Tuesday, August 30, 2022

'Kerajaan UMNO'? S/Johor X keluar knyataan.. A. Hadi B/Aman. KL esok.

 

Foto ihsan Royal Press Office

1. Sultan Johor tak pernah keluar kenyataan berkait 'Kerajaan UMNO'

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sekali lagi bertitah menegaskan, baginda tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkait 'kerajaan UMNO' sebagaimana dipaparkan dalam sekeping gambar yang berterusan disebarkan melalui media sosial.

Gambar tular itu memaparkan baginda dan bendera Johor, dengan kenyataan palsu tertera 'kerajaan Umno perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah'.

Sultan Ibrahim bertitah, ia adalah kenyataan palsu disebarkan secara berterusan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui pelbagai aplikasi media sosial.

Dalam hantaran terbaru melalui media sosial baginda, hari ini, Sultan Ibrahim menegaskan, segala kenyataan atau laporan berita berkaitan baginda atau keluarga diraja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor, iaitu Royal Press Office. 

"Kenyataan palsu ini sudah beberapa kali disebarkan dalam media sosial dan ia masih berterusan hingga hari ini.

"Saya telah menitahkan Royal Press Office untuk sekali lagi membuat laporan polis berhubung perkara ini," titah baginda.

Sebelum ini, RPO pernah membuat laporan polis berhubung penyebaran kenyataan palsu berkenaan. (BH)


2. Presiden PAS hadir beri keterangan di Bukit Aman 

(Gambar fail) Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - NSTP/ROHANIS SHUKRI

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, hadir ke Bukit Aman, semalam, untuk memberi keterangan.

Ia berhubung kenyataannya yang dilaporkan mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan Bumiputera paling ramai terbabit rasuah.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru, berkata Ahli Parlimen Marang itu hadir bersama peguamnya.

"Beliau telah memberikan kerjasama sepanjang sesi rakaman keterangan berlangsung. 

"Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman," katanya dalam satu kenyataan, semalam, tanpa memberikan butiran lanjut.

Kelmarin, Bernama melaporkan PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Abdul Hadi susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.

Skandaguru sebelum ini dilaporkan berkata, polis menerima 28 laporan berhubung kenyataan Abdul Hadi itu, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – BERNAMA


3. Demonstrasi ATM dan PDRM, maskot animasi menanti di Dataran Merdeka esok 

Sesi raptai perarakan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

KUALA LUMPUR: Kereta berhias menampilkan 26 maskot watak animasi terkenal tempatan, merupakan antara tarikan sempena perarakan Hari Kebangsaan 2022 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek memaklumkan selain itu, demonstrasi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan menampilkan elemen kejutan untuk Keluarga Malaysia yang hadir pada hari berkenaan.

"Ini antara 'wow factor' dan elemen kejutan yang akan ditampilkan pada perarakan itu. Saya tidak boleh nak cerita semua, kita nak bagi 'element of suprise' untuk orang ramai nanti," katanya dalam rancangan Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung di TV1, malam tadi.

Dalam perkongsiannya berhubung pengisian perarakan Hari Kebangsaan 2022 dijadualkan bermula seawal jam 8 pagi esok di Dataran Merdeka, Mohammad berkata, kereta berhias Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menampilkan maskot filem hebat animasi negara, Upin Ipin dan Ejen Ali. 

Bagi menambah keterujaan terutama kanak-kanak, katanya, kereta berhias yang membawa maskot itu akan dibawa semula ke Dataran Merdeka selepas selesai majlis perarakan, bagi memberi peluang kepada pengunjung mendekati maskot berkenaan.

Selain itu, perarakan tahun ini juga tidak melupakan kejayaan industri kreatif negara, iaitu filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dengan membawa pelakon-pelakonnya ke pentas perarakan.

Perarakan Hari Kebangsaan 2022 kembali diadakan di Dataran Merdeka secara skala besar seperti kelaziman setiap tahun, selepas dua tahun disambut di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, pada skala kecil disebabkan pandemik COVID-19.

Dijangka 50,000 Keluarga Malaysia akan hadir ke acara besar-besaran serta penuh kelainan itu. – BERNAMA

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment