Tuesday, September 06, 2022

PAS jadi medan perkuat PN.. Tolak 'Khemah Besar’-PH.

 


1.  Muhyiddin harap Muktamar PAS jadi medan perkuat PN

ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Muktamar Tahunan PAS ke-68 bukan sahaja menjadi medan memperkukuhkan parti itu tetapi juga memperkuatkan PN.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan muktamar tahunan kali ini.

Menurutnya, muktamar kali ini amat penting kerana berlangsung dalam suasana semua parti politik termasuk PN bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan pada tahun ini.

“Besarlah harapan saya agar muktamar ini bukan sahaja menjadi medan bagi memperkukuhkan parti PAS tetapi juga memperkuatkan PN khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum nanti,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, petang ini.

Beliau yang juga Presiden Bersatu mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di atas ucapan dasar yang selari dengan matlamat perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, berintegiriti dan bebas rasuah ke arah mewujudkan Malaysia Sejahtera.

“Saya turut terharu mendengar komitmen dan iltizam berterusan PAS bagi memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam PN seterusnya menetapkan hala tuju yang lebih jelas bagi menghadapi pilihan raya,” katanya yang turut hadir pada muktamar yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut itu.

Katanya, sebagai rakan dalam komponen PN, Bersatu menghormati setiap pandangan yang dikemukakan oleh saf kepimpinan PAS dan para perwakilan demi kebaikan bersama. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

2. Tepat tolak ‘Khemah Besar’ yang sakiti Islam dan tindas rakyat   

ALOR SETAR: Ketegasan PAS menolak bersama pakatan ‘Khemah Besar’ adalah tepat dengan rekod 22 bulan pemerintahan tersebut yang menyebabkan gelisah dan resah dalam kalangan rakyat. 

Perwakilan PAS Pulau Pinang, Omar Hassan berkata, pakatan itu menekan, mengguris dan mencincang hati-hati umat Islam hingga berlaku himpunan besar membantah tindakan kerajaan tersebut. 

“Bukan hanya mereka menyerang susuk tubuh pimpinan-pimpinan kita tetapi mereka juga menyerang Nabi Muhammad SAW utusan Allah Nabi membawa risalah akhir zaman yang beri kepercayaan dan ikutan umat Islam.  

“Inilah kebiadaban mereka ini sehingga ramai di kalangan kita turun membuat bantah demi bantahan. Tetapi pihak pemerintah 22 bulan seolah-olah buta matanya dan pekak telinganya. Mereka tidak mengambil kisah, apa yang sedang berlaku. 

“Tetapi di dalam diam-diam, mereka menyusun satu perencanaan yang begitu jahat mengusir umat Islam khususnya bangsa Melayu tadi dari tanah air, kampung halaman, peninggalan datuk nenek moyang mereka.  

“Dengan secara kononnya di atas sikap pembangunan,” ujar beliau membahas Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor, di sini sebentar tadi. 

Menurutnya, rakyat Pulau Pinang dari pelbagai golongan baik yang Islam dan bukan-Islam begitu mengharap untuk menyelesaikan masalah mereka di mana ada tiada rumah dan menghuni bawah jambatan. 

Juga katanya, di kaki lima KOMTAR pusat pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang kerana tidak ada tempat berteduh sedangkan berkali-kali memohon rumah mampu milik daripada pemerintah. 

Bidasnya juga, dengan kononnya satu perubahan demi ekonomi dan kesejahteraan rakyat cuba diadakan, mereka menerokai kampung-kampung halaman membina bangunan yang begitu mewah kononnya untuk kepentingan rakyat.  

“Harganya beratus-ratus ribu yang tidak mampu dibeli oleh rakyat marhaen yang memerlukannya. Akhirnya setelah siap unit rumah-rumah itu kita dapat melihat poster ditempel dipagar-pagar di pintu-pintu rumah?  

“Ianya untuk dijual. Untuk disewa dan untuk dijadikan homestay tetapi kerajaan 22 bulan yang sedang memerintah negeri Pulau Pinang ini tidak peka dan tidak mengambil tahu hal masyarakat dan rakyat marhaen ini.  

“Mereka lebih membela pemaju. Mereka menafikan kehendak rakyat yang menyokong yang mengundi mereka dalam pilihan raya yang lalu bukan setakat itu sahaja. Dengan rakusnya mereka cuba membina tiga puluh puaka,” ujarnya. 

Kata beliau, apabila siap pulau itu nanti, beratus ribu penduduk luar akan berhijrah dan nilai tanah akan naik mendadak hingga taraf hidup dan perbelanjaan meningkat dan meninggalkan negeri itu. 

Menghadapi pelbagai cabaran di negeri itu menurutnya, PAS dan Umno setuju menggerakkan agenda penyatuan ummah dan memastikan PRU15 disertai secara satu lawan satu. – HARAKAHDAILY 3/9/2022


3. Pastikan kesilapan pengundi memilih PH tidak berulang 

Ketua Pemuda IKATAN, Shahir Adnan

ALOR SETAR: Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Shahir Adnan, melihat Muktamar Tahunan PAS Ke-68 hari ini sebagai mesyuarat yang sangat penting sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, muktamar kali ini memperlihatkan agar muafakat parti politik perlu diperkasakan demi mewujudkan Malaysia yang sejahtera.

Katanya, parti politik perlu bersatu padu bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang agar kesilapan pengundi sebelum ini yang memilih Pakatan Harapan (PH) tidak berulang lagi.

“Rakyat sudah merasai keperitan berada di bawah pemerintahan PH selama 22 bulan. Jadi kita tidak mahu lagi perkara tersebut berulang kembali,” katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-68 di sini, hari ini.

Shahir berkata, pemilihan calon yang bakal ditonjolkan dalam PRU15 juga perlu meyakinkan pengundi.

“Pemilihan calon yang ditawarkan kepada rakyat mestilah calon yang berintegriti, bebas rasuah serta mempunyai iman dan takwa bagi yang beragama Islam.

“Calon bukan Islam pula mestilah yang sederhana bagi memastikan kita dapat mewujudkan Malaysia yang sejahtera,” katanya.

Beliau juga mahu supaya undi anak muda menjadi perhatian utama kerana mereka merupakan antara kelompok terbesar pengundi dalam PRU15.

“Penglibatan anak muda penting bagi menentukan hala tuju pentadbiran negara masa depan. Kita perlu pastikan undi anak muda dapat dikuasai dan siapa juga calon yang ditawarkan, kita bersedia bekerjasama bagi memastikan kemenangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/22

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails