Saturday, September 03, 2022

3,000 hufaz isi erti kemerdekaan.. & surah al-Isra

 


1.  Kelantan lahir 3,000 hufaz isi erti kemerdekaan

KOTA BHARU: Anak-anak muda sewajarnya memahami erti kemerdekaan sebenar kerana ia bukan hanya membebaskan negara dari belenggu penjajahan.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, pembebasan diri daripada perkara yang buruk kepada melakukan perkara lebih baik perlu dimanfaat bagi mengisi erti kemerdekaan negara.

Katanya kerajaan negeri memanfaatkan peluang kemerdekaan dengan mengajak anak-anak mendampingi al Quran.

“Kita mempunyai lebih 3,000 guru al Quran, golongan hafiz dan hafizah sama ada dilahirkan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) atau Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

“Kita berusaha supaya mereka mendampingi al Quran kerana di dalamnya terdapat pelbagai khazanah ilmu yang belum diterokai dan sesuai sehingga hari kiamat,” katanya ketika merasmikan Malam Sejahtera Merdeka 2022 anjuran Urusetia Belia, Sukan dan NGO di Dataran Warisan malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu anggota Exco kerajaan negeri, Wan Roslan Wan Hamat. Pada program tersebut turut diadakan forum khas menampilkan Da’i Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus.

Menteri Besar juga berkata, zaman langit terbuka dengan berbagai penampilan media sosial dibimbangi anak muda akan terus leka.

Menurutnya, bagi mengelak anak muda leka dengan dunia tersebut program keilmuan perlu diadakan dari semasa ke semasa agar anak muda dapat mengisi ruang kemerdekaan dengan aktiviti lebih bermanfaat. – HARAKAHDAILY 31/8/2022


2. Iktibar agung surah al-Isra’ (11) 


DALAM perbincangan yang lalu, telah dinyatakan kepada kita mengenai seluruh makhluk yang bertasbih memuji-muji Allah S.W.T, cuma kita sahaja yang tidak ketahui dan tidak mendengarnya. 

Intipati lain ialah Nabi Muhammad S.A.W telah mengajarkan kita supaya membaca Tasbih, Tahmid dan Takbir sebanyak tiga puluh tiga kali dan Tahlil sebanyak sekali selepas solat [1]. 

Rasulullah S.A.W. juga bersabda yang bermaksud:  “Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah Takbir (Allahu Akbar) 34 kali, Tasbih (Subhanallah) 33 kali dan Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” [2]

Kisahnya pada suatu hari, Sayyidatina Fatimah R.A ingin memohon pembantu rumah akibat kepenatan mengurus kerja-kerja rumah sendiri contohnya mengisar gandum, mengemas rumah dan sebagainya. Rasulullah S.A.W bertanya kepadanya sama ada dia ingin pembantu rumah atau satu amalan yang akan memulihkan segala keletihannya di mana Allah S.W.T akan memberikan kekuatan untuk melaksanakan tugas setiap hari. Lalu, Sayyidatina Fatimah yang merupakan seorang yang bijaksana telah memilih amalan. Maka diajarkanlah amalan tersebut:

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآَنِ أَوْ تَمْلَأُ مَا بَيْنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالصَّلَاةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا

“Dari Abu Malik al-Asy’ari dia berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda: “Suci adalah sebahagian iman, Alhamdulillah memenuhi timbangan, Subhanallah dan Alhamdulillah keduanya memenuhi, atau salah satunya memenuhi apa yang ada antara langit dan bumi, solat adalah cahaya, sedekah adalah petunjuk, kesabaran adalah sinar, dan al-Quran adalah hujah untuk amal kebaikanmu dan hujah atas amal keburukanmu. Setiap manusia adalah berusaha, maka ada orang yang menjual dirinya sehingga dimerdekakannya atau dibinasakannya””  [3].

Kita juga boleh mengamalkannya sebelum tidur iaitu dengan bertasbih sebanyak tiga puluh tiga kali, bertahmid sebanyak tiga puluh tiga kali dan bertakbir sebanyak tiga puluh empat kali [4]. Amalan ini melebihi seluruh isi langit dan bumi. Insya-Allah… Allah S.W.T akan memberikan kebaikan yang banyak; selain daripada memperoleh pahala, kita juga akan memperolehi apa-apa yang kita hajati di dunia.

Antara sebab Nabi Yunus A.S terselamat daripada ikan nun adalah keberkatan daripada tasbihnya. Apabila Nabi Yunus memberitahu kaumnya bahawa seandainya mereka tidak beriman dalam tempoh tiga hari, azab akan diturunkan. Pada hari pertama, mereka sudah berasa tidak seperti kebiasaannya. Nabi Yunus telah lari dan menyelamatkan diri dari kampungnya kerana Baginda berasa bimbang akan terlibat sekali dalam azab yang bakal diturunkan. 

Pada hari ketiga, kaumnya berasa hairan, tubuh mereka bertukar warna dan muka mereka juga berubah. Lalu, mereka teringat akan amaran yang pernah diberitahu oleh Nabi Yunus sebelum ini. Akhirnya, mereka sama-sama mencari Nabi Yunus namun tidak menemuinya kerana Baginda sudah melarikan diri dari kampung. Mereka menangis dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T. Lantas, Allah menyelamatkan mereka daripada azab. Satu-satunya umat yang terselamat daripada azab ialah umat Nabi Yunus.

Ia adalah ibarat hukuman Allah S.W.T terhadap Nabi Yunus kerana Baginda telah keluar awal meninggalkan kaumnya. Baginda melarikan diri menaiki kapal. Ditakdirkan Allah kapal itu dilanda gelombang ombak yang besar dan hampir tenggelam. Solusi yang diambil oleh nakhoda kapal adalah dengan mengarahkan penumpang supaya membuang semua barang yang berat namun ia tetap tidak berhasil.

Kemudian, nakhoda memutuskan agar penumpang juga harus dibuang. Undian dibuat lalu hasil menunjukkan bahawa Nabi Yunus yang perlu dibuang daripada kapal tersebut. Mereka tidak tergamak melakukannya. Lalu, undian dibuat berulang-ulang kali sehingga kali ketiga, nama Nabi Yunus juga yang muncul. Ini adalah takdir Allah S.W.T. Mereka terpaksa membuang Nabi Yunus ke dalam laut dan Baginda menerimanya.

Apabila Nabi Yunus dicampak ke dalam laut, gelombang besar itu berhenti dengan tiba-tiba. Baginda didatangi lalu ditelan oleh ikan nun. Walaupun Baginda berada di dalam perut ikan namun Baginda tidak mati. Baginda kemudiannya sedar bahawa ia merupakan hukuman Allah S.W.T kerana meninggalkan kaumnya sebelum tamat tempoh.

Baginda sering kali berzikir; zikirnya itu dipanggil sebagai Tasbih Yunus: 

عَنْ سَعْدٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ ‏.‏ فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلاَّ اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ ‏”‏

“Daripada Sa’ad R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: Doa Nabi Yunus ketika dia berdoa di dalam perut ikan paus itu ialah: Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku daripada orang yang zalim. Sesungguhnya tidaklah seseorang berdoa dengan doa ini pada apa-apa keadaan melainkan Allah akan menjawab doanya. (5)

Akhirnya, Allah S.W.T. membebaskannya namun ia tidaklah berlaku dalam tempoh yang singkat. Ikan itu barangkali berasa ‘tidak senang duduk’. Kesannya, ia memuntahkan Nabi Yunus ke tepi pantai. Baginda yang terdampar di pantai tidak boleh bangun kerana terlalu keletihan dan berhari-hari tanpa makan dan minum. Baginda hanya berzikir dan zikirnya itu dalam tiga kegelapan iaitu kegelapan perut ikan, kegelapan laut dan kegelapan malam. Kegelapan perut ikan adalah kerana tiadanya cahaya lampu. Kegelapan malam pula disebabkan oleh keberadaan di dalam air pada waktu malam. Kegelapan laut pula disebabkan oleh kegelapan di paras bawah laut. 

Oleh itu, orang yang menyelam di bawah laut harus membawa lampu. ada tempat-tempat dan kedalaman yang tertentu di dalam laut yang tidak mampu diselam oleh manusia. Akibat tekanan yang terlalu kuat boleh menyebabkan tubuh manusia hatta kenderaan sekalipun menjadi hancur dan mati. Ulamak berkata bahawa sekiranya Nabi Yunus tidak bertasbih dan mengakui kesilapannya, sudah tentu Baginda akan kekal di dalam laut sampai bila-bila dan mati:

نَّحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَسْتَمِعُونَ بِهِۦٓ إِذْ يَسْتَمِعُونَ إِلَيْكَ وَإِذْ هُمْ نَجْوَىٰٓ إِذْ يَقُولُ ٱلظَّٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلًا مَّسْحُورًا

“Kami lebih mengetahui akan tujuan mereka mendengar al-Quran semasa mereka mendengar bacaanmu (wahai Muhammad), dan semasa mereka berbisik-bisik iaitu ketika orang-orang yang zalim itu berkata (sesama sendiri): “Kamu tidak menurut melainkan seorang yang kena sihir”.
(al-Isra’: 47)

Beberapa orang pemimpin Quraish termasuk Abu Sufyan sentiasa mendengar bacaan al-Quran Nabi Muhammad S.A.W pada waktu malam secara senyap-senyap. Waktu sepertiga malam adalah waktu Rasulullah S.A.W menunaikan solat Tahajud dan membaca al-Quran. Bacaan Nabi S.A.W sungguh indah, suaranya amat merdu serta ayat al-Quran sendiri juga amat indah. Mereka tidak beriman namun terpesona dengannya.

Sayyidina Umar R.A pun memeluk Islam setelah mendengar al-Quran. Apabila beliau mengetahui bahawa adiknya memeluk Islam, beliau mencari dan memukul adiknya sehingga berdarah. Beliau kemudiannya sedar akan adiknya yang sudah berdarah lalu beliau ingin melihat ayat-ayat yang ditulis oleh adiknya. Adiknya tidak membenarkan beliau menyentuh al-Quran kerana abangnya adalah najis (tanggapan kepada kaum Musyrikin dari segi hukum) atau tidak suci. 

Adiknya meminta agar beliau mandi terlebih dahulu. Lalu setelah beliau mandi, beliau datang semula dan memegang al-Quran. Pada ketika itu, hanya terdapat sebahagian sahaja tulisan al-Quran dan bukan ayat yang lengkap. Ayat tersebut ialah ayat daripada Surah Toha. Beliau membacanya lalu hatinya menjadi lembut. Akhirnya, beliau memeluk agama Islam [6]. 

Ayat ini menjadi pelembut hati sendiri dan boleh juga melembutkan hati orang lain. Walau bagaimanapun, ia atas keyakinan kita. Jika kita tidak yakin, maka ia tidak akan berhasil walaupun kita membaca senaskhah al-Quran. Ada tok bomoh yang apabila membacanya, ia berkesan dan sebaliknya. Kata Ibn Qayyim rahimahullah, al-Quran memang menjadi penawar namun sama ada berkesan ataupun tidak, ia bergantung kepada keyakinan pembaca. Pembaca mestilah mempunyai keyakinan yang tinggi, jiwa yang bersih dan sifat tawakal yang tinggi [7]. 

Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A:

أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانُوا فى سَفَرٍ فَمَرُّوا بِحَىٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ. فَقَالُوا لَهُمْ هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَىِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ نَعَمْ فَأَتَاهُ فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَبَرَأَ الرَّجُلُ فَأُعْطِىَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا. وَقَالَ حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم-. فَأَتَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ. فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَاللَّهِ مَا رَقَيْتُ إِلاَّ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ. فَتَبَسَّمَ وَقَالَ « وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ». ثُمَّ قَالَ : خُذُوا مِنْهُمْ وَاضْرِبُوا لِى بِسَهْمٍ مَعَكُمْ

“Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan Sahabat Rasulullah S.A.W sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: “Adakah ada antara kamu yang boleh menjampi? Ini kerana penghulu kampung kami terkena sengat.” Salah seorang dari para Sahabat menjawab: “Ya, ada.” Lalu, beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka Sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: “Sehingga aku menyampaikannya kepada Nabi S.A.W,” beliau pun pulang menemui Nabi S.A.W dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: “Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah.” “Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi?” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Ambillah pemberian daripada mereka dan letakkan untuk aku satu bahagian bersama kamu.” [8] 

Oleh itu, ayat-ayat al-Quran boleh digunakan untuk berubat atau ia disebut sebagai ruqyah. Walaupun ada khilaf ulamak yang mengatakan ia tidak boleh, namun pendapat yang masyhur mengatakan bahawa ia boleh diamalkan berdasarkan hadis di atas. 

Terdapat juga Hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidatina ‘Aisyah R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى اللهُ عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ، جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا: ﴿ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَد ﴾ وَ﴿ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَق ﴾ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاس  ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ، وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

“Sesungguhnya Nabi S.A.W jika Baginda berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca: Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu Birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”[9]

Dan semasa Nabi S.A.W disihir, Allah S.W.T menghantar malaikat untuk mengubatinya. Sejak daripada itu, Rasulullah S.A.W. tidak pernah meninggalkan bacaan Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Nas sebanyak tiga kali masing-masing pada waktu pagi dan sebelum waktu tidur [10]. Kata Sayyidatina ‘Aisyah R.A, apabila Nabi S.A.W tidak sihat, Baginda akan membaca ketiga-tiga surah tersebut dan meniupnya di tangan serta menyapunya di bahagian tubuh yang sakit [11]. 

Apabila kita jatuh sakit, bukan dilarang untuk kita pergi ke hospital, cuma ini adalah antara ikhtiar untuk sembuh. Jangan pula kita bergaduh dengan doktor jika tidak sembuh kerana masing-masing telah diberikan kelebihan oleh Allah S.W.T al-Quran dikatakan sebagai penawar dan menjadi rahmat kepada orang yang beriman. 

Ada enam ayat dalam al-Quran iaitu ayat syifa’ atau ayat penyembuh iaitu seperti berikut: 

1. Surah at-Taubah ayat ke-14.
2. Surah Yunus ayat ke-57.
3. Surah an-Nahl ayat ke-69.
4. Surah al-Isra’ ayat ke-82.
5. Surah asy-Syu’ara’ ayat ke-80.
6. Surah Fussilat ayat ke-44.

Anak seorang ulamak yang bernama Imam al-Qushayri jatuh sakit semasa beliau berada di Makkah. Sudah banyak kali berubat namun masih belum sembuh dan anaknya dijangka akan mati. Pada suatu hari, beliau terlena dan bermimpi berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah S.A.W bertanya kepadanya akan sebab beliau tidak menggunakan ayat syifa’ untuk mengubati anaknya [12].

Lalu, beliau tersedar daripada mimpinya dan terfikir apa itu ayat syifa’. Kemudian, beliau mencari dan menjumpai enam ayat dalam al-Quran. Ayat-ayat yang dijumpainya itu digunakan untuk mengubati anaknya. Beliau menulis ayat-ayat tersebut di atas bekas putih dengan menggunakan Za’faran (Saffron) sebagai dakwat. Lalu, air dimasukkan ke dalamnya dan bercampurlah dakwat dengan air itu. Dengan izin Allah S.W.T, anaknya kembali sembuh. Maka, daripada kita menggunakan ayat-ayat jampi yang pelik, bacalah ayat syifa’ ini untuk berubat.

Kembali kepada kisah pemimpin Quraisy yang mendengar bacaan al-Quran Nabi Muhammad S.A.W. Apabila waktu pagi menjelang, mereka bertemu dengan Sahabat-sahabat yang lain. Mereka tidak mengakui akan tindakan tersebut dan memohon agar perkara itu dirahsiakan. Justeru, hati ini memang sifatnya menginginkan perkara yang baik walau orang itu jahat setara mana sekalipun. Orang jahat yang suka membunuh orang lain misalnya, dia tetap menyayangi ahli keluarga dan sahabatnya. Begitu juga dengan orang bukan-Islam, walaupun secara zahirnya dia menolak Islam, namun di dalam hatinya dia memahami bacaan Baginda S.A.W. Ini adalah kehebatan al-Quran dan kehebatan Nabi S.A.W:

ٱنظُرْ كَيْفَ ضَرَبُوا۟ لَكَ ٱلْأَمْثَالَ فَضَلُّوا۟ فَلَا يَسْتَطِيعُونَ سَبِيلًا

“Lihatlah (wahai Muhammad) bagaimana mereka menyifatkan engkau dengan yang bukan-bukan, maka dengan sebab itu mereka sesat, sehingga mereka tidak dapat mencari jalan kebenaran.”  (al-Isra’: 48)

Mereka menuduh bahawa Nabi Muhammad S.A.W merupakan ahli sihir kerana orang lain mendengar katanya. Mereka juga menuduh Nabi S.A.W sebagai tukang tenun nasib dan boleh meramal. Ada yang menyebut Nabi S.A.W sebagai penyair kerana keelokan percakapannya, bahasanya ibarat membaca buku dan susunan ayatnya memang sungguh hebat. Ada juga yang menuduh Nabi S.A.W sebagai orang gila. Ia adalah gambaran yang diberikan terhadap Baginda S.A.W agar orang tidak minat dengannya dan tidak menerima Islam. Inilah imej-imej negatif yang ditunjukkan oleh mereka. 

Mereka tidak mempercayai hari kebangkitan. Dalam Islam, Nabi S.A.W menyebut mati adalah bukan suatu kesudahan. Bahkan mati adalah permulaan kepada satu perjalanan yang abadi kerana hidup di dunia hanya sementara. Orang Melayu pernah berkata bahawa:

Halia itu tanam-tanaman, 
Ke Barat juga akhir condongnya, 
Dunia itu hanya pinjaman, 
Akhirat itu akhir sudahnya. 

Maknanya hidup hanyalah sementara; yang hidup akan mati dan yang kekal adalah akhirat. Di akhirat, kita sudah tidak mati. Jika kita baik, kita akan kekal dalam nikmat. Namun jika kita jahat, kita akan kekal dalam azab buat selama-lamanya. Kita akan berjumpa dengan ahli keluarga kita tetapi itu pun atas nasib sama ada boleh duduk bersama-sama atau tidak. 

Apa-apa yang mati akan reput dan bertukar sifat. Plankton yang asalnya mati, tenggelam dan ditekan oleh proses alam, akhirnya menjadi minyak. Ia mengalami proses jutaan tahun yang telah diatur oleh Allah S.W.T. Jika minyak muncul pada zaman Nabi, apa yang masyarakat jahiliyyah hendak buat kerana teknologi belum muncul lagi. Namun pada zaman kini, mesin yang dicipta memerlukan minyak, maka Allah S.W.T mengeluarkannya. Inilah kebijaksanaan perancangan-Nya:

وَقَالُوٓا۟ أَءِذَا كُنَّا عِظَٰمًا وَرُفَٰتًا أَءِنَّا لَمَبْعُوثُونَ خَلْقًا جَدِيدًا

“Dan mereka berkata: “Adakah sesudah kita menjadi tulang dan benda yang reput, adakah kita akan dibangkitkan semula dengan kejadian yang baharu?”  (al-Isra’: 49)

قُلْ كُونُوا۟ حِجَارَةً أَوْ حَدِيدًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jadilah kamu batu atau besi””(al-Isra’: 50)

Salah seorang kafir Quraisy yang bernama Umaiyyah bin Khalaf pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W. Beliau membawa tulang dan meramasnya di hadapan Baginda S.A.W. Beliau bertanya macam mana manusia akan hidup setelah mati sedangkan tulang akhirnya akan reput. Beliau menggunakan logik akal. 

Allah S.W.T juga menjawab pertanyannya itu dengan akal iaitu yang boleh menghidupkan kembali adalah yang mula-mula melakukannya. Sebab kita asalnya tiada, kemudian ada. Allah S.W.T boleh melakukan sesuatu daripada tiada, inikan pula yang sudah ada. Bukankah yang lebih mudah untuk dilakukan adalah sesuatu yang sudah ada daripada yang belum ada? 

أَوْ خَلْقًا مِّمَّا يَكْبُرُ فِى صُدُورِكُمْ فَسَيَقُولُونَ مَن يُعِيدُنَا قُلِ ٱلَّذِى فَطَرَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ فَسَيُنْغِضُونَ إِلَيْكَ رُءُوسَهُمْ وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هُوَ قُلْ عَسَىٰٓ أَن يَكُونَ قَرِيبًا

“Atau lain-lain makhluk yang terlintas di hati kamu sukar hidupnya, (maka Allah berkuasa menghidupkannya)!” Mereka pula akan bertanya: “Siapakah yang akan mengembalikan kita hidup semula?” Katakanlah: “Ialah Allah yang menjadikan kamu pada mulanya!” Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil bertanya secara mengejek: Bila berlakunya?” Katakanlah: “Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!”” (al-Isra’: 51)

Mereka memerli pula dengan soalan; “Bilakah ia (sesuatu yang belum ada) berlaku?” Nabi Muhammad S.A.W. menjawab yang bermaksud; “Sudah tidak lama.” Rasulullah S.A.W. sendiri tidak boleh menjawab tarikh hari kiamat kerana Baginda sendiri tidak mengetahuinya. Ilmu mengenai hari kiamat hanyalah diketahui oleh Allah S.W.T. Cuma Nabi S.A.W. boleh memberikan tanda-tanda hari kiamat. 

Antara tanda-tanda kecil adalah bangunan-bangunan besar yang dibina, derhaka kepada mak dan ayah dan sebagainya. Ramai yang menghantar mak dan ayah mereka ke rumah jagaan orang tua. Betullah ada pepatah yang mengatakan bahawa: “Mak dan ayah boleh memelihara sepuluh orang anak, tetapi seorang anak belum tentu mampu menjaga seorang mak atau seorang ayah.” Anak-anak sudah semakin tidak taat dan kasih kepada mak dan ayah mereka. 

Tanda kiamat yang lainnya adalah bonggol unta. Ramai mana wanita pada hari ini yang menutup tubuh mereka tetapi tidak ramai sebenarnya yang menutupi aurat. Tanda akhir zaman seperti yang telah disebut oleh Nabi S.A.W adalah berpakaian tetapi bertelanjang. 

Hari kiamat boleh berlaku pada bila-bila masa atas izin Allah S.W.T. Maka, marilah sama-sama kita pakat beringat. Tanda akhir kiamat adalah di saat matahari terbit di arah Barat. Waktu itu taubat sudah tidak diterima. Waktu lainnya adalah di saat nyawa di kerongkong. Pesan seorang guru, janganlah kita amal ‘taubat sambal belacan’. Berhenti makan sambal apabila terasa kepedasannya, namun keesokannya kita masih makan. Jadi, bertaubatlah dengan Taubat Nasuha:

يَوْمَ يَدْعُوكُمْ فَتَسْتَجِيبُونَ بِحَمْدِهِۦ وَتَظُنُّونَ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا

“(Ingatlah akan) hari Ia menyeru kamu lalu kamu menyahut sambil memuji kekuasaanNya, dan kamu menyangka, bahawa kamu tinggal (dalam kubur) hanya sebentar.” (al-Isra’: 52)

Di saat sangkakala pertama ditiup, semua akan mati kecuali malaikat Israfil. Semua akan dibangkitkan setelah ditiupnya sangkakala kedua. Pada ketika itu, semua akan dihambat ke padang Mahsyar. Ada yang berasa seolah-olah baru sahaja tidur di dalam kubur setelah dibangkitkan:

وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُوا۟ ٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ كَانَ لِلْإِنسَٰنِ عَدُوًّا مُّبِينًا

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”  (al-Isra’: 53)

Serulah ke jalan Allah S.W.T. dengan cara yang baik. Jangan buat permusuhan yang tidak perlu atau bercakap kasar yang tidak tepat pada tempatnya. Jika ada orang berhujah atau berbahas, kita berhujah atau berbahaslah dengan baik kecuali dalam situasi yang terdesak misalnya peperangan. Jika musuh tetap ingin berperang, maka kita berperanglah. Namun Islam telah ajarkan kepada kita untuk memulakannya dengan cara yang baik terlebih dahulu. 

Jika kita memaksa orang bukan-Islam untuk memeluk Islam, sudah pasti mereka akan berasa takut. Ada yang menawarkan wang ringgit supaya orang memeluk Islam. Kita seharusnya memberikan kesedaran kepada mereka, barulah mereka memeluk Islam dengan ikhlas. Jadi, jangan pula kita menutup pintu kepada orang bukan Islam untuk memeluk Islam. 

Ada yang memeluk Islam kerana perbuatan baik. Oleh sebab itu, zakat diberikan kepada golongan Muallaf. Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, Muallaf ialah orang kafir yang cenderung atau minat dengan Islam. Namun pada zaman Sayyidina Umar R.A, beliau berhenti dalam memberikan zakat kepada Muallaf  kerana pada waktu itu Islam sudah pun kuat. Salah sebenarnya tanggapan kita dari segi hukum sekiranya kita masih menganggap bahawa sesiapa sahaja yang sudah lama memeluk Islam, tetapi mereka masih dipanggil sebagai Muallaf

Berusahalah agar orang dapat memeluk Islam dengan pelbagai cara. Ada yang berkawan dengan orang Islam, lalu memeluk Islam akibat tertarik dengan akhlak orang Islam. Ada yang tertarik dengan Islam dekkerana bacaan al-Quran. 

Ada satu kisah di mana seorang adik telah dihadiahkan tafsir al-Quran oleh abangnya. Dia menyimpan dan tidak membukanya. Pada suatu hari, dia pergi ke pantai. Tiba-tiba, dia dihanyutkan ke tengah-tengah pantai. Dia mula terfikir siapalah yang dapat membantunya, sedangkan tiada seorang pun di situ yang perasan. Kemudian, barulah dia sedar bahawa manusia ini ada kelemahannya. 

Dengan izin Allah, dia ditolak oleh ombak ke tepi pantai. Dia pulang ke rumah dan teringat akan hadiah abangnya. Dia membelek dan lama-kelamaan mula memahami isi kandungannya. Lantas dia mencari Tok Imam dan memeluk Islam. Namanya bertukar kepada Yusuf Islam. Dia membuka sekolah rendah agama di England. Orang bukan-Islam pun sudi menghantar anaknya ke sana. Sebab melihat kanak-kanak di sana semuanya baik, menghormati ibu dan ayah, tidak terlibat dengan perkara-perkara yang aneh.

Contoh lain di mana Mike Tyson memeluk Islam ketika dia berada di dalam penjara. Dia seorang samseng dan asyik bergaduh dengan orang lain. Di penjara, dia terjumpa dengan seorang pendakwah yang berdakwah kepada banduan di dalam penjara. Dia terikut sama lalu memeluk Islam. Oleh itu, setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Biarlah kita boleh menjadi pintu agar agama dapat tersebar dengan luas. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 29 Ogos 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

Rujukan:

[1] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 597)
[2] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 4906).
[3] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 328).
[4] Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi (no. Hadis 3413).
[5] Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi (no. Hadis 3505).
[6] Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad dalam ‘at-Tabaqaat al-Kubra’ (3/267).
[7] Rujuk kitab ‘Zad al-Ma’ad’ oleh Ibnu al-Qayyim.
[8] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 5863).
[9] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 5017).
[10] Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi (no. Hadis 3575).
[11] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 4439).
[12] Kisah ini diceritakan oleh Imam Al-Alusi dalam kitab tafsinya ‘Ruh al-Ma’ani’ ketika mentafsirkan Surah Al-Isra’ ayat ke-82.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails