Friday, July 29, 2022

Mogok: k/api Britain. K'tan hab serantau Indochina. Tolak PN?

 

Tindakan mogok 24 jam oleh lebih 40,000 anggota kesatuan RMT dan TSSA memaksa kira-kira separuh daripada rangkaian kereta api Britain ditutup. (FOTO Reuters)

1. Pekerja mogok: Rangkaian kereta api Britain ditutup

LONDON: Sistem rangkaian kereta api Britain berdepan gangguan besar sekali lagi pada hari Rabu (27 Julai) apabila kakitangannya membuat tindakan mogok susulan pertikaian mengenai isu gaji.

Tindakan mogok 24 jam oleh lebih 40,000 anggota kesatuan RMT dan TSSA memaksa kira-kira separuh daripada rangkaian kereta api Britain ditutup, dengan syarikat kereta api mengendalikan jadual waktu yang jauh berkurangan dan beberapa bahagian negara itu tidak mempunyai perkhidmatan kereta api langsung, lapor Reuters

Network Rail menggesa penumpang, termasuk yang bercadang untuk bercuti sempena musim panas, dan peminat sukan dalam perjalanan ke Sukan Komanwel di Birmingham yang bermula pada Khamis (28 Julai), untuk hanya melakukan perjalanan jika perlu.

Terdahulu, tindakan mogok pada bulan lalu telah menyebabkan rangkaian kereta api Britain hampir terhenti selama tiga hari; dan pada minggu lalu, beberapa laluan utama yang melintasi negara itu terpaksa ditutup apabila suhu rekod merosakkan landasan.

“Kami lebih berazam berbanding sebelum ini untuk mendapatkan kenaikan gaji yang berpatutan, jaminan pekerjaan dan keadaan kerja yang baik,” kata Setiausaha Agung RMT, Mick Lynch dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Network Rail tidak membuat sebarang penambahbaikan pada  tawaran gaji mereka sebelum ini.

“Network Rail langsung  tidak menawarkan apa-apa yang baharu kepada kami,” tegasnya.

Kesatuan RMT pula berkata ia telah menerima tawaran kenaikan 4 peratus, diikuti dengan kemungkinan 4 peratus pada tahun berikutnya bergantung kepada kakitangan yang menerima perubahan kepada kontrak mereka.

Senario Inflasi di Britain dilaporkan berada pada paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun dan ia dijangka mencapai angka  dua digit menjelang akhir tahun ini, didorong oleh lonjakan harga bahan api dan makanan.

Inflasi yang melambung tinggi itu  telah mencetuskan krisis kos sara hidup terburuk di Britain sejak rekod bermula pada 1950-an, memburukkan lagi ketegangan buruh merentas sektor termasuk perkhidmatan pos, kesihatan, sekolah, lapangan terbang dan badan kehakiman.

Ia juga menjadi titik pertelingkahan dalam perlumbaan untuk menggantikan Boris Johnson sebagai perdana menteri, dengan dua calon, Liz Truss dan Rishi Sunak, berikrar untuk membanteras tindakan mogok berkenaan.

Kerajaan Britain pada minggu lalu mengubah undang-undang untuk memudahkan perniagaan menggunakan kakitangan sementara bagi meminimumkan kesan tindakan mogok.

Perkhidmatan feri ke Cowes di Isle of Wight juga terganggu pada Rabu susulan tindakan mogok rangkaian kereta api terbaharu yang dijangka akan diadakan padai Sabtu (30 Julai) ini. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

2. AirAsia pernah minat jadikan Kelantan hab serantau Indochina 


KOTA BHARU: Syarikat penerbangan AirAsia pernah menyatakan minat untuk menjadikan Kelantan sebagai hab serantau di mana pihak kerajaan negeri telah merizabkan kawasan seluas 500 ekar di Sungai Bagan, Machang.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun suasana politik yang tidak kondusif ketika itu di mana wujud halangan pihak tertentu menyebabkan cadangan lapangan terbang antarabangsa itu dibatalkan.

“Kerana dari segi jarak perjalanan ke Indochina, ke sebelah Jepun dan China itu sendiri memang dekat. Sekarang ni pun lalu kut Kelate juga. Daripada Kuala Lumpur itu nak gi ke Indonchina, nak gi ke China sendiri, nak gi ke Jepun dan sebagainya lalu kut Kelantan gak,” beritahunya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan, di sini malam kelmarin.

Pun demikian ujarnya, dengan suasana politik baharu kini perkara tersebut boleh dibincangkan semula idea tersebut agar dapat direalisasikan sebagaimana cadangan pada tahun 2018 itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Dato’ Hanifa Ahmad pula memberitahu status antarabangsa tersebut akan kembali semula ke negeri ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dinaik taraf kepada lapangan terbang antarabangsa.

Jelas beliau, perkara tersebut telah dicadangkan sendiri oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di mana tumpuan awal adalah kepada negara-negara Asia Tenggara terlebih dahulu.

“Sebab passenger (penumpang) kita ni apabila airport (LTSIP) ni dapat dibesarkan satu tahun, (dari seramai) 1.6 juta setahun passenger akan increase (meningkat) kepada 4 juta passenger setahun.

“Maka peluang untuk kita kembangkan servis airport (perkhidmatan lapangan terbang) kita ke South East Asia (Asia Tenggara) dan seterusnya international (antarabangsa) ni cukup baik. 

“Sebab kalau kita banding, kita duduk nombor tiga domestik. Satu Kuala Lumpur, Kuala Lumpur – KLIA, (kedua) Penang, (dan ketiga) kitalah. Ramai orang Kelantan ni kaya. Tapi tak tahulah, orang kata miskin, tak declare income tax (isytihar cukai pendapatan) barang kali. 

“Penuh kapal terbang itu, Malindo, AirAsia, MAS, Fire fly dan sebagainya penuh (penumpang Kelantan),” ujar beliau memberitahu proses pembesaran LTSIP sedang berlaku kini. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

3. Tiada sebab rakyat tolak kerajaan PN 

KOTA BHARU: Impian sekian lama rakyat Kelantan untuk menikmati pembangunan seperti di negeri lain menjadi kenyatan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

Sedangkan pada era sebelum itu banyak projek pembangunan yang dirancang tidak menjadi kenyataan kerana halangan politik antara kerajaan negeri dan pusat.

Malah perkara itu turut diakui anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Hanifa Ahmad apabila memberitahu banyak projek berimpak tinggi dilaksanakan di Kelantan sekarang.

Antara projek yang giat dilaksanakan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Central Spine Road dari Pahang ke Kuala Krai dan projek tebatan banjir di Sungai Golok.

Oleh itu, Hanifa berharap kerajaan PN yang ada sekarang terus dipertahankan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi membolehkan lebih banyak projek berimpak tinggi dilaksanakan di Kelantan.

“Kita kena sabar selagi kerajaan yang ada ini friendly dengan kita, kita doakan supaya hasrat ini berterusan dan dapat dicapai.

“Kita berada dalam kerajaan Persekutuan sejak dua tahun lalu di mana banyak kemajuan tidak disekat dan arus pembangunan datang,” katanya pada Majlis Makan Malam dan Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Negeri di Dewan Peniagaan Cina Kelantan di sini, kelmarin.

Mengulas perkembangan itu Adun Apam Putra, Abdul Rasul Muhamed berkata era pemerintahan kerajaan PN, rakyat Kelantan dapat merasai banyak projek berimpak besar.

Katanya, peranan itu merupakan tanggungjawab kerajaan Pusat mengagihkan sumber kekayaan negara kepada semua negeri supaya jurang pembangunan sama rata.

“Kelantan terpinggir dalam satu tempoh yang sangat lama, jadi dengan adanya kerajaan PN sekarang, banyak projek besar dilaksanakan,” katanya.

Presiden Pertubuhan Prihatin Royalti Untuk Rakyat Kelantan (R2R), Mohd Khalid Mat Zari turut menyifatkan perkembangan baik yang berlaku di Kelantan sekarang.

Oleh itu, beliau mengajak rakyat Kelantan mempertahankan kerajaan Pusat yang ada sekarang bagi memastikan kelancaran pembangunan.

Menurutnya, menjadi satu kerugian rakyat yang menolak kerajaan PN kerana telah terbukti Kelantan tidak lagi didiskriminasi seperti sebelum ini.

“Rakyat mesti mempertahankan kerajaan PN demi melihat semua projek pembangunan di bawah peruntukan Pusat dapat diteruskan.

“Kerana semua ini memberi impak sangat besar kepada rakyat dan juga negeri Kelantan apabila semakin banyak pelaburan luar masuk,” katanya.
Penghulu Mukim Binjai, Mat Nor Ismail berkata, berdasar situasi yang ada sekarang tiada sebab kerajaan PN sekarang perlu ditukar.

Kata beliau PAS yang menjadi sebahagian parti kompenan dalam kerajaan Persekutuan dilihat sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat.

“Kenapa pula kita kena tukar kerajaan sekarang kerana terbukti berlaku adil dan tidak lagi menyisihkan Kelantan yang agak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

“Sepatutnya kerajaan PN perlu dipertahankan, dan kita tidak mahu sejarah Kelantan disisih dalam tempoh begitu lama dibiarkan berulang semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails