SABITAN bersalah terhadap Dato’ Seri Najib Razak (DSNR) disambut dengan pelbagai reaksi. Dari kalangan penyokong DSNR pasti amat berduka dengan keadaan ini, manakala dari kalangan masyarakat lain pula menyambut baik proses mahkamah yang telah berjalan.
Tidak sedikit jua yang masih berpaut pada sentimen dan emosi dalam kes SRC International ini. Bagi mereka DSNR adalah mangsa permainan politik oleh musuh.
Namun, tidak kiralah apa pun pandangan kita, kita perlu muhasabah dan ambil pengajaran dari kes ini. Betapa aspek integriti dan kebersihan itu perlu kita jaga.
Bahkan kebersihan dari rasuah dan ketirisan bukan sahaja perlu laju di bibir, paling penting ia perlu dibuktikan dengan tindakan.
Reaksi atau tunggangan oleh sekelompok besar pemimpin dari Pakatan Harapan dengan sentimen ‘bersih rasuah’ sebenarnya satu budaya politik tidak matang dan hipokrit.
Hal ini demikian kerana, sepanjang 22 bulan mentadbir, kes mahkamah yang berkaitan rasuah dan integriti oleh pimpinan PH telah digugurkan begitu sahaja. Sepertimana kes terowong 6.3 bilion Pulau Pinang dan banglo bawah paras harga pasaran yang dihadapi Lim Guan Eng.
Peliknya situasi ini, Peguam Negara di bawah PH Tommy Thomas telah memohon kepada mahkamah memberikan pelepasan sepenuhnya kononnya atas dasar tidak cukup bukti.
Kita juga jangan lupa kes mahkamah yang dihadapi tokoh populis anak muda, YB Syed Saddiq yang berhadapan tuduhan pecah amanah dana Angkatan Muda Bersatu sebanyak RM1 juta dan penyalahgunaan wang RM120,000.
Terdapat juga beberapa kes yang dihadapi pegawai-pegawai ahli politik PH seperti Setiausaha Politik Mat Sabu yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen atas lima tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM6.3 juta.
Kes Rafizi Ramli yang dibebaskan daripada tuduhan mahkamah serta pembebasan menggunakan pengampunan DiRaja. Apakah ini kebersihan yang dilaungkan?
Benar, ada antara contoh ini masih dalam perbicaraan. Maka tidak adil kita menilai seolah-olahnya mereka betul-betul telah mengambil rasuah.
Tetapi inilah yang dipraktikkan PH dan pimpinannya. Mengadil dengan sentimen dan otak sendiri sedangkan mereka sendiri pun terpalit dengan kes mahkamah.
Sebab itu, PAS dan rakan kerjasama Perikatan Nasional sentiasa menyeru rakyat Malaysia agar menyerahkan sabitan kesalahan kepada mahkamah, bukan kepada pendakwaan orang umum dan rakyat yang terdedah kepada permainan sentimen politik.
Contohilah budaya politik matang PAS dan PN. Paling utama sekali, contohilah pemimpin dan kebersihan yang ditawarkan Perikatan Nasional buat rakyat. Contohnya dapat kita lihat di Kelantan, setakat 32 tahun mentadbir tiada pemimpin politik yang didakwa. Bahkan pintu untuk siasatan SPRM dibuka 24 jam!
Proses kehakiman pada era Perikatan Nasional terbukti tidak berlaku campur tangan dan pengguguran kes rasuah secara tiba-tiba sepertimana zaman PH. Inilah nilai integriti yang kita cuba perjuangkan.
Jika ditimbang tara antara kebersihan PN dan PH, pihak mana menjadi pilihan anda?
PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 24/8/2022
2. Adakah Melayu-Islam mahu jatuh kali kedua?
Ia umpama jatuh tersembam apabila rakan-rakan komponen BN yang utama iaitu MCA dan MIC turut gagal memperolehi kemenangan signifikan daripada jumlah kerusi ditandingi. Malah komponen dari Sarawak iaitu PBB, PRS, PDP dan SUPP, selain UPKO dan PBRS di Sabah bertindak meninggalkan BN.
Lebih menyakitkan BN khususnya Umno, apabila ada ADUN-ADUN dan Ahli-ahli Parlimen mereka bertindak melompat parti. Sambutan keraian kemenangan oleh penyokong PH di jalan-jalan raya seluruh negara ketika itu memungkinkan tragedi seperti di Sri Lanka baru-baru ini boleh terjadi, namun pasukan keselamatan dapat mengawal keadaan.
Peralihan kuasa berlaku dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini, namun Umno-BN ternyata seperti sudah putus asa dengan politik ketika itu. Dan mereka sendiri merasakan bayang-bayang bakal berdepan banyak pertuduhan di mahkamah atas skandal-skandal telah sedia sensasi sebelumnya.
Banyak pihak mungkin ‘terasa puas’ antaranya melihat mantan Perdana Menteri selaku juga Presiden Umno ketika itu dan isteri beliau yang tersohor bergemerlapan aksesori perhiasan dirinya terpaksa berdepan kehadiran ramai anggota polis ke kediaman mereka.
Hasilnya, terkumpul begitu banyak beg-beg tangan dan barang kemas serta permata bernilai jutaan ringgit diusung angkut dengan trak polis. Tetapi bayangkan rasa cemas pemimpin itu dan isterinya termasuk ketakutan yang menyelubungi seluruh kaum keluarga Umno dengan situasi itu.
DAP menunjukkan taring
PH pula setelah menyusun Kabinet Kerajaan yang menyaksikan DAP menguasai banyak kedudukan strategik, sekali gus mengesahkan cengkaman dan sikap ‘Abang Besar’ parti itu, dilihat terus melangkah memastikan perjawatan-perjawatan penting negara dikuasai parti itu.
Selain syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mereka juga memproksikan kepentingan yang berkaitan umat Islam diterajui politikus ‘belaan’ parti itu. Tetapi paling besar apabila kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia, Speaker Parlimen, Peguam Negara dan teraju kehakiman turut bertukar.
Natijahnya, DAP di dalam Kerajaan PH mula menunjukkan taring apabila menggerakkan usaha merombak banyak perundangan termasuk Perlembagaan Persekutuan dengan bertindak untuk meratifikasi konvensyen-konvensyen luar yang tidak selari negara ini.
Mereka sebenarnya cuba merendah agama Islam di ketinggian dalam Perlembagaan Persekutuan untuk setidak-tidaknya duduk saksama dengan agama lain; juga konon mahu semua rakyat dilayan sama rata dengan menghapuskan keistimewaan hak Melayu dan Bumiputera sedia termaktub.
Begitu juga mahu kononnya memberikan hak adil kepada sekolah jenis kebangsaan dan bahasa-bahasa lain atas nama kemajmukan Malaysia, tetapi sebenarnya menafikan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan termasuk tulisan Jawi yang bagai kehadiran hantu bagi mereka.
Bahkan, banyak kuota Melayu dan Bumiputera cuba dirombak hapus oleh mereka kepada sistem meritokrasi yang lebih seimbang kononnya, lalu menyusup kepentingan kaum lain di banyak sektor dalam negara ini. Hingga kemuncaknya, kedudukan Raja-raja Melayu juga mereka cuba kecilkan menerusi ratifikasi konvensyen antarabangsa lainnya.
Melayu-Islam bangkit
Semua itu dilihat, diperhati dan amat disedari umat Melayu-Islam di negara ini yang bukan sahaja bangun menunjukkan pendirian setelah mengakui tersilap memilih PH hingga menjatuhkan Kerajaan Melayu-Islam ditunjangi Umno dari kuasa selama 60 tahunnya.
Beberapa siri himpunan dan majlis orang Melayu-Islam dan kempen-kempen berkaitan jelas menunjukkan semarak kaum majoriti pertiwi ini betapa mereka bangkit kerana merasa seperti kembali ditindas dan dijajah oleh kerakusan bangsa lain yang sombong di kedudukan jawatan dan kuasa.
Tekanan ke atas kaum Melayu-Islam sebagai pemilik negara ini jelas apabila bukan sahaja Perdana Menteri Melayu-Islam cuba digugat, malah perkhidmatan awam yang didukung besar oleh kaum ini sebagai tulang belakang jentera negara juga cuba dikecilkan, selain aset-aset berkaitan dibuka untuk ‘lelongan’ demi menampung hutang negara kononnya.
Malah, pentas pembentangan Belanjawan di Dewan Rakyat juga menyaksikan banyak peruntukan kewangan untuk sektor atau segmen bersangkutan kaum Melayu dan Bumiputera telah ‘dihilangkan atau dikurangkan’ dengan banyaknya, sebaliknya diagihkan kepada kaum lain.
Selain, semangat umat ini turut dicubit dan didera dengan sikap biadab, celupar dan angkuh kaum lain terhadap segala berkaitan Melayu-Islam, malah dipuja agung pula unsur subversif dan radikal ke negara ini mahu mengiktiraf Komunis dan tokohnya sebagai pejuang. Itu tidak termasuk ‘ejekan’ seperti Oktoberfest, Sugarbook dan kelompok LGBTQ.
Dua minggu selepas ‘dijajah’
Ternyata roh perjuangan demi meninggikan Islam menerusi wadah siyasah khususnya oleh Presiden PAS yang memimpin parti Melayu-Islam kedua terbesar negara ini tidak pernah pudar biarpun dilambung ombak badai hingga memecahkan bahtera besar kaum ini.
Penaklukan licik khususnya DAP ke atas rakyat dan negara ini untuk mengikut telunjuk dan agendanya berdepan langkah tindak balas Presiden PAS itu seawal dua minggu selepas PRU14 dengan mengusahakan penyatuan pemimpin-pemimpin politik Melayu-Islam termasuk dari dalam PH sendiri.
Dari situ juga Umno yang melemah menerima suntikan motivasi untuk seiringan bangun kembali membela dan membebaskan umat dan negara ini dari rejim DAP. Termeterainya piagam Muafakat Nasional (MN) sempena Himpunan Perpaduan Ummah membangunkan kembali kealpaan umat.
Hingga pendakian semula itu membolehkan majoriti umat negara ini kembali mendapatkan hak kuasa pemerintahan, sekali gus menyelamatkan negara yang terumbang-ambing saat itu lantaran sesama politikus PH berkecamuk merebut kuasa jawatan sesama sendiri.
Mereka akhirnya menyusur keluar dari pagar Putrajaya longlai lesu atas ‘Langkah Hijrah’ permuafakatan umat ini untuk meletakkan negara kembali di atas landasan sebenarnya. Umat merasa kembali dipayungi dan dilindungi, seterusnya membuktikan penolakan kepada PH menerusi hampir semua Pilihan Raya Kecil diadakan selepas itu.
Payungi kepentingan semua
Kebangkitan kembali Melayu-Islam diluruskan tidak berdasar perkauman sempit atau diapi-apikan untuk menindas kaum lain yang majmuk dalam negara ini. Sebaliknya ia gabungan kekuatan untuk mempertahan dan menyelamat negara ini sekali gus melindungi semua pihak atas nama rakyat Malaysia.
Kerana itulah Perikatan Nasional (PN) yang menjadi nama gabungan kerajaan pada masa itu segera menerima sokongan daripada pelbagai parti politik termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama bersatu secara harmoni dan menjadikan negara ini lebih kuat.
Tambahan cabaran COVID-19 yang melanda teruk muka bumi waktu itu telah dihadapi dengan solidariti semua peringkat rakyat termasuk kesan-kesan atau impak buruknya. Syukurlah kerajaan prihatin dan mengembleng curahan kemampuan serta bantuan untuk memulihkan keadaan.
Menjerumus diri sendiri?
Pun begitu, dalam setandan pisang ada yang buruk. Hakikat itu menyaksikan ada kalangan politikus parti yang gelojoh dan tamak terus memburu dan menyelimuti diri atas pelbagai kepentingan dikejar. Pergolakan adik-beradik sepertinya kisah Nabi Yusuf A.S dan abang-abangnya turut terpalit kepada kesatuan parti-parti Melayu-Islam.
Akibatnya, sebuah kerajaan yang telah terbina menyelamatkan keadaan daripada kemungkinan penjajahan baharu, sewenangnya telah ‘dijatuhkan’ di mana jawatan Perdana Menteri terpaksa ditukar ganti lagi. Namun, sengketa itu tidak pernah berakhir mahupun adanya gencatan senjata.
Ketika ada pemimpin Umno terus angkuh menolak ajakan berpadu demi kepentingan agama, bangsa, rakyat dan negara ini, bekas Presiden parti itu dikekalkan hukuman penjara dan denda atasnya menjadikan umat yang sedang berpecah ini terus dirungkai.
Serta-merta di kem DAP sekali lagi bersorak riang gembira merasakan ia satu kemenangan. Sudah tentu dengan situasi longgar umat ketika ini mereka akan terus menyucuk jarum untuk menyakiti dan melemahkan umat ini supaya dengan keadaan itu mereka akan meraih kesempatan dari lompang yang terbuka.
Apakah dengan kerapuhan sedia wujud dalam umat ketika ini akan bersedia pula diganyang pada PRU15 nanti dan menatijahkan kembali dikuasai atau setidak-tidaknya dibonekakan melalui Melayu-Islam apologetik dan mudah diskru kepalanya?
Jangan biarkan kejatuhan kali kedua terjadi, sebaliknya marilah menginsafi dan berjiwa besar memaaf serta menerima antara kita untuk bermuafakat dalam penyatuan agar wujud perpaduan sebagaimana diteladankan Baginda Rasulullah S.A.W bagai benteng tersusun kukuh dicintai Allah S.W.T dan mencapai kemenangan dengan pertolongan-Nya.
IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 24/8/2022
3. KDN akan beri penjelasan warga China tidak keluar Malaysia
LARUT: Kementerian Dalam Negeri akan memberi penjelasan semula berhubung isu lebih 1.2 juta rakyat China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.
“Jumlah itu tidak betul. Kita akan betulkan untuk memperbaiki persepsi yang salah,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Setiausaha Agung Bersatu merangkap Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian selepas merasmikan persidangan serentak cawangan Bersatu Bahagian Larut malam ini.
Dilapor berdasarkan rekod keluar masuk Jabatan Imigresen Malaysia, ketibaan warga China ke negara ini bagi tempoh berkenaan ialah seramai 7,177,043 orang.
Bagaimanapun, warga China yang keluar dari Malaysia bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke negara ini.
Terdahulu, Hamzah menerima 204 borang keahlian baharu dari Cawangan Sungai Limau dan Paya Besar di sini. – BERNAMA
Komen Weblog Ibnu Hasyim: PN vs PH. Melayu-Islam jatuh kali ke2? Cina, warga China tidak keluar Malaysia..
Kata pujangga Melayu: Pisang berbuah dua kali, ayam dikepuk mati kelaparan, itek di air mati kehausan, ibarat malang Pak Kadok, ayam menang kampung tergadai. Beginikah negara, bangsa berdaulat, bumiputera rela dagang merantau?
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
No comments:
Post a Comment