Monday, August 15, 2022

S/Rushdie (2) Hina Agama, Demontrasi -Ibnu Hasyim.

 

Demontrasi Adalah Tunjuk Perasaan. December 17, 2007
CATATAN PERJALANAN Ibnu Hasyim 

Sambungan dari 

IV. Makkah. Demontrasi Adalah Tunjuk Perasaan.

Pada tahun 1987 yang lalu semasa aku berada di Makkah, telah berlaku suatu peristiwa pembunuhan beramai-ramai ke atas jamaah haji Iran berhampiran dengan rumah Allah atau Kaabah. Berlaku dalam sebuah demontrasi. Aku masih ingat, aku bersama kawanku dan dua orang lain sedang berbual-bual di dekat bangunan pejabat wakil Imam Khomeini, di kota Makkah.

Waktu itu suatu majlis perjumpaan kira-kira 200 orang sedang berlangsung. Terdengar beberapa pemimpin Iran sedang berpidato mengenai haji. Antaranya mereka menuntut beberapa rakyat mereka yang ditahan oleh kerajaan Saudi dibebaskan segera. Sedang kami berbual-bual sesama kami, tiba-tiba seorang pemuda Iran memberi sekeping surat. Aku membelek-belek. “Surat apa itu?” Tanya kawanku.

“Surat jemput hadir ke Perhimpunan dan Perarakan Haji, dari pejabat Imam Khomeini yang jauh di sana berdemontrasi hingga ke sini… besok, lepas Asar.” Jawabku, sambil menunjuk arah bangunan tersebut, beberapa kilometer sahaja dari tempat kami berdiri. Aku tunjukkan surat itu padanya.

Tetapi dirampas segera oleh seseorang dengan kasar. “Imam… Imam Khomeini?? Kau tahu siapa dia?” Sergahnya, sambil tangannya mengoyak-ngoyak surat itu dengan geram. Dia yang berpakaian macam orang Pakistan, bersama dua temannya.

“Khomeini kafir!” Sambung salah seorang mereka, dengan tidak semena-mena. Akhirnya, semua mereka berlalu dengan rungutan berpanjangan. Kami masing-masing tercengang. Hal ini membuat saya berminat dan tertarik untuk hadir di majlis itu besok hari.

Esoknya lepas sembahyang Asar di Masjidil Haram…

Aku cepat-cepat setelah keluar dari Masjidil Haram mencari sudut yang baik bagi meninjau dan melihat suasana demontrasi dari dekat. Aku naik tingkat atas bangunan letak kereta yang 4 tingkat itu. Hampir dengan pejabat pos, bersetentang agak jauh sikit dari pejabat wakil Imam Khomeini. Boleh lihat dari atas, perarakan yang akan melintasi bangunan itu. Dari jauh, kini sudah nampak berduyun-duyun ribuan manusia menuju arah bangunan tempat aku berada, bagaikan banjir sungai yang mengalir perlahan.

Mereka membawa sepanduk beranika ragam. Suara slogan beramai-ramai, sesekali jelas teriakan ‘Allahu Akbar’ berkumandang di udara memecah kebisingan kota Makkah itu. Bunyi bagai lebah mengaum itu makin jelas dan makin dekat. Perhatian dan pendengaranku mula tertumpu untuk mendengar butir-butir perkataan mereka. Tiba-tiba gegendang telingaku terpukul kuat oleh satu suara jarak dekat. Suara menyuruh dan menghambatku dengan kasar tidak bersopan supaya turun, segera berlalu dari situ.

Suara seorang lelaki berjubah tup, pakaian kebangsaan Saudi yang bergerak tergesa-gesa. Rupanya pihak polis Saudi ingin menggunakan bangunan itu. Kereta-kereta polis bergegas meluncur naik. Unit-unit penggambaran segera dipasang. Di bawah pula, di atas jalanraya unit-unit polis rusuhan sedang bersiap sedia, seolah-olah akan menghadapi suatu pertempuran dan perlawanan hebat. Mereka bersiap sedia untuk menyekat dan mengempang aliran arus demontrasi yang sedang mara itu.

Tetapi aku terpaksa mencari tempat lain pula untuk melihatnya. Kakiku melangkah turun, merayau-rayau di deretan kedai satu tingkat seberang jalan sana. Penunjuk-penunjuk perasaan sudah semakin hampir, arus derasnya terus melanda. Membuak-buak bagai sungai pecah empangan. Aku terjebak di dalamnya, tidak lagi dapat melihat demontrasi itu secara keseluruhan. Aku terus meredah di tengah-tengah 50,000 manusia itu. Aku tidak tahu lagi apa yang berlaku di depan, bila mereka disekat oleh empangan polis pencegah rusuhan itu.

Aku terus meredah dan menyongsang tunjuk perasaan itu ke belakang. Merentasi pelbagai sepanduk yang hampir semuanya terdapat gambar dan perkataan bertulis Imam Khomeini. Ada karikatur politik, gambar Presiden Amerika sedang peralatkan benoka-bonekanya, memecahkan perpaduan umat Islam. Gambar Khomeini sebagai penaung dan pembela rakyat tertindas. Sebuah Masjidil Aqsa kertas dipikul bersama-sama sebagai symbol kewajipan merampas kembali dari Yahudi adalah menjadi kewajipan bersama.

Ratusan pembesar suara tergantung di tiang-tiang tinggi yang diusung bersama-sama. Berselisih dengan kumpulan muslimat-muslimat yang telah berumur sedang bertakbir bersemangat, tangannya menggenggam penumbuk. Aku terus juga menyongsang perarakan itu. Agak beberapa lama badanku keletihan, tekakku terasa haus. Telan air liur aku, bila melihat lori-lori sedang menurunkan air batu bawah jejambat, di bulatan tempat cantum kumpulan manusia yang panjang datang dari pelbagai arah.

Air batu dibagi-bagikan. Aku hampiri kumpulan itu dengan harapan dapat basahi tekakku. Tetapi terlalu ramai, mereka macam berebut-rebut walaupun agak beradap. Aku tidak sabar lagi menunggu giliran. Rupanya 2 polis Saudi berunifom sedang perhatikan tingkahku. Mereka membantuku dapatkan minuman. Alhamdulillah! “Apa pandangan encik mengenai demontrasi ini?” Seorang dari peserta demontrasi itu menanyaiku.

“Bagus!” Jawabku ringkas.

Tiba-tiba beberapa pemuda Iran sedang berlari-lari anak dari hadapan menuju kami. Mereka membawa berita cemas. Dari jauh ternampak asap hitam berkepul-kepul di udara tepat di atas penunjuk-penunjuk perasaan di barisan depan. Tanda ada letupan dan kebakaran. Dari bangunan-bangunan tinggi di kiri kanan jalan, nampak benda-benda berat dilontarkan ke atas lautan manusia itu. Termasuk dari bangunan tempat saya berdiri mula-mula tadi yang dikuasai pihak polis Saudi itu.

Kedengaran pula bunyi tembakan berturutan bagaikan satu serangan hendap musuh, beberapa minit lamanya. Pemuda-pemuda Iran tadi mengisyaratkan supaya penunjuk-penunjuk perasaan berpatah balik. Bila berselisih denganku, mereka menuding jari ke arahku supaya keluar dari barisan tunjuk perasaan itu. Sebentar kemudian, arus saf itu sudah bergerak ke belakang, patah balik. Letupan tembakan masih kedengaran jarang-jarang. Tetapi makin dekat.. dan makin membimbangkan.

Helikopter-helikopter Saudi terus berlegar-legar di atas kepala. Ambulan bulan sabit merah bergerak bagaikan bot-bot membelah lautan manusia dengan tenang selesa menjalankan tugasnya. Sesekali motosikal polis Saudi pula meredah dan merentasi gelombang lautan manusia itu dengan tenang. Arus demontrasi itu terus berundur. Antara yang berselisih denganku ialah ramai muslimat-muslimat yang luka. Orang tua yang cedera parah. Dipapah, dirawat oleh teman-temannya, sambil berlari-lari anak.

Tiba-tiba… “Moya! Moya!!” Jerit seorang lelaki tua. Dia tersungkur di hadapan ku meraung-raung meminta air dengan kepala yang berlumuran darah.

Aku nak tolong, tapi tanganku ditarik supaya keluar dari barisan tunjuk perasaan itu. Akhirnya aku menyimpang arah kubur Ma’la, keluar dari barisan yang bertali arus itu dan berlalu dari situ. Malamnya aku datang lagi, terlihat mayat-mayat bergelimpangan. Khabarnya kira-kira 500 nyawa terkorban. Ramainya ialah wanita, warga tua dan ada juga sikit-sikit hujjaj dari negara selain Iran.

Itulah peristiwa demontrasi dan tunjuk perasaan. Mereka dibantai hingga terkorban, namun mereka sanggup menghadapinya. Ada yang tanya bagaimana nak hindarinya? Jawapan saya cukup mudah, polis jangan bertindak ganas! Itu saja, tak kira di Malaysia, Thailand, Filipina atau Saudi. Masing-masing ada agenda perjuangan masing-masing. Maka demontrasilah tempat meluahkan perasaan perjuangan. Inilah yang berlaku walaupun dekat kelambu kaabah seperti yang diceritakan.

Sekarang orang sibuk-sibuk tunaikan ibadat haji di Baitullah. Ibadat haji itupun suatu cara atau demontrasi menunjuk perasaan dan keikhlasan kita kepada Allah SWT. 

Lihat perintah dalam ayat 26 & 27 dalam Surah Haji, surah ke 22, dari Al Qur’an. Buat apa datang jauh-jauh ke rumah Allah walaupun ‘berjalan kaki dan tunggang unta kurus’ kalau bukan nak tunjukkan perasaan ikhlas serta cinta kita kepada Allah SWT??

Catatan Perjalanan: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 16-12-2007. KL

Sudah terbit!!
Hasil carian imej untuk melayu dipinggir kota mekah
E-Buku IH-124: Budaya Saudi&Melayu Kota Mekah Kini.
Bab 1

Bab 2
Bab 3Bab 4


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails