Thursday, September 01, 2022

Azalina, masih penaihat khas PM. Umno buruk sendiri.

 

Hantaran dalam Facebook Azalina mengenai status khidmatnya sebagai penasihat khas Perdana Menteri.

1. Azalina masih penasihat khas PM

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan beliau masih Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia).

Ahli Parlimen Pengerang itu yang menjadi tumpuan kerana dilihat seperti menyindir Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan isu pelantikan Peguam Negara (AG) menyatakan demikian dalam hantaran ringkas di Facebooknya, hari ini.

"Saya ingin mengesahkan bahawa setakat 31 Ogos 2022, saya masih berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia," tulisnya sambil menitipkan ucapan Selamat Hari Merdeka ke-65.

Semalam, tular di media sosial mendakwa bekas Ketua Puteri UMNO itu meletak jawatan penasihat khas kepada Perdana Menteri, dipercayai ada kaitan isu kritikan ke atas badan kehakiman.

Azalina dilantik ke jawatan itu pada 2 Oktober 2021, selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos sebelum itu.

Pada taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan Sabtu lalu, Ketua UMNO Bahagian Pengerang itu menyampaikan ucapan penuh bersemangat berkaitan pelantikan AG dengan antara petikan mencetuskan kontroversi adalah 'takkan nak tukar AG pun tak boleh'.

Berikutan itu, beliau menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk dari dalam kalangan pimpinan UMNO sendiri, apatah lagi daripada pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan politik.

Antara kandungan ucapan Azalina yang menarik perhatian dan mendapat tafsiran negatif adalah apabila beliau mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak melantik 'orang dia' untuk mudahkan segala urusan.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, hadirin taklimat khas itu yang dianjur bagi menunjukkan solidariti kepada Datuk Seri Najib yang kini dipenjara, menjerit 'Ismail Sabri perlu tukar AG'.


2. Langkah Umno makin memburukkan imej sendiri 


UMNO kena kembali kepada hasrat rakyat. Dalam suasana rakyat dan anak muda semakin menjauh dengan politik, langkah Umno memihak kepada DS Najib adalah langkah mundur. 

Sewajarnya Umno menjadikan kes ini sebagai batu loncatan untuk membersihkan Umno daripada persepsi negatif terhadap Umno. 

Imej persepsi Umno sebagai parti korup, tiada integriti, budaya rasuah berakar umbi dan penyelewengan sepatutnya dibersihkan menerusi kes DS Najib. 

Cukup sekadar, Umno mengatakan kami berpegang teguh dengan prinsip integriti dan kami menerima hukuman yang diberikan kepada Najib Razak. 

Seperenggan ungkapan ini sudah cukup untuk memperlihatkan Umno nekad membersihkan imej mereka. 

Malangnya, terlalu malang Umno mengambil langkah condong ke arah mempersoal keputusan yang telah dibuat. 

Lebih memalukan ucapan Azalina Othman berkenaan Peguam Negara menambahkan tebal persepsi bahawa Umno ini memang tak boleh diharapkan. 

Itu belum dikira dengan komentar-komentar liar daripada beberapa pimpinan Umno yang mempersoalkan keadilan mahkamah. 

Jikalah ada sedikit hikmah dalam kepimpinan Umno menyambut kenyataan Perdana Menteri yang konsisten tidak mahu ada campur tangan dalam urusan mahkamah, pastinya imej Umno kembali pulih. 

Malangnya, Perdana Menteri seolah-olah dijadikan bahan sorakan dan ejekan oleh Umno dalam Taklimat Khas Presiden Umno baru-baru ini. 

Jadi, bagaimana imej Umno yang sepatutnya terpulih dengan kenyataan Perdana Menteri dan kes DS Najib ini, akhirnya diambil langkah yang silap membusukkan lagi imej Umno. 

Biarlah ‘pengorbanan’ DS Najib masuk penjara itu berbaloi dengan membersihkan imej Umno. Namun, ianya kelihatan sia-sia, DS Najib ke penjara, imej Umno membusuk jua. 

Tulisan ini hanyalah sebuah nasihat dan sedikit rasa ralat sebagai seorang sahabat. Masih ada masa untuk Umno memusingkan halatuju bukan ke arah penjara kajang tapi tujulah bersama Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/8/2022


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Setuju dengan Ahmad Fahmi Mokhtar, 'Tulisan ini hanyalah sebuah nasihat dan sedikit rasa ralat sebagai seorang sahabat. Masih ada masa untuk Umno memusingkan halatuju bukan ke arah penjara kajang tapi tujulah bersama Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.'

Semoga Al-hmdulillah!


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails