu, kesakitan seksual atau dispareunia dan vaginismus, yang mana otot lantai pelvis menjadi kejang sehingga menjejaskan hubungan intim antara kerap dilaporkan.

Mati putik sering dianggap masalah yang tidak boleh dirawat atau dipandang remeh.

"Malu dan rendah diri atau kurang pengetahuan mengenai gejala mati putik dalam kalangan masyarakat kini.

"Tiga hingga enam daripada 10 wanita mengalami masalah mati putik dengan tidak menjalani hubungan intim selama enam bulan.

"Malu dan tiada pendedahan mengenai masalah ini mendorong mereka tidak membuat rawatan.

"Sedangkan masalah mati putik boleh dirawat. Jika rawatan yang diberikan betul, masalah FSD ini dapat dirawat dan mereka menjalani kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Ada kaitan dengan penyakit lain

Secara umumnya, mati putik ini berkait dengan beberapa masalah kesihatan lain seperti darah tinggi, jantung, angin ahmar, tiroid dan kanser payudara.

"Masalah fibroid, rahim jatuh atau prolaps uteri dan sindrom Ovari Polisistik (PCOS) juga punca wanita mengalami mati putik. Masalah ini menyebabkan badan wanita mengalami kesan saraf.

"Antara lapan hingga 10 peratus wanita selepas bersalin juga dikatakan tidak mempunyai keinginan melakukan hubungan intim.

"Keadaan ini juga sama dengan mereka yang di peringkat menopaus apabila enam hingga 10 wanita mengalami gangguan hormon sekali gus gagal keinginan untuk bersama," katanya.

Kaedah atasi mati putik

Dr Maryam Sakinah berkata, masalah mati putik juga boleh menjejaskan kesihatan mental atau psikologi pesakit. 

Dr Maryam Sakinah Mohamad Rom.

Wanita yang mengalaminya pasti berasa rendah diri, tiada keyakinan diri dan rasa diri tidak sempurna.

"Dari sudut emosi, mati putik memberi kesan mendalam kepada wanita. Di sini penting sokongan orang sekeliling terutama pasangan.

Beliau berkata, pemakanan dan gaya hidup mempengaruhi mati putik yang berkait rapat dengan masalah kesihatan am seperti obesiti.

Pesakit yang melihat masalah mati putik tidak dapat dirawat dan membiarkan ia berlarutan sehingga menjadi punca perceraian.

"Mati putik boleh dirawat. Ramai tidak tahu mengenai cara rawatan yang betul dan mendapatkan rawatan tradisional terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan pakar sakit puan.

"Mengurut badan untuk mengatasi masalah FSD bagi menaikkan rahim bukan rawatan yang betul. Sama juga dengan pengambilan ubat tradisional mengandungi herba sebenarnya boleh mendatangkan risiko jangkitan lain.

"Sesuatu produk kesihatan yang mendakwa mengandungi hormon, contohnya estrogen boleh memberi risiko kepada sakit kanser. Bahan ini banyak terdapat dalam krim menganjalkan payudara," katanya.

Senaman tingkatkan kesuburan

Beliau berkata, sebaiknya wanita atau pasangan yang mengalami masalah FSD perlu mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat segera daripada pakar perbidanan dan sakit puan), selain khidmat nasihat daripada pakar sakit puan.

"Mereka ini akan dirawat mengikut fasa seperti perlu mengikuti sesi kaunseling. Di sini doktor akan bertanyakan latar belakang pesakit sebelum memberi rawatan termasuk ujian dan ubat kesuburan," katanya.

Wanita juga boleh membuat latihan senaman kemutan termasuk mereka yang mengalami masalah rahim jatuh.

"Senaman itu dapat menguatkan otot faraj dan membantu meningkatkan kualiti dan hubungan intim suami isteri," katanya.

INFO:

Tanda mati putik

* Mempunyai penyakit serius jantung dan Parkinson

* Masalah berkaitan ginekologi

* Kesan ubat-ubatan

* Tabiat merokok

* Meminum minuman keras

* Penuaan

Punca dari segi psikologi

* Masalah kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan

* Tekanan dan stres

* Rasa malu

* Rasa bersalah mengekspresikan diri ketika lakukan hubungan seks

* Pernah didera segi emosi dan seksual

Isu berkaitan perhubungan

* Kurang kemesraan bersama pasangan

* Konflik rumah tangga

* Tiada komunikasi kehendak seksual pasangan

* Keganasan seks terhadap pasangan

Kaedah rawatan:

* Lakukan ujian kesuburan

* Dapatkan kaunseling pakar

* Rehat mencukupi

* Elak/ kurangkan minuman keras, dadah dan rokok

* Lakukan senaman kegel

* Senaman Kegel bantu wanita relaks dan ketatkan otot pelvis

* Fahami tubuh pasangan dengan baik


2. 'Mati putik' punca wanita Kelantan, Selangor bercerai April 14, 2022 @ 10:31am 

KOTA BHARU: Masalah seksual seperti mati putik yang dialami wanita adalah antara penyumbang tertinggi kepada kes perceraian di Kelantan dan Selangor.

Pensyarah Perubatan Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Rosediani Muhamad berkata, tiga daripada 10 wanita pernah atau sedang mengalami masalah mati putik bercerai dengan pasangan masing-masing.

Katanya, mati putik atau nama saintifiknya disfungsi seksual wanita mungkin tidak menjadi masalah besar bagi sebahagian wanita, namun ada sebilangannya pula merana dalam diam disebabkan malu untuk mendapatkan bantuan sedangkan ia boleh dirawat. 

Wanita yang mengalami disfungsi seksual biasanya merasakan seks tidak lagi menjadi keutamaan dalam kehidupan sedangkan menjaga kesihatan seksual adalah suatu ibadah serta kunci dalam membentuk perhubungan mawaddah dan sakinah dalam rumahtangga. 

"Perasaan malu dan tabu terus menghantui dan membatasi mereka sehingga masalah yang dibiarkan itu menjadi parah apabila suami juga tidak mempunyai ilmu untuk membantu," katanya dalam kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Dr Rosediani berkata, kebanyakan wanita di negara ini yang menghadapi masalah mati putik cuba mencari jalan penyelesaian dengan memilih produk berbentuk jus atau minuman bagi meningkatkan keintiman untuk melakukan hubungan seks.

"Selain itu, ada juga yang memilih kaedah berurut atau bertemu bidan bagi menyelesaikan masalah mereka, walau bagaimanapun, keberkesanan yang diperoleh daripada rawatan itu tetap mengecewakan.

"Terdapat tiga punca utama masalah ini berlaku iaitu masalah dalam diri sendiri seperti kesibukan dengan kerja, tekanan berpanjangan, proses kehidupan yang meletihkan seperti proses mengandung, melahirkan, menyusukan, membesarkan anak, mengambil pil perancang, mempunyai penyakit kronik seperti kanser.

"Selain itu, faktor persekitaran dan didikan keluarga juga antara punca masalah mati putik. Kefahaman mengenai seksualiti yang cetek serta kurangnya komunikasi, toleransi, kefahaman berkaitan seks atau hubungan intim turut menyebabkan hubungan suami isteri semakin renggang.

"Dalam hal ini, suami perlu memainkan peranan penting dalam mengemudi rumah tangga dan menjaga perhubungan dengan pasangan.

"Sikap suami yang berang, tidak pandai menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang, berat tulang, tidak pandai berkomunikasi, memujuk isteri untuk merasai kenikmatan melakukan hubungan seks juga antara punca masalah ini berlaku," katanya.

Beliau juga berkata, bagi mencegah masalah mati putik, setiap pasangan perlu memperbetulkan niat mereka terhadap hubungan seks dengan menganggap ia sebagai ibadah, meningkatkan komunikasi dan toleransi, mengubah cara hidup yang lebih mesra keluarga dan menzahirkan kasih sayang antara suami isteri.

"Bagi mereka yang mengalami masalah ini, jangan segan atau malu untuk mendapatkan rawatan atau nasihat daripada doktor di mana-mana Klinik Kesihatan, Klinik Kesejahteraan Wanita dan Klinik Rawatan Keluarga.

"Masalah mati putik juga mampu dirawat dan dicegah dari awal sebelum ianya memudaratkan diri dan pasangan masing-masing. Kongsi masalah anda kerana anda juga layak untuk dapatkan hidup yang lebih bermakna serta keluarga yang bahagia," katanya. (BH)

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails