Saturday, August 27, 2022

6 ramuan bebas rasuah, rasuah Melayu, 1 tahun PM..

 


1. Resepi dan 6 ramuan untuk Malaysia bebas rasuah

KOMITMEN Kelantan dalam mencegah budaya rasuah jelas dapat dilihat dengan pembentukan Pelan Antirasuah Kelantan (KACP) 2020-2024.

Komitmen ini adalah adalah kesinambungan peringkat Persekutuan, setelah dibangunkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) 2004.

Begitulah kepimpinan PAS di Kelantan, apa yang baik di peringkat Persekutuan akan dilaksanakan sebaik mungkin walaupun pada ketika itu kedudukan PAS adalah pembangkang di peringkat Persekutuan.

KACP yang dibangunkan sebenarnya bagi menggantikan Pelan Integriti Organisasi (PIO) yang selama ini menjadi panduan untuk melaksanakan program-program berintegriti berdasarkan strategi yang ditetapkan dalam PIO.

Kemunculan KACP yang baru ini pula mempunyai strategi tersendiri dalam menangani rasuah dan meningkatkan integriti. Berdasarkan satu matlamat utama yang jelas bagi KACP iaitu membudayakan amalan integriti dalam penyampaian perkhidmatan berpaksikan konsep ‘Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI). 

Konsep UMI adalah paksi penting dalam urusan pentadbiran Kelantan yang telah lama digagaskan dan dibudayakan sejak zaman kepimpinan almarhum Tok Guru Abdul Nik Aziz Nik Mat. 

Maka dengan penerusan roh konsep UMI ini, lalu enam (6) strategi penting disusun dalam Pelan Antirasuah Kelantan atau KACP ini. Enam strategi tersebut adalah seperti berikut;

1. Memperkukuhkan profesionalisme dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam Negeri Kelantan.

2. Mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam.

3. Meningkatkan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang.

4. Memperkasakan tadbir urus baik dalam entiti korporat.

5. Memperkasakan kebertanggungjawaban dan integriti politik.

6. Mempertingkatkan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman syariah.

Enam strategi yang disusun ini mungkin tidak begitu masyhur diwacanakan sehingga diingati oleh khalayak ramai secara umum.

Namun apa yang penting adalah natijah terhadap pelaksanaan 6 strategi ini bagi mengekalkan rekod bahawa pentadbiran PAS di Kelantan selama 32 tahun tanpa kes sabitan rasuah, penyelewengan dan pecah amanah merupakan satu pencapaian yang membanggakan seperti mana yang dijelaskan oleh Ahmad Fahmi Mokhtar, Darulnaim Research Centre tulisan bertajuk ‘Di celahan kes-kes rasuah, Kelantan tunjukkan contoh integriti’pada 25 Ogos 2022 kelmarin. 

Natijah diterjemahkan melalui penonjolan prestasi bersih dan berintegriti tanpa rasuah adalah hasil baik yang berjaya dituai ini memberi impak positif terhadap PAS seluruhnya. 

Resepi yang ada pada KACP 2020-2024 bersama 6 strategi penting sebagai ramuannya adalah perkara penting yang harus ditonjolkan bagi kesedaran rakyat terbanyak.

Ketika mana rakyat sedang lemas kegelisahan dihidangkan dengan kisah-kisah skandal salah guna kuasa dan rasuah yang merugikan negara, maka kisah-kisah rekod bersih Kelantan ini adalah ubat dan penawar bagi kesejahteraan dan kestabilan demi masa depan yang lebih gemilang adalah bersama PAS memimpin Malaysia.

Jika mahukan Malaysia yang bersih tanpa rasuah, sejujurnya tiada pilihan lain selain PAS?

DR SHAHID IZANI
Darulnaim Research Centre
26 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 26/8/2022


2. Siapakah yang merasuah Melayu dan Bumiputera selama ini? 


SEMUA maklum Melayu dan Bumiputera berada dalam perkhidmatan awam, siapakah yang merasuah mereka?

Apabila Presiden PAS mengeluarkan kenyataan mendakwa golongan bukan-Islam dan bukan-Bumiputera menjadi kumpulan majoriti perosak politik dan ekonomi negara, bukan main marah ultra kiasu sehingga membuat laporan polis.

Kenyataan Presiden PAS itu dikatakan menyinggung perasaan orang bukan-Melayu, malah boleh merenggangkan perpaduan antara kaum di negara ini. 

Saya tidak nampak pandangan Presiden PAS itu salah, siapakah yang merasuah Melayu dan Bumiputera selama ini yang rata-rata bekerja dalam perkhidmatan awam, terutama jabatan kritikal seperti PBT, Majlis Daerah, Pejabat Tanah, Polis, Imigresen, pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen dan sebagainya?

Siapakah yang selalu membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan dengan hak istimewa Islam, Melayu dan bumiputera, kalau bukan ultra kiasu?

Melayu yang terima rasuah ditangkap. Perasuah besar dalam kalangan mereka terlepas begitu sahaja.

Saya sokong kenyataan Presiden, saya amat alu-alukan ultra kiasu buat laporan polis.  Sebelum ultra kiasu membuat laporan polis, sila jawab pertanyaan ini. 

Pertama, siapakah bapa rasuah yang merasuah orang Melayu selama ini terutama, pihak berkuasa, PBT, Polis, Bomba, Kastam dan Imigresen?

Kedua, projek-projek yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa dan mendapat lesen siapakah bapak rasuahnya?

Ketiga, kes tanah Musang King dan banyak lagi tanah rezab Melayu yang tergadai, siapakah yang merasuah Melayu ini?

Keempat, dana pilihan raya, siapakah funder di belakangnya kalau bukan-Melayu? Apakah kita ingat ‘funder’ yang memberi dana itu, percuma begitu sahaja. Mesti ada projek besar yang dia dapat. Banyak lagi yang boleh dibuktikan.

Paling sedih, yang kena tangkap, selalu yang terima rasuah, orang Melayu. Ultra kiasu bapak segala rasuah terlepas.

Pergi tanya kepada Polis dan Kastam, kenapa sehingga ke hari ini susah sangat dadah untuk dibanteras. Siapa yang merasuah pihak berkuasa ini? Begitu juga dengan penyeludupan bahan-bahan terlarang. 

Projek perumahan yang memerlukan kelulusan PBT, siapakah yang menjadi bapak perasuahnya? Satu lagi, apakah ultra kiasu bukan perosak jika sentiasa membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan Islam dan Melayu?

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 26/8/2022


3. Setahun Ismail Sabri menggalas amanah sebagai PM 


21 OGOS lalu genaplah setahun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

Perjalanan menjadi Perdana Menteri buat beliau bukannya sesuatu yang mudah apatah lagi menurut beliau sendiri bukan sesuatu yang dirancang.

Bermula dengan kekalahan Barisan Nasional dan kejayaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Ismail di peringkat awalnya menjadi Ketua Pembangkang yang pertama dari BN di Dewan Rakyat.

Belum pun panas bangkunya sebagai Ketua Pembangkang, tempat yang pernah diduduki oleh Lim Kit Siang dan Ustaz Fadzil Nor, Ismail kembali ke Kabinet apabila Kerajaan PH tumbang pada Februari 2021 berikutan Perdana Menterinya Tun Dr Mahathir meletak jawatan. 

Lalu tertubuhlah Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail menjadi Menteri Kanan Pertahanan. Kerajaan ini dianggotai BERSATU, BN, PAS dan GPS dari Sarawak.

Pada bulan Julai 2021 Ismail diangkat pula sebagai Timbalan Perdana Menteri dan tidak sampai 40 hari pada Ogos tahun yang sama berikutan pengunduran Muhyiddin, Ismail naik sebagai Perdana Menteri ke-9.

Tidak ada Perdana Menteri di Malaysia yang melalui rekod seumpama beliau, dan menurut rekod juga tidak pernah Malaysia menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal sebelum ini.

Demikianlah liku-liku yang dilalui Ismail. Sejurus menjadi Perdana Menteri setahun lalu, ketika Malaysia sedang gawat dilanda pandemik COVID-19, ekonomi negara dan dunia malap, politik negara tidak stabil dan masa depan negara sendiri tidak menentu, beliau menggalas tanggungjawab memegang teraju.

Dalam keadaan mencabar sedemikian, hanya mereka yang cekal, berani dan sabar sahaja yang mampu mengemudi bahtera negara, ternyata kini setelah setahun bahtera besar tadi tidak lagi goyang atau condong sebaliknya semakin tenang dan teguh dikemudi melalui samudera yang serba luas dan penuh dugaan.

Ismail cepat menguasai keadaan. Beliau sedar kestabilan politik adalah penentu utama yang akan membantu kestabilan negara dan pemulihan ekonomi, justeru langkah pertama yang diambilnya adalah menguruskan keserabutan yang ada. Pihak pembangkang telah diajak berunding dan akhirnya bersetuju pada MOU yang membawa kepada ‘gencatan senjata’ politik.

Masing-masing mengakui bahawa tumpuan perlu diberikan pada pemulihan ekonomi dan pembangunan sosial kerana negara sedang berhadapan dengan krisis. Politik yang ekstrem dan keterlaluan di peringkat ini hanya merugikan rakyat dan negara.

Kemudian atas keprihatinan beliau demi mengembalikan keyakinan rakyat maka diperkenalkannya gagasan ‘Keluarga Malaysia’ iaitu suatu usaha murni untuk mengajak rakyat Malaysia membangunkan negara dengan kembali kepada asas dan nilai-nilai kekeluargaan, bersama bertanggungjawab dan berkasih-sayang, insaf bahawa tanggungjawab ini adalah tugas dan tanggungjawab bersama.

Terbukti usaha murni beliau diterima baik rakyat kerana dalam kemelut politik yang tidak menentu rakyat sesungguhnya sangat mengharapkan agar keikhlasan dan kesungguhan pimpinan mereka untuk memimpin dan memandu mereka keluar dari jurang kegelapan ini. Pada Ismail rakyat mula yakin dan memberikan kerjasama. Kini setelah setahun memegang teraju cahaya di hujung terowong sudah mula kelihatan.

Hari ini ancaman COVID-19 semakin terurus dan mula menampakkan kejayaan. Pemulihan negara mula kelihatan apabila pelbagai kekangan dan halangan sewaktu pandemik dahulu sudah semakin longgar dan diangkat sepenuhnya. Hasilnya ekonomi negara kembali hidup, dan kehidupan rakyat semakin kembali normal.

Di bawah Ismail kadar inflasi negara buat 6 bulan pertama 2022 iaitu pada 2.5 peratus merupakan kadar terendah di ASEAN. Manakala kadar pengangguran negara pula setakat Jun tahun ini juga adalah terendah sejak pandemik meletus Mac 2020 iaitu pada kadar 3.8 peratus.

Dan Bank Negara Malaysia telah umumkan bahawa KDNK negara untuk suku kedua tahun ini meningkat iaitu pada 8.9 peratus, suatu pencapaian yang malah lebih baik dari beberapa negara maju.

Benar ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya tetapi di bawah Ismail rakyat sedar dan mula melihat pencapaian demi pencapaian yang sudah pasti melegakan mereka dan mengembalikan keyakinan mereka yang selama ini terumbang-ambing angkara konflik politik yang tidak menguntungkan.

Apapun diharapkan Ismail terus mengemudi negara dengan ketelusan, integriti dan sentiasa meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara di hadapan.

Harus diakui bahawa segala ujian yang dilalui negara selama ini sama ada politik mahupun ekonomi adalah merupakan ujian dari Allah S.W.T belaka. Ianya tercetus apabila kita khasnya pimpinan negara lalai, dan menjauhkan diri dari kehendak dan titah perintahNya.

Kita mengundang murkaNya, kita mabuk dalam dalam keseronokan dan maksiat yang melampau. Kita menzalimi rakyat dan bergelumang dalam amalan rasuah dan salah-guna kuasa.

Apabila ancaman Allah S.W.T tidak dipedulikan maka dihujanilah kita dengan pelbagai ujian dan cabaran sebagaimana yang telah kita lalui dan tanggung sebelum ini. Oleh itu sebagai Perdana Menteri dalam suasana yang sebegini, Ismail perlu memisahkan dirinya dari tradisi kepimpinan yang jauh dari agama.

Bawalah rakyat mendekati Allah S.W.T dan mensyukuri segala nikmatNya dengan mematuhi dan berpegang teguh pada hukum-hakamNya. Ismail tidak akan rugi apabila beliau memilih jalan yang diterokai Rasulullah S.A.W dan para Sahabat Baginda kerana jalan itulah jalan yang dikehendaki Allah S.W.T.

Semangat Keluarga Malaysia yang mahu ditekankan itu tidak sama-sekali menyimpang malah selaras dengan ajaran Islam yang turut menekankan kerukunan keluarga dan kemuliaan akhlak serta keperibadian.

Dengan kuasa yang dipinjamkan oleh Allah S.W.T ini kepada kita, maka pimpinlah rakyat dan negara berbekalkan taqwa dan sentiasa jauh dari kemurkaanNya.

Menteri di JPM Hal Ehwal Agama, Ustaz Dato’ Idris Ahmad baru-baru ini menyarankan agar kita mengambil iktibar dari musibah COVID-19 yang melanda negara dan dunia dengan kembali kepada Tuhan.

Kejayaan setahun kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia haruslah disyukuri Ismail dengan mengambil pendekatan politik perdamaian sebagaimana dituntut agama. 

Kekuatan negara bertunjang pada keutuhan dan kekuatan umat Melayu Islam yang merupakan kelompok teras yang terbesar dalam negara, oleh itu usahakanlah agar suatu permuafakatan politik dapat dibentuk, biar nasib dan masadepan negara ditentukan oleh umat Melayu Islam yang selama ini mampu memberikan keadilan buat semua.

Dengan kualiti kepimpinan yang beliau miliki, Ismail diyakini akan kekal sebagai Perdana Menteri walaupun selepas PRU ke-15 nanti, syaratnya sentiasalah berada di jalan yang lurus yang dikehendakiNya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 26/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim6 ramuan bebas rasuah, rasuah Melayu, 1 tahun PM..

Al-hamdulillah, Malaysia akan terus membangun bersama Islam.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails