Saturday, July 30, 2022

M'sia rangkul 3 emas dunia, Hijrah & Orang Asli.

 


1. Pencak Silat Dunia: Malaysia rangkul tiga emas kategori artistik

MELAKA: Malaysia merangkul tiga pingat emas menerusi Kategori Artistik pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022, yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Pada aksi final malam ini, emas pertama Malaysia diraih menerusi gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga, yang beraksi dalam Kelas Ganda Lelaki selepas menewaskan pasangan adik beradik dari Filipina Almohaidib E. Abad dan Alfau Jan E. Abad.

Persembahan mantap yang dimulakan dengan rutin tempur tangan kosong, sebelum diikuti lawan kayu panjang dan parang itu berjaya mengutip 9.950 mata, mengatasi gandingan Filipina yang mengumpulkan 9.930 mata.

“Kami bersyukur dapat mempertahankan emas dalam kategori ini dan secara jujurnya, kami boleh mengagak permainan Filipina kerana sudah beberapa kali bertemu dengan gandingan tersebut,” kata Mohd Taqiyuddin kepada media selepas perlawanan tersebut.

Tambahnya, keberanian mereka mengambil risiko dengan bermain corak pantas dalam aksi parang juga memberi tuah, kerana penyertaan mereka boleh dibatalkan secara automatik jika parang patah atau terluka ketika beraksi.

Sementara itu, aksi Regu Lelaki juga tidak menghampakan apabila pingat emas menjadi milik Muhammad Syafiq Ibrahim, Nashrul Edam Mohd Asri dan Luqman Laji, setelah menewaskan gandingan Indonesia yang dibarisi Anggi Faisal Mubarok, Asep Yuldan Sani dan Rano Slamet Nugraha.

Seorang lagi pesilat negara Merrywati Manuil, juga menyumbangkan emas dalam Kategori Solo Kreatif Wanita selepas menewaskan Puspa Arumsari dari Indonesia.

Namun Puspa Arumsari kemudiannya menebus kekecewaannya selepas memenangi emas bagi kategori Tunggal Wanita dengan mengatasi pesilat negara Nur Shafiqah Hamzah.

Edisi kejuaraan ke-19 yang berlangsung selama enam hari sehingga Ahad ini disertai lebih 500 peserta dari 40 negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Kanada, Vietnam dan Malaysia selaku tuan rumah. – BERNAMA

2. Hijrah Rasulullah bina masyarakat madani, laksana keadilan 

KUALA LUMPUR: Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukanlah semata-mata bagi melepaskan diri daripada menghadapi tekanan, penindasan, dan penghinaan; apatah lagi jika hendak disamaertikan dengan pelarian atau suaka politik.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bahkan, lebih besar daripada itu, hijrah Baginda Rasul SAW bersama para sahabat adalah dengan membawa suatu gagasan murni, iaitu untuk membina sebuah masyarakat madani dan melaksanakan keadilan sama ada terhadap orang Islam mahupun yang bukan Islam.

“Seterusnya, hijrah juga sangat berkait rapat dengan jihad bagi mempertahankan aqidah dan menegakkan Islam dalam diri serta negara yang berwawasan akhirat supaya Islam memimpin bukan dipimpin,” ujarnya menerusi Facebook beliau, malam ini sempena Sambutan Maal Hijrah 1444.

Beliau menambah, pada masa yang sama, jihad juga bererti tidak menyerah kalah kepada musuh demi mendukung dan mengangkat syariat Islam ke tempat yang tertinggi.

Justeru, katanya peranan dan tanggungjawab bagi menegakkan dan mempertahankan Islam perlulah digalas oleh semua pihak, sama ada oleh para pemerintah mahupun rakyat jelata secara keseluruhannya.

“Hayatilah iktibar melalui kisah hijrah Rasulullah SAW yang sangat mendidik kita agar sentiasa yakin terhadap janji Allah, teguh dengan keimanan, kukuh dengan persaudaraan, serta sabar dalam menjunjung risalah Islam yang agung,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Untuk itu, beliau mewakili PAS amat berbesar hati mengambil kesempatan bagi mengucapkan Salam Maal Hijrah 1444H kepada seluruh umat Islam.

“Mudah-mudahan, dengan kehadiran tahun baharu ini, Allah SWT senantiasa memperbaharui jiwa kita dalam kembara menjadi seorang hamba, khalifah, dan pemegang amanah yang kekal berada di atas jalan petunjuk-Nya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/7/2022

3. Orang Asli ikuti kuliah Menteri Besar di Medan Ilmu  

KOTA BHARU: Ketua-ketua masyarakat Orang Asli di pedalaman Gua Musang menimba pengalaman berkaitan pengurusan Pusat Khidmat Adun (PKD) dengan mengadakan lawatan ke beberapa PKD.

Program tersebut yang dianjurkan Urusetia Pembangunan Penghulu Negeri Kelantan disertai seramai 40 pemimpin komuniti terbabit.

Rombongan terbabit diketuai Penghulu Jumat Abak dari Dun Nenggiri dan dibantu Sudin Mohd Nor serta Salim Climbong.

Pengarah Urusetia Pembangunan Penghulu Negeri, Jamaluddin Ishak berkata, lawatan tersebut yang bermula hari ini dengan mengadakan lawatan ke PKD Kemuning, Machang.

Katanya, pada lawatan tersebut pemimpin masyarakat Orang Asli mendengar taklimat disampaikan Adun Kemuning Mohd Roseli Ismail.

Kata beliau, pada hari kedua pula lawatan diadakan di PKD Pengkalan Kubor di mana akan diadakan majlis ramah mesra dengan Adun kawasan berkenaan, Wan Roslan Wan Hamat.

“PKD terakhir yang akan dikunjungi pada Sabtu iaitu PKD Kelaboran. Pemimpin masyarakat Orang Asli akan mengikuti taklimat disampaikan Adun terbabit Mohd Adanan Hassan,” katanya di sini. 

itu, rombongan ketua masyarakat Orang Asli juga akan mengikuti kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu esok yang akan disampaikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Dan pada sebelah petang mereka akan dibawa melawat Laman Warisan di Kampung Laut, Tumpat. Mereka turut berpeluang membeli belah di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor.

Pada pagi Sabtu mereka akan dibawa melawat Pasar Terapung Sri Tanjung yang kini menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Jamaluddin juga berkata, rombongan pemimpin masyarakat Orang Asli juga akan dibawa melawat jualan pelbagai produk Kelantan di KALA Sentral berhampiran Masjid Muhammadi.

Sementara itu dalam perkembangan lain Penghulu Tanpa Mukim Wanita Orang Asli Shila Angah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran di Kampung Pasik, Gua Musang pagi tadi.

Di Kelantan sebahagian besar masyarakat Orang Asli tinggal di pedalaman Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli.

Kerajaan negeri melantik beberapa pemimpin masyarakat Orang Asli sebagai penghulu bagi membolehkan masalah membabitkan kaum terbabit diketengah kepada kerajaan. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Malaysia rangkul 3 emas dunia, Hijrah dan Orang Asli ikut kuliah MB.. Al-hamdulillah semuanya.

Hibur Hibur Sikit

H2S Pilihan: 25 -Nasyid Orang Asli Malaysia.

[BTP] NAIB JOHAN Nasyid Murid Orang Asli KDSS 2017 | Pahang


BTP] KETIGA Nasyid Murid Orang Asli KDSS 2017 | Selangor


Mah Meri Celebrating Ari Muyang


Hari Moyang Kaum Mah Meri penuh tradisi dan 'mistik'

Perlukah  dibuat pencerahan dan pembersihan dari sudut Islam?

Sudah terbit!!

E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..

E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..

Bab I

Bab II
Bab III
Bab IV
Bab V 
    Bab VI

    No comments:

    Post a Comment