Monday, September 19, 2022

"Jika nak sejarah PRU-14 berulang..." PRU-15 antara Okt-Dis..

 

Idris ketika sidang media selepas program Berjalan Teguh Bersama Datuk Idris Ahmad di Dataran Tarbiah Bukit Gantang. - NSTP/ SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

1. "Jika nak sejarah PRU-14 berulang, silalah (tanding solo)" - Idris

BUKIT GANTANG: PAS mengingatkan UMNO bahawa nasibnya ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mungkin berulang sekiranya parti itu terus bertegas untuk terus bertanding secara solo.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata walaupun UMNO kekal dengan pendirian sedemikian, PAS akan terus berusaha untuk merapatkan hubungan parti itu bersama dua lagi parti dominan orang Melayu dan Islam iaitu UMNO dan BERSATU.

"Kita akan buat sampai rapat dinding. Kita akan usaha (rapatkan hubungan PAS, UMNO dan BERSATU) dan akhirnya rakyat yang akan menilaikannya sendiri," katanya.

"Biarlah parti itu (UMNO) dengan konsep mereka (nak bertanding secara solo dalam PRU-15)

"Jika nak sejarah PRU-14 berulang, silalah berbuat begitu. Tapi kita (PAS) tetap dengan konsep perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Berjalan Teguh Bersama Datuk Idris Ahmad di Dataran Tarbiah Bukit Gantang, di sini, hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam menyatakan tiga parti dominan orang Melayu dan Islam iaitu UMNO, PAS dan BERSATU, perlu bergabung menjadi satu kumpulan parti politik yang memperjuangkan bersama kepentingan orang Melayu serta Islam.

Ketika menyarankan demikian, beliau berkata walaupun tiga parti itu bergabung membentuk satu naungan di bawah 'khemah' politik yang sama, ia masih belum cukup kuat dan meluas dari segi pengaruh serta tarikan seperti PKR.

Justeru, Musa menyarankan UMNO, PAS dan BERSATU sekiranya bergabung di bawah 'khemah' yang sama, perlu memberi jaminan kepada bangsa lain sebagai tumpuan perjuangan mereka.

Sementara itu, Idris berkata, PAS tidak melihat sokongan bangsa Melayu khususnya golongan muda kini menjurus ke arah parti pembangkang.

Beliau berkata, ia jelas dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, di mana Pakatan Harapan (PH) hilang kerusi apabila kawasan ditandingi mereka dipelopori bangsa Melayu.

"Kita tak nampak sokongan orang Melayu khususnya golongan muda kini kepada PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) atau DAP.

"Keputusan PRN di Melaka dan Johor lalu jelas membuktikan sokongan Melayu tidak memihak kepada mereka apabila hilang kawasan yang mereka bertanding di mana kawasan terbabit majoritinya adalah bangsa Melayu Islam," katanya. (BH)


2. 'PRU-15 di antara Oktober hingga Disember ini' - Ahmad Maslan 

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian menyertai demonstrasi sukan rakyat selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang Sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, di sini, hari ini. NSTP/ FARID NOH

PONTIAN: UMNO yakin Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan di antara Oktober hingga Disember ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, keyakinan disandarkan kepada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam yang menyatakan pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.

Katanya, bayangan diberikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO semalam adalah petunjuk paling jelas mengenai PRU15 yang dimaklumkan secara umum dalam acara parti.

"UMNO yakin PRU15 akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan ini (Oktober hingga Disember).

"Cuma kena cuba elak sebelum banjir. Jika banjir Disember, jangan buat (PRU15) Disember. November pun boleh pilihan raya.

"Kalau November pilihan raya, maknanya bubar (Parlimen) Oktober. Pengesahan Perdana Menteri dalam ucapan beliau semalam membolehkan parti membuat persiapan dan mencongak tarikh PRU15," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang Sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, di sini, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri ketika melancarkan Jentera Pemuda UMNO, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur,dilaporkan mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan 'Top Five' mengenai pembubaran Parlimen.

"Kita sudah hampir ke Pilihan Raya Umum ke-15.... percayalah sikit masa lagi. Saya mendengar dengan jelas (gesaan pembubaran)," kata Perdana Menteri semalam.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, mengesahkan pertemuan dan rundingan 'Top Five' UMNO yang dijadualkan pada 30 September ini akan diteruskan.

Katanya, walaupun 'Top Five' sering bertemu secara tidak rasmi serta tidak diumumkan secara terbuka di media, pertemuan pada 30 September itu akan diteruskan seperti sudah dirancang.

"Saya yakin ucapan Perdana Menteri semalam itu bertitik tolak dari pertemuan dan rundingan 'Top Five' secara tidak rasmi.

"Sebenarnya setiap kali sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, akan diadakan dahulu mesyuarat 'Top Five' diikuti mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah petang.

"Itu tidak termasuk pertemuan tidak rasmi 'Top 5' di luar," katanya.

'Top Five' UMNO merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi parti terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tentukan kemenangan PRU15 ini untuk Islam bukan macam PRU 14 lalu.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment