Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar
1. Strategi PAS bukan omong kosong
KUALA LUMPUR: Perkembangan politik mutakhir ini menyaksikan PAS paling banyak menjadi bahan sinikal awam ekoran dari keputusan PAS untuk bekerjasama dengan blok Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata, tohmahan itu seperti bermain dua kolam dan sanggup menggadai prinsip parti demi kuasa semakin kuat berlegar dalam kalangan pemerhati politik dan pimpinan pembangkang.
Menurut beliau, keseriusan PAS dalam memastikan tiada pertandingan lebih dari dua penjuru terutama sekali melibatkan pertembungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dipandang enteng.
Ia adalah susulan Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut bermula 3 hingga 4 September lalu, sehinggaa ada pihak yang melabelkan PAS yang dilabel sebagai ‘parti lebai’ yang memasang perancangan teliti untuk terus menjadi kerajaan.
Wan Rohila menegaskan bahawa banyak ibrah politik dapat diambil berdasarkan pengalaman PAS yang bertanding sendirian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan terdapat pertembungan tiga penjuru semasa berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.
Katanya, PAS yang bertanding di 158 buah kerusi Parlimen pada PRU14 telah tewas teruk apabila hanya memenangi 18 buah kerusi yang disumbangkan oleh negeri-negeri tradisi mereka iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Oleh itu, seramai 50 calon PAS bagi kerusi Parlimen dan 96 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah hilang wang pertaruhan yang melibatkan kerugian sebanyak RM1.3 juta.
Sementara pada empat siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku semasa pasca PRU-14 telah menyaksikan permuafakatan antara PAS dan Umno telah membuahkan hasil apabila gabungan kedua-dua parti berjaya merampas semula kerusi yang pernah dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.
“Jika diteliti, jelas di sini pendekatan mengelakkan undi pengundi Melayu terpecah dua turut berhasil.
“Malahan, pada PRU-14 sendiri terdapat hampir 27 kerusi Parlimen yang dimenangi PH akibat daripada terpecahnya undi Melayu,” jelasnya kepada HarakahDaily.
Wan Rohila turut memberitahu bahawa pendekatan ‘politik dalam politik’ perlu diambil bagi memastikan kelangsungan politik Melayu-Islam dan masa depan parti-parti politik Melayu kekal relevan dalam mendepani kepesatan demokrasi dan gelombang literasi politik rakyat yang semakin meningkat.
Tidak hairanlah apabila Muktamar PAS ke-68 tekad menyatukan kesemua parti-parti politik Melayu bagi memastikan undi Melayu tidak berpecah.
“Jenama kerjasama ini boleh sahaja dikenali sebagai ta’awun politik, khemah besar, siyasah politik atau muafakat ummah, bergantung kepada terma dan rundingan sesama parti berkaitan.
“Adalah dangkal jika ini dikatakan sebagai menggadai prinsip parti kerana mana-mana parti politik yang bertanding di pentas demokrasi mahukan kemenangan dalam pilihan raya bagi membolehkan dasar-dasar parti direalisasikan dengan lebih berkesan dan meluas apabila membentuk kerajaan.
“Maka usaha yang digerakkan PAS tidak boleh dipandang enteng, dan hasrat PAS untuk mencuba nasib di hampir 40 kerusi Parlimen pada PRU15 sebenarnya menakutkan parti lawan,” ujar beliau.
“Namun begitu, meskipun berhadapan kesukaran menemukan titik temu antara Umno dan Bersatu, PAS kelihatan bersungguh-sungguh bagi mengekang penguasaan semula PH di persada politik nasional.
“Apatah lagi, PH telah berada di kedudukan tidak selesa akibat dari palitan imej kuda tunggangan DAP,” katanya.
Sehubungan itu, Wan Rohila menegaskan bahawa harus diingat mengenai persepsi dan literasi politik pengundi terutama pengundi urban-semiurban dan pengundi muda adalah sangat kritikal.
“PAS dilihat lunak terhadap banyak isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat kerana berada di posisi kerajaan, yang mana PAS pernah menjuarai isu-isu tersebut ketika berada di posisi pembangkang.
“Di sini, PAS dilihat juga sebagai parti politik tipikal yang tiada beza dengan parti-parti politik bernuansa sekular,” tambahnya
Oleh yang demikian, ujarnya lagi, ukuran prestasi PAS sering menggunakan kayu ukur negeri Kelantan, yang menjadi kebimbangan para pengundi terutama pengundi Pantai Barat.
“Walau bergabung sekalipun, jika imej ini tidak diperbetulkan, ia akan menjadi liabiliti kepada PAS.
“Sebagai alternatif, kemantapan PAS mentadbir Terengganu perlu dilihat sebagai manifestasi awal PAS jika mentadbir Kerajaan Pusat kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2022
2. Umat berpenyakit yang perlu diubati
FIRMAN Allah SWT:
﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ١٥٩﴾
“Sesungguhnya orang-orang yang (1) memecah belah agama-Nya (Islam) dan (2) mereka menjadi bergolongan (kumpulan-kumpulan), tidak ada sedikitpun tanggung jawabmu kepada mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat.” (Surah al-An‘am: 159)
Para ulama’ mentafsirkan maksud memecahbelahkan agama dalam ayat di atas dengan erti beriman dengan sebahagian sahaja daripada tuntutan agama, dan kufur (menolak) sebahagian yang lain. Selain itu, bermaksud mufaraqah (memisahkan diri) daripada ajaran agama, seterusnya mengada-adakan ajaran atas nama agama atau mengambil ideologi ciptaan manusia sebagai pegangan.
Berikutnya, mereka berpecah menjadi banyak kumpulan yang sesat daripada petunjuk Allah SWT dan bertempur antara satu dengan yang lain. Mereka tidak layak menjadi umat Nabi Muhammad SAW dan mendapat syafaat Baginda kelak.
Penyelewengan telah berlaku dalam kalangan penganut agama Kitabi (Yahudi dan Kristian) setelah kewafatan para rasul. Kemudian, penyakit ini mula merebak dalam kalangan umat Islam sehinggakan mereka dijajah, setelah dipecahkan oleh musuh ketika mereka dalam keadaan lemah akibat tersesat dan berkhilaf dengan rakus.
Walau bagaimanapun, lebih parah lagi apabila penyakit yang dihidapi itu berubah menjadi pandemik yang tenat dan lebih berbahaya daripada wabak taun, Covid-19 dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, kesan penyakit itu memudaratkan jasad sekadar di alam dunia sahaja dan kematiannya ialah mati syahid. Adapun penyakit yang merosakkan ajaran agama pula, akibatnya dari dunia sampai ke akhirat jika tidak disembuhkan dan tidak kembali ke pangkal jalan serta bertaubat.
Penganut Yahudi dan Kristian berpecah belah sehinggakan mereka memesongkan agama masing-masing daripada petunjuk Allah SWT yang dibawa oleh para rasul AS. Akibatnya, tercipta banyak fahaman sendiri dalam urusan agama dan dunia, sehingga mereka menggunakan akal dan nafsu terkeluar daripada ilmu wahyu petunjuk Allah SWT. Kemudiannya, mereka mencipta berbagai-bagai ideologi, berpecah dan berperang sesama sendiri.
Berlaku peperangan dalam kalangan mazhab dan suku keturunan kaum Yahudi di Madinah sebelum hijrah Rasulullah SAW, antara Bani al-Nadir, Bani Qainuqa‘, Bani Quraizah dan lain-lain. Dalam pada itu juga, berlaku pertembungan dalam satu mazhab agama Yahudi. Sebahagian daripada kalangan Yahudi menerima dakwah dengan memeluk Islam atau sekadar membenci perkelahian dan berdamai bersama Islam dalam Sahifah (Piagam) Madinah.
Selain itu, agama Kristian juga mengalami penyelewengan sehingga mereka berpecah kepada beberapa mazhab seperti Ortodoks, Katolik dan Protestan. Seterusnya, mereka berpecah lagi dalam satu mazhab serta menganut pelbagai ideologi dan berperang sesama mereka. Sebagaimana kaum Yahudi, ada dalam kalangan mereka sebahagiannya yang memeluk Islam dan ada yang berdamai, bahkan berada di bawah kerajaan Islam seperti Kristian Najran.
Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT menjadi Rasul akhir zaman bagi menyelamatkan seluruh manusia di pelosok dunia, sama ada dalam kalangan Ahli Kitab atau selainnya. Peranan tersebut dilaksanakan dengan berpandukan petunjuk-Nya daripada Kitab al-Quran yang diwahyukan menjadi mukjizat ilmu dan kebijaksanaan Rasulullah SAW yang luar biasa kurniaan Allah SWT.
Berita kedatangan Baginda SAW telah dinyatakan oleh para rasul terdahulu dan tersurat dalam kitab suci agama Samawi mahupun bukan Samawi. Dakwahnya disampaikan kepada seluruh manusia sehingga berjaya memerintah sebuah negara besar bermasyarakat majmuk.
Rasulullah SAW juga memberikan amaran berlakunya penyakit tersebut terhadap umat Islam selepas kewafatannya, dan Baginda SAW sendiri bertabarru’ (berlepas diri) daripada mereka kerana telah terpesong daripada Islam. Namun, Allah SWT tetap memelihara ajaran Islam yang murni dan tetap ada kumpulan atau jemaah daripada umatnya yang meneruskan perjuangan dan mempertahankan Islam.
Berlakunya perpecahan umat Islam berpunca daripada sebab-sebab seperti berikut:
- Politik tamak akan kuasa dan takhta sehingga menggunakan agama.
- Fanatik bangsa dan keturunan mengatasi ajaran agama.
- Fanatik mazhab dalam perkara dasar dan furu‘ yang berbeza sehingga melampau terpesong daripada agama.
- Bebas menggunakan akal (liberalisme) sehingga sesat.
- Campur tangan musuh.
Seterusnya, ada kalangan mereka yang terkumpul beberapa sebab tersebut, sehingga menjadikannya lebih parah dan sesat terkeluar daripada rukun agama. Bahkan, mereka juga memisah-misahkan ajaran agama mengikut kemahuan yang salah dan sesat.
Perpecahan yang berlaku itu menyebabkan tercetusnya peperangan dalam kalangan para pemimpin, raja-raja dan berbagai-bagai bangsa dalam umat yang satu tanpa peduli akan amaran Allah SWT melalui firman-Nya:
﴿وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ٤٦﴾
“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gagal dan hilang kekuatan kamu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal: 46)
Akibatnya, umat Islam dan tanah airnya dijajah dan dibahagikan dalam kalangan kuasa penjajah yang datang mengambil kesempatan menjajah, memperhambakan rakyat dan mengaut hasil buminya.
Banyak kurniaan Allah SWT kepada umat ini dengan ni‘mat ajaran Islam yang sempurna, petunjuknya dan ni‘mat hasil bumi yang melimpah-ruah, serta jumlah penganut Islam yang ramai namun ia tidak dimanfaatkan. Hal ini disebabkan mereka terus berpecah belah dan berselerak, laksana buih dan sampah sarat yang dibawa arus banjir. Ini sekali gus menepati ramalan Rasulullah SAW melalui sabdanya:
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا.
“Hampir tiba masanya umat-umat yang ramai (dikalangan musuh Islam) diajak mengelilingi bagi mengepung kamu (umat Islam) laksana mengundang jemputan jamuan makanan yang lazat , ramai memakan hidangan lazat dengan rakus”
فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟
Lalu seorang sahabat bertanya: “Adakah pada masa itu jumlah kita (umat Islam) sedikit?”
قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ.
Sabda Rasulullah SAW: “Bahkan ramai, tetapi laksana sampah sarap dan buih yang dibawa arus banjir (lemah, ringan, timbul terapung dan hanyut). Allah menghilangkan rasa kehebatan terhadap kamu oleh musuh-musuh kamu, dan dicampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan (rasa hina dan lemah).”
فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟
Kemudian salah seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu penyakit al-wahan?”
قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.
Sabda Rasulullah SAW: “Terlalu sayangkan keduniaan dan takut mati” (Riwayat Abu Dawud 4297 dan Ahmad 22397)
Tamak akan kemewahan dan lupakan akhirat, meninggalkan ajaran Islam sehingga berpecah belah dan berperang sesama sendiri kerana tidak bersatu padu mengikut ajaran Islam. Keadaan ini disebabkan lemahnya iman dan hilangnya semangat persaudaraan Islam.
Lantaran itu, musuh berpeluang datang menjajah kerana melihat secara rakus terhadap kekayaan bumi Islam dengan pelbagai sumber kehidupan dan harta yang melimpah-ruah banyaknya. Musuh itu dapat menjajah dengan mudah kerana umat Islam berpecah belah sehingga berperang kerana mengejar harta, berebut menjadi ketua dan takhta, sehinggakan tidak mampu berdamai dan bersaudara.
Perkara tersebut berlaku akibat meninggalkan petunjuk Islam kurniaan Allah SWT yang pernah menyatukan mereka dahulu sebagaimana firman-Nya:
﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾
“Dan berpegang teguhlah kalian sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kalian bercerai-berai; dan ingatlah ni‘mat Allah kepada kalian ketika kalian saling bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kalian, maka menjadilah kalian dengan ni‘mat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kalian dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kalian semasa jahiliah), lalu Allah menyelamatkan kalian dari neraka itu (disebabkan ni‘mat Islam juga). Demikianlah, Allah menjelaskan kepada kalian ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kalian mendapat petunjuk-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 103)
Allah SWT telah menegaskan kesempurnaan ajaran Islam dan kehebatannya dengan berfirman:
﴿ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ…٣﴾
“Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agama kamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku (Allah). Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agama kamu (Islam), dan telah Ku-cukupkan kepada kamu ni’mat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagi kamu..” (Surah al-Ma’idah: 3)
Allah yang Maha Mengetahui, sehinggakan ilmu-Nya tidak terhingga dan kebijaksanaan-Nya tidak terbatas, menetapkan perkara dasar dan rukun dalam petunjuk agamanya (Islam) yang tidak boleh dipertikaikan lagi, sehingga mereka wajib bersatu padu dan haram berpecah belah.
Akan tetapi, Allah SWT juga mengizinkan adanya perbezaan pendapat kerana kefahaman masing-masing yang berbeza dan keadaan yang berubah dalam kehidupan manusia. Perkara itu menjadi aspek cabang dalam agama Islam dan mempunyai perbezaan dari sudut pendekatannya.
Namun, hal itu tidak boleh sekali-kali mencetuskan perbalahan dan perpecahan kerana teguhnya dalam perkara dasar dan hubungan persaudaraan agama, kemanusiaan dan silaturahim dalam masyarakat majmuk berbagai-bagai mazhab dalam agama yang satu. Sehinggalah berbagai-bagai agama dan bangsa dalam sebuah masyarakat dan negara.
Justeru, Islam mampu memimpin dengan berjaya dalam sejarah keemasannya apabila ajaran Islam yang sebenar ditegakkan dan diamalkan. Allah SWT berfirman menerangkan perkara tersebut secara huraian:
﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣﴾
“Manusia itu adalah umat yang satu. Maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah: 213)
Rasulullah SAW juga bersabda mentafsirkan firman Allah yang disebutkan di atas berkenaan perpecahan umat:
افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَافْتَرَقَتِ النَّصَارَى عَلَى اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً.
“Kaum Yahudi berpecah kepada 71 kumpulan. Manakala kaum Nasara (Kristian) pula berpecah kepada 72 kumpulan dan umatku pula berpecah kepada 73 kumpulan. Semuanya dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu umat sahaja (yang selamat) .
قِيلَ: مَن هِيَ يَا رَسُولَ اللهِ؟
Lalu ditanya : Siapakah mereka (yang satu itu)?
قَالَ: مَنْ كَانَ عَلَى مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي. وَفِي بَعْضِ الرِّوَايَاتِ: هِيَ الجَمَاعةُ.
Sabdanya: Mereka yang berpegang kepada ajaranku dan para sahabatku. (Dalam riwayat yang lain dimaksudkan dengan jemaah).” (Riwayat Abu Dawud 4596, al-Tirmizi 2641, Ibn Majah 3993 dan lain-lain)
Maksud daripada hadis di atas, umat Islam itu berpecah belah sehingga terkeluar daripada rukun Islam, dasar dan perkara qat‘iyyat (kata putus daripada nas) yang mewajibkan mereka bersatu, bukannya dalam perkara cabang yang diizinkan berijtihad serta berbeza pendapat dan pendekatan kerana keadaan yang berbeza dan kehidupan yang berubah. Perkara itu tidak boleh menjadi sebab perpecahan dan memutuskan persaudaraan kerana sabda Rasulullah SAW:
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ، فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ، فَلَهُ أَجْرٌ.
“Apabila seorang hakim (termasuk para ulama’ yang mengkaji hukum) berijtihad, dan kemudiannya dia betul maka untuknya dua ganjaran pahala. Sekiranya beliau menghakimi dan berijtihad, kemudian dia salah maka baginya satu pahala.” (Riwayat al-Bukhari 7352 dan Muslim 1716)
Perbezaan pendapat yang berhikmah dan anjal (fleksibel) menjadikan Islam sesuai kepada seluruh manusia sepanjang zaman dan semua tempat, situasi dan realiti yang berbeza. Para ulama’ yang mengasaskan mazhab yang berbeza dan berkhilaf masing-masing merupakan murid atau guru sesama mereka dalam keadaan bersaudara serta tidak berpecah dan bermusuhan antara satu sama lain.
Allah SWT juga berfirman bagi menunjukkan penyelesaian apabila berlaku perbezaan pendapat dalam perkara yang menimbulkan ketegangan dan diharamkan berpecah belah, firman-Nya:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (para pemimpin dan ulama) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)
Malah, Allah SWT juga memberikan petunjuk kepada manusia apabila berlakunya perpecahan sehingga mencetuskan peperangan melalui firman-Nya:
﴿وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَٰتِلُواْ ٱلَّتِي تَبۡغِي حَتَّىٰ تَفِيٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٩ إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ١٠﴾
“Dan kalau ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu melampau terhadap yang lain, hendaklah yang melampau itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil (9); Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat (10).” (Surah al-Hujurat: 9-10)
Allah SWT juga menegaskan bahawa Islam akan tetap dipelihara sehingga Hari Kiamat, tidak boleh dirosakkan ajarannya oleh sebarang penyelewengan yang berlaku. Seterusnya, akan tetap ada kumpulan Islam yang tegak atas ajaran Islam yang dipelihara oleh Allah SWT. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:
﴿إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ٩﴾
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Surah al-Hijr: 9)
Firman Allah SWT:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ٥٤﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad )menyeleweng) dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum (kumpulan) yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Ma’idah: 54)
Allah SWT menegaskan bahawa tiada kompromi apabila adanya pihak yang menyeleweng daripada perkara dasar dan rukun Islam sebagaimana firman-Nya:
﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa..” (Surah al-An‘am: 153)
Umat Islam wajib bersatu dalam perkara dasar dan rukun, dan hanya boleh berbeza dalam perkara cabang dan pendekatan. Islam juga menetapkan adab ikhtilaf (pertelingkahan), sepatutnya boleh berunding supaya bersatu padu dalam persaudaraan, tolak yang sudah terpesong daripada perkara dasar dan rukun dan ajak yang degil supaya menyahut seruan Allah SWT.
Firman Allah SWT:
﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ…١٠٣﴾
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.…” (Surah Ali ‘Imran: 103)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Safar 1444 / 8 September 2022 – HARAKAHDAILY 8/9/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: PAS jadi bahan sinikal awam.. Dr Wan Rohila.. Tandanya, kebangkitan Islam pimpinan PAS mula dirasai dan makin menonjol meredah PRU 15 ini..
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
No comments:
Post a Comment