Kadar inflasi pada Julai adalah sebanyak 4.94 peratus, tertinggi sejak Oktober 2015 namun Gabenor Bank Pusat Indonesia memberi isyarat bahawa beliau tidak terganggu kerana inflasi teras kekal rendah, lapor Reuters.
Kadar inflasi tertinggi dalam tujuh tahun ini mencerminkan kenaikan harga makanan, bahan api isi rumah dan tambang penerbangan, serta kenaikan beberapa tarif elektrik.
Tinjauan Reuters sebelum ini menjangkakan kadar inflasi Julai hanya 4.82 peratus berbanding 4.35 peratus pada Jun. Kadar inflasi teras Julai telah menghapuskan harga dikawal kerajaan dan harga makanan yang tidak menentu.
Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati menyebut kadar inflasi pada Julai sebagai ‘agak sederhana’. Inflasi Indonesia secara relatifnya terkawal disebabkan oleh subsidi tenaga kerajaan yang tinggi.
“Walaupun inflasi teras diawasi oleh penggubal dasar, kadar benar negatif dan keperluan untuk menambat jangkaan inflasi mungkin mendorong tumpuan dasar ke arah kenaikan tambahan menjelang akhir-3Q,” kata ahli ekonomi DBS, Radhika Rao.
Sementara CNBC melaporkan, kadar inflasi teras Julai Indonesia, yang menghapuskan harga dikawal kerajaan dan harga makanan yang tidak menentu, secara kasarnya sejajar dengan jangkaan pada 2.86 peratus, meningkat daripada 2.63 peratus pada sebulan sebelumnya.
Julat sasaran Bank Indonesia (BI) untuk inflasi utama ialah 2 hingga 4 peratus, tetapi pembuat dasar berkata mereka lebih suka menentukan kadar pengetatan monetari dengan melihat pada kadar inflasi teras.
Bank pusat Indonesia itu telah menaikkan nisbah keperluan rizab bank, menjual beberapa pegangan bonnya dan mengurangkan lebihan mudah tunai menggunakan operasi pasaran terbukanya tahun ini, dalam langkah untuk melepaskan beberapa rangsangan pandemik Covid-19 dan ia telah mengekalkan kadar penanda arasnya pada rekod rendah 3.50 peratus sejak Februari 2021. – HARAKAHDAILY 2/8/2022
2. Perancis: Pengusiran keluar pendakwah Islam terkenal dibantah
Imam Hassan Iquioussen bakal diusir keluar dari Perancis. (FOTO Change.org)NICE, Perancis: Beberapa organisasi dan masjid di Perancis membantah keputusan Kementerian Dalam Negeri Perancis yang bertindak kejam mengusir keluar Iman Islam terkenal, Hassan Iquioussen dari negara itu.
Imam tersebut berdepan dengan pengusiran itu selepas pihak berkuasa Perancis dikatakan bertindak tidak adil untuk tidak memperbaharui permit kediamannya dan melakukan tuduhan tidak berasas terhadapnya, lapor Anadolu Agency.
Dalam beberapa kenyataan media, ketua pelbagai organisasi di Perancis turut menggesa penolakan prosedur berkenaan yang disifatkan sebagai tidak adil terhadap Iquioussen.
Timbalan Kesatuan Rakyat Ekologi dan Sosial Baru Utara (NUPES), David Guiraud dalam kenyataannya pada Ahad lalu telah melahirkan rasa kecewanya terhadap perkara tersebut.
“Hassan Iquioussen sentiasa membuat kenyataan yang konsisten dengan nilai-nilai kebangsaan (Perancis) iaitu kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan, serta sekularisme.
“Beliau dengan setia berkempen tanpa jemu untuk mempromosikan dialog, rasa hormat dan kebersamaan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama, Majlis Masjid Rhone (CMR) dan Majlis Teologi Imam Rhone (CTIR) berkata, tuduhan terhadap Iquioussen seolah-olah tidak selari dengan semangat keadilan dan kesaksamaan Imam tersebut.
“Kami sentiasa mengenali beliau sebagai seorang yang setia kepada komitmennya menentang kebencian, perkauman, anti-Semitisme, ekstremisme, obskurantisme, keganasan dan penyokong kesaksamaan gender.
“Selama ini, beliau tanpa jemu mempromosikan dialog, rasa hormat, keamanan dan kerjasama yang aman (di Perancis),” kata Kamel Kabtane untuk RMC, dan Mohamed Minta dan Azzedine Gaci untuk CTIR.
Selain itu, tidak kurang daripada 26 masjid di utara Perancis juga telah mengeluarkan kenyataan bersama mempertahankan Iquioussen.
Petisyen yang dilancarkan Jumaat lalu bagi membantah pengusiran Iquioussen telah mengumpulkan hampir 15,000 tandatangan.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin menurut laporan Morocco World News berkata bahawa negaranya bersedia untuk mengusir Iquioussen.
Menteri itu secara terbuka menuduh imam keturunan Maghribi kelahiran Perancis itu mengamalkan ucapan kebencian terhadap nilai-nilai Perancis, bertentangan dengan prinsip sekularisme dan kesaksamaan antara wanita dan lelaki.
Iquioussen yang dilahirkan pada 1964 di Denain, di timur laut Perancis kepada pasangan Maghribi yang berhijrah ke negara itu sejak 1938 yang menurut wikipedia, telah menerbitkan video YouTube memaparkan syarahan mengenai agama dan politik sejak Disember, 2021 yang sehingga Julai 2022, gabungan kesemua video berkenaan telah meraih 33 juta tontonan. – HARAKAHDAILY 3/8/2022.
3. NGO 'hairan' Jabatan Negara AS letak Malaysia di tahap 3
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
No comments:
Post a Comment