Tuesday, August 09, 2022

Perjuangan 'ayam kampung, itik penelur' & mahkamah syariah..

 


1. Majukan ternakan ayam kampung, itik penelur atasi isu sekuriti makanan  -Prof Madya Dr Ahmad Zubir Ibrahim

Ramai tertanya-tanya apakah harga siling ayam standard pada harga RM9.40 sekilogram dan telur ayam berdasarkan gred A, B serta C ditetapkan hingga 31 Ogos ini akan disemak semula atau diapungkan seperti dicadangkan sebelum ini.

Ini tentu memberikan tekanan kepada golongan berpendapatan rendah apatah lagi peningkatan indeks makanan menunjukkan negara masih berhadapan peningkatan kos sara hidup dan ia menjadi penyumbang utama kepada inflasi yang dijangkakan berlarutan beberapa bulan.

Justeru, negara memerlukan usaha dan strategi lebih berkesan, sama ada dalam jangka pendek atau panjang untuk meminimumkan kesan ditanggung rakyat.

Oleh itu, ternakan ayam kampung dilihat pilihan alternatif mampu memenuhi permintaan dalam negara. Industri ayam kampung perlu diperkasakan semula dengan kapasiti pengeluaran penternak sedia ada dipertingkatkan melalui sokongan sumber modal atau pembiayaan dengan kadar pembayaran semula pada kadar faedah rendah.

Pembabitan penternak ayam kampung akan merancak semula penawaran ayam di pasaran, manakala rantaian bekalan ayam dikawal penggerak industri dapat dipecahkan dengan persaingan ternakan ayam kampung.

Kebanyakan penternakan ayam kampung dilakukan secara kecil atau sederhana. Sehingga 2019, sejumlah 11.4 juta ayam kampung diternak berbanding

ayam daging (179.9 juta). Perbezaan ini disebabkan tempoh matang ayam kampung selepas 60 hari setiap pusingan dengan berat 1.5 hingga 2 kilogram seekor, berbanding ayam daging mempunyai matang 28 hari dengan berat 1.8 kilogram.

Namun, prestasi ayam kampung boleh ditingkatkan dengan memberi makanan mengandungi protein dan tenaga tinggi dalam tempoh tumbesaran dengan nilai protein tidak kurang 20 peratus semasa permulaannya.

Bagi mengurangkan kebergantungan sumber makanan sepenuhnya kepada dedak, sumber alternatif boleh dibangunkan seperti penggunaan tanaman contohnya bayam brazil dan rumput napier tanpa bergantung sepenuhnya makanan tradisional seperti nasi serta hampas kelapa.

Permintaan tetap tinggi

Permintaan ayam kampung tetap tinggi dalam kalangan pengguna, walaupun harga runcit dilaporkan melebihi RM16 sekilogram. Namun, sekiranya pengeluaran ayam kampung dipertingkatkan dan dilaksanakan bersepadu, sudah pasti harga jualan dapat dikurangkan, terutama pengurusan bahan makanan dibeli secara pukal.

Kejayaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan pembiakan anak ayam kampung asli melalui ayam jantan dan induk betina terpilih didapati lebih pejal berbanding ayam kampung kacuk atau ayam kampung biasa perlu diperluaskan.

Kadar tumbesarannya mencecah berat 1.5 kilogram dalam tempoh 12 minggu secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pengeluaran bekalan ayam negara.

Bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam kampung, penternak sama ada secara kecil mahupun sederhana perlu digabungkan di bawah satu entiti bagi memudahkan urusan pengoperasian, sekali gus dapat mengurangkan kos pengeluaran bahan makanan ayam susulan pembelian pukal.

Pembukaan ladang ternakan baharu perlu bagi menampung permintaan bekalan ayam dalam negara. Tambahan pula, ternakan ini mempunyai daya saing tinggi dengan kadar pulangan dalam (IRR) sebanyak 87 peratus menjelaskan ternakan ini mempunyai potensi dibangunkan dalam skala besar.

Begitu juga penternakan itik telur perlu dikomersialkan lebih teratur dan sistematik untuk menampung keperluan telur di pasaran. Dengan pengeluaran telur itik dalam skala besar, pengguna mempunyai pilihan serta jaminan barangan keperluan itu.

Berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Verterinar pada 2019, sebanyak 2.1 juta itik penelur diternak di 204 ladang di seluruh negara dengan pengeluaran lebih 163.3 juta telur atau 11,434 tan setahun.

Harga runcit telur itik ketika ini mencecah 80 sen sebiji berbanding 45 sen sebiji telur ayam gred A menunjukkan perbezaan agak ketara. Namun, perancangan khusus perlu dilakukan bagi meningkatkan ternakan itik penelur bagi menstabilkan

harga di pasaran, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada telur ayam.

Pengeluaran telur itik juga dipengaruhi corak pemakanan diberikan yang sekiranya itik penelur diberi makanan komersial, purata pengeluaran telur sehari sekitar 70 hingga 75 peratus berbanding makanan campuran dilakukan penternak purata pengeluaran telur dianggarkan sebanyak 60 hingga 65 peratus daripada jumlah itik telur.

Bagi memastikan kelangsungan pengeluaran telur itik dalam jangka panjang, kebersihan reban dan air minuman perlu dijaga rapi. Itik penelur tidak mudah dihinggapi penyakit dan lebih tahan daripada tekanan persekitaran jika dibandingkan dengan ayam.

Walaupun kos ternakan itik penelur dikatakan tinggi kerana tempoh tumbesaran panjang bagi tujuan pengeluaran telur, ia tidak boleh dijadikan alasan sekiranya pengeluaran telur itik dapat menampung permintaan telur dalam negara di samping telur ayam.

Jika dilihat telur ayam dan itik turut menyumbang 113.6 peratus kepada kadar sara diri (SSL) negara pada 2019 dengan penggunaan 21.3 kilogram pertahun. Peratusan ini menunjukkan telur itik turut menjadi penyumbang pencapaian SSL negara di bawah komoditi telur.

Walaupun industri ternakan ayam atau itik mempunyai tahap SSL tinggi, industri berkenaan perlu beralih ke arah sistem reban tertutup untuk meningkatkan kemampanan dan mencapai tahap produktiviti lebih tinggi.

Perlu pelaburan berterusan

Bagi memastikan kelangsungan pengeluaran telur itik, pelaburan berterusan harus dilakukan dengan pembabitan kerajaan, penternak dan penggerak industri. Ini penting bagi memastikan pengeluaran telur itik tidak terjejas di samping kos pengeluaran dapat diminimumkan.

Kawalan kos bahan mentah dan kos lain di sepanjang rantaian pengeluaran telur itik perlu diperkukuhkan bagi mengelak kebocoran.

Dalam hal ini, institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai kepakaran agromakanan perlu dibabitkan supaya pengetahuan dan teknologi dapat dipindahkan kepada komuniti.

Antara program boleh dimanfaatkan, Program Community Resilience Experiential Learning (CARE) di bawah Kerangka Experiential Learning And Competency Based Education Landscape (EXCEL) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Melaluinya, pelajar akan memperoleh pengalaman pembelajaran mendalam menerusi hubungan rapat dengan komuniti memfokuskan keperluan masyarakat dan mewujudkan perubahan sosial positif.

Melalui pemantauan dan pembabitan berterusan, proses pemindahan pengetahuan dan teknologi dapat dilakukan, sekali gus menyumbang kepada pengeluaran makanan negara.

Malah, sesetengah komuniti mempunyai tanah terbiar dapat dioptimumkan melalui kerjasama ini.

Hubungan dua hala ini bukan sahaja dapat membentuk kemenjadian pelajar berdaya saing, berketerampilan dan mampu mencipta pekerjaan, bahkan meningkatkan hasil pendapatan rakyat.

Penulis adalah Pengarah Institut Kajian Kerajaan Tempatan, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)


2. Usaha pemerkasaan peguam syarie, mahkamah syariah -Oleh SENATOR DATUK IDRIS AHMAD

APA lagi ungkapan yang boleh saya katakan, setinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas Persidangan dan Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-wilayah Persekutuan yang pertama.

Perjuangan tiga dekad. 24 tahun secara spesifik.

Sejarah panjang bagi usaha untuk memartabatkan perjuangan institusi Mahkamah Syariah.

Usaha untuk mewujudkan Akta Profesion Guaman Syarie telah bermula sejak tahun 1984 lagi.

Pada tahun 1995, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil telah meneruskan usaha penggubalan Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) sehingga selesai.

Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Wilayah-Wilayah Persekutuan) [Akta 814] telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.

Akta 814 juga telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 November 2019 dan seterusnya telah mula berkuat kuasa pada 21 Jun 2022 yang lalu.

Di Wilayah Persekutuan sahaja, lebih 700 anggota Peguam Syarie yang berkelayakan dan berkepakaran, dan saya mengharapkan inilah pemangkin untuk negeri-negeri lain untuk bersama dalam perjuangan menggubal enakmen yang sama seperti Akta 814.

Saya yakin kewujudan akta ini akan disambut baik oleh semua negeri berkenaan dengan memartabatkan Mahkamah Syariah dalam negara kita.

Setelah mengaktifkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah yang dipengerusikan Tan Sri Othman Mustapha dan diurussetiakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), saya kita agenda kita hari ini, Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah- Wilayah Persekutuan Yang Pertama adalah cukup besar dan ianya sangat besar untuk umat Islam dalam negara kita.

Sungguh, saya cukup terharu!

Perjuangan untuk memartabatkan undang-undang syariah adalah perjuangan saya sejak berada di luar kerajaan dahulu lagi.

Maka saya berkata pada diri saya, sementara Allah beri amanah dan ruang ini kepada saya, saya bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

Insya-Allah, martabat Mahkamah Syariah akan lebih tinggi selepas ini. Doakan semua! – HARAKAHDAILY 8/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Perjuangan 'ayam kampung, itik penelur', & mahkamah syariah.. Itu juga termasuk dalam perjuangan Islam. Itulah yang diperjuangkan PAS. Biarlah kita sehidup semati bersama Islam! Undilah PAS dalam PRU 15 ini.

Hibur Hibur Sikit

H2S Pilihan: 02 -Muslim Rap-Soldier of Allah.

Soldiers Of Allah 1924 Rap, Learn your history


Soldiers Of Allah (No Compromise)


Soldiers of Allah - Vocal Nasheed - Muhammad & Ahmed Muqit 



Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails