Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
1. Pembangkang 'panas’ dengar hujah Nik Abduh
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang perbahasannya di Dewan Rakyat, sebelum ini lemah lembut dan jarang menimbulkan kontroversi, hari ini, menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang, terutama dari Amanah, marah besar.
Beliau berucap sebagai pembahas terakhir usul melanjutkan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) selepas Khalid Abd Samad (Amanah-Shah Alam).
Selepas perbahasan Khalid yang tidak henti-henti membidas PAS, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata: “Oleh kerana PAS disebut, saya kena jemput Yang Berhormat (YB) Bachok sebagai pembahas terakhir.
Nik Mohamad Abduh memulakan perbahasan dengan menyatakan bahawa tajuknya hanya satu, iaitu adakah SOSMA terkeluar daripada landasan keadilan Islam.
“Yang pertama, saya hendak cakap pasal nas. Saya tak hendak sebut nas (dari segi) perbincangannya. Pertama, hak kerajaan untuk menahan individu yang tidak bersalah, nas menyatakan jelas itu salah kerajaan.
“Yang kedua, hak kerajaan menahan individu yang bersalah sebagai hukuman, nas adalah membenarkan. Yang ketiga, hak kerajaan menahan individu yang disyaki bersalah untuk siasatan, nas ada membenarkan,” katanya.
Bagaimanapun ketika hendak menyatakan perkara keempat, Khalid mencelah dengan berkata: “Dia punya proses (nas) macam mana”. Namun Nik Mohamad Abduh, meminta Ahli Parlimen Shah Alam supaya diam dahulu menyebabkan keadaan kecoh.
Yang Dipertua: YB…YB Shah Alam, tadi YB Shah Alam, tadi Bachok tak kacau (ganggu perbahasan).
Shah Alam: Pasal dia yang terakhir, dia tak beri kita jawab, inilah masalahnya.
Bachok: Nak panjang, pendek, boleh di luar, masa takda.
Ahli Parlimen Sepang mencelah dalam keadaan yang sangat bising.
Yang Dipertua: Sepang…Sepang
Bachok: Bagi masa setengah jam saya sanggup, setengah jam saya sanggup berbahas di sini.
YDP: Sepang…Sepang..keadaan kelam kabut
Keadaan itu tidak dipedulikan oleh Nik Mohamad Abduh yang meneruskan perbahasan dengan berkata: “Yang keempat, hak kerajaan untuk menahan individu yang disyaki sebagai satu hukuman, nas tidak membenarkan.
Ini diikuti dengan perbahasannya mengenai tahanan apabila beliau menyatakan bahawa ada dua tahanan yang dibenarkan Islam dan mempunyai nas.
“Yang pertama, tahanan sebagai hukuman, masuk penjara ada nas. Itu hukum takzir. Kedua, tahan untuk siasatan. Ada nas daripada Rasulullah SAW, bukan hukuman, tahan beberapa hari untuk siasatan, ada nas. Daripada Rasulullah SAW dan ijmak ulama.
“Kemudian Tuan Yang Dipertua, dalam perbahasan orang yang ditahan ini ada tiga. Dia ditahan dalam keadaan dia dikenali baik. Misalnya kita orang politik, katakanlah kita orang politik baik. Ada perbincangannya.
“Kedua, rakyat yang tidak dikenali baik atau buruk, ada hukumnya. Ketiga, rakyat yang ditahan, dia dikenali kejahatannya, dia pernah ditahan atas hukuman. Saya nak ambil rakyat biasa yang ditahan, kita tak tahu dia baik atau buruk sebab dia orang biasa,” katanya.
Nik Mohamad Abduh berkata, ulama membahaskan tempoh penahanan untuk siasatan, ada dua pandangan ulama dengan yang pertama hendaklah bertempoh dan ulama itu, antaranya Abu Abdullah Al Zubaidi, dari mahzab Syafie menyatakan kadar tahanan tidak boleh melebihi 30 hari untuk siasatan.
Pandangan kedua, katanya kebanyakan ulama menyatakan kerajaan berhak untuk menahan untuk tempoh selama mana yang dikehendaki asalkan demi kemaslahatan awam.
“Saya berhenti setakat ini Yang Dipertua untuk menyatakan bahawa SOSMA tidak keluar dari landasan Islam, diikuti dengan kekecohan apabila Ahli Parlimen pembangkang menjerit-jerit, manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat berulang-ulang menyebut Kota Raja…Kota Raja (Mohamad Sabu).
Yang Dipertua Dewan Rakyat kemudian membenarkan M Karupaya (PH-Padang Serai) menjadi pembahas terakhir, namun peringkat awal ucapannya ditenggelami hiruk pikuk beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang masih tidak berpuas hati dengan perbahasan Nik Mohamad Abduh. – HARAKAHDAILY 26/7/22
2. PRU15 antara realiti dan ramalan
MESYUARAT Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini telah meluluskan seramai 7,322 permohonan ahli baru PAS bagi tempuh 9 Jun ke 13 Julai 2022.
Bermakna purata seramai 215 orang memohon menjadi ahli PAS setiap hari dari seluruh negara.
Ini satu angka yang luar biasa dalam suasana beberapa parti dalam negara sedang berhadapan dengan pelbagai krisis dan kemelut, PAS mampu menarik minta dan perhatian rakyat.
Kempen keahlian PAS yang dilancarkan dijangka terus menjana ramai lagi keahlian baru dan jika momentum ini berterusan, PAS bakal meraih laba yang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang secara peribadi tidak pun cenderung pada PAS, dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa PAS bakal memperoleh lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ramalan beliau adalah disandarkan pada perpecahan dalam parti-parti politik yang lain, dan PAS padanya memiliki ‘advantage’ kerana membawa perjuangan Islam maka ideologi Islam yang dibawa PAS menarik orang Melayu kerana apabila berdepan keadaan tidak pasti, golongan pengundi itu lebih terdorong kepada agama.
Daim menjangkakan DAP akan kehilangan sebilangan kerusi, PKR pula akan kalah lebih lagi dan tambah beliau: “Bagi Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air), saya rasa sudah habis dan begitu juga BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)”
Beliau menambah, perpecahan dalam PH dan Umno juga secara tidak langsung mendorong pengundi Melayu ke arah PAS. Katanya lagi: “Apabila orang Melayu semakin tua, mereka juga mula berfikir tentang Allah dan bagaimana PAS menjadi penyelamat mereka,”.
Saya mengatakan Daim memang tidak cenderung kepada PAS, kerana ramalannya ini bukannya kerana mahu melihat PAS menang tetapi ia sesungguhnya melahirkan kebimbangan beliau, katanya: “Dan jika kita tidak hati-hati, PAS akan dapat lebih banyak kerusi,”. Bermakna Daim bimbang PAS menang.
Apa pun peluang dan harapan PAS bukanlah bertenggek pada pandangan dan ramalan Daim. Bolehlah kenyataannya itu diraikan tetapi hakikatnya PAS bergerak atas keupayaan dan kemampuannya, dan sejak ditubuhkan lebih 70 tahun lalu para petugas dan aktivis PAS tidak pernah jemu-jemu meneroka jalan dan mencari peluang agar Islam dapat berada bersama arus perdana politik dan pentadbiran negara.
Kita yakin yang rakyat dan negara akan lebih aman dan sejahtera kiranya Islam menjadi asas dan rujukan negara dan negeri-negeri, atas keyakinan itu PAS tidak sesekali akan berputus-asa malah akan terus bergerak membina kekuatan, menjalin kerjasama bagi memastikan ia menang dan menyumbang ke arah cita-cita ini.
Kerana itu kempen keahlian PAS, penambahan cawangan-cawangan, keahlian Dewan Himpunan Pendukung PAS terus berjalan, perkembangan ini mungkin terlepas dari pemantauan dan kajian Daim.
Namun demikian pandangan Daim berkenaan prestasi semasa parti-parti politik wajar diberi perhatian para perancangan dan pimpinan PAS. DAP sebelum ini merupakan parti yang paling berpengaruh dalam Pakatan Harapan.
Atas keupayaan DAP lah maka pada PRU ke-14 lalu, PH berjaya merampas Kerajaan Persekutuan dan kebanyakan kerajaan-kerajaan negeri. Masyarakat bukan-Melayu begitu taksub dengan propaganda dan kempen serta janji-janji yang dimainkan DAP sehingga PH mampu mendapat lonjakkan yang besar.
Tetapi itu dahulu iaitu 2018, hari ini DAP sedang merawat lukanya ekoran dari siri-siri kekalahan sejak PRK Cameron Highlands diikuti PRN Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.
Sejak terpelanting keluar dari Kerajaan Persekutuan akibat peletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, DAP sukar bangkit kembali manakala rakan-rakannya dalam PH, seperti PKR dan DAP dilihat gagal mendapatkan sokongan pengundi Melayu. DAP dijangka kembali sebagai pembangkang kecuali mungkin di Pulau Pinang.
Lebih parah lagi PKR, ia juga kalah teruk dalam beberapa siri PRK dan PRN Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor. Kini ia berhadapan pula dengan krisis dalaman antara kem Anwar dan Rafizi. Sejak Rafizi berjaya mengalahkan calon Anwar untuk merebut jawatan nombor dua dalam parti itu, PKR semakin kacau.
Dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat PKR baru-baru ini dari 25 jawatan yang dipertandingkan, kem Rafizi didakwa menang 13. Bermakna MPP PKR sudah berpecah dua dan tumpuan Anwar selepas ini dijangka dalam memastikan beliau tidak terus tenggelam di bawah tekanan kuat dari kem populis Rafizi.
PAN pula semakin tidak relevan. Ada ahli-ahlinya melompat dan bertukar parti, jika DAP yang merupakan ‘payung besar’nya bermasalah, apatah lagi PAN dikira lebih parah lagi sehingga langsung tidak disebut dalam ramalan Daim.
Lantas dengan nafas baru yang ada pada PAS melalui peningkatan keahlian baru yang luar biasa kebelakangan ini, terbukti dalam suasana kemelut politik yang tidak menentu hari ini rakyat tetap selesa dan terbuka pada PAS, oleh itu jangan kita mempersiakan keyakinan ini.
Inilah masanya untuk membuktikan yang PAS berupaya memain peranan mengemukakan penyelesaian bagi mengemudi rakyat dan negara keluar dari permasalahan dan kemelut semasa berbekalkan pendekatan dan alternatif Islam yang universal dan relevan.
Perjuangan atau ideologi Islam bukan sahaja diperlukan di waktu gawat atau pada usia tua sebagaimana kenyataan Daim tetapi ianya mutiara yang hari ini kita sedar telah kita cicir dan tinggalkan, maka sebaiknya kita kembali menggapainya dengan hati yang terbuka.
Berpegang teguh pada tali Allah, merupakan perintah yang termaktub di dalam al-Quran yang terkena pakai ke atas setiap individu Muslim sebagaimana dinyatakan dalam ayat 103 surah Ali Imran.
Maka jelas inilah yang perlu kita usahakan bersama hari ini. Dan bersama dengan perintah Allah S.W.T ini adalah perintah agar umat Islam tidak lagi berpecah-belah atau bercerai-berai. PAS perlu menjuarai politik perdamaian dan penyatuan ummah di saat rakyat menunggu-nunggu melihat kemampuan Islam menjadi formula menyelesaikan konflik dan permasalahan mereka.
Ini waktunya kita membuktikan betapa nikmat penyatuan yang dikurnia Allah S.W.T itu adalah kunci kepada nikmat keamanan dan kesejahteraan yang bakal menyusul sebagaimana janji-Nya.
Pilihan Raya Umum ke-15 suka atau tidak akan diadakan bila-bila masa memandangkan usia Parlimen ke 14 ini telah mencecah lebih 4 tahun.
Marilah kita buktikan pilihan terbaik buat rakyat adalah bersama menudukung jajaran politik penyatuan ummah, jangan lagi bersengketa jangan lagi berpecah-belah tetapi bersama dengan taqwa dan integriti membina negara yang menjadi impian semua.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 25/7/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pembangkang 'panas' bila dengar perbahasan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Dewan Rakyat. Kini realitinya memberangsangkan, 215 orang jadi ahli PAS tiap hari. DAP, PAN pula bagaimana? Elok sila tanya Daim..
Dikir Marilah Undi Bule
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015
No comments:
Post a Comment