Monday, August 01, 2022

Tahniah Aniq dan Aznil! dari Ibnu Hasyim. Al-hamdulillah! Tapi...

 

Foto ihsan Facebook Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

1. Sukan Komanwel: Emas buat negara, tahniah Aniq dan Aznil! - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada dua atlet angkat berat negara yang berjaya memenangi pingat emas dalam acara masing-masing pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, hari ini.

Perdana Menteri dalam hantaran melalui Facebook beliau, menzahirkan ucapan itu kepada Mohamad Aniq Kasdan yang berjaya menyumbang pingat emas pertama kepada Malaysia pada temasya sukan berkenaan melalui kategori 55 kilogram (kg).

Foto ihsan Facebook Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

"Alhamdulillah, pingat emas pertama untuk kontinjen negara di Sukan Komanwel 2022! Tahniah Mohamad Aniq Kasdan yang cemerlang dengan angkatan keseluruhan 249kg bagi memberi pingat pertama negara.

"Lebih manis, pencapaian Aniq ini merupakan rekod kejohanan yang baharu serta penampilan pertama beliau di kejohanan terbesar dunia

"Syabas saya ucapkan! Semoga atlet kita yang lain akan terus menyumbang lebih banyak pingat buat negara," katanya.

Mohamad Aniq, 20, menampilkan aksi bertenaga sehingga meraih emas dalam kategori 55kg lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249kg.

Atlet berasal dari Segamat, Johor itu melakukan angkatan snatch 107kg dan clean & jerk 142kg.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada seorang lagi atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin yang menyumbang pingat emas kedua negara melalui kategori 61kg pada temasya sukan berkenaan.

"Satu lagi pingat emas daripada skuad angkat berat negara!

"Tahniah Muhamad Aznil Bidin yang berjaya mengekalkan pingat emas yang beliau menangi pada edisi 2018.

Beliau juga berjaya memecahkan rekod kejohanan yang baharu dengan angkatan keseluruhan sebanyak 285kg.

"Ayuh kekalkan momentum ini dan terus berjuang!" katanya.

Anak kelahiran Kedah itu melakukan angkatan snatch 127kg dan clean & jerk 158kg. (BH)


2. Jangan lalai sehingga mampu mereka kembali berkuasa 


AHLI Parlimen Kota Belud dari Parti Warisan, Isnaraissah Munirah telah diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung dua hari dari persidangan berikutan tindakannya mempersoal keputusan Speaker menolak usulnya untuk membahaskan isu tuntutan Sulu baru-baru ini.

Perintah keluar Dewan itu dikeluarkan oleh Timbalan Speaker, Datuk Mohd. Rashid Hasnon apabila Ahli Parlimen berkenaan enggan duduk dan terus mengganggu perjalanan Dewan. Tindakan Speaker menolak dengan justifikasi usul yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Dewan bukannya sesuatu yang luar biasa. Ianya biasa berlaku termasuklah ketika Pakatan Harapan menguasai Dewan selama 22 bulan.

Menurut peraturan Dewan sebarang usul yang ditolak boleh dirayu melalui surat ke Pejabat Speaker untuk pertimbangan, namun wakil Parti Warisan itu enggan patuh dan mengambil kesempatan menggamatkan Dewan tanpa mempedulikan peraturan Dewan dan keputusan Speaker.

Arahan keluar Dewan oleh Speaker pun bukan sesuatu perkara yang baru malah sering berlaku apabila ada di kalangan Ahli-ahli Dewan enggan mematuhi keputusan dan adab di dalam Dewan. 

Memang pihak pembangkang mengambil-kira Sidang Parlimen kita sekarang disiarkan secara langsung akan sentiasa mengambil kesempatan mencuri peluang untuk mencetuskan ketegangan dan riuh-rendah untuk menunjukkan kononnya mereka sahaja yang berkerja dan prihatin pada nasib rakyat.

Apa yang mahu diutarakan di sini adalah kesatuan blok pembangkang, termasuklah dari PH dan parti-parti lain berkerumun menyokong tindakan wakil Warisan itu dan mendesak Speaker menarik-balik keputusan sehingga mencetuskan huru-hara dalam Dewan. Wakil-wakil pembangkang kelihatan menyekat Bentara Dewan dari menjalankan tugasnya mengiringi Isnaraissah keluar Dewan.

Dalam sekelip mata mereka boleh bersatu, satu nada, satu suara walaupun banyak berbeza sesama mereka semata-mata kerana mahu memalukan kerajaan.

Bukan lagi rahsia bahawa PH dengan Warisan saling berbalah di luar. Warisan enggan bekerjasama dengan PH malah Warisan bercita-cita menjadi parti nasional dan melonjakkan Presidennya sebagai salah seorang calon Perdana Menteri. Dalam PRN Johor Warisan meletakkan calon menentang calon-calon PH.

Walau bagaimanapun demi menangguk di air keruh, demi mahu mencemar dan mengaibkan kerajaan, kononnya kerajaan tidak peduli pada isu Sabah, kononnya kerajaan menyekat suara dan kebebasan Ahli-ahli Parlimen keseluruhan blok pembangkang boleh mengenepikan perbezaan antara mereka itu dan kelihatan bersatu menumpu serangan pada kerajaan ‘Keluarga Malaysia’.

Tidak mustahil mereka yang ‘desperado’ ini boleh sahaja bersatu dan bertaut kembali menjelang PRU ke 15 bagi menghadapi calon-calon parti kerajaan. PH dan Warisan mungkin bermusuhan hari ini, tetapi demi kuasa tidaklah memeranjatkan kiranya mereka masing-masing ‘u-turn’ sebagaimana dalam kes Isnaraisaah, demi mahu menumbangkan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Kerana itulah parti-parti yang membentuk dan mendukung kerajaan hari ini perlu berhati-hati. Jangan pandang remeh kemampuan pihak pembangkang, benar mereka mungkin telah tertiarap di PRN Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak tetapi berteraskan fahaman Machiavelli, ‘matlamat menghalalkan cara’ yang kebanyakan mereka anuti, mereka tidak akan teragak-agak mengenepikan permusuhan mereka, bersatu demi kerana mahu kembali berkuasa.

Lantas, bagaimana dengan parti-parti Melayu yang mendukung kerajaan hari ini? Sudah lupakah kita pada bencana yang datang pada PRU ke-14 lalu, apabila kuasa di peringkat Persekutuan terlepas dari tangan kita dan dikuasai kelompok yang didominasi DAP, lupakah kita?

Blok pembangkang mudah sahaja bersatu ikut kepentingan, malangnya kita lebih membuang masa dan tenaga bertelagah sesama sendiri sedangkan kita duduk mendukung satu kerajaan yang sama. Secara terbuka api kebencian kita nyala dan marakkan, saban hari kita tuduh menuduh dan serang-menyerang sesama sendiri. Musuh sebenar kita seakan tidak nampak sedang keris dan tombak di tangan kita acu dan hala sesama sendiri.

Lihat Warisan yang bukan sebahagian PH tetapi terang-terangan mahu menggantikan PH, namun dalam insiden Isnairaissah ini mereka boleh peluk-memeluk sesama mereka.

Harus kita sedari bahawa rakyat jelata di luar sudah bosan dengan terlalu banyak politiking di sekeliling mereka sejak PRU 2018. Mereka mahukan kestabilan dan kestabilan ini datang dari kemampuan parti-parti politik menunjukkan secara terbuka bahawa mereka serius, menjuarai agenda perpaduan.

Apatah lagi umat Melayu Islam sudah cukup serik dengan bencana PRU 2018 apabila mereka melihat sendiri angkara perbalahan dan ketidakpuasan hati kuasa dan kekuatan politik terlucut dari tangan anak-anak bangsa.

Rakyat khasnya umat Melayu mahu melihat parti-parti Melayu Islam khasnya yang dominan bangkit ke hadapan menjuarai agenda perpaduan. Biarlah politik stabil lantas negara turut stabil.

Tuanku Sultan Selangor baru-baru ini setelah mencemar duli menyaksikan tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, umpamanya telah bertitah melalui kenyataan rasmi Baginda: “Jika dihayati dialog yang digunakan dalam filem ini, ia bertepatan bagi menyampaikan mesej kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam.”

Tambah Baginda: “Beta tidak berhasrat mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara, walau bagaimanapun Beta merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan, di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan”.

Semoga semua yang berkenaan dapat segera insaf dan kembali berunding bagi membina penyatuan dan kesatuan ummah yang dituntut dan dikehendaki dengan harapan nasib dan masa depan ummah terjamin dan tidaklah sekali-kali lagi bumi bertuah ini dikuasai pihak lain sebagaimana sebelumnya. 

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 29/7/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimTahniah Aniq dan Aznil! dari Ibnu Hasyim. Al-hamdulillah! Tapi.. Jangan lalai sehingga mampu mereka kembali berkuasa!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment