Hadi Matar hadir ke mahkamah dengan tangannya digari. - Foto AP
WASHINGTON: Seorang lelaki dari Fairview, New Jersey, Hadi Matar, 24, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan menikam penulis kontroversi Salman Rushdie semalam.
Ia dimaklumkan peguam dilantik mewakili tertuduh, Nathaniel Barone yang menjelaskan perbicaraan awal kes itu dijadual berlangsung pada Jumaat, selain berkata: "Pihaknya ketika ini masih di peringkat awal, selain menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang andaian."
Hadi dilahirkan di California sebelum berpindah ke New Jersey baru-baru ini, lapor NBC New York yang turut menjelaskan tertuduh mempunyai lesen memandu palsu serta ditahan anggota tentera di lokasi kejadian selepas bergelut.
Ketika prosiding, pihak pendakwaan seperti dilaporkan New York Times memaklumkan mahkamah bahawa kes terbabit dirancang dengan Hadi didapati mengembara menaiki bas ke Institusi Chautauqua, 19 kilometer (km) dari pantai Tasik Erie, dan membeli pas untuk menghadiri ceramah Salman.
Pendakwaan berdasarkan laporan New York Times pula berkata, saksi menjelaskan tertuduh tidak bercakap ketika menyerang Salman dengan penulis itu ditikam 10 kali.
Salman, 75, yang mengalami kecederaan serius akibat ditikam ketika di sebuah acara di New York, masih dirawat di hospital, manakala polis berusaha menentukan motif serangan terbabit.
Ketika kejadian, polis berkata, Salman bersedia untuk menyampaikan syarahan mengenai kebebasan artistik di Institusi Chautauqua di barat New York, sebelum Hadi bergegas ke pentas dan menikam penulis kelahiran India yang terkenal dengan novel berjudul 'The Satanic Verses' diterbitkan pada 1988, mendorong Iran mendesak umat Islam membunuhnya.
Ejen kepada Salman, Andrew Wylie, berkata penulis itu ketika ini bergantung kepada ventilator dan belum boleh bercakap, beberapa jam selepas jalani pembedahan, petang kelmarin, selain berkemungkinan buta sebelah mata dan mengalami kerosakan saraf di lengan serta luka di hati.
Wylie bagaimanapun tidak mengulas keadaan terkini Salman setakat semalam.
Kejadian terbabit dikutuk oleh penulis dan ahli politik di seluruh dunia yang menyifatkannya serangan ke atas kebebasan bersuara, selain Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dalam kenyataan semalam, memuji 'cita-cita universal' dan karya Salman.
Kebenaran. Keberanian. Kebingkasan. Keupayaan berkongsi idea tanpa rasa takut. Ini adalah terjemahan bagi masyarakat bebas dan terbuka," katanya.
Pihak berkuasa tempatan atau persekutuan setakat semalam, tidak menawarkan sebarang butiran lanjut mengenai siasatan kes terbabit.
Kelmarin, polis berkata tidak mengetahui motif serangan itu.
Semakan awal penguatkuasaan undang-undang ke atas akaun media sosial Hadi mendapati dia bersimpati dengan pelampau Syiah dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), walaupun tiada pautan jelas ditemui, menurut NBC New York.
IRGC ialah puak berkuasa yang mengawal empayar perniagaan serta pasukan bersenjata dan perisikan elit yang didakwa menjalankan kempen pelampau global oleh Washington. - REUTERS
Hadi Matar mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan menikam Salman Rushdie. - Foto AP
No comments:
Post a Comment