Wednesday, September 07, 2022

Keadilan Islam tiada kecuali siapa... Najib/anak Nabi.

 

Foto daripada Facebook Idris Ahmad.

1. Keadilan Islam tidak beri pengecualian siapa lakukan kesalahan

KUANTAN: Keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan, sama ada diri sendiri, teman rapat, ahli keluarga mahupun ibu dan bapa, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka bertitah ketegasan prinsip keadilan Islam juga tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa termasuk kepada mereka yang tidak disenangi, selain keadilan tanpa pilih kasih yang diamalkan telah berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah S.A.W.

“Prinsip keadilan yang telus lagi terbuka turut berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera. Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan,” titah Seri Paduka semasa berucap merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang di sini hari ini.

Berpandukan atas prinsip yang sama, Al-Sultan Abdullah bertitah Mahkamah Syariah mestilah bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman, terutamanya yang melibatkan kes-kes kekeluargaan.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, nescaya keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang telah ternoda dan akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak di ‘hari kemudian’.

Selain itu, Seri Paduka juga mengingatkan hakim Syarie untuk memastikan kes yang dikendalikan mereka dapat dihakimi seadil-adilnya dan penghakiman dilaksanakan dengan segera, selain pegawai mahkamah serta peguam Syarie turut sama membantu melancarkan prosiding mahkamah.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah berkenan memasyhurkan kompleks bernilai  RM44.75 juta yang mula dibina pada 22 Jun 2015, siap pada 23 Sept 2021 dengan nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad, barisan pentadbiran Pahang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Md Yunos.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya cadangan konsep diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan jenayah) dapat dilaksanakan di negara ini.

“Saya juga ingin meminta hakim-hakim Syarie untuk mendalami dan mengkaji hukuman berbentuk servis kemasyarakatan yang boleh diambil kira kerana ada kesalahan yang tidak begitu besar, harus difikirkan agar mereka boleh berbakti kepada masyarakat… yang boleh diselesaikan dengan budi bicara,” titah Seri Paduka.

Menyentuh mengenai pembinaan komplek mahkamah itu, Al-Sultan Abdullah berharap ia dapat memberikan perkhidmatan terhadap masyarakat selain menyampaikan serta mengembangkan syiar Islam dan mempertingkatkan institusi mahkamah syariah negara ini. – BERNAMA


2. Najib fail semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan  

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Najib, 69, memfailkan notis usul bagi permohonan itu melalui Tetuan Shafee & Co dan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden. Perkara itu disahkan oleh peguam Rahmat Hazlan.

Ahli Parlimen Pekan itu memohon agar beliau diberi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas yang menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atau penjara lima tahun.

Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari sama yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat daripada terus mendengar rayuan itu, diketepikan.

Secara alternatif, Najib memohon agar rayuan itu didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan yang baharu dan terdiri sekurang-kurangnya daripada tujuh hakim.

Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos lepas yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti tambahan dan menggugurkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi perbicaraan di Mahkamah Tinggi serta membatalkan perbicaraan itu atau diisytiharkan batal dan tidak sah, diketepikan.

Najib, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, juga memohon penangguhan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu pendengaran permohonan semakan itu.

Afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan telah dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

“Ini kerana saya telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendengaran rayuan yang adil seperti yang diperuntuk oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – BERNAMA


3. Kalau anakku mencuri 


KISAH benar yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W apabila seorang wanita bertaraf bangsawan disabitkan kesalahan mencuri. Tanpa apa-apa sebab yang meragukan dia dijatuhkan hukuman Hudud Islam, yakni dipotong tangannya. 

Tiba-tiba ada dari kalangan bangsawan merayu kepada Rasulullah S.A.W supaya tidak dijatuhkan hukuman Hudud kerana dia seorang bangsawan yang dihormati masyarakat.

Usamah bin Zaid R.A ditugaskan supaya menyampaikan rayuan itu kepada Rasulullah S.A.W. Dia ditugaskannya kerana dia cucu angkat kesayangan dimanjakan oleh Rasulullah S.A.W. Tiba-tiba Baginda S.A.W menunjukkan kemurkaan atau kemarahan kepada Usamah dengan bersabda:

“Adakah kamu meminta syafaat (tolong membebaskan) dalam perkara hukum Hudud yang telah ditetapkan oleh Allah?”.

Kemudian Rasulullah S.A.W terus ke masjid, bangkit berdiri dan bersabda:

“إنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَأيْمُ اللهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا”. أخرجه مسلم والنسائي

“Sesungguhnya telah dibinasakan umat terdahulu daripada kamu, berlakunya apabila seorang bangsawan dari kalangan mereka melakukan kesalahan mencuri mereka bebaskan tanpa hukuman. Dan apabila seorang yang lemah dari kalangan mereka mencuri, lalu mereka jatuhkan hukuman Hudud terhadapnya. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad (puteri kesayanganku) mencuri, nescaya aku hukumnya dengan dipotong tangan”. (Disebut oleh Muslim dan An-Nasa’ie)

Wanita yang dihukum itu menginsafkan dirinya sehingga menjadi wanita yang solehah berkunjung ke rumah Rasulullah S.A.W dan masyarakat yang menyaksikannya melihat betapa wujudnya keberkatan apabila syariat Allah dilaksanakan.

Cerita benar menunjukkan kedaulatan Islam yang adil terhadap semua dan kehebatan undang-undang Syariat Allah mendidik masyarakat sehingga tiada yang kebal atau dikecualikan. Sesiapa sahaja yang terbukti melakukan kesalahan pasti dihukum. Kalau tiada bukti dibebaskan atau tidak mencukupi buktinya pasti diringankan hukumannya.

Inilah konsep ketelusan undang-undang syariat yang berteraskan aqidah kepercayaan kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Adil Lagi Maha Bijaksana, disertakan beriman kepada Hari Akhirat, menjadikan tiada sesiapa mengatasi undang-undang sehingga dikecualikan dan dilangkah sahaja tanpa halangan atau undang-undang laksana sarang labah-labah yang dibolosi oleh makhluk perosak yang besar dan kuat. Hanya memerangkap makhluk perosak serangga kecil. Namun, boleh ditembusi makhluk perosak yang bersaiz besar dan kuat, apatah lagi helang yang besar atau jerung yang ganas.

Itulah contoh konsep zaman keemasan Islam, diwarisi petunjuknya era Khulafa Ar-Rasyidin dan selepasnya juga yang mengikut jejak langkah kepimpinan melalui teladan yang pernah dijadikan slogan pada zaman dahulunya, yang dilupakan oleh Melayu mudah lupa. Namun, Allah berfirman:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (سورة الأحزاب: 21[

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu contoh ikutan yang baik menjadi teladan. Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Surah Al-Ahzab: 21)

Inilah Rasulullah S.A.W yang dilantik Allah, mengatasi raja-raja yang ditabalkan oleh manusia, pelantikan Presiden atau Perdana Menteri dan Ketua Menteri yang dipilih rakyat. Bahkan jauh sekali kalau hanya sekadar Peguam Negara.

Zaman mutakhir sejarah Islam memerintah direkodkan peristiwa perundangan Islam dengan contoh yang sangat banyak. Antaranya kisah Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A yang mengaku salah apabila ditegur oleh seorang wanita. Khalifah Ali bin Abi Talib R.A yang kalah di mahkamah dalam kisah baju rantainya dicuri oleh seorang bukan Islam. Sultan Muhammad Al-Fateh dijatuhkan hukuman oleh hakim pada zamannya kerana melakukan kekerasan terhadap seorang rakyat bukan Islam.

Saya pernah membaca kisah Sultan Hamengkubuwono, Raja Jogjakarta Indonesia, satu-satunya Sultan yang diiktiraf terus bertakhta di situ dalam Negara Republik kerana akhlaknya yang mulia dan sangat dihormati rakyat.

Ceritanya, Baginda telah melakukan kesalahan trafik, lalu diberi surat saman oleh seorang anggota polis yang baru bertugas yang tidak mengenalinya. Tiba-tiba Baginda datang ke Balai Polis untuk membayar samannya. Ketua Balai terkejut kerana Sultan yang datang membayar dendanya. Tiba-tiba pula Baginda meminta supaya polis yang bertindak menyamannya dipanggil. Maka alangkah takutnya polis yang baru mendapat kerja apabila diketahui orang yang disamannya adalah Sultan. Fikirnya sudah tentu dia akan dipecat. Tiba-tiba Sultan meminta supaya dinaikkan pangkatnya.

Apa yang dilakukan adalah kesan ajaran Islam yang mewujudkan aspek rohani, menjadikannya masih tersemat di dalam dirinya, walaupun ciri kedaulatan negara Islamnya dihapuskan. Tegasnya masih percaya ada dosa dan pahala daripada semua tingkah laku manusia. Mereka yang tidak beriman dan budiman, tiada rasa takut kepada Allah serta tidak percayakan dosa dan pahala, hilang juga rasa malunya sesama manusia.

Bandingkan kisah tersebut dengan berita terkini yang mengejutkan SPRM, Perdana Menteri juga terkejut dan mengejutkan mereka yang bukan SPRM apabila seorang yang kini bertaraf menteri dihentikan proses kehakimannya laksana emergency brake yang ditekan segera sehingga menghantukkan kepala penumpangnya. Kalau sebelumnya dia cepat dihukum kerana tarafnya pembangkang, tetapi kini cepat pula dibebaskan kerana dia bertaraf menteri dalam kerajaan.

Namun, kita tetap berpegang kepada konsep Islam bahawa seseorang yang dituduh tidak boleh dihukum salah selagi tidak dibuktikan. Tetapi tidak harus dilepaskan dengan percuma tanpa proses kehakiman yang diselesaikan dengan adil dan telus.

Bagi penganut Islam, kami diajar oleh Rasulullah S.A.W dengan pesanan yang banyak, antaranya:

مَنْ وَلِيَ الْقَضَاءَ فَقَدْ ذُبِحَ بِغَيْرِ سِكِّينٍ (رواه أبي داود)

“Sesiapa yang mengendalikan urusan kehakiman, maka dia laksana disembelih tanpa pisau”. (Riwayat Abi Daud)

Walaupun orang itu seorang bukan Islam yang tidak percayakan dosa dan pahala, namun mereka yang Islam telah memilihnya serta mengangkatnya ke jawatan itu sudah tentu percaya adanya dosa dan pahala atau sekurang-kurangnya ada rasa malu kepada manusia. Sekalipun tiada perasaan malu kepada Allah dan para malaikat yang tidak dapat dilihat.

Oleh kerana banyak yang terkejut atau mengejutkan dalam peristiwa kehakiman negara ini, maka saya menyokong cadangan yang menamakan bulan ini Bulan Terkejut.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Zulhijjah 1439 / 6 September 2018 – HARAKAHDAILY 6/9/2018September 6, 2018 

Komen Weblog Ibnu HasyimKeadilan Islam tiada kecuali siapa... Samada Najib Razak atau anak Nabi sekalipun.

Itulah keadilan sebenar..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

3 comments:

  1. Parti liberal x kisah sangat berkawan dengan pemberi rasuah dari kalangan dapig.

    ReplyDelete
  2. Parti liberal x suka hudud. Nanti susah nak berkawan ngan dapig. Kan ker kalangan dapig ramai yg pemberi rasuah. Termasuk jho low.

    Jom sokong pas. Satu satu nya parti politik yg boleh bawa malaysia sifar rasuah. Bukti sudah nyata. Kelantan jadi contoh.

    ReplyDelete
  3. 88% pemberi rasuah adalah non Malay. Hebat pengamal2 rasuah ini, bergitu licik, zaman berzaman sudah berakar umbi!

    ReplyDelete