Wednesday, August 31, 2022

Kritik hiburan, Imam Masjid Haram dipenjara 10 tahun.

 

Bekas imam Masjidil Haram dan pendakwah terkemuka, Sheikh Saleh Al Talib. - Foto AGENSI

Bekas imam Masjidil Haram dipenjara 10 tahun kerana kritik kerajaan

RIYADH: Mahkamah Rayuan Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas imam Masjidil Haram dan pendakwah terkemuka, Sheikh Saleh Al Talib.

Pihak berkuasa Saudi menahan Sheikh Saleh pada Ogos 2018, selepas didakwa menyampaikan khutbah yang mengkritik badan kerajaan bertanggungjawab mengawal selia industri hiburan di negara itu.

Beliau dipercayai mengecam konsert dan acara hiburan yang menyimpang daripada norma agama dan budaya mereka dalam khutbahnya.

"Mahkamah Rayuan Jenayah Khusus di Riyadh, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Imam Masjidil Haram, Syeikh Saleh Al Talib.  

"Ini juga sekali gus membatalkan keputusan pembebasan terhadapnya," kata Pertubuhan untuk Demokrasi di Dunia Arab (Dawn) melalui Twitter, semalam.

Penahanan Sheikh Saleh dilakukan ketika Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, meneruskan usaha reformasi masyarakat dengan menahan ulama dan imam terkemuka yang mengkritik agenda pembaharuan.

Sheikh Saleh mempunyai pengikut yang ramai di seluruh dunia, dengan ribuan menonton khutbah dan bacaan al-Qurannya di YouTube. - AGENSI

Komen Weblog Ibnu Hasyim"HIBURAN MENGIKUT SYARIAT ISLAM" 

Marilah kita bersungguh-sungguh meningkatkan ketaqwaan di dalam jiwa kita. Ketaqwaan kepada Allah SWT yang menuntut kita melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhii segala yang laranganNya. Semoga dengan taqwa yang mantap, kita berjaya meraih kebahagiaan hidup kita di dunia dan kesejahteraan yang abadi di akhirat kelak. 

Sesungguhnya kebahagiaan kita di dunia dan di akhirat hanya akan terhasil bila mana kita berada di bawah naungan rahmat dan keredhaan Allah SWT. Tajuk Khutbah pada hari ini ialah ”Hiburan Mengikut Syariat Islam”. Berhibur adalah fitrah semulajadi manusia. Hiburan merupakan suatu perkara yang disenangi oleh naluri insan.

Kebanyakan manusia menjadikan hiburan sebagai saluran kreativiti yang mencerminkan gambaran pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Hiburan juga adalah gabungan keindahan seni, kehalusan bahasa dan keunikan budaya manusia yang mampu mententeramkan jiwa dan melahirkan kegembiraan. 

Sebagai agama yang menepati keperluan fitrah, Islam tidak menghalang umatnya berhibur, namun hiburan di sisi Islam perlu disuluh dan dipandu mengikut nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam. 

Hadis daripada Khalid bin Zakwan RA bahawa Al-Rubai’ binti Mua’wiz menceritakan: ”Nabi s.a.w telah mengunjungiku di hari perkahwinanku, baginda mengambil tempat duduk di atas hamparanku, sepertimana kamu berada dihadapanku sekarang. 

Ketika itu sekumpulan hamba perempuan sedang memukul gendang sambil menyanyi dan memuji pejuang-pejuang yang terqurban di kalangan bapa-bapa kami di perang Badar. Salah seorang penyanyi tersebut menyebut: “Bersama kami nabi Allah yang mengetahui apa yang akan berlaku esok hari.” 

Mendengar lirik terakhir itu Rasulullah s.a.w menegurnya: Tinggalkan kata-kata itu dan teruskan dangan apa telah kamu nyanyikan sebelumnya”. (Riwayat al-Bukhari) 

Sebagai seorang muslim, kita hendaklah meyakini bahawa cara hidup Islam adalah yang amat sempurna dan pasti dapat memenuhi kesemua aspek keperluan hidup manusia. Syariat Islam diturunkan bukanlah untuk menyekat kebebasan manusia tetapi ia bertujuan untuk mengawal dan mengatur keperluan manusia untuk menjamin kesejahteran dan kebahagiaan hidup yang berpanjangan. 

Hiburan dalam Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa. Bahkan melakukannya bukan hanya semata-mata untuk mencari keseronokan dan memenuhi runtunan nafsu tanpa batasan. Konsep berhibur dalam Islam adalah dengan tujuan untuk membangunkan dan memdamaikan jiwa, menenangkan fikiran dan merehatkan rohani serta jasmani. Persoalannya, bagaimanakah gaya dan cara berhibur yang kita lakukan pada hari ini? 

Adakah ia selari dengan apa yang digariskan oleh syariat Islam? Apakah hiburan tersebut benar-benar mententeramkan jiwa kita dan tiada terpalit dengan unsur-unsur noda dan dosa? Melihat kepada realiti hiburan kita pada hari ini, dapat dirumuskan bahawa sebahagaian besar hiburan kita gagal mencapai matlamatnya. 

Bukan sahaja hiburan tersebut gagal memberi ketenangan jiwa dan kedamaian dalam sanubari kita, malah ia telah mencetuskan masalah dan kecelaruan di dalam kehidupan. Ini kerana hiburan tersebut tidak berpandukan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syariat. 

Ia hanya bertujuan memenuhi runtunan nafsu semata-mata. Hiburan yang ada bukan sahaja tidak mendidik jiwa, malah mendorong kepada kelalaian, maksiat dan pergaulan bebas yang akhirnya mengundang kepada gejala sosial yang merosakkan kesejahteraan hidup umat Islam.

Melihat kepada realiti ini, dapat dipaparkan ciri-ciri hiburan mengikut syariat Islam untuk kita jadikan bahan perbandingan dan penilaian seperti berikut: 

Pertama: Lagu dan senikata lagu atau hiburan tersebut mestilah tidak melalaikan, tidak bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam, tiada unsur maksiat seperti memuja kecantikan wanita, menganjurkan hubungan bebas muda-mudi dan perlanggaran syariat. Sewajarnya senikata lagu-lagu Islam mampu mengajak manusia kepada Cintakan Allah dan Hari Akhirat serta ke arah memperbaiki diri. 

Kedua: Tidak lalai dan berlebih-lebihan dalam berhibur sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai. Maka haram berhibur jika sampai meninggalkan solat, mengabaikan urusan mencari nafkah dan menuntut ilmu. Kelalaian ini adalah perkara sia-sia yang wajib dijauhi sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 55: “Dan apabila mereka mendengar perkataan Yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata: "Bagi Kami amalan Kami dan bagi kamu pula amalan kamu; Selamat Tinggalah kamu; Kami tidak ingin berdamping Dengan orang-orang Yang jahil". 

Ketiga: Tiada percampuran di antara lelaki dan wanita ajnabi dalam berhibur. Jika persembahan dari kalangan wanita maka ia hendaklah dibuat secara tertutup dan hanya wanita sahaja dibolehkan menyaksikan persembahan tersebut. Ini adalah bagi mengelakkan segala fitnah dan punca kerosakan Umat Islam. Tiada juga perlakuan yang haram seperti minum arak, unsur judi dan sebagainya di dalam hiburan tersebut. 

Hadis daripada Abu Malik Al- Asy’aari R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya sebahagian daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan khinzir”. (Riwayat Ibnu Majah) 

Keempat: Penyanyi atau orang yang melakukan persembahan dan para penonton yang hadir hendaklah menjaga tata susila Islam, memelihara aurat, tidak melakukan gerak badan yang mengghairahkan dan penampilan yang mengundang fitnah. 

Kelima: Menghasilkan sesuatu yang baik susulan dari hiburan tersebut. Berkat dari senikata yang baik, persembahan yang sopan dan syariat yang dipelihara akan lahirlah masyarakat yang tenang dan bahagia, teguh iman dan baik akhlaknya, bersatu padau dan berkasih sayang sesama mereka. Kini telah banyak sumber-sumber hiburan Islam yang boleh dijadikan alternatif kepada hiburan yang sedia ada yang jelas melalaikan. 

Banyak usaha yang telah dibuat untuk membangunkan hiburan Islam dengan kemunculan kumpulan-kumpulan nasyid dan halaqah-halaqah zikir. Kita juga telah faham bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan indah budi pekertinya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga yang terhindar dari permasalahan emosi, kecelaruan minda dan jiwa, bebas dari tekanan masalah rumahtangga, tempat kerja dan sebagainya. 

Semua ini terhasil kerana hiburan Islam memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik dan menenangkan jiwa. Justeru sebagai umat Islam kita perlu bijak memilih hiburan dan cara untuk berhibur. Sesungguhnya, hiburan yang sebenar adalah hiburan yang mengingatkan kita kepada Tuhan Maha Pencipta, Allah SWT. 

Marilah kita imbas kembali intipati penting perbahasan khutbah hari ini. 

Antaranya: 

Pertama: Islam adalah agama fitrah. Justeru, Islam mengharuskan hiburan sebagai memenuhi tuntutan fitrah yang bersesuaian dengan garis panduan syariat. 

Kedua: Hiburan di dalam Islam adalah sesuatu yang dilakukan bertujuan mendidik jiwa dan menghasilkan ketenangan sanubari di samping melahirkan kegembiraan dan keseronokan berhibur. 

Ketiga: Kita perlu memastikan dan memilih hiburan yang berlandaskan syariat untuk menjamin kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. 

Firman Allah SWT yang bermaksuud: “Dan ada di antara manusia: orang Yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan Yang melalaikan; Yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah Dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang Yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang Yang akan beroleh azab Yang menghinakan.” (Luqman : 6)

Sekian.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails