Tuesday, September 20, 2022

Lucu, remaja ceroboh asrama.. & Burung hantu (pungguk).

 

1. Tiga remaja ditahan ceroboh asrama perempuan, cuba tanggal seluar pelajar sedang tidur

ALOR SETAR: Tiga pelajar lelaki sebuah sekolah berasrama penuh di negeri ini, memberi alasan mahu mengambil barang ketika mereka ditahan warden selepas didapati berada di bilik asrama perempuan, awal pagi Khamis lalu.

Bagaimanapun, seorang pelajar perempuan yang curiga selepas mengetahui alasan diberikan mereka tidak logik selain geram kerana menjadi mangsa ketika tidur membuat satu laporan polis, semalam.

Sumber berkata, pelajar perempuan tingkatan satu berkenaan mendakwa pada hari kejadian dia sedang tidur di lantai bilik asrama sebelum terasa ada seseorang menarik seluarnya.

Remaja perempuan itu dalam laporan polis dibuatnya mendakwa kejadian terbabit berlaku pada 2.30 pagi dan dia yang terkejut apabila seluar ditarik terus terjaga dari tidur.

"Ketika itu, pelajar perempuan berkenaan memberitahu yang dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali yang kemudian terus bersembunyi bawah katil di sebelahnya," katanya.

Sumber berkata, mangsa yang masih dalam keadaan terkejut turut melihat seorang lagi lelaki berada bawah katil sama dengan lelaki yang menarik seluarnya sebelum itu.

"Bimbang identiti mereka terbongkar sekiranya mangsa menjerit atau membuat kecoh, dua pelajar lelaki berkenaan terus berlari keluar dari bilik asrama itu.

"Namun, tindakan mereka melepaskan diri itu gagal apabila ditahan warden yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan asrama terbabit," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua yang ditahan warden itu terdiri daripada tiga pelajar lelaki tingkatan dua dan mereka dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan asrama pelajar perempuan.

"Semua pelajar terbabit kemudian mendakwa yang mereka berada dalam bilik asrama perempuan ketika itu kerana mahu mengambil barang.

"Bagaimanapun, alasan diberikan tidak masuk akal dan pelajar perempuan yang mendakwa ditarik seluar ketika tidur oleh kumpulan pelajar lelaki itu tampil membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit. (BH)


2. Burung hantu 


ORANG Arab Jahiliah mempercayai yang burung hantu ialah suatu petanda buruk atau sial. Kepercayaan ini juga wujud dalam masyarakat Melayu pra-Islam. Hal ini bertentangan dengan akidah Islam yang sebenar sepertimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Tidak ada ‘Adwa (penyakit berjangkit disebarkan oleh semangat jahat pada manusia atau haiwan), tidak ada Tiyarah (sial pada burung yang berterbangan), tidak ada Haamah (sial pada burung hantu), dan tiada (nahas dalam) bulan Safar.”  (Riwayat Bukhari)

Fenomena alam yang berlaku di sekeliling kita tiada kaitan dengan sial atau musibah, sebaliknya merupakan tanda kekuasaan Allah S.W.T yang mencipta dan mentadbir alam ini selaras dengan sabda Baginda S.A.W yang bermaksud:

“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah sebahagian dari tanda kebesaran Allah, dan keduanya tidaklah mengalami gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. Kerana itu, apabila kalian melihat gerhana matahari atau bulan, maka bertakbirlah dan berdoalah kepada Allah, serta solat dan bersedekahlah.” (Riwayat Muslim)

Burung hantu dikenali sebagai owl dalam Bahasa Inggeris. Masyarakat Melayu turut memanggil burung hantu dengan nama pungguk (keluarga Strigidae) dan jampuk (keluarga Tytonidae). Secara umumnya burung hantu merupakan burung dalam order Strigiformes. Terdapat lebih kurang 200 spesies burung hantu yang telah dikenal pasti di seluruh dunia dan terdapat 17 spesies di Malaysia yang disenaraikan sebagai haiwan yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Burung hantu ialah burung pemangsa yang aktif pada waktu malam yang memakan serangga, roden bersaiz kecil dan arnab. Antara ciri fizikal burung hantu ialah sepasang mata besar menghala ke depan yang membolehkannya melihat dengan pandangan yang lebih luas dan memudahkannya untuk mengesan mangsa. Selain itu, burung hantu juga mempunyai kebolehan memusingkan kepalanya sehingga 270 darjah tanpa merosakkan salur darah dan mengoyakkan tendonnya. Hal ini adalah untuk membolehkan burung hantu mengalihkan pandangannya kerana matanya tidak boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan.

Selain daripada mempunyai penglihatan yang baik dalam suasana gelap, burung hantu juga mempunyai pendengaran yang amat sensitif yang sangat berguna untuk memburu. Kedudukan telinga yang berada di tempat yang berbeza pada kepala membolehkannya untuk mengetahui dari mana arah sesuatu bunyi datang. Selain itu, sayap burung hantu juga lebih aerodinamik membolehkan ia terbang dengan sangat senyap sehingga hampir tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Hal ini membuatkan burung hantu tidak dapat dikesan apabila ia terbang ketika hendak menyambar mangsanya. 

Menurut kajian, lebih separuh daripada spesies burung hantu di Malaysia hanya dapat ditemui di kawasan hutan kerana lubang-lubang yang ada pada pokok-pokok besar di hutan yang tua merupakan tempat tinggalnya. Habitat spesies burung hantu berbeza bergantung kepada struktur dan faktor landskap. Bahkan, spesies yang berbeza turut mempunyai saiz dan tabiat pemakanan yang pelbagai. Keadaan ini menunjukkan bahawa setiap spesies burung hantu mempunyai peranan yang tersendiri yang penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem. Kegiatan pembalakan dan pemburuan yang berleluasa serta aktiviti pertanian dan pembangunan tidak mapan akan mengancam kemandirian spesies burung hantu, seterusnya mengganggu kestabilan dan keteraturan ekosistem alam.

MOHD IZZUDDIN HASANUDIN 
Pembantu Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 19/9/2022


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lucu, remaja ceroboh asrama.. & Burung hantu (pungguk). 

Yakni kita mahu remaja Malaysia membesar dalam perancangan sistematik ke arah pembangunan sebenarnya. Tidak seperti remaja-remaja tersasar burung hantu di negara ini.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails