Friday, September 02, 2022

Aneh! 1 ekor 'dhob' @ RM5,000-RM10,000.. & Gadis berteman ular-buaya.

 

Azhar menunjukkan dhab miliknya berusia lebih 20 tahun. - Foto NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

1. 'RM5,000 hingga RM10,000 masih bukan harga seekor dhab'

KUALA TERENGGANU: "Jual RM5,000 seekor pun masih tidak berbaloi kerana bukan senang menjaga dan mendapatkan haiwan eksotik, dhab atau biawak padang pasir dari Mesir itu," kata Azhar Mohamad Shafawi.

Azhar atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Azhar, 50, berkata dia tidak bercadang untuk menjual lebih 50 ekor dhab yang diternaknya sejak tahun 1994.

"Memang ramai yang bertanya dan berhasrat membelinya untuk dijadikan haiwan peliharaan seperti iguana atau reptilia lain, tetapi ia bukan untuk dijual.

"Saya bukan sayang untuk menjualnya, tetapi dhab yang diternak ini hanya cukup untuk kegunaan sendiri, malah ia bukan senang untuk dipelihara.

"Maklumlah, saya menggunakan dhab sebagai ramuan utama dalam ubat-ubatan tradisional yang dihasilkan," katanya.

Beliau berkata, dhab ialah sejenis reptilia yang sukar diternak berbanding haiwan peliharaan lain dan peratusan untuk hidup sebelum berusia setahun juga sangat rendah.

"Sebelum dhab berusia setahun, ia perlu diberikan perhatian khas bagi memastikan ia hidup termasuk menempatkan dhab di tempat khas dan memberinya makanan berkhasiat berasaskan sayur-sayuran.

"Memang dhab menghasilkan telur yang banyak apabila membiak, tetapi peratusan anak yang menetas untuk hidup sangat rendah oleh itu bekalan dhab sentiasa tidak mencukupi.

"Cuma apabila berusia setahun ke atas, antibodi dhab akan meningkat seterusnya sukar untuk mati," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.

Azhar berkata, tempoh matang dhab adalah selama tiga hingga empat tahun dan jangka hayatnya boleh mencecah usia puluhan tahun.

"Saya memiliki dhab yang berusia lebih 20 tahun dan ia adalah induk utama yang sudah menghasilkan banyak anak dhab yang baharu.

"Dhab berusia 20 tahun itu jika ditawar dengan harga RM10,000 sekalipun saya masih enggan menjualnya," katanya. (BH)


2. Gadis 'berteman' dengan 100 ekor ular berbisa, 30 buaya ganas 

Athira menunjukkan ular yang terdapat di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (MBRS) di Ayer Keroh. - NSTP/Nazri Abu Bakar

WALAUPUN berat badannya hanya 35 kilogram (kg), gadis pencinta ular, Athira Md Wahi tidak berdepan masalah mengangkat ular sawa Burma yang sama berat dengannya, selain menjaga kesihatan lebih 100 ekor ular berbisa daripada lima spesies berbeza dan juga buaya setiap hari.

Selain sentiasa setia memberi makan spesies lain ular seperti ular sawa batik seberat 150 kg, gadis berusia 25 tahun ini menganggap ia sebagai rutin wajib sebagai Pengurus Bahagian Ular, Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (MBRS), di Ayer Keroh, Melaka yang setiap hari ditemani spesies ular di pusat berkenaan.

Kekuatan fizikal dan mentalnya jelas tidak terjejas walaupun dalam kalangan masyarakat termasuk lelaki yang geli, seram dan takut mendekati reptilia terbabit.

Lebih menarik setiap pagi 'ratu reptilia' ini akan memasuki kandang ular berkenaan bagi membersihkan persekitaran dan mengurus lebih 100 ekor ular berbagai jenis berkenaan.

"Setiap hari saya perlu memeriksa jumlah ular sama ada mencukupi atau sebaliknya. Jadi tugasan memasuki kandang ular berbisa atau tidak berbisa ini dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Athira mendalami kehidupan dunia haiwan reptilia, jadi rutin setiap hari tanpa rasa gentar. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Athira menjaga kesihatan lebih 100 ekor ular berbisa daripada lima spesies berbeza setiap hari. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Masuk kandang ular terbesar di duniaa

Beliau kebiasaannya akan memasuki kandang ular bersama seorang lagi rakan sekerja bagi memastikan keselamatan mereka terjaga.

"Di sini ada pelbagai spesies ular, jadi kita juga perlu masuk ke kandang ular terbesar di dunia, iaitu Anaconda," katanya.

Bagi memudahkan komunikasi dan pengiraan ular beberapa haiwan berkenaan diberi nama antaranya Rambo, Bella, Snow, Izo dan Fahmi kerana kebanyakannya ular terbabit turut terbabit dalam persembahan.

"Saya juga ditugaskan untuk memberi makan ular berkenaan mengikut jadual. Antara makanan diberi kepada haiwan reptilia ini yang selalunya ditetapkan ialah memberi makan ayam kampung dan tikus. Kemudian saya akan merekodkan pemakanannya untuk memastikan ia mencukupi serta tiada sebarang masalah kesihatan," katanya.

Athira dalam persembahan ular

Tugasan lain adalah bertanggungjawab untuk mengadakan persembahan 'Hissing Story' yang menceritakan kesan dan akibat daripada tindakan pembalakan tidak terkawal kepada ular di dalam kandang ditemani ular-ular.

Malah beliau juga terbabit dengan persembahan 'New Skin New Me' yang mengisahkan mengapa ular bersalin kulit, kepentingan ular salin kulit serta 'Myth Buster' iaitu mitos berkenaan ular dalam masyarakat.

"Biasa saya akan pegang, meletakkan ular di atas bahu, bermain dengan ular, memberi makan ketika persembahan itu berlangsung," katanya.

Anak ketiga daripada sembilan beradik ini sebenarnya tidak pernah menduga bekerja dalam karier berkenaan kerana beliau mengikuti pengajian dalam bidang Asasi Sains Pertanian dan sarjana muda Sains Pertanian (Akuakultur) di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang jauh berbeza dengan pekerjaan sekarang.

Athira (bertudung merah jambu) mengadakan persembahan di dalam kandang ular. - NSTP/Nazri Abu Bakar

"Ketika kesukaran mencari pekerjaan semasa pandemik COVID-19, saya bersyukur juga berpeluang berkhidmat di taman berkenaan. Dari sehari ke sehari saya mula terpaut dan menimbulkan minat dengan kerjaya ini terutama apabila dapat mengetahui lebih mendalamnya mengenai dunia kehidupan ular.

Gadis berasal dari Masjid Tanah itu berkata, kini semuanya berjalan lancar dan tidak menjadi masalah pada dirinya apabila ketentuan bidang kerjayanya perlu bergelumang dengan haiwan berbisa yang diceburi sejak lapan bulan lalu itu.

Lebih menarik apabila beliau mendapat galakan daripada Pengarah Urusan MBRS, Gerard Wong serta Pengurus Taman itu, Qurratu Ain Rahamin Nordin dan rakan sekerja sehingga memberi suntikan semangat buatnya untuk membelai dan memanjakan ular yang kini sudah sebati dengan dirinya.

Tidak pernah dipatuk ular

Berkongsi lanjut, Athira bersyukur kerana setakat ini tidak pernah dipatuk atau dicederakan oleh ular yang dijaga kerana sentiasa memberi penekanan dalam aspek keselamatan.

"Saya sentiasa berdoa dipermudahkan urusan dan selamat sepanjang mengendalikan ular itu.

"Malah, lebih menarik dan teruja kerana saya dapat melihat sepasang ular sawa Burma Albino menetaskan seekor anak berwarna hitam atau normal berbanding 26 lagi berwarna kuning putih (Albino) seperti pasangan ular terbabit.

"Ular berwarna hitam itu jelas berbeza berbanding yang lain termasuk ibunya diberi nama Bella, berusia sembilan tahun dan pasangannya sejenis ular sawa Burma Albino Granite bernama Snow," katanya.

Ular sawa yang turut dikenali sebagai 'python' antara spesies yang terberat di dunia itu menghasilkan 35 biji telur turut menjadi kebanggaannya, selain tujuh spesies ular paling berbisa di dunia antaranya ular kapak tokong dan ular tedung selar atau 'king cobra'.

"Saya komited melakukan semua ini, yakin dapat mengendalikan tugasan dengan terbaik demi memastikan haiwan berkenaan terpelihara dan gembira apabila taman berkenaan dikunjungi ramai," ulasnya yang mendapat sokongan serta dorongan padu daripada keluarga. 

Athira bersyukur kerana setakat ini tidak pernah dipatuk atau dicederakan oleh ular yang dijaga kerana sentiasa memberi penekanan dalam aspek keselamatan. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Jaga 30 ekor buaya, mainan harian

Athira turut menjaga lima spesies buaya membabitkan 30 ekor keseluruhan di taman sama.

Katanya, antara spesies buaya yang menjadi teman setiap hari ialah spesies American alligator, julung-julung, smooth fronted caiman dan spectacle caiman yang sentiasa garang apabila didekati.

Apapun ia bukan halangan buatnya tugasan sama berat turut dilakukan ketika membuat persembahan buaya bagi menghiburkan pengunjung sambil memberi makan buaya.

"Melihat pengunjung terhibur sudah cukup puas, hilang lelah dan rasa dihargai apabila mereka mengagumi ketangkasan buaya mengikut arahan kami dalam persembahan," katanya.

Lebih menarik di taman berkenaan terdapat buaya kudung yang sentiasa menjadi perhatian pengunjung.

Buaya ini tetap garang jika didekati dan baginya jika kita tahu mengurusnya pasti tiada kejadian tidak diingini berlaku.

"Tiada istilah buaya jinak. Saya juga kena berani, berhati-hati dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menjadi panduan untuk saya dirinya sentiasa bersedia termasuk ketika mengadakan persembahan bersama alligators yang bernama BJ and Barne," katanya.

Tiada petua miliki keberanian

Athira akui, bukan sahaja seluruh keluarganya, bahkan ramai rakannya terkejut beliau mempunyai keberanian yang tinggi dengan haiwan reptilia ini.

Kerja jadi lebih mudah dan tenang apabila tertanam dalam jiwa mencintai haiwan walaupun apa juga spesiesnya mereka perlu perhatian dengan memahami jiwa serta naluri dunia haiwan itu.

"Saya tidak memiliki apa-apa petua untuk menjadi berani mendekati haiwan terbabit, sebaliknya perkongsian pengalaman rakan setugas apa yang mereka dilalui cukup memberikan saya 'tonik' terbaik untuk terus setia dalam tugasan berkenaan," tegasnya yang sering dibantu Wong dan rakan setugas di taman terbabit. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Aneh! 1 ekor 'dhob' @ RM5,000-RM10,000.. & Gadis berteman ular-buaya.

Cuma yang belum dijelaskan di sini, apa guna binatang 'dhob' atau jenis biawak padang pasir seperti yang disebutkan di atas, dan sangat mahal itu? Yang dijadikan ramuan ubat tradisional orang Arab 'untuk lelaki sahaja'.

Isteri, kalau nak tahu, tanya suami yang baru balik dari Mekah dan mungkin lama tak jumpa.. Tanya dia, sama ada beli tak ubat itu?

Sekian, hingga bertemu di lain komen..


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

agaknya kat ganu tu sapa client penternak dhab ni, nampok macam banyok permintaang. tak menang tangang ustaz ni

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails