Monday, August 22, 2022

Mesyuarat tergempar UMNO.. Cina pilih PAS kerana..

 


1. Mesyuarat tergempar UMNO pagi ini, panggil semua ketua bahagian

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijadual mengadakan pertemuan dengan semua ketua bahagian parti itu, hari ini.

Pertemuan yang dijadualkan bermula jam 11 pagi itu, berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, di sini, berdasarkan jemputan tular yang tertera nama Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Berdasarkan jemputan itu, Presiden dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, meminta semua ketua bahagian hadir ke satu pertemuan khas berhubung perkara penting demi masa depan parti.

Tidak dapat dipastikan tujuan pertemuan itu, namun ia dipercayai berkaitan pilihan raya umum dan kes rayuan akhir membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Persekutuan. 

Jemputan pertemuan segera dan diletakkan sebagai mustahak itu dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pada kira-kira jam 11.15 malam tadi.

"Pertemuan segera dan mustahak. Yang Berbahagia Datuk Presiden dan Timbalan Presiden UMNO meminta agar Ketua-ketua UMNO Bahagian hadir ke satu pertemuan khas berhubung satu perkara yang sangat penting demi masa depan parti yang mesti disegerakan seperti ketetapan berikut.

"Tarikh: Isnin 22/8/22. Masa 11 pagi. Tempat Tingkat 39 Menara Dato Onn PWTC KL. Atas kehadiran dan keprihatinan semua, terlebih dahulu dirakamkan ucapan terima kasih," katanya.

Setakat ini, antara pemimpin yang dilihat hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Kira-kira 20 wakil media turut berada di pekarangan lobi Menara Dato Onn bagi mengikuti perkembangan pertemuan itu.


2. Pengundi Cina pilih PAS kerana mahu pemimpin baik 

KOTA BHARU: PAS tetap menjadi pilihan rakyat termasuk bukan Islam sejak 1990 sehingga sekarang kerana berjaya mengetengahkan pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab terhadap rakyat.

Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, masyarakat Cina pernah memberitahunya mereka memilih PAS kerana mahu pemimpin yang baik memimpin negeri.

Katanya kalau mereka mahu pembangunan sudah tentunya bukan PAS yang disokong.

“Sebaliknya mereka menyokong juga PAS kerana mahu pemimpin yang bersih dan amanan mentadbir kerajaan. Malah sehingga sekarang terbukti Kelantan sifar rasuah.

“Lagipun rakyat tahu Kelantan ketinggalan dalam aspek pembangunan kerana berdepan dengan diskriminasi politik sejak 1959 sehingga Februari 2020,” katanya pada forum sempena sambutan ulangtahun kedua Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Turut bertindak sebagai panel pada forum tersebut Menteri Kanan Pendidikan Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin. Manakala Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed bertindak sebagai moderator.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan yang ditadbir PAS sentiasa berada dalam tekanan.

“Setiap lima tahun sekali Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) menghantar laporan kepada kerajaan Pusat mengenai cadangan projek pembangunan di negeri itu.

“Namun apa yang berlaku Kelantan sering didiskriminasi. Biar pun berdepan diskriminasi, namun kerajaan PAS Kelantan mampu bertahan sehingga sekarang,” ujarnya.

Katanya, rahsia kejayaan itu kerana dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dirintis arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi banyak kebaikan kepada rakyat.

Selain itu kata beliau faktor kefahaman Islam dalam kalangan rakyat sejak dahulu sehingga dikenali sebagai Serambi Mekah.

Sementara itu Mohd Amar juga berkata, biarpun berdepan dengan diskriminasi politik dalam tempoh lama, namun PAS sanggup melupakannya bagi membina semula kekuatan politik orang Melayu.

Kata beliau PAS masih berharap dapat mewujudkan persefahaman dengan Umno bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita berharap tidak berlaku pertembungan tiga penjuru sekurang-kurangnya dengan adanya persefahaman,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut.

Beliau berkata, persefahaman itu perlu kerana PAS tidak mahu PH menang pada PRU15 apabila berlaku pertembungan tiga penjuru. 

Bagaimanapun kata beliau berdasarkan rekod pertembungan tiga penjuru di Kelantan, PAS masih mampu bertahan.

Malah kata beliau PAS bersedia dengan segala kemungkinan termasuk menerima keputusan Umno yang mahu bergerak secara solo pada PRU15. – HARAKADAILY 22/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mesyuarat tergempar UMNO pagi ini, panggil semua ketua bahagian.

Dan pengundi Cina pilih PAS kerana mahu pemimpin baik. Itulah sebenarnya mereka yang cerdik dan memandang jauh ke depan. Mereka ingin membangun bersama-sama kaum bumiputra di negara ini..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails