Thursday, July 28, 2022

Misteri jutaan w/China ‘ghaib’, siasat. Anti-lompat, Dr Kamarul Zaman.

 


1. Tubuh RCI siasat misteri jutaan warga China ‘ghaib’

HUBUNGAN diplomatik Malaysia-China adalah untuk mengukuhkan kerjasama dalam banyak aspek, namun keistimewaan itu tidak bererti perundangan imigresen yang menjadi kedaulatan kepada semua negara boleh dipandang enteng atau longgar.

Angka tidak keluar pelancong warganegara republik itu setelah masuk ke negara bukanlah isu baharu, ini telah menjadi rekod genting terutama dalam sedekad ini sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara, penyataan di Parlimen serta pendedahan media.

Satu di antaranya kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara melibatkan 32 pertuduhan bersama lima individu lain pada September 2019 kerana menjual MyKad dan dokumen pengenalan diri kepada warga China.

Pun demikian tindakan pihak berwajib seakan terhalang atau tidak berupaya menembusi ‘tembok besar’ walaupun kes seumpama berlaku saban tahun. Terkini semalam, Parlimen dinyatakan fakta isu yang sama.

Rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tempoh 2018 hingga 2021 menunjukkan ketibaan 7,177,043 warga China masuk ke Malaysia, tetapi yang keluar berjumlah 5,954,765 individu, bermakna kurang 1,222,278 orang.

Persoalannya, apakah mereka hilang ghaib begitu sahaja atau menjadikan Malaysia sebagai transit untuk menyusup ke negara jiran atau telah diculik, dieksploitasi, diperdagangkan atau menjadi mangsa jenayah lainnya?

Atau yang lebih membimbangkan adalah kemungkinan mereka menjadi penggerak kegiatan menyalahi undang-undang atau merencanakan jenayah berat atau mungkin bersiapsiagaan untuk menggugat dan mengancam keselamatan negara serta ‘dibela’ pihak tertentu di dalam negara ini?

Suara ini bukan tuduhan atau cuba bersikap perkauman, tetapi atas begitu banyak keterangan atau pembuktian pernah dikemukakan ke pengetahuan umum selama ini. Dari melibatkan aktiviti individu dan kumpulan warga China di dalam negara ini, hinggalah angkatan ketenteraannya di sempadan perairan dan udara negara.

Bukankah aneh apabila jumlah sebesar itu yang dimusykilkan keberadaannya langsung tidak dipersoalkan oleh pihak tertinggi negara ini mahupun negara tersebut? Malaysia tidak harus menikus untuk menyuarakan hak kedaulatan negara dan China juga perlu bertanggungjawab akan status semasa rakyatnya yang keluar.

Kerana dalam realiti geopolitik dunia hari ini, semua kemungkinan dan jangkaan mesti diperhitungkan untuk meletakkan negara di tahap waspada yang sepatutnya. Apatah lagi di dunia nyata zaman ini sering wujud para petualang yang menjadi rakan subahat atau sekutu anasir luar.

Sehubungan itu suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mesti segera dibentuk untuk menjejaki dan memperincikan status setiap individu tersebut agar tindakan dan langkah selanjutnya dapat ditentukan dan diambil tindakan.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Penasihat
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 27/7/2022


2. RUU Anti-Lompat Parti pastikan politik negara stabil 


HARI ini, 27 Julai 2022, adalah detik yang amat bersejarah dalam perkembangan politik negara kerana ia menyaksikan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, sendiri membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti di kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sebelum ini, empat negeri, iaitu, Sabah, Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang, malahan telah meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing bagi menghukum pelompat parti pada 1986, 1991, 1994 dan 2012, tetapi mereka terikat dengan keputusan Mahkamah Agung bahawa pindaan begini adalah tidak berperlembagaan.

Semua pihak akur dengan bahana gejala melompat parti ini, tetapi hanya Ismail Sabri berbuat sesuatu ke atasnya dengan menjadikan pembentangan RUU Anti Lompat Parti sebagai salah satu butiran utama Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada 13 September 2021 antara kerajaan dan PH.

Bermula daripada tarikh ini maka bermulalah tugasan berat yang diletakkan ke atas bahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, merangka RUU ini dengan bantuan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebegitu banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, khususnya daripada parti-parti kerajaan dan pembangkang, tetapi juga dengan pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan sebagainya telah dilakukan oleh Dr. Wan Junaidi sehingga melayakkan beliau digelarkan sebagai pakar libat urus.

Saya telah dijemput menyertai sebahagian besar daripada sesi libat urus ini dan dapat menyaksikan sendiri kecekalan dan ketenangan Dr. Wan Junaidi menguruskan pihak-pihak yang terlibat yang masing-masing mempunyai pandangan tersendiri yang selalunya bercanggah pula dengan pandangan pihak-pihak lain.

Setelah selesai sesi libat urus ini dilaksanakan maka Dr. Wan Junaidi terpaksa pula membentangkan hasilnya kepada Mesyuarat Jemaah Menteri yang sama ada memutuskan untuk beliau melakukan lebih banyak sesi libat urus atau membangkitkan beberapa persoalan dasar yang perlu dibuat keputusan oleh pihak beliau.

Tatkala berdepan dengan liku-liku yang mencabar, Dr. Wan Junaidi sentiasa mendapat dukungan kuat Ismail Sabri yang sentiasa menzahirkan komitmen ke atas RUU ini dan yang mengambil pendekatan akomodatif selaras dengan prinsip-prinsip keterangkuman dan kebersamaan di dalam konsep Keluarga Malaysia.

RUU ini telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 April dengan ruang dibuka seluas-luasnya kepada setiap Ahli Dewan Rakyat untuk mengambil bahagian membahaskannya yang berkesudahan dengan kelulusan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti dan memuktamadkannya. 

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr. Wan Junaidi ini dianggotai oleh semua pihak, di mana Umno diwakili oleh Pengerang dan Padang Rengas, BERSATU oleh Larut, PAS oleh Kota Bharu, PBB oleh Sibuti, DAP oleh Puchong, PAN oleh Sepang, UPKO oleh Tuaran, PKR oleh Kulim-Bandar Baharu dan WARISAN oleh Penampang.

Jawatankuasa ini telah mengadakan tujuh mesyuarat untuk meneliti dan memuktamadkan RUU ini, iaitu pada 15 April, 26 April, 12 Mei, 19 Mei, 7 Jun dan 12 Julai, dengan mengambil kira pandangan bertulis yang diterima daripada pelbagai pihak, termasuk pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan parti.

RUU ini juga telah ditaklimatkan kepada Ahli Dewan Rakyat (Kerajaan) pada 25 Julai dan kepada Ahli Dewan Rakyat (Pembangkang) pada 26 Julai dalam mana pelbagai pertanyaan telah dikemukakan dan pelbagai jawapan telah diberikan oleh Dr. Wan Junaidi bagi memperjelaskan segala butiran yang terkandung di dalamnya.

Pada akhirnya, sudah tidak ada sebab mengapa RUU ini tidak akan mendapat sokongan 2/3 majoriti Ahli Dewan Rakyat setelah terlalu banyak sesi libat urus dilakukan ke atasnya ditambah catatan sejarah kerana buat pertama kalinya RUU ini dihasilkan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

RUU ini menyatakan dengan jelas apa yang termasuk di dalam kategori lompat parti, iaitu mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti itu atau mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai Bebas menyertai suatu parti.

RUU ini juga menyatakan dengan jelas apa yang tidak termasuk di dalam kategori lompat parti, iaitu mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti dipecat daripada keanggotaan dalam parti itu, dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau partinya dibubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Sebelum ini, banyak tentangan diterima bila mereka yang dipecat daripada keanggotaan dalam parti dimasukkan ke dalam kategori lompat parti kerana dikatakan akan memberi kuasa yang terlalu besar kepada sesebuah parti politik untuk mengawal Ahli-ahli Dewan Rakyat yang boleh membuka ruang untuk disalahguna tetapi ia kini telah diatasi.

Sekarang ini masih ada segelintir pihak yang mempertikaikan kewajaran mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai Bebas menyertai suatu parti dimasukkan ke dalam kategori lompat parti tetapi ia wajar kerana menyertai suatu parti setelah menang di atas tiket Bebas sememangnya adalah jelas mengkhianati mandat pengundi.

RUU ini pastinya akan memelihara keutuhan prinsip demokrasi, dengan memastikan mandat pengundi di dalam sesuatu PRU akan sentiasa dihormati, malah seseorang Ahli Dewan Rakyat yang kerusinya telah menjadi kosong akibat tindakan melompat parti ini juga kini boleh bertanding semula di dalam mana-mana pilihan raya yang berikutnya.

Selain kejayaan peribadi kepada Ismail Sabri, Dr. Wan Junaidi dan semua yang terlibat merealisasikannya, sungguhnya kelulusan ke atas RUU ini adalah satu lonjakan besar yang akan memastikan kestabilan politik tidak tergugat dengan tiada lagi kebimbangan akan berlakunya perubahan kerajaan di tengah penggal akibat gejala melompat parti.

DR. KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
Pegawai Khas Perdana Menteri – HARAKAHDAILY 27/7/2022


Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails