Sunday, August 28, 2022

Lelong, lelong.. hingga 6 angka sebulan. & boleh bertahan..

 

Muhammad Hairul Azhar Tajudin di kedainya di Machang, Kelantan. - NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI

1. Rahsia peniaga pasar malam jana 6 angka sebulan

MACHANG: Bermula dengan hanya berniaga di pasar malam, Muhammad Hairul Azhar Tajudin, 42, kini mampu membuka premis menjual pelbagai barangan di sini sehingga mampu menjana pendapatan enam angka sebulan.

Mengakui perjalanannya untuk sampai ke tahap sekarang bukanlah suatu yang mudah, dia memaklumkan, apa yang dicapai sekarang adalah hasil kerja keras selain memanfaatkan platform media sosial Facebook (FB) yang membuatkannya dikenali sebagai 'Tok Raja Lelong'.

Katanya, dia pada mulanya hanya berniaga pakaian di tapak pasar malam di sekitar Kelantan bermula 2007 dengan modal permulaan RM350.

"Idea untuk mengembangkan perniagaan dalam talian menggunakan sepenuhnya platform FB tercetus lima tahun lalu dan ia ternyata memberikan pendapatan yang lumayan. Alhamdulillah, FB 'Tok Raja Lelong' kini mempunyai 20,000 pengikut.

"Setiap kali jualan secara langsung menerusi 'FB Live', saya mampu jual pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, jam tangan dan beg wanita dari harga serendah RM1 hingga RM200," katanya.

Biasanya, Muhammad Hairul Azhar menganjurkan sesi 'FB Live' sekitar jam 9 malam sehingga 12 tengah malam selama tiga hari seminggu, iaitu Ahad, Selasa dan Khamis dengan menayangkan setiap barang untuk jualan ketika bersiaran.

"Jika ada yang berminat, mereka akan tinggalkan komen pada setiap barang yang diingini. Jualan secara dalam talian ini secara tidak langsung berjaya menarik pelanggan dari seluruh negara," katanya.

Bapa dua cahaya mata ini memaklumkan, barangan jualannya ada juga diambil dari China kerana kualitinya yang bagus serta ramai pelanggan yang berpuas hati.

"Ada pelanggan ingin mendapatkan barang secara terus di kedai, jadi saya guna tempat simpan barang yang kini diubah suai menjadi kedai. Saya tidak rasa sudah berjaya, perjalanan dalam perniagaan masih jauh selain perlu sentiasa belajar dan cari ilmu bidang yang diceburi.

"Namun, saya bersyukur ada pihak menjadikan saya sebagai sumber inspirasi untuk berjaya," katanya menasihatkan anak muda berbakat dalam perniagaan memanfaatkan terknologi terkini dengan menjadikan platform media sosial untuk menambah pendapatan.

Dia yang dibantu lima pekerja, berkata media sosial bukan sahaja perantaraan untuk berkomunikasi, malah ia juga landasan paling sesuai mengembangkan perniagaan. (BH)


2. Peniaga 'Rope Walk Bagan' terus bertahan 

Pasar karat, Pasar Aneka Taman Selat atau lebih dikenali ‘Rope Walk Bagan’ makin lengang. - NSTP/DANIAL SAAD

BUTTERWORTH: Walaupun Pasar Aneka Taman Selat, di sini semakin lengang tanpa kehadiran pengunjung, sekumpulan peniaga di situ cekal bertahan sehingga kini.

Ini kerana, keunikan pasar karat atau lebih dikenali 'Rope Walk Bagan' dalam kalangan penduduk daerah Seberang Perai itu menawarkan pelbagai perkhidmatan berbanding jualan barangan, sekali gus masih menarik orang awam ke situ.

Peniaga, Halid Hashim, 52, yang sudah berniaga di pasar berkenaan sejak 20 tahun lalu, mengakui kekurangan pengunjung terutamanya sejak penularan COVID-19 dua tahun lalu, namun masih meneruskan perniagaan kerana menerima tempahan pelanggan yang memerlukan perkhidmatannya. 

"Saya membaiki, membentuk dan mencanai batu cincin yang ada sahaja pelanggan. Mungkin ini keunikan di 'Rope Walk' ini kerana bukan sahaja menjual barangan seperti pasar karat lain, tetapi kerana perkhidmatan yang ditawarkan, maka masih ada pelanggan yang datang.

"Jika dulu, sebaik sahaja pasar ini dibuka, memang padat sampai tempat letak kereta pun sesak, tapi kali ini agak perlahan. Bagaimanapun, syukur masih ada rezeki untuk peniaga yang menjalankan perniagaan perkhidmatan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Tukang kasut, Sheik Ab Rani Sheik Seman, 52, turut bersyukur meskipun kedatangan pengunjung berkurangan, tetapi masih boleh mencari pendapatan, termasuk membayar gaji dua pekerja sambilannya.

"Saya menjadi tukang kasut sejak 25 tahun lalu dan berada di pasar karat ini lebih lama sebelum ia bergelar 'Rope Walk'. Pelanggan memang kenal sangat dengan saya dan sebab itu perkhidmatan saya masih mendapat permintaan walaupun suasana pasar karat ini tidak semeriah dahulu," katanya.

Sementara itu, Roslie Che Ross, 55, yang menawarkan perkhidmatan membaiki dan menerima tempahan barangan kulit, berkata tempahan diterimanya masih belum putus.

"Sebelum ini saya jual pelbagai barangan, tetapi 2015 saya diuji masalah kewangan lalu meneroka perniagaan perkhidmatan berasaskan barangan kulit. Pelbagai barangan kulit diminta pelanggan saya akan cuba usahakan dan syukur sehingga hari ini, memang ada sahaja tempahan," katanya.

Pasar karat yang beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 3 petang itu terkenal dengan penjualan barang antik, barangan terpakai, ubat-ubatan, herba, aksesori serta peralatan elektronik dan menjadi lokasi tumpuan warga Seberang Perai. Difahamkan, terdapat lebih 200 peniaga masih menjalankan perniagaan di pasar berkenaan. (BH)

Komen Weblog Inu Hasyim: Alhamdulillah, ada yang mampu lintasi musim ekonomi meleset seperti yang di Kelantan ini. Bahkan ada yang hanya boleh bertahan saja seperti yang di Pulau Pinang.

Pun al-hamdulillah!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails