Sunday, September 11, 2022

Kedah terima iktiraf kewangan. & ekonomi lawan China

 


1.  PAS Kedah bangga kerajaan negeri terima pengiktirafan kewangan

BADAN Perhubungan PAS Negeri Kedah ingin menyampaikan penghargaan di atas pencapaian Kerajaan Negeri Kedah pimpinan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi yang menerima Sijil Bersih Kewangan daripada Ketua Audit Negara. 

Pengiktirafan tersebut membuktikan ketelusan dan nilai integriti yang tinggi diterapkan oleh Kerajaan Negeri sejak mengambil alih pentadbiran pada pertengahan tahun 2020 yang lalu. 

Penghargaan Jabatan Audit Negara tersebut merupakan lambang keseriusan Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap duit rakyat diurus dengan cekap. 

Situasi tersebut turut disokong dengan peningkatan rizab negeri yang pernah mencecah RM600 juta berdasarkan prestasi kewangan semasa Kerajaan Negeri. 

PAS Kedah mengharapkan agar kecemerlangan ini dapat diteruskan bagi mendukung amanah rakyat di Negeri Kedah. 

Prinsip tadbir urus yang penuh integriti perlu sentiasa dijunjung sebagai identiti utama Kerajaan yang ditadbir oleh PAS dan rakan kerjasama politiknya. 

Semoga Kedah terus melakar sejarah pentadbiran yang cemerlang di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi.

Sekian, terima kasih.

YB SENATOR DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
9 September 2022 / 12 Safar 1444H – HARAKAHDAILY 9/9/2022


2. AS lancar forum ekonomi bagi menentang China 

Barisan menteri yang menyertai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) bergambar di Los Angeles, California, Amerika Syarikat. - Foto AFP

LOS ANGELES: Amerika Syarikat (AS) memulakan siri perjumpaan dengan menteri dari Asia-Pasifik pada sidang kemuncak ekonomi bertujuan mengekang pengaruh China yang semakin berkembang di rantau berkenaan.

Acara dua hari itu adalah perjumpaan secara bersemuka yang pertama antara ahli Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) yang baharu, inisiatif yang dilancarkan pada Mei lalu oleh Presiden AS, Joe Biden.

Dengan perkongsian perdagangan baharu ini, pentadbiran Biden berharap dapat mengukuhkan kehadirannya di rantau yang menerima layanan dingin di bawah pemerintahan bekas presiden, Donald Trump.

Dasar pengasingan 'America First' Trump, menyaksikan bekas presiden itu menarik AS daripada perjanjian perdagangan Asia yang digelar Perkongsian Trans-Pasifik (TPP),

Langkah itu dikritik sebagai menyerahkan tanah di wilayah ekonomi yang penting di dunia itu kepada China.

Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo, dalam ucapan pembukaannya pada sidang kemuncak itu, berkata sudah tiba masanya untuk AS mempunyai visi ekonomi konkrit yang nyata di rantau itu.

Beliau turut menyatakan bahawa 14 anggota perikatan itu menyumbang lebih 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global.

Washington berharap dapat membentuk piawaian bersama di seluruh rantau itu, tanpa mempromosikan akses kepada pasaran domestiknya, seperti mana yang lazimnya dilakukan dalam perjanjian perdagangan bebas tradisional.

Perbincangan akan tertumpu kepada empat perkara utama iaitu ekonomi digital, rantaian bekalan, tenaga hijau dan memerangi rasuah.

Sebelum ini, perikatan itu dikritik sebagai hanya tahu bercakap tanpa menawarkan apa-apa manfaat yang nyata selain hanya menjadi sesuatu yang simbolik.

Bagaimanapun, perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas tidak popular di AS, di mana ia dilihat umum sebagai ancaman kepada peluang pekerjaan di AS.

IPEF menghimpunkan Australia, Brunei, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Perikatan itu secara teorinya adalah 'landasan terbuka' yang akhirnya boleh merangkumi negara lain, tetapi tidak termasuk Taiwan, sebuah pulau diperintah sendiri yang didakwa Beijing sebagai miliknya. - AFP


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

Post a Comment