Sunday, September 18, 2022

Dron dalam talian siap tahun depan. Hari M'sia.

 


1. Sistem UAS-TM untuk pantau penggunaan dron di Malaysia

PUTRAJAYA: Sistem Pengurusan Trafik Pesawat Tanpa Pemandu (UAS-TM) yang antaranya berfungsi mengawal selia penggunaan UAS atau, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Chester Voo berkata melalui sistem tersebut, pihak berkuasa akan dapat memantau operasi UAS dalam masa sebenar seterusnya membantu penguatkuasaan peraturan UAS dengan lebih berkesan.

“Proses membangunkan dan melaksanakan sistem UAS-TM ini telah bermula dan dijangka siap untuk operasi pada suku keempat 2023. Dua aspek penting dalam sistem UAS-TM ini ialah pendaftaran dan proses kelulusan penerbangan dron.

“Dengan adanya sistem UAS-TM, ia dapat memastikan kebertanggungjawaban operator UAS serta pembangunan ekosistem UAS atau dron yang selamat, berdaya maju dan efisien secara berterusan dengan pelbagai penggunaan aplikasi,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 6 September lepas dilaporkan berkata Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) akan dibangunkan sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron.

Selain itu, Ismail Sabri berkata UAS-TM juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk menambahkan pendaftaran UAS menjelang 2030.

Voo dalam pada itu berkata kewujudan kawasan penerbangan dron khusus adalah penting bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan latihan yang selamat untuk dron.

“Pengenalan peraturan baru juga penting bagi membolehkan lebih banyak ruang untuk pertumbuhan ekonomi dan inovasi khususnya dalam industri dron,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Technerve Technology Solutions Sdn Bhd, yang menawarkan perkhidmatan berasaskan pesawat tanpa pemandu, Muslim Abdullah Zaik berkata MDTAP30 akan membantu merancakkan lagi ekonomi berasaskan dron khususnya dalam bidang perkhidmatan dan komersial.

“Pembangunan sistem UAS-TM dilihat dapat membantu kelancaran penggunaan dron untuk tugasan kritikal… ia juga dapat melancarkan serta memendekkan masa yang diambil untuk pengendali dron mendapatkan permit operasi penerbangan,” katanya.

Ini kerana penggunaan dron secara meluas dalam rantaian nilai beberapa sektor khususnya pertanian, minyak dan gas serta tenaga ketika ini menghadapi beberapa cabaran khususnya untuk penerbangan jenis Beyond Visual Line of Sight (BVLOS), katanya.

Dalam pada itu, Muslim berkata MDTAP30 adalah teras dalam memastikan negara mampu membangunkan ekosistem bakat teknologi dron dalam usaha merancakkan lagi ekosistem dron di negara ini.

“Keutamaan sekarang bukan sahaja kemahiran pengendalian dan penyelenggaraan dron tetapi pembangunan keilmuan asas dalam membangunkan teknologi sistem tanpa pemandu,” katanya. – BERNAMA

2. Selamat menyambut Hari Malaysia 

FIRMAN Allah SWT:
﴿ وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum: 22)

Allah SWT menciptakan manusia dalam berbagai bangsa, suku dan puak yang menggambarkan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya. Tujuannya supaya manusia sentiasa berkenalan (taaruf) antara satu sama lain.

Manusia secara fitrah hanya menyembah Allah SWT. Walau bagaimanapun, setelah lama tinggal di dunia, mereka mewujudkan pelbagai kefahaman dan ajaran yang baru sehingga menimbulkan kekacauan dan perpecahan.

Menurut al-Quran, manusia berasal daripada Adam dan Hawwa yang melahirkan anak yang ramai. Setelah sepuluh abad kewafatan Nabi Adam AS, Allah SWT mengutuskan Nabi Nuh AS bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan. Selepas itu lahirnya keturunan-keturunan yang bertebaran di muka bumi dengan kepelbagaian bangsa dan bahasa.

Manusia secara fitrah juga diciptakan untuk bersatu-padu kerana Allah SWT menjadikan manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan. Makanan diperolehi dengan bercucuk tanam atau memburu. Maka, manusia memerlukan alat bagi mendapatkan makanan dan sekelompok manusia yang mempunyai kepakaran dalam mencipta alat tersebut. 

Segala kerjasama dan hasil daripada setiap kelompok manusia itu dikumpulkan. Inilah yang dinamakan masyarakat madani yang saling bertaaruf dan bekerjasama melalui perkongsian kepakaran kaum dan bangsa masing-masing.

Hari ini kita menyambut Hari Malaysia ke-59 dengan penuh aman dan damai. Peristiwa bersejarah 16 September 1963 amat penting untuk dihayati bagi mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang sejahtera dengan semangat perpaduan antara kaum yang utuh.

Pembentukan Malaysia dalam meraikan masyarakat majmuk yang berbeza bangsa dan agama wajib dihormati, sebagai makna sebenar dalam meraikan Hari Malaysia.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 16/9/2022


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails