Sunday, August 28, 2022

Sindir PM oleh Penasihatnya sendiri. & 'pengampunan jenayah'


Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman

1. Ucapan Azalina sindir Perdana Menteri, beri imej buruk pada UMNO

JOHOR BAHRU: Tindakan Datuk Seri Azalina Othman, yang secara terbuka menyindir serta menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bukan sahaja mengecewakan malah memberi gambaran salah terhadap parti itu kepada masyarakat.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mohd Fuad Tukirin, mendesak Azalina yang juga Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, supaya melepaskan jawatannya itu bagi menjaga integriti Perdana Menteri.

Katanya, sebagai Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, Azalina seharusnya memberi kenyataan matang dan lebih bertanggungjawab, namun beliau bertindak sebaliknya dan memberi gambaran salah bahawa Perdana Menteri perlu mencampuri urusan legislatif. 

"Taklimat khas Presiden kepada empat peringkat jawatankuasa UMNO seharusnya fokus kepada usaha parti berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menyatukan ahli serta semua jentera parti. Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyeru kepada solidariti dan penyatuan dalam parti. Namun, ucapan Azalina yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, pada awal taklimat telah mewujudkan gambaran yang salah kepada Perdana Menteri. 

"Azalina bukan sahaja seolah-olah menyerang Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, malah meletakkan kesalahan ke atas Perdana Menteri, kononnya beliau telah melakukan kesilapan apabila tidak melantik Peguam Negara yang lebih 'mesra' UMNO.

"Kenyataan itu adalah amat tidak baik untuk imej parti menjelang PRU-15. Desakan terbuka supaya lantikan Peguam Negara baharu yang 'mendengar cakap' Perdana Menteri, bukan sahaja memberi imej hodoh kepada parti pada pandangan masyarakat umum, malah menggambarkan parti mahu 'mengawal' legislatif negara," katanya kepada BH.

Terdahulu, Azalina ketika berucap pada majlis Taklimat Khas Presiden UMNO, petang tadi dilaporkan berkata, Perdana Menteri seharusnya melantik Peguam Negara dalam kalangan 'orang dia' untuk memudahkan segala urusan.

Azalina dilaporkan berkata, pelantikan peguam negara dalah atas nasihat Perdana Menteri dan beliau seharusnya melantik 'orang dia' untuk memudahkan segala urusan.

"Jika kuasa penukaran Peguam Negara di tangan Perdana Menteri, mengapa Perdana Menteri tidak menukar Peguam Negara, malah ia adalah bidang kuasa Perdana Menteri," katanya.

Taklimat Khas Presiden UMNO, petang tadi, antara lain bertujuan menunjukkan solidariti parti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad, yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Naning, menyuarakan rasa kecewanya dengan reaksi berlebihan ucapan pemimpin UMNO, termasuk Azalina, yang secara terbuka menyindir Perdana Menteri, sehingga memberi laluan kepada segelintir perwakilan memperlekehkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Memang kita bersedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Namun, sebagai sebuah parti utama negara, UMNO perlu menunjukkan kematangan dalam menangani proses keadilan serta menjunjung tinggi proses perundangan negara seperti yang digariskan dalam Rukun Negara," katanya.

Beliau turut mempersoalkan maksud dan tujuan kenyataan Azalina, yang menyebut beliau tidak boleh bercakap banyak kerana khuatir ditangkap.

"Ini gambaran tidak baik kepada Perdana Menteri dan parti, seolah-olah Naib Presiden UMNO itu mempunyai motif tersembunyi dalam kes Datuk Seri Najib Razak sehingga beliau diperlekehkan perwakilan secara terbuka," katanya.(BH)


2. Pengampunan jenayah dari perspektif Islam dan Perlembagaan Malaysia 


MENURUT Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkuasa memberi ampun (pardon), tunda hukum (reprieves) dan lega hukum (reprites) berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan dan kesalahan di bawah Mahkamah Tentera.

Manakala Raja atau Yang Di-Pertua Negeri mempunyai kuasa yang sama bagi kesalahan yang berlaku di negeri masing-masing. Misalnya, jika jenayah itu berlaku di Kangar, Perlis, maka kuasa pengampunan itu adalah di bawah YAM Raja Perlis.

Walau pun kuasa ini diletakkan kepada YDPA, Raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri-negeri (YDPN), fasal (4) dan (11) dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Raja-raja dan YDPN serta YDPA melaksanakan kuasa ini melalui nasihat Lembaga Pengampunan Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan.

Maksudnya dalam soal pengampunan ini, YDPA dan Raja-raja serta YDPN perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan.

Siapakah anggota Lembaga Pengampunan? Menurut Perlembagaan, lembaga ini perlu dianggotai oleh Peguam Negara atau wakilnya, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan, dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik. Mesyuarat lembaga ini perlu dipengerusikan sendiri oleh YDPA, Raja-raja atau YDPN.

Apabila kita membincangkan soal kuasa pengampunan ini, adalah wajar untuk kita meneliti lebih mendalam berkenaan kuasa ini. Memandangkan YDPA dan Raja-raja juga adalah ketua bagi agama Islam, maka timbul persoalan sama ada kuasa pengampunan ini mempunyai kaitan dengan ajaran Islam atau tidak.

Jika diteliti prinsip Islam dari sudut hukuman, kita dapati Islam menetapkan keadilan untuk semua tanpa sebarang pilih kasih. Keadilan adalah sesuatu yang wajib ditegakkan tanpa ada pengaruh kecenderungan kasih sayang atau permusuhan. Rasulullah S.A.W sendiri menyebut bahawa, jika anak kesayangannya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, dia juga pasti akan dihukum dengan hukuman potong tangan.

Lebih jauh lagi konsep pengampunan dan kemaafan tertakluk kepada tahap-tahap yang berbeza-beza. Dalam Islam manusia mempunyai had dalam memberikan kemaafan dan pengampunan. 

Dosa yang melibatkan hak Allah seperti meninggalkan solat, atau kesalahan mencuri dan merompak yang terletak di bawah kategori hudud tidak boleh diampunkan oleh manusia. Manusia hanya boleh memaafkan kesalahan orang lain ke atas dirinya sendiri.

Pemerintah dalam Islam, memegang amanah Tuhan, bukannya mewakili kuasa Tuhan sebagaimana yang diamalkan dalam konsep pemerintahan Teokratik pada Zaman Pertengahan di Eropah. Oleh itu, dalam Islam, pemerintah tidak mempunyai kuasa pengampunan bagi mana-mana kesalahan jenayah. Jika ada pertimbangan untuk meringankan hukuman sekalipun, ia perlu dibuat mengikut kaedah yang jelas, telus dan adil.

Konsep pengampunan yang tersurat dalam Perlembagaan kita ini sebenarnya bukan dari tradisi Islam atau Kesultanan Melayu. Andrew Harding misalnya mengaitkan konsep ini dengan amalan ‘royal prerogative of mercy’ atau ‘prerogatif belas kasihan diraja’ yang wujud dalam sistem perundangan Inggeris sejak tahun 1617. 

Dalam kes, Sim Kie Chon lwn. Superintendent of Pudu Prison & Ors [1985] 2 MLJ 385, HB (Malaya) Abdul Hamid menyebut bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa tinggi prerogative of mercy yang bersifat eksekutif tetapi sifatnya itu menjadikannya tidak boleh diganggu atau diubah oleh kajian semula kehakiman. Pendirian yang serupa juga dibuat dalam kes Juraimi Bin Husin lwn. Lembaga Pengampunan, Negeri Pahang & Ors [2001] 3 MLJ 458.

Berdasarkan perbincangan di atas, kita dapat simpulkan bahawa kuasa pengampunan yang ada menurut Perlembagaan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana ia kelak pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Jika hendak digunakan sekali pun ia perlu berasaskan prinsip yang jelas, adil dan telus. 

Perlu ada panduan berkenaan kelayakan pengampunan, misalnya untuk mereka yang telah menjalani hukuman dalam tempoh yang setimpal, dan terbukti telah insaf atas kesalahan yang dilakukan. Yang pasti, kuasa pengampunan ini tidak boleh tunduk kepada kuasa politik. Kita tidak mahu lagi tanggapan bahawa pesalah dari kalangan ahli politik akan berpeluang untuk bebas semata-mata kerana partinya menang dalam pilihan raya mengambil alih pemerintahan. 

PROF. MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pensyarah Kanan Undang-undang dan Polisi 
Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur – HARAKAHDAILY 25/8/2022


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails