Saturday, August 20, 2022

Solat Maghrib di Pasar Malam Cina & Silap pilih..

 


1. MP imamkan solat Maghrib di Pasar Malam Cina

KUALA KRAI: Perniagaan di pasar malam yang terjejas teruk ketika penularan pandemik Covid-19 sebelum ini, sekarang kembali menjadi tumpuan orang ramai.

Peniaga dapat mencari rezeki, manakala penduduk tempatan boleh membeli keperluan harian dan pelbagai produk berhampiran dengan rumah mereka.

Begitu juga Pasar Malam Bandar Kuala Krai meriah semula sekarang selepas operasi perniagaan dibenarkan sejak tahun lepas.

Ahli Parlimen (MP) Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pasar malam itu beroperasi setiap malam Khamis yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai ‘Pasar Malam Cina’.

“Ini kerana kedudukannya di tengah-tengah bandar Kuala Krai yang di kelilingi gudang-gudang perniagaan dan pusat membeli belah.

“Biarpun namanya Pasar Malam Cina, namun hampir kesemua peniaga adalah orang Melayu Islam,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau mengimamkan solat Maghrib di Pasar Malam Bandar Kuala Krai bersama peniaga dan pengunjung.

Menurutnya amalan solat Maghrib berjemaah di pasar malam dikendalikan Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) bagi memberi ruang peniaga dan pengunjung bersolat.

Katanya MDKK menyediakan tempat solat berhampiran lokasi perniagaan mereka bagi memudahkan menunaikan solat Maghrib memandangkan waktunya begitu singkat. – HARAKAHDAILY 18/8/2022

2. Silap pilih berulang lagi tragedi seleweng wang rakyat  


TENTUNYA ramai bimbang apabila anak-anak muda dikatakan semakin menjauhi politik. Ada kebenarannya. Cuba kita tanya anak-anak sendiri. Tentunya ada yang menjawab tidak berminat.

Biarpun mereka dihidangkan isu semasa setiap detik dan saat, namun ada yang seperti tidak hiraukan. Tidak ghairah seperti sebelum ini. Entah mengapa ia boleh berlaku begitu.

Sekarang mereka sudah bergelar seorang pemilih. Apabila berlaku pilihan raya mereka boleh mengundi. Tidak lagi sekadar menyaksi ibu bapa atau abang serta kakak pergi ke tempat pembuangan undi.

Usia 18 tahun bermakna mereka baru lepas menduduki peperiksaan SPM. Malah ada yang mendapat tawaran melanjut pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Pada usia itu mereka masih perlu bimbingan ibu bapa bagi membuat sesuatu keputusan. Tiba-tiba sekarang mereka diberi tanggungjawab begitu besar. Menentukan hala tuju politik negara.

Sejak merdeka sehingga akhir 2021, selepas hampir menghabis pengajian di kampus baru mereka berangan-angan mendaftar sebagai pemilih.

Ketika itu usia mereka melewati 21 tahun. Kematangan sudah ada. Anak muda yang berada di kampus menimba banyak pengalaman. Mereka boleh berdebat isu politik, ekonomi dan apa sahaja dengan rakan-rakan.

Malah boleh mendengar kuliah berkaitan politik dan negara disampaikan pensyarah. Sebelum ini setiap pelajar wajib mengambil subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Sekarang dikenali sebagai Pengajian Malaysia dan Hubungan Etnik.

TITAS dan Pengajian Malaysia wajib diikuti semua pelajar tanpa mengira kursus apa sekali pun. Di situlah pelajar dapat mengenali ilmu mengenai politik dan hal ehwal negara.

Pengalaman di kampus boleh mereka gunakan apabila pergi mengundi. Namun sekarang berbeza, sebelum masuk IPT anak muda sudah didaftar sebagai pemilih.

Dalam usia seperti setahun jagung mereka tidak terdedah dengan ilmu-ilmu politik secara formal. Mungkin agak bernasib baik kalau ibu bapa mereka pendukung kuat mana-mana parti.

Cerita rasuah

Ibu bapa yang aktif parti secara tidak langsung mendedahkan anak-anak mengenai sedikit sebanyak hal ehwal politik. Ayah akan bercerita pemimpin mana yang ditahan kerana rasuah atau salah guna kuasa.

Ibu pula bercerita tentang ustazah yang mengajar di surau tentang hukum halal dan haram bagi memilih pemimpin.

Semua pendedahan itu secara tidak langsung memandu anak-anak untuk memilih calon atau parti mana.

Sekarang anak-anak muda usia 18 tahun memikul tanggungjawab penting. Di bahu mereka terpikul tanggungjawab untuk memilih pemimpin.

Anak-anak muda tidak boleh lagi bertindak sebagai penonton di luar padang. Di kaki mereka bola politik yang perlu dirembat, mencari gol. Jadi tanggungjawab itu tidak kecil.

Persoalannya mampukah Undi18 memikul tugas berat tersebut. Tugas itu bukan sekadar mendapat skor A selepas bertungkus lumus sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Peranan anak muda hari ini memilih pemimpin yang akan mentadbir negara. Kalau silap pilih akan berulang lagi tragedi pemimpin yang dibawa turun naik tangga mahkamah.

Seperti juga isu pemerolehan kapal tempur persisir (LCS) yang gegar seminggu dua ini. Menurut laporan media projek itu dilulus ketika Dr Ahmad Zahid sebagai Menteri Pertahanan pada 2011.

Isu tersebut panas selepas didedah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Kepincangan projek pembinaan kapal pesisir tempur itu bernilai lebih RM9 bilion.

Laporan perolehan LCS setebal 169 muka surat dilapor tidak menunjukkan adanya money trail (rasuah) yang berlaku antara kontraktor dan menteri.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh memberitahu laporan yang dikeluarkan berkaitan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir tidak mewakili mana-mana parti.

“Ia berdasar hasil persetujuan bersama 14 ahli Parlimen. Mereka dari BN, Bersatu, DAP, PAS, PKR, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Amanah dan Parti Warisan (Warisan).

Apakah Undi18 faham isu yang berlaku itu. Sekiranya mereka silap pilih mengulangi apa yang pernah dibuat ibu bapa, tragedi penyelewengan wang rakyat akan terus berlaku. – HARAKAHDAILY 17/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Antara ciri-ciri kepimpinan Islam ialah sanggup memimpin solat di mana saja seperti MP ini, walaupun mengimamkan solat Maghrib di Pasar Malam Cina.

Dan jangan silap pilih pemimpin lagi, sehingga berulang tragedi seleweng wang rakyat seperti yang berlaku sebelum ini.

Ya, hati-hati..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment