Saturday, August 06, 2022

Video mudarat budaya, 2 model ditahan. Petir di rumah putih.

 

Nang Mwe San (kiri) dan Thinzar Wint Kyaw. - Foto: Twitter/Nang Mwe San, Instagram/Thinzar Wint Kyaw

1. Dua model Myanmar ditahan muat naik video mudarat budaya

YANGON: Dua model terkenal Myanmar ditahan dan berdepan tuduhan 'memudaratkan budaya dan maruah' kerana menyiarkan klip ke dalam talian, termasuk ke platform video intim, OnlyFans, kata junta semalam.

Dalam satu kenyataan, junta berkata, Nang Mwe San didakwa 'mengedarkan gambar dan video lucah berbayar yang boleh... memudaratkan budaya dan maruah Myanmar'.

Katanya, Thinzar Wint Kyaw, seorang lagi model dan pelakon terkenal dengan lebih 1.5 juta pengikut Instagram, didakwa menyiarkan video di laman pencipta kandungan, Exantria.

Menurut kenyataan itu, model berkenaan berbuat demikian 'tanpa kesopanan yang sepatutnya dijaga wanita Myanmar.Mereka akan berdepan pertuduhan di bawah undang-undang transaksi elektronik, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun.

AFP tidak dapat mengesahkan kandungan video yang didakwa jelas itu.

Sejak merampas kuasa tahun lalu, junta berulang kali mendakwa budaya tradisional di negara penganut beragama Buddha itu diserang semasa pemerintahan demokrasi, Aung San Suu Kyi.

Kenyataan itu menambah, mereka yang memuat naik ke laman web sama dan 'memudaratkan keaiban dan kesopanan wanita Myanmar akan diketahui dan tindakan berkesan akan diambil terhadap mereka'.

Mwe San, seorang doktor terlatih, dibatalkan lesen perubatannya oleh Majlis Perubatan Myanmar pada 2019 selepas mendakwa pakaiannya dalam siaran media sosial bertentangan dengan 'budaya dan tradisi Myanmar'.

Wint Kyaw ditahan seketika oleh tentera bulan lalu selepas mengembara ke kawasan yang dikuasai pemberontak etnik.

Kedua-duanya tidak aktif di Instagram sejak beberapa minggu lalu. - AFP


2. 3 maut akibat panahan petir berhampiran Rumah Putih 

Kilat menyambar sebatang pokok di Dataran Lafayette, berhampiran Rumah Putih. - Foto Reuters

WASHINGTON: Tiga terbunuh termasuk pasangan warga emas yang menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-56, selepas dipanah petir di sebuah taman berhampiran Rumah Putih.

Petir melanda Dataran Lafayette, sebuah taman kecil di seberang jalan dari Rumah Putih, sejurus sebelum jam 7 malam (waktu tempatan) Khamis lalu menyebabkan dua lelaki dan dua wanita parah, menurut kenyataan dari Jabatan Bomba dan Kecemasan Washington.

Semua mangsa dibawa ke hospital tempatan tetapi pada pagi Jumaat Polis Metropolitan mengesahkan dua daripada mereka, Donna Mueller, 75, dan James Mueller, 76, dari Janesville di Wisconsin , meninggal dunia.

Pasangan itu adalah pasangan kekasih sekolah menengah dan berada di ibu negara untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka, kata anak saudara mereka Michelle McNett kepada Milwaukee Journal Sentinel.

Semalam, mangsa ketiga, seorang lelaki berusia 29 tahun turut meninggal dunia akibat kecederaannya, kata polis.

Mangsa yang lain masih dalam keadaan kritikal.

Seorang jurucakap Rumah Putih berkata, pentadbiran Joe Biden 'sedih dengan kehilangan nyawa yang tragis'.

"Kami mendoakan mereka yang masih berjuang untuk hidup mereka," tambah Setiausaha Akhbar Karine Jean-Pierre dalam satu kenyataan.

Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat dan polis taman bergegas membantu keempat-empat mereka selepas menyaksikan kejadian itu, kata jurucakap jabatan bomba dan perkhidmatan kecemasan Vito Maggiolo dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial.

Mangsa dipercayai mencari perlindungan daripada ribut di bawah salah satu pokok taman itu.

"Pokok bukan tempat yang selamat," kata Maggiolo kepada Washington Post. "Sesiapa sahaja yang pergi mencari perlindungan di bawah pokok, itu adalah tempat yang sangat berbahaya," katanya. - AFP

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment