SAYA antara orang yang paling gembira apabila Lim Kit Siang, pada 20 Mac 2022 yang lalu, mengumumkan persaraannya dari dunia politik. Keterlibatan Kit Siang dalam dunia politik di Malaysia terlalu banyak membawa keburukan daripada kebaikan.
Setelah lebih 56 tahun terlibat dalam dunia politik, banyak kerosakan yang dilakukan oleh Kit Siang terutama usahanya yang tidak henti-henti memperjuangkan Malaysian Malaysia, yang boleh merungkaikan kontrak sosial pembentukan negara ini seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pendekatan politik DAP yang melakukan amalan ‘pecah dan perintah’ sangat berbahaya kepada integrasi nasional dan perpaduan kaum. DAP berusaha supaya kaum bumiputera tidak bersatu, kerana jika mereka bersatu DAP terlalu sukar untuk menguasai kerajaan.
Kit Siang sendiri sering melakukan provokasi dengan membangkitkan isu-isu sensitif Islam dan Melayu, supaya umat Islam bertindak balas secara keras. Tindak balas umat Islam secara keras ini dijadikan modal oleh Kit Siang, bahawa masyarakat bukan-Islam terancam di negara ini.
Selepas PRU ke-12 tahun 2008, DAP mula mendapat sokongan besar kaum Cina antaranya hasil dari pendekatan politik provokasi yang bertujuan menakut-nakutkan kaum Cina dengan Islam dan Melayu. Meskipun selepas PRU tersebut, PAS telah kembali bekerjasama dengan DAP dalam PR, DAP tetap terus melakukan politik provokasi antaranya membangkitkan isu Enakmen Jenayah Syariah II negeri Kelantan dan juga isu Oktoberfest.
Akibatnya hubungan PAS dan DAP sejak wujudnya PR sentiasa tegang dan berakhir pada tahun 2015. Sehari dua ini, Kit Siang sekali lagi menjadikan isu Oktoberfest sebagai modal politik provokasi. Tujuan Kit Siang memainkan isu ini adalah untuk menekan MCA yang bersama BN dan Gerakan yang bersama PN, bahawa kedua-dua parti itu tidak mempertahankan hak-hak bukan-Islam.
Dalam PRU di negeri Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, pengundi bukan-Islam telah mula menjauhi DAP. Pola pengundi bukan-Islam ini membimbangkan DAP, justeru kesempatan isu Oktoberfest ini dijadikan modal bahawa hak-hak bukan-Islam sedang terancam.
Semua pihak tahu hak-hak bukan-Islam di negara ini tidak pernah dirampas. Masyarakat bukan-Islam bebas melakukan upacara agama dan sambutan kebudayaan mereka. Tarian Naga, Pertunjukan Opera, Sambutan Kuih Bulan, Perarakan Thaipusam dan lain-lain boleh dilakukan dengan bebas di Malaysia. Masyarakat bukan-Islam juga bebas untuk meminum arak di rumah-rumah mereka dan premis-premis yang dibenarkan. Malah masyarakat bukan-Islam juga bebas menternak babi sehingga jadi tidak terkawal menjejaskan sungai di perkampungan Melayu di Pulau Pinang.
Isu Oktoberfest ini terus dijadikan modal politik provokasi oleh Kit Siang. Beliau memetik fakta-fakta yang mengelirukan antaranya menyebut negara yang terdapat di dalamnya dua tanah suci umat Islam, Makkah dan Madinah, turut membenarkan pesta arak secara terbuka. Peratusan warganegara Arab Saudi yang Islam adalah 100 peratus. Hukuman bagi peminum arak di dalam Islam dan dilaksanakan di Arab Saudi ialah 40 hingga 80 kali sebatan.
Berdasarkan latarbelakang tersebut tidak mungkin pesta arak secara terbuka dibenarkan di negara yang ada dua tanah suci umat Islam. Kit Siang cuba mengelirukan rakyat Malaysia bahawa membanteras rasuah lebih patut diutamakan berbanding menghalang Oktoberfest. Sedangkan menurut Islam meminum arak adalah punca segala kejahatan termasuk rasuah.
Hakikatnya, rasuah di Malaysia berkait rapat dengan industri dosa dan ekonomi gelap, dan ia berangkai pula dengan pemerdagangan manusia, pelacuran, penyeludupan, pengedaran dadah dan gangsterism. Kesemua ini berpangkalan di pusat-pusat hiburan yang berlakunya perdagangan arak. (Insya-Allah saya akan huraikan di penulisan lain).
Keberanian umat Islam mengekspolitasikan isu Oktoberfest, menunjukkan Kit Siang sememangnya nekad mahu melakukan provokasi kepada umat Islam di Malaysia. DAP sebenarnya hanya memerlukan sekitar 10 hingga 15 peratus sokongan pengundi Melayu, dan beliau yakin pimpinan politik Melayu dalam PAN dan PKR boleh memainkan peranan tersebut.
Sebaliknya, Kit Siang mengharapkan dengan memainkan isu Oktoberfest ini, pengundi bukan-Islam akan sekali lagi mengundi PH dengan peratusan yang boleh mencecah sehingga hampir 100 peratus. Pertaruhan Kit Siang dalam memainkan isu Oktoberfest ini sangat berisiko, ia boleh menjejaskan keharmonian kaum di Malaysia.
Saya yakin Kit Siang menyedari risiko tindakan beliau mengeksploitasikan isu Oktoberfest ini.
Bagaimanapun, seperti yang pernah dilakukan oleh beliau sebelum-sebelum ini, risiko sehingga boleh menjejaskan keharmonian kaum ini tidak dipedulikan oleh Kit Siang. Yang penting bagi Kit Siang pendekatan politik provokasi ini boleh memenangkan DAP dan PH. Karakter seperti ini adalah karakter golongan yang jahil bertindih-tindih.
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 3/8/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Wajar dan layak L/Kit Siang disebut sebagai ‘bapa kejahilan’ Malaysia.
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
No comments:
Post a Comment