Saturday, August 27, 2022

Cadangan elak krisis alam sekitar, teliti semula...

 

Tiada Jaminan Bekalan Air Percuma Untuk Pulau Pinang

Teliti semula dasar pembangunan negara elak krisis alam sekitar

Malaysia bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-65 pada 31 Ogos ini, namun sambutan itu tidak membawa erti jika alam sekitar berterusan diteroka dengan rakus, dicemari dan dimusnahkan sewenangnya.

Banyak tindakan kurang berkesan menyebabkan isu alam sekitar semakin kritikal. Lambakan sampah sarap, penebangan hutan secara tidak terkawal, pencemaran air sungai dan pencemaran udara antara fenomena krisis alam sekitar semakin membimbangkan.

Krisis alam sekitar kini dianggap sebagai kesan tidak boleh dielakkan sekiranya sesebuah masyarakat ingin mencapai pembangunan dan kemajuan di sesebuah kawasan.

Kesan pembangunan terhadap alam sekitar kian menular dan bukti kemerosotan semakin jelas kelihatan. Atas nama pembangunan, pertahanan kemurnian alam sekitar diketepikan.

Satu persatu projek mega dibangunkan, seolah-olah tidak siapa peduli rintihan alam sekitar akibat kerakusan manusia mengejar pulangan berganda.

Natijahnya, pertumbuhan pesat dan berterusan sektor perindustrian serta projek pembangunan dijangka memberi kesan lebih ketara kepada kualiti alam sekitar sekiranya pemegang taruh tidak memberi perhatian kepada elemen menjaga kelestarian alam sekitar.

Walaupun dunia digambarkan semakin mengecil dari segi jarak komunikasi dan urus niaga disebabkan kecanggihan alat teknologi elektronik seperti komputer, isu krisis alam sekitar pula sebaliknya semakin membesar sama ada pada peringkat dalaman sesebuah negara atau antarabangsa.

Masalah perlu ditangani segera

Alam sekitar dan komponennya sedang diteroka, dibinasakan dan dimusnah dengan rakus serta sewenangnya, sama ada di negara miskin dan sedang membangun, apatah lagi negara maju dan negara perindustrian. Perkembangan itu menimbulkan kerisauan nyata masalah alam sekitar semakin serius dan perlu ditangani segera.

Selain itu, kes penyeludupan haiwan liar juga semakin meningkat yang didorongi nilai harga pasaran tinggi. Permintaan tinggi terhadap makanan eksotik atas dakwaan kehebatan khasiatnya seperti tenggiling, penyu, anggota badan beruang, organ harimau dan ular semakin mendapat sambutan walaupun spesis haiwan berkenaan semakin pupus.

Dalam konteks dunia global, industri perhiasan dan fesyen juga menggalakkan aktiviti tidak bermoral seperti pembunuhan gajah, harimau, ular sawa dan buaya bagi mendapatkan gading dan kulit dalam skala besar sehingga mengancam kewujudan spesies haiwan terbabit.

Semua perkembangan ini menyebabkan isu pencemaran dan kemusnahan alam sekitar menjadi isu sejagat yang bukan sahaja sentiasa menjadi laungan pencinta alam sekitar.

Dari sudut positif, semakin banyak pihak menyedari isu pencemaran alam sekitar, semakin besar peluang untuk alam sekitar dipulihara dan dilestarikan semula.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu, malah golongan akademik tidak pernah jemu mempromosikan kempen memulihara alam sekitar

Di tengah-tengah kemelut alam sekitar ini, muncul fahaman 'ekokritisisme' dipengaruhi kesedaran pelbagai pihak terhadap nasib alam sekitar yang kian terancam di tangan manusia.

William Howarth, seorang daripada pelopor teori ekokritisisme menjelaskan kaitan antara alam dengan budaya, bermakna budaya sesuatu masyarakat menentukan nasib alam sekitar mereka.

Jika gaya dan cara hidup seharian masyarakat itu sederhana, iaitu lebih memberi penekanan terhadap tuntutan keperluan hidup melebihi permintaan, maka status dan kualiti alam sekitar masih dalam keadaan 'sihat' serta terpelihara dan sebaliknya.

Selanjutnya, seorang lagi tokoh ekokritrisisme iaitu Neil Evernden menjelaskan, akar umbi permasalahan alam sekitar amat penting dikenal pasti dan cara penyelesaian tuntas mesti dilaksanakan secara berkesan.

Perlu ada kesedaran

Ternyata, setiap individu dan masyarakat perlu dipasak dengan kesedaran kepentingan fungsi alam sekitar atau ekosistem adalah keperluan asas kehidupan.

Manusia tidak boleh hidup tanpa udara dan air bersih. Dalam konteks ini, alam seperti hutan bertindak sebagai penyedia dan penapis udara bersih, sementara lembangan sungai sebagai pembekal air bersih yang menjadi keperluan asas perlu diuruskan tanpa kompromi.

Keperluan hutan pemuliharaan, hutan tadahan air, hutan rekreasi dan hutan bandar adalah satu iltizam tidak boleh diambil ringan bagi memastikan kelestarian kehidupan.

Lantaran itu, menurut Prof Emeritus Datuku Ibrahim Komoo, demi kelestarian kehidupan dan kelangsungan hidup, manusia perlu menghayati kembali tiga prinsip asas mengurus alam sekitar iaitu semua hidupan lain mempunyai hak untuk tinggal di bumi ini, alam sekitar memberi perkhidmatan asas untuk kehidupan manusia dan mencemar alam adalah aktiviti membunuh diri sendiri.

Berkaitan pengurusan persekitaran, dapat dilihat pelbagai rang undang-undang digubal dalam memastikan alam sekitar terus terpelihara. Kompaun, saman, khidmat masyarakat, injunksi ataupun dihadapkan ke mahkamah, undang-undang menyediakan satu balasan atau hukuman khas terhadap kesalahan mencemar atau merosakkan alam sekitar.

Namun, persoalannya adakah jumlah atau hukuman dijatuhkan itu kurang memberi impak kepada perosak alam sekitar. Satu nafas baharu perlu diberikan dalam perundangan Malaysia khusus memperkasakan undang-undang sedia ada supaya digeruni perosak alam sekitar.

Lantaran itu, menjelang sambutan kemerdekaan Malaysia ke-65, dasar pembangunan negara harus diteliti semula dalam memberi penekanan terhadap keperluan menyediakan ruang atau habitat secukupnya bagi hidupan liar, kepelbagaian spesies dan landskap unik bernilai warisan serta mendorong orang ramai 'semakin dekat dengan alam sekitar'.

Kempen menjaga alam sekitar seperti larangan penggunaan beg plastik dan polistirena, galakan program kitar semula, budaya kongsi kenderaan, penebangan pokok secara berkala, inovasi penggunaan teknologi hijau serta melestarikan pendidikan alam sekitar harus diteruskan dan diperkukuh bagi menangani krisis alam sekitar kian parah.

Penulis adalah Ketua Laboratori Institut Pengajian Sains Sosial, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails