KUALA LUMPUR: Tiga pulau dalam negara dicadang dijadikan Pulau Tenaga Hijau menggunakan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB), menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata pulau-pulau berkenaan ialah Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu serta Pulau Tioman di Pahang.
Katanya, kertas cadangan mengenai inisiatif berkenaan telah dibentang kepada Kabinet, Jumaat lepas.
“Kita cadang mulakan di Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Tadi Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) umum satu lagi pulau iaitu Pulau Tioman.
“Kerajaan memang serius dan kita harapkan walaupun tidak seluruh negara, ada komponen seperti pulau-pulau ini yang gunakan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu,” katanya pada sidang media selepas perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 oleh perdana menteri, di sini hari ini.
Perdana menteri ketika berucap berkata inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau ini adalah antara empat sistem pembekalan elektrik negara.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) kini sedang disediakan kerajaan dengan kerjasama Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) dan dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.
“Ia penting kerana akan beri kita garis panduan bagaimana untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih 2050,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Takiyuddin berkata ketetapan dasar serta inisiatif pembangunan tenaga lestari dijangka dapat mengurangkan 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sektor bekalan elektrik.
Beliau berkata penetapan dasar serta inisiatif tersebut juga akan menghasilkan limpahan ekonomi melalui penjanaan pelaburan sehingga RM33 bilion dan mewujudkan 47,000 peluang pekerjaan langsung.
“Komitmen inj memerlukan gandingan usaha semua pemegang taruh dalam bidang tenaga lestari,” katanya. – BERNAMA
2. Isham Jalil tidak perlu datang perlekeh Kelantan
MALAM tadi ada seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil yang dipecat oleh Barisan Nasional (BN) Selangor dari jawatan Ketua Penerangannya di negeri itu awal Jun lalu, hadir ke Bunut Susu untuk berceramah.
Banyak isu yang disebut, termasuk kes Najib Razak, isu LCS dan juga tak dilepaskannya untuk menghentam Kelantan. Antara lain dikritik adalah isu air.
Isham Jalil atau mana mana pihak yang berterusan mahu melihat perubahan ‘sekelip mata’ penyelesaian masalah perkhidmatan bekalan air di Kelantan sewajarnya lebih rasional dan matang dalam melihat realiti.
Tiada amalan perancangan, kelulusan, peruntukan, pelantikan kontraktor, kerja pembinaan dan lain-lain proses dapat berlaku dalam hanya beberapa hari dengan kudrat dan pengurusan manusia biasa.
Kelantan sekian lama khususnya sejak tahun 1990 benar-benar terpaksa berdiri dengan keupayaan sendiri dalam memberi perkhidmatan perbekalan air bersih untuk rakyatnya.
Benar, ketidakmampuan itu amat ketara dan berjurang besar dengan negeri-negeri lain. Tetapi sebab apa? Kerana di negeri lain, kerajaannya dibantu oleh Kerajaan Persekutuan menerusi peruntukan geran dan pinjaman.
Kelantan pada waktu itu, kerana berbeza politik dan dendam lampau telah menyebabkan tiada peruntukan diberi. Apakah Isham Jalil lupa hal ini? Sebagai anak Melayu yang berdarah campuran Kelantan, dengan ucapan ‘pelat pelat Kelate’, Isham harus berlaku adil.
Kezaliman dan pengabaian lalu hakikatnya bukanlah menghukum seorang Menteri Besar bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN-ADUN lain secara sendirian.
Mereka begitu sedar bahawa ia menimpa ke atas lebih 1.5 juta rakyat yang mendiami negeri ini. Tetapi kita bersolidariti selama ini dan kita memerlukan lagi solidariti itu untuk melihat akhirnya kita menikmati air bersih.
Rakyat Kelantan sabar dan tahu dengan jelas, terang lagi bersuluh sekian lama, bahawa masalah perbekalan air ini antara lain adalah kerana cacat sumbingnya semangat Federalisme dahulu.
Ketahuilah dalam banyak agihan kewangan lalu, Kelantan hanya baharu menerima peruntukan pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sebanyak RM395 juta iaitu RM390 juta pinjaman dan hanya RM5 juta geran
Itupun apabila setelah air yang menjadi hak dan kedaulatan negeri ini, telah kita migrasikan kepada Kerajaan Persekutuan. Sedangkan dalam RMK11 itu, negeri-negeri lain diberi jauh lebih banyak, seperti Johor (RM792 juta) dan Kedah (RM1.6 bilion) serta lainnya.
Sedangkan sebelum itu misalnya, dalam RMK10 Kelantan tidak menerima walau RM1, tetapi negeri-negeri lain tetap menerima peruntukan antaranya Melaka (RM120 juta) dan Pulau Pinang (RM1.232 bilion).
Juga sebelum itu lagi, dalam RMK9 juga Kelantan seperti tidak wujud, sedang negeri-negeri lain menerima jumlah besar misalnya Selangor (RM1.75 bilion), Perlis lebih RM195 juta dan Pahang sebanyak RM1.83 bilion.
Namun, Kerajaan Negeri Kelantan demi kepentingan rakyat terhadap keperluan bekalan air bersih gigih berusaha dengan pelbagai kaedah. Dengan kemampuan kewangan yang kecil, antaranya kaedah boring digunakan membekal air sehingga 3 juta liter sehari (MLd) sahaja.
Itulah yang tersohor khususnya semasa zaman pentadbiran Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Manakala loji-loji rawatan air (LRA) mini termampu dibina hanya berkapasiti rendah membekal air sehingga tertinggi pun 30 MLd.
Itupun ada bermacam masalah seperti terdapat kandungan logam-logam dan benda lain perlu ditangani sebelum disalur bekalkan ke pengguna yang menyebabkan kosnya begitu tinggi dari kemampuan sedia ada.
Sedangkan di negeri lain, LRA dapat dibina dengan banyak dan setiap kapasiti tidak kurang 100 MLd, bahkan ada yang dapat mengeluarkan lebih 600 MLd air untuk pelbagai kegunaan, tetapi Kelantan untuk minum pun tidak mencukupi.
Rakyat bersolidariti bersama negeri selama itu dan kesabaran itu ternyata ‘berbayar’ apabila Allah S.W.T mengurniakan pemerintahan Kerajaan Persekutuan kepada gabungan yang turut disertai PAS pada Mac 2020.
Portfolio air yang dimandatkan kepada PAS menerusi Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man nyata segera membawa peruntukan sewajarnya untuk Kelantan dapat menyalurkan perkhidmatan diperlukan rakyat.
Antara hasilnya melalui RMK12, sebanyak RM103 juta diperuntukkan kepada Kelantan iaitu RM55 juta geran dan RM48 juta pinjaman. Ia angka yang membolehkan pentadbiran Dato’ Ustaz Ahmad Yakob sedikit bernafas bagi menggiatkan perkhidmatan itu.
Dato’ Ustaz Ahmad sendiri antara yang kerap melihat perjalanan pelaksanaan atau ‘progress’ naik taraf dan pembinaan baharu sedang berlangsung di seluruh negeri ini di mana banyak masalah telah diatasi dan keperluan mula dipenuhi.
Namun, masih banyak dalam pembinaan termasuk kerja-kerja penyelenggaraan turut perlu dilakukan terutama melibatkan penggantian paip-paip usang berusia sekitar 50 tahun yang panjangnya lebih 8,000 kilometer seluruh negeri ini. Setakat ini kurang 20 peratus dari jarak ini dibaik pulih.
Ini untuk mengatasi masalah bekalan air tidak berhasil (NRW) iaitu kebocoran atau kehilangan air sepanjang penyaluran perbekalan yang tinggi di negeri ini sekitar separuh daripada jumlah air bersih diproses. Tahun 2022 ini, sebanyak RM69.95 juta diperuntukkan untuk atasi NRW.
Saya berharap Saudara Isham membaca tulisan ini, sehingga ke para ini. Saya sambung lagi fakta dan datanya. Ia bagus untuk Isham fahami agar lain kali jika balik dan pulang ke Kelantan, ceramahnya kalau berkait isu bekalan air, akan berpijak di bumi nyata dan hujahnya akan lebih adil.
Dengan peruntukan sendiri RM49 juta juga, kerajaan negeri sedang menaik taraf mini LRA antaranya di Teluk Mesira, Ketereh, Jelawat, Wakaf Bharu, Kampung Perol, Meranti, Kedai Buluh dan Tendong. Juga RM5 juta untuk selesai masalah jangka pendek dengan pembinaan telaga tiub.
Sementara projek dengan kapasiti lebih besar adalah LRA Kampung Telok, Kota Bharu dan baik pulih LRA Wakaf Bharu, Tumpat serta pemasangan paip tangki Lepan Jaya, Gua Musang.
Menerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dengan peruntukan pinjaman bernilai RM207.2 juta, naik taraf sedang disiapkan menjelang tahun 2025 ke atas LRA Chicha Fasa 2 untuk membekal keperluan dengan kapasiti 10 MLd, LRA Tanjung Mas (30 MLd) dan LRA Bukit Chupak (10 MLd).
Pembinaan LRA Mini Telok Mesira, Bachok difahamkan telahpun siap dan membekal 2 MLd untuk penduduk. Juga difahamkan, KASA sedang memohon pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Machang berkapasiti 500 MLd yang akan meningkatkan rizab margin air kepada 30 peratus.
Semua ini akan terus digiatkan hingga Kelantan mencapai unjuran memenuhi keperluan perbekalan air bersih di negeri ini sebanyak 860 MLd pada tahun 2030 nanti. Sebelum ini, kemampuan di seluruh negeri hanya mencapai maksimum 458 MLd.
Dari naik taraf dibuat ketika ini pula akan menyumbang kepada 512 MLd. Harap kita semua rakyat Kelantan kekal bersolidariti dan bersabar.
Sabar menanti isu bekalan air selesai, sekali gus juga sabar dengan serangan semberono Isham semalam, serta kritikan kritikan pedas para pengguna serta pemilik meter air di luar sana.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 27/8/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: 3, jadi Pulau Tenaga Hijau, al-hamdulillah! Tapi, pelekeh perlu juga disekeh, terutama barua-barua anti Islam.
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
No comments:
Post a Comment