M Nasir yang sudah mengenali Allahyarham Bob sejak empat dekad lalu mengaku terlalu banyak peristiwa pahit manis terjadi kepada penulis lirik itu. Foto NSTP Hazira Ahmad Zaidi
KUALA LUMPUR: "Kisah hidupnya penuh cabaran. Banyak pasang surutnya."
Itu pandangan Datuk M Nasir, 64, mengenai sosok sahabatnya, Allahyarham Bob Lokman yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di kediamannya di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, Jumaat lalu.
M Nasir yang sudah mengenali Allahyarham Bob sejak empat dekad lalu mengaku terlalu banyak peristiwa pahit manis terjadi kepada penulis lirik itu.
Tambah M Nasir, kebanyakan perkara yang berlaku memberi kesan terhadap emosi teman baiknya itu.
"Arwah seorang pemberontak dalam bidang seni yang diceburinya.
"Berasakan hala tuju bidang seni bukan lagi seperti diharapkan, arwah akhirnya membuat keputusan berhijrah untuk lebih fokus dalam bidang agama.
"Selepas itu, arwah bawa keluarganya berpindah ke Kota Bharu dan memulakan kehidupan baharu di sana.
"Kisah hidupnya seperti sebuah drama atau filem yang penuh dengan dugaan," katanya kepada BH Online.
Tambah M Nasir atau lebih dikenali sebagai sifu, beliau mula bekerjasama dengan arwah Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 58, ketika pembikinan album pertama kumpulan Wings berjudul Belenggu Irama.
"Saya kenal arwah sejak awal 1980-an. Kami mula berkolaborasi ketika pembikinan album sulung Wings.
"Selepas itu, barulah kami jadi rakan sekerja, seperjuangan dan seterusnya hubungan menjadi lebih rapat seperti adik-beradik.
"Dari situ, arwah mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Sebelum ini, arwah adalah seorang penghibur serta pengacara," kata penyanyi yang popular dengan lagu Mentera Semerah Padi ini.
Jumaat lalu, Allahyarham Bob menghembuskan nafas terakhir di kampung halaman di Kubang Kerian, pada jam 3 petang.
Jenazah Allahyarham Bob disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian, pada jam 9.30 malam, hari sama.
Sebelum ini, Allahyarham Bob dilaporkan bergantung nyawa pada jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).
M Nasir turut menyifatkan Bob sebagai penulis lirik sangat romantis.
"Arwah Bob dan Arwah Loloq masing-masing ada perbezaan tersendiri terutama daripada segi pemikiran.
"Saya lihat penulisan Bob lebih kepada romantisme. Loloq ada elemen itu tetapi lebih kepada moden.
"Setiap lirik yang ditulis terhasil daripada perkara yang pernah berlaku di sekeliling serta dapat menyentuh emosinya.
"Contoh, lagu Taman Rashidah Utama. Dia beritahu saya, liriknya ada kena mengena dengan kisah percintaannya masa zaman muda-muda dahulu," ujarnya.
Ketika dihubungi, M Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa baru pulang menziarah keluarga Allahyarham Bob di Kota Bharu, Kelantan.
"Kali terakhir saya melawatnya adalah beberapa bulan lalu. Ketika itu, keadaan kesihatannya sudah merosot," katanya.
Selain album Wings, arwah Bob juga bekerjasama dengan M Nasir dengan menulis lirik lagu Isabella dendangan kumpulan Search yang cukup popular pada akhir 1980-an.
Penangan lagu Isabella, album Fenomena di bawah label Pacific Music Corporation (PMC) terjual lebih 250,000 unit, lantas dianggap rekod luar biasa bagi jualan album Melayu, ketika itu.
Di Indonesia album Fenomena dilaporkan dijual kira-kira sejuta unit.
2. Melunaskan wasiat dalam ikrar persahabatan dengan Abang Bob
Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
MELUNASKAN sebuah wasiat …tergiang-ngiang suara separa serak arwah, “enta tak payah kuliah atau ke mana-mana program hari kematian ana…bantu uruskan jenazah ana” …pesanan itu aku genggam erat.
Kelmarin, usai khutbah di masjid Tok Jamal Wakaf Mempelam, aku mampir ke gedung Maidin Gong Badak kerana ingin mengalas perut dengan adikku, Huzaifah, isterinya serta Imran (pembantuku). Kami menukar lokasi awal, kedai sup pekan Batu Enam merumbu dengan pelanggan maka kami padamkan niat untuk makan di kedai legen itu. Mungkin sebahagian pengunjung berniat ke pra himpunan Teguh Pertahan yang sedang berlangsung.
Di Maidin Gong Badak yang serba lengkap itu, kami memilih kedai ayam penyet. Sedang menanti makanan dihidang, aku menerima terjahan bertubi “benarkah Abang Bob telah meninggal dunia”. Aku terpanar seketika.
Semoga hanya khabar angin yang sentiasa berlaku pada selebriti atau sosok ilmuan sebelum ini. Semua grup WhatsApp berbincang akan cerita Bob dan grup LESTARI yang paling dekat dengan arwah mengesahkan bahawa abang Bob telah pergi selamanya.
Aku membatalkan program kuliah dan keinginan untuk bersama dua murabbi di pra himpunan Teguh Pertahan di Stadium Gong Badak. Berdesut di aspal untuk segera tiba ke KB dengan Imran menyetir kenderaan dengan trafik yang agak sibuk kerana Jumaat adalah hari cuti di Terengganu “singgah jap di an Nur Setiu ,bawa anak- anak Abang Bob balik ke KB” arahku pada pembantu, puas aku godek telefon mudir, tapi tak berangkat. Line telefon memang teruk di an-Nur Setiu, aku memujuk hati.
Tiba di an Nur Setiu yang juga bekas tapak rumah arwah bapaku, “Anak-anak Abang Bob..Pok Awang dah ambik balik ke rumah dia” jawab seorang pelajar tahfiz separa gagap..oh Awang memang pembantu yang cekap. Rasa manusiawi Awang memang melangit, tahfiz an Nur adalah segalanya bagi Awang, anak jati Kg Desa Jaya, Sungai Tong.
Aku berdesut ke an Nur Besut untuk mengambil Ustaz Taufik Aliph, AJK LESTARI yang ingin turut memberikan penghormatan terakhir pada arwah. Imran Rosdi memulas stereng tanpa banyak soal kerana bulan lepas dia membawa Yantzen ke rumah Abg Bob di Kubang Kerian. Aku tak mampu melelapkan mata, tergiang suara arwah dikuping telinga. Persahabatan kami panjang, usik mengusik, bahan membahan itulah resepi keakraban.
Aku tak mengambil port jika abang Bob meluncurkan kata hatinya, antaranya dua bulan lepas isu cuti raya korban untuk pelajar-pelajar tahfiz an Nur Setiu, dia tak setuju dengan keputusanku mengikat cuti pelajar pada hari raya pertama. Kami berbalas pandangan dan berbeda pandangan tak memadamkan nikmat persahabatan dengan arwah.
Tiba di rumah arwah,pintu ditutup rapat, kereta Merc lama yang dipandu Umar juga tak kelihatan. Sepi dan suram. “terus ke Masjid Pulau Ustaz..tunggu jenazah dimandikan di hospital” suara Awang di hujung telefon. Kami ke Masjid at Taqwa Mukim Pulau, hujan melebat usai solat Maghrib seperti hujan yang membasahi hati kami. Sedang aku melayan fikiran, muncul Rayyan dan Lukman (anak- anak arwah), “lambat lagi urusan mandi jenazah di hospital,” aku bertanya dua remaja dengan guratan wajah sedih itu. “Dah smpai kat luar tu van jenazah abah,” kata Rayyan lirih. Anak remaja ini harapan besar Abang Bob untuk menjadi ulama dan ilmuan Islam, dia juga memimpin solat jenazah bapanya.
Kami mengusung tandu jenazah ke dalam masjid,hujan masih lebat menampar keras atap masjid yang mula didatangi saudara mara serta sahabat-sahabat Abang Bob. Aku mengumam doa, terasa kosong jiwa dan kehilangan yang sukar diungkapkan. Pihak masjid meneruskan kuliah maghrib dalam lebat hujan pra musim tengkujuh, aku ke tandas kerana airmata tak mampu diseka. Air mata lelaki sangat mahal, sangkuriang menyembunyikan titik kelemahan sifat wanita namun Rasulullah SAW juga bergenang airmata kesedihan apabila kesedihan. Ya, air mata yang tumpah adalah manifestasi kecintaan dan kerinduan, bukan bermakna kita lemah.
Usai solat berjemaah Isyak, diteruskan dengan solat jenazah dengan kehadiran empat saf. Mursyidul Am, Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin, Ustaz Tantawi, Dr Rosdi, Ustaz Mohamad Yahya dan lain lain turut hadir memberikan penghormatan. Orang baik akan disayangi orang, sifirnya mudah! Manfaatkan hidup kita untuk memberi manfaat kepada insan lain. Bob menepati piawai ini, dia tahu harga dan nilai kehidupan.
Dalam persahabatan aku dan dia,hanya sekali aku melihat dia menangis seperti anak kecil iaitu pada malam arwah Adam (anak Bob yang paling rapat dengannya) meninggal dunia dengan mengejut di rumah mereka beberapa tahun lepas. Dengan sebak arwah menelefonku memberitahu khabar duka mengejutkan itu. Adam anak yang sangat baik, menjaga Abang Bob dengan melupakan beberapa peluang hidup yang lain. Melupakan keasyikan zaman remaja, menukarkan dengan berkhidmat pada ayahanda yang keuzuran. Kematian Adam sangat memberikan kesan kepada bapanya, aku menjadi saksi mat , Adam menyuap makanan dan menyediakan ubatan kepada Abang Bob yang keuzuran di katil wad Hospital UiTM Sungai Buluh beberapa kali.
Usai solat Isyak berjemaah, kami ke kubur yang berhampiran Masjid Mukim Pulau. Ramai kawan-kawan mulai tiba termasuk daripada Lembah Klang, bacaan tahlil mengiringi kerja pemakaman arwah. Aku mencangkul tanah perlahan, menghela nafas paling dalam, mengimbau kisah persahabatan yang panjang sehingga melewati daerah paling peribadi dalam privasi kehidupan. Rakan baik Abang Bob, M.Nasir bersama Marlia Musa turut hadir memberikan penghormatan. Teman-teman aktivis lain juga membantu di kuburan sebagai tanda jasa akhir sebelum menutup cerita persahabatan kami. Hidup bukan hanya ada hitam dan putih, pelangi menebar variasi warna maka jangan memilih warna yang suram!
Hidup ini akan berhujung, bagaimana kita mengisi kehidupan akan mewarnai hujung jatuh kehidupan kita. Teruskan memberi manfaat buat insan lain, menghargai kawan-kawan dan melengkapkan jadual hidup dengan “berbekal” sebaik-baik bekalan. Damailah Mohd Hakim Bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf al-Kenali (1964-2022). Kamu tetap dalam ingatan kolektif kami Bob! – HARAKAHDAILY 24/9/2022
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
No comments:
Post a Comment